Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
PERANAN IRAN DAN SYRIA DALAM KRISIS ISRAEL-LUBNAN
Monday, July 31, 2006
Sepanjang beberapa minggu yang lalu, ketegangan di Timur Tengah telah semakin bergelora. Pada akhir Jun, Israel telah memulakan satu operasi ketenteraan di kawasan sempadannya terhadap Hamas setelah kumpulan Palestin itu menculik seorang askar Israel. Sebagai sebahagian operasi tentera Israel telah pulang ke Semenanjung Gaza, yang pernah ditinggalkan oleh Israel pada Ogos 2005. tidak lama kemudian pada 12 Julai, pertubuhan militan Shiah, Hezbollah, telah membuka satu medan perang kedua untuk Israel di bahagian utara negara itu, dengan menculik dua orang askar Israel. Setelah Israel bertindak-balas melancarkan serangan udara ke atas Lubnan, Hezbollah telah membalas dengan menghunjam misil ke atas bandar Israel.

Hezbollah merupakan salah satu sekutu Syria dan Iran di rantau itu, dan Tehran serta Damsyik memainkan peranan besar dalam operasi Hezbollah sekarang ini. Sejak revolusi Islam Iran pada 1979 dahulu, Syria dan Iran telah mengongsi pakatan strategi dan mempunyai minat berlapis di Timur Tengah. Pakatan ini menghadapi cabaran yang baru sekarang.

Perikatan Iran-Syria.

Sejurus meledaknya serangan September 11, di Amerika Syarikat, suasana strategi di Timur Tengah telah berubah secara mendadak. Pelancaran perang memerangi keganasan yang dimulakan oleh AS. Berasaskan doktrin 'menyerang dulu', merupakan satu anjakan besar daripada doktrin lama yang 'menghalang dan menyekat'. Anjakan ini menyebabkan kejatuhan regim Taliban di Afghanistan dan kejatuhan kerajaan Saddam Hussein di Iraq, serta merobah secara kerasnya imbangan politik di Timur Tengah. Perubahan ini menerapkan satu impak yang mendalam ke atas Syria dan Iran.

Kejatuhan Saddam dan kehadiran tentera AS berdekatan sempadan Syria merupakan satu cabaran luar biasa kepada kestabilan regim Presiden Bashar al-Assad di Syria. Presiden AS George W. Bush menuduh Damsyik sebagai menaja keganasan kerana sengaja tidak mempedulikan keresapan pejuang jihad di sempadan Syria-Iraq. Tekanan Amerika menjadi semakin kuat selepas terbunuhnya bekas Perdana Menteri Lubnan Rafiq Hariri pada 14 Februari, 2005. Selepas kematian Hariri, Amerika Syarikat dan anggota Majlis Keselamatan PBB yang kekal - seperti Amerika Syarikat. Russia dan Peranchis - meminta Syria untuk keluar daripada Lubnan. Pengunduran Syria daripada Lubnan telah menambahkan kelemahan Damsyik dan mengecutkan pilihan strateginya di rantau itu. Malahan Syria telah meraih keuntungan ekonomi dan politik semasa ia hadir di Lubnan.

Tekanan antarabangsa yang semakin meningkat ke atas Syria ekoran terbunuhnya Hariri telah memperkasakan masalah dalaman negara itu. Baru-baru ini, kebangkitan golongan agama, perpecahan puak kabila dan kaum dalam Syria telah menjadi semakin meruap dan Bashar kini menghadapi masalah caharab baru kepada kestlilan regimnya. Pakatan baru yang diwujudkan oleh bekas Timbalan Presiden Syria Abdel Halim Khaddam dan Kumpulan Saudara Islam Syria adalah satu contoh yang jelas dalam hal ini.

Pakatan yang baru ini juga telah menonjolkan cabaran baru kepada Iran. Walaupun Iran mengalu-alukan kejatuhan dua musuh tradisinya - regim Sunni Taliban di Afghanistan dan kerajaan Baath di Iraq - kewujudan askar AS di dua negara yang berjiran dengan Iran adalah dianggap satu ancaman padanya. Namun demikian, berbanding keadaan di Syria, Tehran mempunyai lebih banyak pilihan kerana ia menguasai pengaruh yang lebih besar dari segi geopolitik berbanding Damsyik. Sebagai contoh, Iran adalah salah sebuah pengeluar minyak yang terbesar di dunia. Ia menguasai Selat Hormuz, sebuah laluan perkapalan yang penting. Ia mempunyai program penyelidikan nuklear yang menyeluruh dan apabila dibandingkan dengan Syria, ia memainkan peranan yang lebih perkasa di rantau itu. Lagi pun, disebabkan lokasi geopolitiknya, Iran mampu mengembangkan pengaruhnya di pelbagai pentas yang berbeza, seperti di Asia Tengah, sedangkan Damsyik tidak mempunyai pilihan semacam itu. Kerana itu apa juga kelemahan yang ada pada Iran ia tidaklah sebegitu teruk seperti Syria.

Di sebalik perubahan suasana strategi itu, Syria dan Iran masih mengongsi satu pakatan strategi, yang bermula selepas Ayatollah Khomeini menang di Iran pada Februari 1979. Selepas revolusi rakyat di Iran, Syria merupakan negara yang kedua selepas Russia yang mengiktiraf penggulingan Mohamed Reza Pahlavi. Buat masa ini Syria dan Iran mengongsi matlamat yang sama: mereka bekerjasama menentang campurtangan AS di Iraq, mereka menawarkan sokongan kewangan, logistik dan ketenteraan kepada Hezbollah dalam pergerakannya menentang Israel dan mereka membantu melengkapkan kumpulan Palestin, seperti Hamas dan Islamic Jihad dalam perjuangan menentang Israel. Lagi pun, mereka mahu mengecutkan peranan serantau kuasa Sunni seperti Arab Saudi dan Mesir, kerana kemaraan pengaruh yang lebih kuat daripadanya akan mengancam kepentingan Syria dan Iran. Iran menganggap peningkatan kuasa regim Sunni di Timur Tengah akan menjadi satu cabaran besar kepada peranan puak Shiah di rantau itu. Syria pula menganggap peningkatan pengaruh Sunni di rantau itu akan menyuntik semangat golongan majoriti Sunni dalam Syria untuk bertindak menyanggah kuasa regim Alawite yang dipimpin oleh Bashar al Assad. (sila baca Syrian and Iranian Interest Converge in Lebanon}

Namun demikian untuk jangka panjang, kepentingan strategi kedua-dua pihak akan berubah juga. Sebagai contoh, Tehran melihat perjanjian antara Syria dan Israel sebagai satu ancaman kerana perjanjian semacam itu akan menafikan Tehran sekutu utamanya di rantau itu. Kalau Iran kehilangan Syria sebagai sekutunya ia akan meningkatkan tanggapan Tehran bahawa ia dikelilingi negara jiran yang bermusuhan dengannya, sekali gus mengecutkan peranannya dalam senario politik di Timur Tengah. Kerana itu juga, Damsyik tidak mahukan satu perjanjian antara Amerika Syarikat dengan Iran mengenai progam nuklearnya yang penuh kontroversi. Perjanjian semacam itu akan berakhir dengan memungkinkan Iran memainkan peranan yang menonjol di rantau itu. Damsyik tidak mahu satu sistem serantau yang diasaskan oleh kehadiran satu hegemoni politik. Seperti Iran, kerana kuasa yang direstukan ke atas Iran akan menyulitkan Syria untuk memainkan satu peranan politik yang lebih berkesan.


Pelakon dan Kepentingannya dalam Krisis Israel-Lubnan

Krisis Israel-Lubnan yang berlanjutan boleh diperjelas oleh pakatan strategi antara Iran dan Syria. Terdapat pelbagai alasan kenapa Hezbollah membuka medan perang yang kedua menentang Israel (medan perang yang pertama telah dibuka oleh serangan Hamas pada bulan Jun). Pertama, Hezbollah sedang cuba memperkasakan martabatnya di negara sendiri dan juga di rantau itu dengan menumpang perjuangan Palestin. Dengan memberikan bantuan kepada kumpulan degil Hamas, pemimpin Hezbollah Sayyed Hassan Nasrallah menghantar satu mesej yang jelas kepada keseluruhan dunia Islam. Mesejnya ialah Hezbollah sedang menjuarai perjuangan menentang Israel, berbanding sokongan yang lemah yang diberikan kepada Palestin oleh negara-negara Sunni, seperti Mesir, Arab Saudi dan Jordan. Lagi pun Hezbollah mahu memperkasakan kedudukannya dalam senario politik Lubnan. Yang penting lagi ia mahu menghindari tekanan agar ia melucutkan senjata seperti yang dikehendaki oleh Resolusi 1559 yang dikeluarkan pada September 2004 oleh Majlis keselamatan PBB. (sila baca: Tension returns between Jordan and Hamas)

Sejak Israel berundur daripada bumi selatan Lubnan pada 2000, pejuang militan Lubnan itu telah berjaya memperolehi daripada Iran khususnya, dan juga daripada Syria, satu bekalan roket yang dianggarkan antara 10,000 dan 13,000. Ada antara roket ini mempunyai kuasa jarak jauh 100 kilometer, memberikan Hezbollah keupayaan untuk menyerang bandar utama Israel seperti Haifa dan Tel Aviv, sekali gus melunturkan kekebalan Israel.

Tindakan ganas Israel terhadap serangan Hezbollah ada kaitan dengan ciri krisis rantau itu: Ini merupakan satu mesej yang dihantar kepada Bashar dan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad. Dengan menggunakan taktik pencegahan oleh tenteranya, Perdana Menteri Israel Ehud Olmert telah menunjukkan kepada Iran dan juga Syria agar menghentikan sokongan mereka terhadap Hezbollah, di samping menghentikan sokongan kepada Hamas dan Islamic Jihad.

Namun, sokongan Iran dan Syria kepada kumpulan militan ini adalah hasil dasar mereka menyekat satu perjanjian damai Israeli-Palestin. Kedua-dua negara mahu melemahkan satu usaha kedamaian kerana perjanjian semacam itu akan bertentangan dengan kepentingan semasa mereka. Kedamaian antara Israel dan Palestin bererti tamatnya "Faktor Palestin" yang merupakan lembu suci dalam kesengsaraan Islamiah dan nasionalisme Arab. Kesannya regim Arab dan Islamiah akan kehilangan satu alat propaganda yang cukup berkesan.

Dari sudut geopolitik, kedamaian semacam itu mungkin mencetuskan cabaran yang serius kepada Syria dan Iran. Syria akan menganggap mempunyai kedudukan yang lebih lemah terhadap Israel. Kedudukan yang lemah akan menjejaskan rundingan yang akan datang antara Syria dengan Israel untuk mendapatkan kembali Golden Heights. Kepada Iran pula, sebarang perjanjian damai antara Israel-Palestin akan mengembalikan kemungkinan perdamaian antara Israel dengan negara Arab yang lain. Kedamaian semacam ini akan membesarkan tanggapan geostrategi Iran yang mungkin dipinggirkan di rantau itu. Lagi pun, Iran mahu mengekalkan Hezbollah sebagai senjata berbisa terhadap mana-mana regim Arab. Kepimpinan Iran mahu meneruskan pertalian erat antara sesama Shiah di kaca mata Palestin kerana ini adalah satu propaganda berbisa untuk membantu pencarian Iran menonjolkan peranan dalam percaturan Timur Tengah.

Penutup

Faktor persekitaran memainkan satu peranan fundamental dalam krisis Israel-Lubnan. Lubnan dan Palestin adalah bidak percaturan dalam imbangan kuasa serantau ini. Iran dan Syria adalah kuasa luar yang begitu terlibat dalam krisis. Tehran memberikan sokongan padu ke atas Hezbollah dengan tujuan mahu meningkatkan peranannya sendiri dalam rantau ini. Iran tidak mahu melihat kedamaian antara Arab dan Israel dan mahu menggunakan krisis untuk mengelak berlakunya kedamaian antara Israel dan Palestin.

Melalui kumpulan degil Hezbollah dan Hamas bertelagah dengan Israel, Tehran menghantar satu mesej yang jelas kepada Washington akan kemampuan sekutunya di rantau ini. Tehran turut menggunakan krisis ini untuk melencungkan perhatian terhadap program nuklearnya.

Dengan cara menyokong kumpulan militan bertarung memerangi Israel, Damsyik cuba meringankan tekanan dunia luar terhadap regimnya. Ia cuba meruapkan pergeseran kaum di Lubnan dengan tujuan mahu mendapat semula pengaruhnya ke atas negara itu. Bashar mahu melegakan perbalahan dalaman Lubnan dan menyatukan negara itu menentang musuh luar. Lagi pun, seperti juga Tehran, Damsyik tidak mahu wujudnya perjanjian damai antara Israel dengan Palestin kerana ia akan melemahkan keupayaan diplomasi Syria terhadap Israel dalam perundingan akan datang yang membabitkan Golan Heights.

Apa pun, Syria dan Iran memang tidak mahu konflik ketenteraan secara terus dengan Israel. Olmert faham perkara ini dan tindakan balas Israel terhadap Lubnan adalah satu mesej yang jelas kepada Tehran dan Damsyik. Dengan ugutan mahu perbesarkan konflik itu Israel cuba menghentikan sokongan logistik, kewangan dan ketenteraan Syria dan Iran kepada kumpulan militan di Lubnan dan di Wilayah Palestin.

Syria mempunyai minat yang lebih besar berbanding Iran, untuk mengelak tercetusnya konflik ketenteraan dengan Israel kerana kedudukan Damsyik dari sudut geostrategi adalah amat lemah berbanding Tehran. Berbeza dengan Iran, Syria mempunyai satu sempadan yang dikongsi bersama Israel. Lagi pun kerajaan Bashar adalah dalam kedudukan yang lemah berbanding kerajaan Tehran. Tehran pula begitu prihatin dengan kelemahan Syria kerana ia boleh menjejaskan kedudukannya sendiri di rantau itu. Itu sebabnya Iran terpaksa berlembut dalam menangani krisis Lubnan seandainya Israel menunjukkan keinginannya sebenar untuk melebarkan konfliknya dengan Syria. Di sebalik retorik Ahmadinejad mengenai tindak-balas ketenteraan Tehran terhadap Israel seandainya ia menyerang Syria, Tehran tidak mempunyai kemampuan dan kesungguhan politik untuk bertembung secara serius dengan Israel, yang pastinya membabitkan Amerika Syarikat.

Dengan demikian, krisis antara Israel dan Lubnan bukanlah semata-mata konflik antara dua negara, tetapi ia lebih berserabut kerana melibatkan banyak pelakonnya - Israel, Lubnan, Syria dan Iran dan pelakon yang tidak bernegara seperti Hezbollah, Hamas dan kumpulan militan Palestin yang lain. Adalah menguntungkan Syria dan Iran kalau terus menyokong kumpulan bersenjata ini - khususnya Hezbollah - akan tetapi kalaulah Israel mengancam untuk melebarkan medan perang untuk melibatkan rantau yang lebih besar, sokongan itu akan menjadi lebih lemah.

Report Drafted By: Dario Cristiani
posted by jasindaily online @ 5:59 PM   0 comments
STRATEGI KESELAMATAN ISRAEL
Pada 20 Julai, Menteri Pengangkutan Israel, Shaul Mofaz, yang menganggotai Kabinet Sekuriti Israel, telah memberitahu satu sidang akhbar bahawa selepas lebih seminggu melancarkan operasi ketenteraan terhadap Lubnan, kemampuan serangan Hezbollah telah ditumpaskan sehingga separuh berbisa sahaja lagi. Mofaz menambah, kesungguhan Israel untuk menyempurnakan tugas memusnahkan saki-baki Hezbollah akan tertunai. Senario strategi politik serantau menyerlahkan betapa konflik Israel-Lubnan perlu dianalisis daripada sudut kepentingan para pelakon lain di Timur Tengah, di mana matlamat utama keselamatan Israel adalah terpaut kepada keupayaan serangan Hezbollah. Pentadbiran Ehud Olmert bertegas bahawa matlamat strategi Israel dalam konflik itu ialah ke arah memusnahkan semua kemampuan pelancaran roket Hezbollah, kemusnahan pucuk kepimpinan pertubuhan militan itu, dan memutuskan talian rangkai pemerintahannya.

Walaupun tugas menghancurkan keupayaan serangan Hezbollah nampak serba mungkin walaupun wujud kesulitan taktikalnya, matlamat untuk menamatkan terus Hezbollah sebagai satu pertubuhan akan melibas balik kerana kumpulan itu sudah lama berakar-umbi dalam masyarakat Lubnan, dan yang paling penting sekali, tindakan semacam itu sudah pasti akan mencetuskan bencana di pihak orang awam.

Pada permulaan konflik ini, agensi risikan Israel dan Barat kelihatan terkejut dengan kemampuan Hezbollah menggunakan senjata roket, yang dipercayai hanya sedikit sahaja daripada yang ternyata kemudiannya. Selepas Hezbollah melancarkan roket jenis Fajr-3 (jarak: 40 kilometer, 25 batu) di Haifa, baru muncul satu kesedaran dalam konflik itu.

Pada peringkat awal pertarungan, agensi risikan Barat mengumumkan bahawa Hezbollah memiliki tidak lebih dari 10,000 roket Katyusha (jarak: 20 kilometer, 12 batu), beberapa ratus roket jenis Fajr-3 dan Fajr-5 (jarak 40-75 kilometer, 25-45 batu), dan beberapa jumlah roket yang tidak dikenali jenisnya termasuk Zellzal-2 yang mempunyai jarak 200 kilometer (124 batu) dan keupayaan ledakan 600 kilogram.

Secara paradoksnya , keupayaan senjata canggih Israel termasuk yang anti-balistik ternyata begitu terdedah kepada serangan roket Hezbollah berbanding misil yang lebih berbisa seperti Scud ataupun Shahab sejak misil yang kemudian itu adalah lebih besar dan terbang di altitude yang lebih tinggi, memudahkan mereka ditembak jatuh. Israel tidak mampu memiliki teknologi pertahanan laser yang boleh memusnahkan roket kecil sebelum menjelangnya 2008.

Kelengkapan perang Hezbollah itu memberi keupayaan padanya untuk menyerang banyak bandar utama Israel seperti Haifa, Tel Aviv dan Baitulmaqdis. Sekali gus menggugat keseluruhan keselamatan Israel. Apabila kemampuan serang balas Hezbollah menjadi semakin jelas, tentera Israel mula mentafsir ancaman Hezbollah dengan tafsiran berbeza, di mana para penganalis tentera berkata bahawa beberapa telahan Israel yang menakutkannya semakin menjadi kenyataan. Dengan hal demikian pentadbiran Omert menganggap penting akan keadaan yang dihadapinya dan bertindak bahawa kemenangan mutlak terhadap Hezbollah perlu dicapai tidak kira apakah kosnya.

Kemenangan mutlak semacam itu mungkin menjadi lebih berserabut untuk dicapai berbanding yang diimpikan. Walaupun Israel boleh menangani masalah taktik seperti mencari dan mengesan semua infrastruktur yang digunakan oleh Hezbollah di Selatan Lubnan, mereka tidak boleh bergantung hanya kepada serangan udara, dalam cuba memusnahkan Hezbollah daripada Selatan Lubnan untuk selama-lamanya.

Seperti yang sering berlaku dalam sebarang konflik, matalamat strategi dan politik adalah sukar untuk diimbangi. Walaupun kemusnahan roket dan segala infrastrutktur yang berkaitan dianggap mudah dan boleh diterima, membunuh kumpulan militan memerlukan penaklukan darat. Jelas, penaklukan semacam itu tidak boleh dianggap sebagai satu permulaan serangan Israel ke atas Selatan Lubnan, tetapi sebaliknya dilihat sebagai satu operasi ekspres untuk membersihkan rantau itu.

Namun demikian, serangan darat dan peperangan terbuka memang tidak boleh diteka-teka. Dan inilah yang mencetuskan persoalan politik. Israel sudah pun dikenakan tekanan oleh PBB dan beberapa negara sekutu Baratnya kerana serangan udaranya terhadap Hezbollah di Beirut, Tyre dan beberapa bandar Lubnan yang lain sudah pun mencetuskan banyak bencana kepada orang awam sehingga membabitkan ribuan pelarian. Perkara ini memberikan ruang yang baik kepada Hezbollah, sebagai satu pertubuhan yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Shiah. Inilah peluang Hezbollah meningkatkan pengaruh dan martabatnya di Lubnan sekali gus menyekat Israel daripada mendapat kemenangan politik, apa lagi dengan kekuatan ketenteraannya.

Lagi pun, pejuang Hezbollah yang dikejar oleh tentera Israel, berkemungkinan cabut lari berlindung di Syria, dan ini mungkin menyebabkan Israel masuk menceroboh wilayah Syria pula, dan tindakan ini boleh mengembangkan wilayah konflik itu, walaupun Damsyik cuba bersabar daripada campurtangan dalam ketegangan itu kecuali perlu ataupun berasakan terma yang menyenangkannya. {sila lihat: The Role of Iran and Syria in the Israel-Lebanon conflict}

Sebalik kepincangan itu, adalah dijangkakan Israel akan teruskan sasarannya untuk memusnahkan kelengkapan perang Hezbollah dan melancarkan satu serangan mengejut untuk menjajah Selatan Lubnan dengan tujuan memusnahkan kewujudan Hezbollah di rantau itu. Pada waktu yang sama, ia akan mencari tentera Lubnan dan PBB untuk merundingkan pengundurannya secara bertukar rencana untuk melaksanakan Resolusi PBB No. 1559 (yang diluluskan pada September 2004) yang mengarahkan agar Hezbollah dilucutkan senjatanya.

Israel juga akan menentukan Amerika Syarikat akan terus memberikan sokongan kepada Olmert kerana Washington memang mahu mengendurkan kuasa pengaruh Syria dan Iran di rantau itu dan Amerika jua memang amat ghairah mahu memusnahkan keupayaan ketenteraan Hezbollah (sila baca: The Role of Iran and Syria in the Israel-Lebanon Conflict )

Walau bagaimanapun pengaruh politik Hezbollah di Lubnan dan malahan di kalangan orang Palestin mungkin meningkat di akhir pertarungan ini. Lagi pun Amerika Syarikat dan Israel akan terus dihantui ancaman Iran dan Syria sebagai ancaman utama di rantau ini dan akan terus menekan mereka. Timur Tengah akan terus menjadi medan konflik politik di mana peperangan akan mudah tercetus lagi di masa depan.
posted by jasindaily online @ 5:49 PM   0 comments
MPSJ BERI KONSORTIUM KONTRAK "PEST CONTROL"
Majlis Perbandaran Subang Jaya, (MPSJ) telah mengeluarkan arahan kepada semua pemilik kedai di bawah jagaannya bahawa bermula 2009, mereka perlu menandatangani kontrak kawalan serangga perosak (pest control) dengan sebuah konsortium swasta untuk mendapatkan sijil bebas serangga perosak untuk membolehkan mereka memohon lesen perniagaan baru atau memperbaharui lesen perniagaan yang sedia ada.

Walaupun presiden MPSJ, Datuk Arif Abdul Rahman sudah menjelaskan bahawa ia akan dilaksanakan pada tahun 2009 sehingga 2026 (di mana syarikat konsesi akan tamat dalam tahun 2026), ramai yang telah mengadu bahawa pemilik sudah diminta menandatangani kontrak dengan konsortium terbabit sebelum mereka boleh memperbaharui lesen. Perkara tersebut telah diakui oleh pegawai-pegawai Jabatan Perlesenan MPSJ.

Nama konsortium tersebut ialah Konsortium SJ Pest Control Sdn. Bhd. Ahli-ahlinya termasuk Koswasta Asia Pest Control Sdn. Bhd., Damai Pest Control Sdn. Bhd., Vetga Sdn. Bhd., Inspirasi Asia Sdn. Bhd., Suria Sakti Resources Sdn. Bhd. and Denmas Sdn. Bhd.

Keputusan MPSJ untuk mewajibkan kawalan serangga perosak telah menimbulkan berbagai persoalan.

Syarat tersebut dapat difahami jika dikenakan ke atas tempat-tempat makan dan restoran-restoran, begitu juga kilang-kilang memproses makanan. Anehnya, kedai-kedai yang bukan menjual makanan juga dikenakan syarat yang sama

Didapati konsortium yang diberikan tugas, bukan ahli Pest Control Association of Malaysia (PCAM). Mengapa MPSJ tidak mengambil syarikat yang berdaftar, diiktiraf dan mendapat akriditasi oleh persatuan?

Carian ke atas syarikat-syarikat dalam konsortium didapati kebanyakannya bukan saja baru diwujudkan tetapi juga diketuai oleh pengarah-pengarah yang berumur dalam dua puluhan. Ini menimbulkan keraguan sama ada syarikat tersebut mampu melaksanakan kawalan serangga perosak yang sepatutnya.

Kadar bayaran terendah yang dikenakan oleh konsortium terbabit ialah RM600, yang sebenarnya dua kali ganda harga pasaran. Jika semua pemilik kedai di Subang Jaya menandatangani kontrak dengan konsortium sehingga 2026, pastinya konsortium akan mendapat keuntungan besar.

Dikhuatiri, ini akan menjadi satu lagi amalan yang memberi manfaat kepada kroni-kroni mereka yang berkuasa. Oleh kerana keputusan yang telah dibuat akan terkesan kepada pemilik yang juga pembayar cukai, president MPSJ dan ahli-ahli majlis patut bertanggungjawab kepada pembayar cukai.

MPSJ wajar mendedahkan kandungan kontrak bagi mengelakkan MPSJ terikat dengan kontrak yang tidak adil dengan mana-mana pihak swasta, yang seterusnya terkesan kepada majlis dan pembayar cukai.

Adalah wajar dan beretika bagi MPSJ menggantungkan sementara sehingga penerangan yang jelas serta diterima dapat dibuat oleh majlis kepada pembayar cukai.
posted by jasindaily online @ 5:45 PM   0 comments
PENDATANG HARAM JUGA ADA MYKAD
Jika kulit anda gelap macam orang Bangladesh, India atau Myanmar, anda sebaik-baiknya bawa bersama MyKad anda ke mana jua anda pergi.

Jika anda berkulit kuning atau cerah seperti Cina dan tidak fasih berbahasa Melayu, anda juga dinasihatkan membawa MyKad.

Kerajaan sudah membuat keputusan untuk mengurangkan musuh nombor dua negara -pendatang haram. Pegawai penguatkuasa sudah mula membuat rondaan, memeriksa orang ramai bagi memastikan mereka mempunyai dokumen pengenalan yang sah. Jika anda tidak mahu meghadapi masalah, dinasihatkan supaya membawa bersama MyKad anda.

Amaran tersebut telah dikeluarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Mohd Radzi bin Sheikh Ahmad.

Walau bagaimanapun, jika rakyat Malaysia membawa MyKad mereka, masih ada dua masalah yang perlu diatasi.

Pertama, adakah semua pegawai penguatkuasa yang melakukan pemeriksaan mempunyai mesin pembaca kad?

Sebenarnya, terdapat ramai pendatang asing yang mempunyai MyKad. Sekiranya mereka kenal orang yang boleh mengeluarkan MyKad dan sanggup mengeluarkan belanja RM300, mereka boleh membeli kad tiruan yang baik kualitinya, siap dengan gambar mereka sendiri.

Kad-kad palsu tersebut kebanyakannya dibuat daripada kad-kad yang hilang kemudian dipinda dengan sungguh baik oleh sindiket dan kemudian dijual kepada pendatang asing. Tanpa mesin pembaca kad, pegawai penguatkuasa tidak mampu mengesahkan sama ada kad yang dimiliki adalah yang tulin atau palsu.

Masalah kedua ialah MyKad mengandungi maklumat peribadi yang sulit, termasuk status perkahwinan, nombor akaun bank, dan lain-lain maklumat kewangan. Adakah pegawai penguatkuasa mempunyai hak untuk melihat maklumat tersebut menggunakan mesin pembaca kad?

Bukan saja pihak tentera dan polis yang akan terlibat dalam operasi besar-besaran tersebut tetapi juga 300,000 sukarelawan. Tahap moral sukarelawan tidak dapat dipastikan, sekiranya pihak berkuasa memberikan mereka mesin pembaca kad yang membolehkan mereka mendapat akses kepada maklumat sulit yang terkandung dalam MyKad.

Bilangan besar pendatang asing yang bersembunyi dalam negara sudah menjadi ancaman kepada kedamaian dan kestabilan negara. Ia wajar bagi pihak berkuasa untuk mengadakan operasi menjejaki pendatang asing secara besar-besaran dan kemudian menghantar mereka pulang. Bagaimanapun, operasi-operasi ini sudah menjadi pasif dan tidak bermaya.

Pada lewat 80-an, ekonomi Malaysia sedang pesat, dan pekerja asing Indonesia menyediakan buruh yang diperlukan dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan. Sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi negara tidak dapat dinafikan.

Keadaan pada hari ini agak berlainan. Selain daripada Indonesia, kita juga mempunyai pendatang asing dari Myanmar, Thailand, Bangladesh, dan China. Sebahagian besar adalah pendatang haram atau visa mereka sudah luput tarikh sahnya.

Pekerja-pekerja ini kini, menjadi masalah serius kepada masyarakat dan ekonomi negara. Setiap tahun, kerajaan membelanjakan jumlah yang besar dan tenaga manusia bagi mengeluarkan mereka (pendatang haram) dari seluruh pelusuk negara dan menghantar mereka pulang. Pada tahun 2004 sahaja, kerajaan telah berbelanja hampir RM6 juta bagi menghantar pulang 38 ribu pendatang haram.

Perbelanjaan tersebut dihabiskan ke atas kesan masalah dan bukan punca masalah. Menurut laporan, bilangan pendatang haram di Malaysia dalam lingkungan setengah juta kepada sejuta. Laporan mendakwa di Sabah, pendatang haram dari Filipina melebihi penduduk tempatan. Kebanyakan daripada pendatang tersebut sudah mempunyai MyKad mereka sendiri.

Di mana mereka mendapat MyKad? Adakah kad-kad tersebut asli atau palsu? Adakah pihak berkuasa sedar mengenai apa yang sedang berlaku? Jika MyKad begitu mudah diperolehi, tidak hairan pendatang asing begitu ramai di Malaysia.
posted by jasindaily online @ 5:35 PM   0 comments
MAHATHIR DILEMPAR GAS PEMEDIH MATA : BANYAK PERSOALAN YANG TIDAK TERJAWAB
Sunday, July 30, 2006
Assalamu'alaikum wm.wrt.,

Peristiwa Dr. Mahathir Mohamad, bekas PM ke-4 dilempar gas pemedih mata setibanya beliau di Lapangan terbang Pengkalan Cepa adalah amat dikesalkan. Semua pihak mengutuk perbuatan yang tidak bertamadun itu. Adalah dipercayai berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Ibrahim Ali, orang yang bertanggungjawab itu ialah salah seorang daripada anggota Pemuda UMNO Kelantan yang Ibrahim sendiri mengenali penyerang tersebut.

Perdana Menteri yang mendengar berita tersebut tersangat marah dan mengarahkan pihak polis siasatan segera dan menangkap orang yang terlibat. Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Musa Hassan, kejadian itu terjadi ketika berlakunya pergelutan di antara Ibrahim Ali dengan Nik Sapeia Nik Yusoff untuk merebut Mahathir menaiki kereta salah seorang dari mereka. Pada masa kelam-kabut itulah seorang yang tidak dikenali mengambil kesempatan melempar gas pemedih ke arah Ibrahim dan Mahathir. Setakat ini, penyiasatan telah pun dimulakan dan seorang bergelar 'Datuk' disyaki sebagai yang bertanggungjawab terhadap peristiwa tersebut.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa Ibrahim Ali adalah bekas Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas yang dipecat oleh Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO dan diganti oleh Abdul Rahim bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Bahagian. Rahim memang rapat dengan Abdullah, tidak dengan Ibrahim. Kini, Ibrahim Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan-sebuah NGO yang ditubuhkan khas untuk membuat kacau terhadap pentadbiran PAS di Kelantan selepas pilihan raya umum ke 10. MTRK walaupun didaftarkan sebagai NGO, tetapi bergerak seperti sebuah parti politik. Manakala Nik Sapeia Nik Yusoff juga merupakan bekas Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai. Kedua-dua mereka kini telah menjadi 'hampas' kepada UMNO yang di bawah pimpinan Abdullah.

Ibrahim dikatakan sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Mahathir ke Kelantan [setelah semua saluran komunikasi ditutup] yang merupakan babak ke dua-Mahathir V Abdullah. Di lihat dari sudut pergelutan tersebut, dilihat seolah-olah ada satu perancangan yang dibuat untuk merebut Mahathir dan membawa Mahathir [menjauhkan Mahathir daripada golongan Ibrahim Ali dan Abdullah Ahmad] menghadiri program yang dianjurkan oleh golongan Nik Sapeia, maka beberapa persoalan timbul di benak kita:

i. Dalam isu Mahathir V Abdullah ini, Ibrahim Ali yang paling ke depan di kalangan pemimpin, ahli dan veteran UMNO di Kelantan secara konsisten menyokong Mahathir. Ibrahim kelihatan rapat dengan Mahathir dalam berbagai majlis yang dihadiri oleh Mahathir, selepas Mahathir terbuang dalam arus politik 'rakus' UMNO, tetapi kenapa dengan tiba-tiba muncul pula nama Nik Sapeia yang hendak merebut Mahathir dari tangan Ibrahim dan membawa Mahathir menghadiri program yang diaturkan olehnya, kenapa tidak dibuat perbincangan terlebih dahulu atau mungkin boleh membawa Mahathir sekali pada masa hadapan dan mengapa Nik Sapeia bertindak samseng untuk mendapatkan Mahathir?. Bagi saya sudah tentu Nik Sapeia mempunyai satu agenda tersembunyi di sebaliknya.

ii. Kita semua tahu, selepas majlis dialog Mahathir pada 24.6.2006 yang lalu, Mahathir dikecam oleh pemimpin dan menteri-menteri UMNO yang beliau lantik dahulu itu dan seluruh saluran [platform] untuk beliau bercakap ditutup, hanya akhbar internet yang memberi ruang kepadanya untuk memberi pandangan dalam berbagai perkara yang berlaku di dalam Negara ini. Dipercayai juga Ibrahim Ali turut terlibat dengan kerjasama portal Malaysia Today menganjurkan majlis dialog pada 2.6.2006 lalu itu. Ibrahim awal-awal lagi telah membuat kenyataan [melalui Ahmad Rusli Ibrahim, Setiausaha MTRK yang juga salah seorang ahli MUBARAK] menyatakan Mahathir akan tetap di bawa ke Kelantan pada 28 Julai 2006 nanti. Pada asalnya cadangan membawa Mahathir ke Kelantan dicadangkan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), tetapi disebabkan berbagai tekanan yang dikenakan oleh pucuk pimpinan atasan UMNO yang tidak mahu memberi platform kepada Mahathir untuk bercakap, maka MUBARAK telah membatalkan cadangan mengadakan dialog dengan bekas PM itu. Dalam tempoh tersebut tidak timbul pun nama Nik Sapeia Nik Yusoff untuk mengadakan program khusus untuk Mahathir, tetapi tiba-tiba muncul di Lapangan terbang Pengkalan Cepa untuk mengambil Mahathir, sedangkan sebelum itu tidak ada tanda-tanda kenapa?

iii. Kita telah diberitahu oleh media terutama media internet bahawa Mahathir akan ke Kelantan untuk menghadiri dua program yang dianjurkan khas untuknya bercakap menjelaskan secara detail mengenai ketidak-puasan hatinya terhadap cara Abdullah mentadbir Negara. Satu anjuran Abdullah Ahmad [atau lebih dikenali sebagai Abdullah Kok Lanas, bekas Pengerusi NSTP yang juga dipecat oleh Abdullah dan bekas wakil rakyat serta bekas wakil khas Malaysia ke PBB] yang akan diadakan di Hotel Perdana pada pukul 3.30 petang. Pada sebelah malamnya pula akan diadakan satu majlis makan malam yang bertajuk
'Malam Perjuangan Belum Selesai' di Hotel Grand Riverview yang terbuka kepada orang ramai. Program itu dianjurkan MTRK di bawah pimpinan Ibrahim Ali. Jadi, kenapa dengan tiba-tiba Nik Sapeia Nik Yusoff hendak merampas Mahathir dan memaksa Mahathir menaiki keretanya dan memaksa Mahathir menghadiri majlis anjurannya?

iv. Kenapa berlaku keributan dan kekecohan ketika Mahathir sampai, sedangkan awal-awal lagi media telah menghebohkan bahawa Mahathir ke Kelantan khusus untuk menghadiri program yang dianjurkan oleh Abdullah Kok Lanas dan Ibrahim Ali, tidak ada sebarang laporan yang dibuat mengenai majlis yang dianjurkan oleh pihak Nik Sapeia Nik Yusoff ini. Sudah tentulah Ibrahim dan Abdullah Kok Lanas, pihak yang merancang membawa Mahathir ke Kelantan tidak membenarkan Nik Sapeia merampas Mahathir di tengah jalan, maka berlakulah tarik-menarik dan pergelutan. Ketika inilah seorang yang tidak dikenali mengambil kesempatan melemparkan gas pemedih mata ke arah Ibrahim Ali dan Mahathir?

Dalam merenung peristiwa ini, saya teringat satu peristiwa yang berlaku di Filipina pada tahun 1986. Ketika itu Ferdinand Marcos memerintah Filipina secara diktator. Semua saluran media di Filipina ketika itu diarah membuat laporan memuji dan memuja Marcos. Ramai ahli-ahli pembangkang ditangkap dan sesiapa yang berani bangkit menentang Marcos akan dibunuh dengan kejam. Marcos dan kuncu-kuncunya menguasai ekonomi dan politik Filipina. Keluarga dan kroni-kroninya hidup penuh dengan kemewahan, membiarkan rakyat hidup merempat dan melarat. Keadaan ekonomi teruk. Rakyat tidak pekerjaan. Tidak pekerjaan bermakna tidak ada sumber pendapatan untuk menyara diri sendiri dan keluarga. Kos belanja hidup meningkat. Harga barangan dan perkhidmatan mahal. Inflasi melonjak.

Keadaan ekonomi yang teruk ini turut mencetuskan krisis politik di antara Marcos dengan Ketua Pembangkang Ninoy Aquino yang ketika itu masih berada di Amerika Syarikat [seorang pelarian politik-suaka politik di AS]. Akibat pemerintahan Marcos yang zalim, rakyat [disokong oleh sebahagian pemimpin angkatan tentera Filipina] mulai bangun menentang Marcos dan kuncu-kuncunya. Reputasi Marcos sebagai Presiden dan pemimpin yang memerintah Filipina selama hampir tiga dekad semakin luntur. Manakala musuh politiknya, Ninoy Aquino semakin mendapat tempat di hati rakyat. Ninoy Aquino menjadi harapan rakyat untuk membela nasib mereka. Marcos menjadi marah dan berazam untuk menghapuskan Ninoy Aquino yang mengancam kedudukannya sebagai Presiden yang memerintah Filipina.

Pada tahun itu [1986], bagi membuktikan bahawa rakyat masih menyokong dan popularitinya tidak pernah pudar, Marcos bercadang akan mengadakan pilihan raya umum. Dengan mengadakan pilihan raya ini, pada firasat Marcos ia akan berjaya mengumpan Ninoy Aquino untuk kembali ke Filipina dari AS untuk menyertai pilihan raya tersebut dan bertanding menentang beliau. Tujuan Marcos ialah untuk menghapuskan [membunuh] musuh politiknya, Ninoy Aquino. Berkali-kali Marcos [berlakon] memberi amaran kepada Ninoy Aquino jangan kembali ke Filipina kerana keselamatan beliau tidak terjamin, tetapi Ninoy Aquino tetap berdegil. Beliau terbang dari AS dan sampai di Lapangan terbang Manila, sebaik sahaja beliau melangkah keluar dari pintu kapal terbang, belum sempat beliau menjejak kaki ke bumi, beliau telah ditembak bertubi-tubi oleh enam orang yang tidak dikenali dan ke enam-enam orang ini juga sempat dibunuh oleh pasukan polis Filipina.

Untuk membuktikan kepada rakyat yang beliau [Marcos] tidak terlibat dengan pakatan membunuh Ninoy Aquino ini, maka Marcos telah menubuhkan satu pasukan penyiasat untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut. Dalam pilihan raya tersebut, Marcos menang besar. Marcos amat berbangga, tetapi hakikat sebenarnya rakyat semakin meluat dan bangkit beramai-ramai [dibantu oleh sebahagian kumpulan tentera yang anti Marcos] menentang pemerintahan beliau. Kemenangan besar yang beliau perolehi dalam pilihan raya itu adalah hasil penipuan dan penyelewengan yang dibantu oleh institusi-institusi Negara, pihak polis dan tentera yang diarah menyokongnya tanpa berbelah-bagi. Kemenangan seperti ini pernah dinikmati oleh Suharto, Shah Iran dan Saddam Hussein, kemudian mereka juga akhirnya dijatuhkan oleh kuasa rakyat. Ketidak-puasan hati rakyat telah dicetuskan melalui satu gerakan yang dikenali sebagai "Kekuatan Rakyat" dimulai 22 Februari 1986 dan tiga hari kemudian Marcos meninggalkan Filipina dan tinggal di pengasingan di Hawaii.

Selepas kejatuhannya, maka terburailah segala-galanya. Marcoslah yang terlibat dalam pakatan membunuh Ketua Pembangkang Ninoy Aquino. Sungguh menggemparkan beliau, keluarga dan kroni-kroninya mempunyai kekayaan di luar jangkaan dengan latar belakang kehidupan rakyat yang hidup penuh kemiskinan dan kedaifan. Marcos dan keluarnya serta kroni-kroninya mempunyai banyak wang simpanan dan hartanah di luar negara khususnya di AS.

Dalam kes Mahathir ini, kita simpati apa yang terjadi ke atasnya. Tidak sepatutnya seorang bekas PM yang banyak berjasa pada Negara ini dilempar gas pemedih mata seperti itu. Adakah ini permulaan bagi membentuk budaya 'mafia' dalam politik masa untuk masa hadapan? Bagi Mahathir, ini merupakan satu peristiwa hitam sepanjang kehidupan politiknya-sebelum, semasa, selepas kemerdekaan dan terkini, ia dihina oleh pemimpin dan ahli UMNO yang dipilihnya sendiri, tambahan pula dengan usia yang semakin penghujung, mungkin terdetik di hatinya ''adakah ini sebagai satu hukum karma ke atas dirinya". Mahathir bukan pemimpin parti pembangkang, beliau adalah bekas PM dan dari parti UMNO yang memerintah Malaysia hampir separuh abad.

Bagi pemimpin dan ahli serta pendokong parti-parti pembangkang khususnya PAS dan KeADILan [dulu sebelum terbentuknya PKR] gas pemedih mata, beraneka jenis asid, dipukul dengan rotan, disepak dan diterajang serta dimaki hamun merupakan mainan biasa. Siapa tidak ingat peristiwa di Lebuh Raya Kesas pada 5.11.2000. Peristiwa di Kampung Bok, Kuala Ketil, Kedah pada 10.2.2002, Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang MB Kelantan yang sah dari segi undang-undang dan agama dijadikan sebagai 'binatang' dikepung dan terpaksa dibawa lari oleh pengikut yang setia di tengah malam buta, meredah hutan belukar, semak samun, denai-denai dan anak-anak sungai untuk selamatkan seorang MB yang memerintah sebuah negeri yang berdaulat. Kesalahan Nik Aziz ialah untuk bercakap dan bertemu dengan rakyat, tidak boleh diterima oleh manusia yang beraqal bahawa tindakan Nik Aziz itu mengancam keselamatan Negara dan menggugat kestabilan politik Negara.

Terbaru, pada tahun lepas [2005] bertempat di Masjid Al-Taqwa, Batu 6, Kuala Terengganu, di dalam masjid [rumah Allah], Presiden PAS, Abdul Hadi Awang [bekas MB, bekas MP dan wakil rakyat-bukan pengganas] sedang berucap tentang Islam dihujani dengan tembakan gas pemedih mata. Kesalahan Hadi sama seperti Nik Aziz, hendak bertemu rakyat dan bercakap menyampaikan maklumat dan ilmu. Dari tarikh 1.7.2001 sampai sekarang bahan-bahan yang disebutkan di atas adalah mainan sahaja bagi pihak pembangkang, tetapi tidak untuk pemimpin dan ahli-ahli parti pemerintah [UMNO/BN].

Adalah menjadi amalan demokrasi bahawa pembangkang akan mencari, mencungkil dan mendedahkan segala penyelewengan yang dilakukan oleh parti memerintah kepada rakyat untuk berfikir, begitu juga parti pemerintah juga berhak untuk mempertahankan diri dan menjelaskan kelemahan pembangkang kepada rakyat untuk berfikir. Kaedah ini bukan merupakan satu kesalahan jenayah, ianya patut digalakkan supaya ada system 'check and balance' dalam memerintah Negara. Tindakan menghalang maklumat dari pihak lain untuk disebarkan kepada rakyat adalah satu perbuatan yang amat keji dan zalim. Kerajaan seperti ini tidak akan dapat bertahan lama. Kerajaan komunis yang begitu ketat mengawal rakyat dan penyebaran maklumat, akhirnya tumbang juga.

Adalah diharapkan pihak polis dapat menjalankan penyiasatan yang adil dan saksama. Kita yakin pasukan polis pakar dalam bidang ini kalau tidak ada campur tangan politik. Kita tidak mahu melihat Negara ini diperintah secara kuku besi. Kita hendak melihat Negara ini bebas dan demokratik. Bebas bercakap, bebas berkumpul dan bebas mengeluarkan pendapat di ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang. Mendedahkan kelemahan pembangkang dan kerajaan bukan merupakan kesalahan, apa lagi untuk menggugat keselamatan Negara.

Kerajaan dan pembangkang yang berwibawa dan berintegriti ialah yang berani-hujah lawan hujah serta berlawan di tanah yang sama rata untuk menentukan siapa jantan dan siapa betina. Kita hendak melihat juga Negara ini mempunyai sebuah kerajaan yang bersih dan dipimpin oleh orang-orang yang beramanah. Kita tidak mahu melihat adanya pemimpin yang korup dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Kita hendakkan pemimpin yang takutkan Allah s.w.t., mengambil berat tentang dosa-pahala dan maslahah rakyat, jadikan rakyat sebagai tuan, bukan rakyat dijadikan hamba kepada pemimpin dan pemimpin selama-lamanya menjadi raja. Ini bukan ajaran daripada Nabi s.a.w. Ini adalah ajaran syaitan yang merosakkan agama, bangsa dan Negara.

http://marhaen.kelatedaily.net/index.html
posted by jasindaily online @ 5:56 PM   0 comments
KEJADIAN MENIMPA MAHATHIR AMAT MEMALUKAN - NIK AZIZ
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan pihak tertentu yang menyembur gas pemedih mata terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suatu yang amat memalukan.

"Mereka tidak menghormatinya sebagai negarawan, sebagai Ketua Kerajaan Negeri saya amat kesal kerana beliau diperlakukan sedemikian rupa," tegas beliau.

Sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra jam 11 pagi semalam, sebelum sempat Mahathir berdiri berucap kepada seribu orang yang menyambutnya, beliau disembur dengan gas sehingga menyebabkan beliau terduduk.

Kejadian tersebut dikaitkan dengan dua kumpulan Umno yang berebut hendak menyambut bekas PM itu dalam lawatannya ke Kelantan.

Dalam sidang medianya di sebuah hotel dekat sini, beliau bagaimanapun menyifatkan kejadian tersebut sebagai tindakan 'orang desperado' yang mahu menghalangnya daripada menyatakan kebenaran.

Mengulas lebih lanjut hal tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apabila timbul perebutan terhadap Mahathir, menunjukkan masyarakat sedang menghargai pemikiran beliau selepas 22 tahun memerintah.

Bagaimanapun katanya, pemimpin-pemimpin Umno di Kuala Lumpur sengaja tidak mahu cuba memahami kritikan Mahathir, malah menyifatkan beliau menganggu pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kami melihat fikiran Mahathir sebagai fakta, malangnya orang Umno melihat ianya sebagai kepentingan peribadi," kata beliau.

Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata,"Kami orang-orang PAS terbuka, kami melihat kepada fakta yang diizinkan demokrasi, pertimbangan kita adalah hak yang berasaskan keadilan."

Kata beliau, sebagai bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa, Mahathir seharusnya diberi ruang untuk menyatakan pandangan beliau.

Mengulas mengenai kehadiran di majlis makan malam meraikan Mahathir, anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di sebuah hotel dekat sini Nik Aziz berkata, beliau menghargai Mahathir sebagai kawan lama dalam politik yang banyak jasa kepada negara.

Nik Aziz menegaskan dalam soal Islam pandangan beliau terhadap Mahathir tidak pernah berubah.

"Ini adalah keterbukaan kami, kami tidak menggadaikan prinsip, kami tidak tinggal Islam," tegasnya.

Sementara itu dalam satu majlis berasingan, ketika berucap kepada lebih 3 ribu orang Umno yang menyokong beliau, Mahathir menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan PAS dan menolak sama sekali kerjasama dengan bekas timbalannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mahathir menegaskan, beliau adalah ahli Umno yang komited untuk menyelamatkan negara dan parti itu dari kepimpinan yang penuh dengan kelemahan dan kepincangan.

Tegas beliau, Umno yang diterajui Abdullah kini, tersasar daripada perjuangan asal Umno.
posted by jasindaily online @ 5:53 PM   0 comments
MUSA AMAN LANGGAR ARAHAN ABDULLAH
Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan kemarahannya terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman kerana telah secara terbuka melanggar arahannya mengenai pembinaan rumah kelab atas Pualau Sipadan.

Dato' Seri Musa Aman wajar menjelaskan kepada rakyat Sabah mengapa dia meneruskan juga projek rumah kelab tersebut walaupun PM menyatakan arahan mengenai projek tersebut yang akan memusnahkan kehidupan laut di pulau tersebut.

Musa Aman sepatutnya sedar bahawa Pulau Sipadan ialah kawasan yang sensitif persekitarannya. Di samping itu, Pulau Sipadan merupakan kemegahan rakyat Sabah kerana ia menarik ribuan pelancong ke situ kerana keindahan semulajadinya.

Memusnahkan flora dan fauna di dasar laut Pulau Sipadan juga bermakna memusnahkan tarikan pulau tersebut kepada pelawat asing. Dengan itu, akan mengurangkan pendapatan Sabah daripada pelancong-pelancong serata dunia ke Sabah.

Pada 14 Mei, sebuah tongkang daripada pembinaan telah jatuh atas dasar laut dan meranapkan 372.94 m persegi terumbu karang di bahagian utara pulau tersebut.

Musa pada mulanya telah mengarahkan pembinaan dihentikan tetapi kemudiannya membenarkannya untuk diteruskan, dengan syarat bahan mesra alam digunakan.

Penggunaan bahan binaan yang mesra alam tidak sebenarnya satu jaminan, kerana ia tetap akan merosakkan ekosistem pulau indah tersebut.

Selepas komen Perdana Menteri dilaporkan dalam media, semua pihak berkuasa yang terlibat enggan mengaku kesilapan mereka dan menuduh pihak lain yang bertanggungjawab.

Musa perlu segera menghentikan pembinaan kelab tersebut dan mengambil langkah sewajarnya memulihkan semula keindahan asal Pulau Sipadan
posted by jasindaily online @ 5:51 PM   0 comments
IJAZAH PALSU :KETUA UMNO BERGELAR DATUK TERBABIT
Anda hanya perlu membayar sejumlah tertentu, kemudian tunggu dalam masa beberapa hari atau bulan, anda akan dijemput menghadiri majlis konvokesyen yang melayakkan anda bergelar ''graduan'' lulusan luar negara, sama ada daripada University Of Newcastle, United Kingdom atau Camden University, USA.

Ijazah ekpress ini boleh dimiliki tanpa perlu mengikuti pengajian bertahun-tahun, bersengkang mata dan memerah otak untuk menduduki peperiksaan atau menyiapkan tesis.

Dikatakan segulung Diploma Pengurusan Perniagaan, boleh diperolehi hanya dengan mengisi 'borang pendaftaran' dan disertakan bayaran sebanyak RM8,600.

Agensi yang menawarkan sijil akademik peringkat ijazah dan kedoktoran palsu daripada universiti terbabit dikesan baru-baru ini, beroperasi di Asia City, Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejak bila perkhidmatan haram itu telah beroperasi.

Sindiket berkenaan dipercayai memalsukan sijil akademik luar negara bertaraf Diploma, Sarjana Muda Sastera (BA), Master Of Arts (MA), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) sehinggalah kepada Doktor Falsafah (PhD).

Para 'graduannya' dari pelbagai latar belakang, termasuk beberapa pemimpin politik dan ahli perniagaan negara ini, yang menggunakan perkhidmatan agensi terbabit sebagai jalan mudah bagi 'meningkatkan' pencapaian akademik sekaligus mengangkat status mereka.

Bagi mengabui mata pelbagai pihak, sindiket terbabit akan mengadakan majlis konvokesyen untuk para 'graduannya' di beberapa hotel terkemuka - antaranya di The Palace Of Golden Horses, di ibu negara.

Menariknya majlis konvokesyen itu akan berlangsung sepanjang tahun, setelah bilangan 'graduan' yang mendaftar telah mencapai kira-kira 400-500 orang pada satu-satu masa, dan bukannya seperti kelaziman iaitu selepas penuntut menamatkan sesi pengajian masing-masing.

Ketua Umno Kota Belut dan PKR terlibat

Beberapa pemimpin politik Sabah dikatakan menggunakan perkhidmatan agensi di Asia City itu, antaranya Ketua Umno Bahagian Kota Belut, Datuk Musbah Haji Jamli dan dua Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Japlin Akim dan Adun Tempasuk, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.

Musbah dipercayai memiliki dua ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) palsu daripada Universiti Of Newcastle, yang diperolehinya dengan bayaran RM20 ribu, sementara kedua-dua pembantu kanan ADUN berkenaan dipercayai memiliki sijil Diploma Pengurusan Perniagaan (DBA) palsu.

Musbah adalah penyokong kuat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Negeri Bawah Bayu itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini perbuatan mereka itu berjaya dihidu oleh seorang penulis tempatan, Musli bin Oli.

Dakwanya, pemimpin terbabit telah menerima ijazah masing-masing pada ‘majlis konvokesyen’ di hotel terkemuka di ibu negara beberapa bulan lepas.

Siasatan lanjut yang dibuatnya, termasuk carian di laman web universiti berkenaan, mendapati senarai nama mereka terbabit tiada dalam senarai para graduan.

Menyedari tembelang mereka telah pecah, Musbah dipercayai mengarahkan pihak tertentu melakukan ugutan terhadap penulis terbabit.

Musli kemudiannya menerima beberapa panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang berbentuk ugutan dan ancaman daripada individu yang mendakwa diarah oleh Musbah.

Beliau kemudianya membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Sabah pada 17 Julai lalu.

Ekoran laporan polis berkenaan, pejabat operasi agensi berkenaan di Blok A, Asia City Kota Kinabalu itu, dipercayai ditutup atau dipindahkan, memandangkan papan tanda agensi berkenaan telah diturunkan.

"Bayangkan apa akan berlaku dengan negara ini sekiranya pemimpin sendiri sanggup memalsukan sijil akademik mereka," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Today baru-baru ini.

Lebih-lebih lagi negara kini dibanjiri ribuan siswazah menganggur. Kewujudan pemegang ijazah palsu akan menambah perit siswazah yang benar-benar berkelayakan untuk bersaing meraih pekerjaan di sektor awam mahupun swasta.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bilangan siswazah menganggur telah mencecah 60,000 orang, 70 peratus daripadanya Bumiputera dan 70 peratus keseluruhannya pula wanita.

Seramai 18.6 peratus daripadanya lulusan dalam bidang pentadbiran, perniagaan dan sumber manusia; komputer dan teknologi maklumat (16.3 peratus); kejuruteraan (13.5 peratus) serta sastera dan sains sosial (11.9 peratus).

Secara on-line

Baru-baru ini sebuah akhbar tabloid telah membongkar sindiket pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum daripada beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara.

Dilaporkan dengan membelanjakan antara RM200 hingga RM1,500 melalui internet menggunakan kad kredit atau pemindahan wang ke bank secara online, segulung ijazah boleh dibeli daripada pihak tertentu.

Malah, ijazah itu boleh digunakan untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan majikan lebih tertarik dengan tahap pencapaian calon berbanding mengesahkan keaslian sijil yang dijadikan bukti pencapaian akademik.

Gejala ini didedahkan MVD International Sdn Bhd (MVD International) Kuala Lumpur, syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan bagi pelanggannya yang terdiri daripada syarikat tempatan dan asing.

Menurut Pengarah Urusannya, M Venodevan, daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat MVD International di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

Gejala itu semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang membabitkan semua kaum dengan kira-kira 35 peratus adalah wanita.

Antara faktor penyebabnya kerana persaingan sengit untuk merebut jawatan yang ditawarkan sesebuah syarikat.

Perangkaan itu hanya membabitkan siasatan oleh MVD International untuk pelanggannya yang 60 peratus daripadanya adalah syarikat asing yang beroperasi di negara ini.

Dipercayai jumlah pemalsuan dokumen, khususnya pemalsuan sijil akademik jauh lebih besar daripada apa yang berjaya dikesan oleh syarikat risikan berkenaan.
posted by jasindaily online @ 5:41 PM   0 comments
SIASAT HARTA KHAIRY
Wednesday, July 26, 2006
Di dalam kemelut yang berlaku antara Tun Mahathir & Pak Lah, kita tidak boleh abaikan gelagat kuncu kuncu Pak Lah terutama menantunya Khairy, Kalimullah dll. Pernahkah isu keahlian Khairy sebagai ahli UMNO disiasat sebelum menjadi calon naib ketua pemuda UMNO? Pernahkah ada pihak yang menyarankan supaya harta Khairy disiasat?

Nazri pula mengambil kesempatan untuk mencari populariti dengan cuba hendak menjadi HANG TUAH di zaman moden tanpa
mencerminkan dirinya dahulu !!!!( KLIK DISINI UNTUK SELANJUTNYA ) Menteri menteri yang menjadi PAK TURUT... ibarat kata pepatah SOKONG MEMBAWA REBAH... TERSUNGKUR KE TANAH LARI LINTANG PUKANG!!!

Bagus juga TUN MAHATHIR mengeluarkan komen-komen yang ada kebenaran. Kalau tiada angin, masa kan pokok bergoyang!!!


Persoalan nya sampai bila Pak Lah nak berdiam diri??? Di mana konsep ISLAM HADARI? Saya masih ingat lagi kata pepatah dari Pak Lah yang disiarkan di TV saban hari. "AKU BUKAN CARI HARTA BERKARUN KARUN". Tetapi menantu nya bagaimana??? Sekurang kurang anak anak Tun Mahathir tidak terlibat langsung didalam pentadbiran semasa Tun Mahathir menjadi PM.
posted by jasindaily online @ 6:10 AM   0 comments
IFC DAN PROSES MEMBINATANGKAN UMAT ISLAM

Binatang apa itu? Ikan? Kucing? Kura-kura? Lelabah?

Saya kira, kita sedang memasuki satu fasa kehidupan dunia, di mana kebanyakan manusia di seluruh dunia seakan gembira atau teruja atau seperti melihat sesuatu yang magik dalam memperkatakan atau mengulas atau mempersoal atau cuba mencari sesuatu jalan di dalam agama Islam. Dan saya lihat, agama Islam ini teramatlah istimewa sehingga ianya menjadi subjek khusus yang menarik untuk diperkatakan apa sahaja oleh umat manusia. Seperti mata manusia yang melekat kepada sekuntum bunga, seperti itu agama Islam hari ini. Ia menjadi tumpuan setiap orang sama ada untuk diperbahaskan, di kaji, dirungkai dalam apa jua bentuk disiplin hidup, sama ada dalam bidang sains, matematik, falsafah, kaji bintang, arkiologi, ketuhanan, sejarah, tamadun, pembangunan sains sosial, ilmu politik, ketenteraan, ilmu kematian, dunia selepas kematian, ilmu kebatinan, kimia, petroleum, proses penciptaan makhluk, cuaca, bencana, perubatan, mantik, tasauf, ilmu tafsir, faraid, kira-ukur tanah, sastera, seni dan apa sahaja.

Sehingga setiap inci peristiwa yang diperkatakan hari ini pasti tidak lepas dari dihubungkan dengan urusan Agama Islam. Sama ada sengaja dihubungkan untuk kepentingan peribadi atau tidak. Sebut apa sahaja peristiwa, keganasan, 9/11, tsunami, Iran, Iraq, Syiah, Sunnah, HAMAS, Palestine, Anwar Ibrahim, Islam Hadori, Nordin Mat Top, Mawi, Nuklear, tudung di Peranchis, Tak Bai, Kepulauan Sulu, Syeih Ahmad Yassin, Tebing Barat, minyak...etcetera.. etcetera.. Sesetengah orang melihat seakan-akan agama Islam ini sebagai suatu ancaman. Sesetengah orang pula melihat agama Islam ini tidak lebih sebagai alat untuk perut sendiri. Ada pula yang melihat Islam ini penuh dengan rahsia dan jawapan untuk setiap persoalan. Dan Alhamdulillah, ada pula sesetengah orang itu mendapat hidayah dalam perjalanannya.

Dan seperti juga bunga, kadangkala mata-mata liar ingin cuba merosakkannya. Setidak-tidaknya membencinya atau menghinanya, memetik atau cuba untuk memusnahkannya.

Saya akui yang saya tidak memiliki intelek yang tinggi dalam bidang agama. Keupayaan fikrah saya terhadap disiplin-disiplin ilmu agama Islam amatlah cetek sekali. Hendak dibandingkan antara saya dengan Saudara Nik Aziz Nik Mat ibarat membandingkan di antara serumpun kangkung dan sepohon meranti. Tetapi ini tidak bermakna saya seorang yang pasif. Setiap inci peristiwa yang berlaku ke atas saudara-saudara seagama saya, tetap saya perhatikan. Saya perhalusi dan saya konklusikan. Kemudian saya terjemahkan ianya melalui apa-apa sahaja tindakan yang saya mampu. Jika saya mampu berdemonstrasi, saya demonstrasi, jika saya hanya mampu menulis, saya akan tuliskan sahaja.

Dan yang paling menakutkan, apabila kita berhadapan dengan manusia-manusia yang zahirnya faham benar tentang agama Islam, tetapi tangan-tangan mereka penuh dengan kudis-kudis yang cuba mengotori keluhuran agama Islam itu sendiri. "Mereka ini memang cilaka", kata Rahman Seman.

Orang-orang ini cuba membinatangkan umat Islam. Ya, saya sebut binatang. Apa? Kamu tak tahu eja binatang? Baiklah saya ejakan. B.I.N.A.T.A.N.G.

Kenapa saya tergamak menukilkan tindakan mereka seolah-olah membinatangkan umat Islam? Adakah saya kepingin menjadi seekor beruk? Atau ikan patin? Adakah saya mahu menjadikan blog saya ini sarang maki hamun? Ya, saya ada jawapan untuk semua ini.

Secara zahirnya mereka ini sungguh intelek. Mereka mampu bersyarah selama 2 jam setengah di dalam bahasa Inggeris dan pandai pula mengira duit gaji. Tetapi jika kita fikirkan balik, beruk jika dilatih menaip, lama-lama dia pun pandai juga menaip. IFC adalah menifestasi terhadap tindakan mereka untuk membinatangkan umat Islam. Kebanyakan manusia-manusia yang menganggotai IFC adalah manusia-manusia yang liberal. Apa itu liberal? Ah, pergi jahanam dengan definisi. Mereka-mereka yang liberal ini meletakkan logik mengatasi segala-galanya. Ya, sebagai manusia, kadangkala kita perlu juga memerlukan logik akal untuk menilai sesuatu perkara. Contohnya "Saya lapar. Logik untuk lapar ialah tidak makan" atau "Saya ngantuk. Logik untuk ngantuk adalah kurang tidur".

Tetapi tidak semua perkara yang kita buat di dunia ini harus dilogikkan. Dan di sini hujah saya kenapa orang-orang IFC ini sebenarnya cuba untuk membinatangkan umat Islam walaupun mereka tidak sedari. Mereka cuba melogikkan akidah atas nama Hak Asasi Manusia.

IFC membenarkan semua manusia bebas untuk memilih agama sendiri walaupun ibu bapa mereka Islam. Dan pada saya logik mereka adalah logik yang mudah, agama adalah nonsense. Agama adalah tools, agama adalah subject yang pasif seperti juga perayaan menyambut Tahun Baru atau 31 Ogos. Tanpa agama manusia masih boleh hidup dengan syarat manusia mampu membina piagam undang-undang sendiri. Jadi hujah saya, tanpa agama apa beza manusia dengan binatang?

Islam memagari umatnya dari berkelakuan binatang dengan mengangkat akidah dan kepercayaan kepada Allah di tempat teratas. Mengangkat wanita di tahap yang tinggi. Jika ada yang berhujah, tanpa agama manusia masih mampu mencipta undang-undang, hujah saya pula, binatang juga mampu membina undang-undangnya. Lihat sahaja National Geography. Di rimba, si karnivor adalah pemegang status quo undang-undang. Mereka ada kawasan-kawasan mereka sendiri yang ditandai dengan air kencing. Binatang seperti kuda, seladang atau rusa ada kumpulannya untuk saling berinteraksi dan berjaga-jaga dari dibaham si karnivor. Mereka mesti menjaga hak asasi mereka sendiri untuk melindungi hak-hak sesama kumpulan. Burung-burung melata di udara dan undang-undang bagi burung, mereka tidak digalakkan melata di darat kerana jika mereka melata di darat, mereka dikira mencabul Hak Asasi si zirafah, ayam atau itik yang tidak boleh terbang.

Pada saya, membenarkan agama Islam dibuka adalah satu tindakan meletakkan logik akal semata-mata di peringkat teratas. Alasan hak asasi dan kebebasan beragama tidak mampu untuk menutup kehendak segolongan pihak tertentu dalam usaha menelanjangkan kesucian agama Islam supaya senang diperlakukan oleh semua manusia. Mereka menyerang Islam menggunakan logik.

Saya berasa sangat terjentik apabila mengetahui matlamat IFC ini antaranya anak-anak Muslim tidak wajar ikut menjadi seorang Muslim seperti ibu bapanya. Terlintas di fikiran saya, apa jenis Hak Asasi yang mereka guna? Ya, saya berasa sangat emosi apabila diberitakan akan hal itu. Mereka seolah-olah sedang berusaha sedaya upaya dengan tangan-tangan mereka untuk meroboh dinding akidah Islam melalui perspektif kabur mereka. Dengan kata lain, mereka sedang dalam perjalanan untuk meliberalkan Islam itu sendiri. Mungkin mereka tidak sedari, tapi saya cukup faham akan hal ini melalui pandangan fikrah saya.

Baiklah, saya cuba kaitkan hal-hal majmuk yang sedang kita hadapi hari ini dengan cerita IFC ini. Hari ini rata-rata agama telah pun berjaya diperkosa dan ditelanjangkan. Agama bukan lagi satu manifestasi atau kayu ukur dalam menentukan mana hak, mana bathil, mana haram, mana halal. Dan unsur yang menggantikan agama adalah hak asasi manusia. Disokong pula oleh logik akal semata-mata.

Contohnya begini, jika si Robert berzina dengan seorang gadis, agama (sama ada agama dari Injil, Al-Quran atau Talmud) meletakkan hukum berzina ini adalah sangat hina dan kotor. Berzina adalah perlakuan yang buruk dan keji. Tetapi, jika Robert adalah pemegang mazhab hak asasi manusia yang meletakkan logik akal di peringkat tertinggi, mungkin baginya apa salahnya berzina? Jika Robert dan si gadis itu saling mencintai, hubungan seks sebegitu adalah contoh luahan rasa sayang yang sepatutnya terjadi di kalangan manusia. Kenapa perlu diharamkan? Berzina tidak menyebabkan ekonomi negara runtuh? Berzina tidak menyebabkan jiran Robert mati terkejut. Berzina juga tidak ada kena mengena dengan kebuluran di Sudan. "Jadi apa salahnya saya meluahkan kasih sayang dengan melakukan hubungan seks bersama kekasih saya?", kata Robert.

Dan memang sukar untuk menjawab akan hal ini menggunakan logik akal juga. Tapi bagi mereka yang "celik", di situ letaknya peranan akidah yang ada dalam Islam. Berzina adalah haram walaupun hak asasi manusia tidak menyatakan ianya haram. Bagi logik manusia "Apa salahnya berzina kerana berzina tidak ada kena mengena dengan ekonomi negara". Mungkin begitu. Tetapi pada pendapat saya, peranan akidah di dalam Islam dalam meletakkan sesuatu hukum itu sebenarnya akan membezakan kita, manusia dengan makhluk-makhluk lain. Jika berzina hanya kerana ingin meluahkan rasa cinta dan sayang, jadi apa bezanya kita dengan binatang? Lihatlah si lembu yang beromen di tengah-tengah padang ragut, atau si anjing yang melakukan hubungan kelamin di tepi jalan. Jika kita menarik agama dari memagari kehidupan manusia, akhirnya akan menyebabkan kita tidak ada bezanya dengan binatang. Dan akidah sebenarnya yang mengangkat martabat manusia ini jauh dari binatang. Dan ini yang tidak difahami IFC.

Oh, ya mungkin ada yang bertanya. "Encik Roy, cuba engkau tengok ahli-ahli IFC itu. Mereka-mereka juga penganut macam-macam agama. Jadi tentu sekali mereka memahami agama mereka sebelum mereka menjalankan IFC. Tentu sekali mereka akan berkata bahawa mereka ada akidah dan mereka tentu berbeza dengan binatang". Ya, benar. IFC itu hasil buah fikiran gabungan-gabungan agama-agama Kristian, Buddha, Hindu. Tetapi apa yang mereka atau ketua-ketua mereka lakukan terhadap agama mereka. Lihat agama Kristian (agama Nabi Isa) yang telah lama dibinatangkan sehingga tidak jelas disiplin-disiplin hidup dalam agama mereka. Mana halal? Mana haram? Dalam keadaan tertentu mereka menekankan berzina itu sebagai sesuatu yang haram, tetapi ianya diletakkan dengan maksud yang kabur kerana nafsu dan logik mereka membenarkan zina. Bila sesuatu itu kabur, mudah bagi mereka untuk meletakkan sesuatu perkara dalam keadaan yang boleh dipersoalkan.

Kitab-kitab mereka menekankan bahawa melindungi hak-hak wanita itu adalah wajib tetapi mereka pisahkan akan hal itu dengan kehidupan mereka sehingga kita dapat lihat hari ini hak-hak perempuan-perempuan mereka adalah cuma sehelai coli dan seluar dalam sahaja. Sains fesyen, ujikaji seks dan hiburan berjaya membinatangkan wanita-wanita mereka. Mereka menjadikan wanita-wanita mereka alat dalam melariskan barang, filem atau memuaskan nafsu. Jika agama mereka cuma sekadar di dalam kitab, dan hak-hak wanita mereka cuma sekadar sehelai coli dan seluar dalam sahaja, mana mungkin otak ahli-ahli IFC boleh mengaitkan antara akidah dan kebebasan beragama yang mereka war-warkan.

Jika seorang nyonya parti pembangkang yang rela dirinya dicium di khalayak, apa beza kelakuan nyonya ini dengan kelakuan binatang jantan-betina di zoo yang saling beromatika sambil disaksikan orang-orang yang membuat lawatan sambil belajar.

Dan dalam cerita IFC, mereka melihat pagar akidah umat Islam itu mencabar agama Hak Asasi Manusia mereka. Anak-anak Muslim yang lahir dari keluarga Muslim membuatkan otak mereka semakin serabut. Logik mereka segera bergetar-getar. "Apa salahnya anak-anak ini memilih agama mereka sendiri? Apa bezanya jika anak-anak ini berlainan agama? Perbezaan agama tak akan mengganggu ekonomi negara. Perbezaan agama tidak akan menukar warna kulit seseorang". Itu barangkali hujah mereka. Sebab mereka tidak faham fungsi akidah dalam sendi-sendi kehidupan. Dan mereka juga telah lama menyalah tafsirkan kebebasan berakidah dan bagaimana akidah dalam Islam berjalan.

Islam adalah agama yang bukan sekadar agama. Sebab Islam itu sendiri mengajar pengikutnya tidak meletak logik dan hak asasi manusia mengikut akal semata-mata di tempat teratas. Benar, Islam membenarkan wanita bekerja. Jika ikut logik dalam Hak Asasi Manusia, apa salahnya wanita bekerja tanpa memakai tudung. Apa salahnya wanita bekerja di pusat-pusat hiburan selagi dia tidak dicabul dan hak asasinya di bawah deklarasi hak asasi manusia PBB? Tetapi dalam Islam lain. Islam tidak meletakkan akal mengatasi akidah dan disiplin Syariah. Sebab itu, protokol Islam mewajibkan wanita bekerja menutup aurat. Diharam bekerja di pusat-pusat hiburan. Kerana apa? Kerana dalam Islam wanita itu jauh lebih mulia dari haiwan. Tubuhnya jauh lebih suci dari haiwan. Ruangnya jauh lebih tinggi dari haiwan. Pakaiannya, jauh lebih labuh dah tertutup dari sekadar coli dan seluar dalam. Dan itu sebenarnya protokol dalam Islam yang pada pendapat orang-orang liberal dan sosialis ini, Islam cuba menafikan hak wanita. Menafikan wanita bekerja. Menafikan wanita berfesyen. Nampak? Islam cuba meletakkan wanita jauh lebih mulia dari binatang.

Saya cuma mengulas aspek IFC dari segi anak-anak orang Islam wajar diberikan kebebasan beragama. Aspek-aspek lain jika diulas dan diperhalusi, akan menghasilkan konklusi yang sama bagi saya iaitu pagar-pagar akidah Islam sedang diusahakan untuk dirobohkan supaya tangan-tangan ini mampu melakukan apa sahaja atas dasar hak asasi manusia. Saya ulangi balik penyata saya di atas, usaha IFC ini sebenarnya adalah satu usaha untuk membinatangkan umat Islam walaupun mereka tidak sedari. Dalam Islam, anak-anak yang lahir Muslim wajib didik dengan ilmu-ilmu Islam agar mereka ini terus menjadi Muslim. Kerana apa? Kerana dengan menjadi Muslim, akidah mereka akan memandu mereka ke arah menjadi manusia. Bukan binatang. Dengan akidah mereka dapat bezakan antara arak dan susu. Zina dan kahwin. Mencari rezeki dan mencuri. Mereka dapat ilmu bahawa riba' itu haram. Mendedahkan aurat itu haram. Mencarut itu haram. Meninggalkan solat itu berdosa.

Jika IFC berjaya mengambil alih akidah dalam kehidupan anak-anak ini, pasti mereka akan menjadi bodoh dalam menentukan mana satu susu mana satu arak. Mana satu zina mana satu kahwin. Judi itu haram atau halal. Riba' itu haram atau halal. Solat itu ibadat atau ritual. Kerana apa? Kerana hak asasi tidak pernah berjaya meletakkan akidah sebagai sesuatu yang logik. Logik gagal menerangkan kenapa kita kena berwuduk sebelum sembahyang. Logik gagal menerangkan kenapa berzina itu haram walaupun atas dasar cinta. Logik itu gagal menerangkan kenapa orang Islam wajib sembahyang lima waktu.

Jadi kenapa kita menolak IFC? Kerana IFC meletakkan Hak Asasi Manusia jauh di atas berbanding akidah. Dan Hak Asasi Manusia ini cuma hasil kerja manusia atas dasar logik semata-mata. Menggunakan logik akal, membuatkan kita umat manusia (umat Islam khasnya) tak ubah seperti binatang.

Jangan sampai satu hari nanti jika orang tanya anak-anak kita "Kenapa ekau berzina ni?". Dan dia akan jawab "Kambing Tok saya selamba beromen, takkan saya tak bole?"

Pertahankan akidah kita jika anda yakin anda ada akidah.

posted by jasindaily online @ 6:04 AM   0 comments
ISU KAUM HANYA ALASAN LINDUNGI PIHAK TERTENTU
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (NC UPM) Prof Dr Nik Mustapha Abdullah telah memberi alasan bahawa isu perkauman menjadi sebab kepada kejadian kekecohan di kafeteria Kolej ke 12 UPM, tempoh hari lalu.

Dalam satu sidang media yang diadakan oleh Prof Dr Nik Mustapha Abdullah pada 21 Julai, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Abdul Manaf Ariffin telah berjabat tangan dengan Bendahari MPP UPM, Alex Yong yang juga mahasiswa Aspirasi sebagai gimik keharmonian kaum dipulihkan.

Tindakan tersebut hanya helah bagi melindungi kumpulan mahasiswa yang jelas telah membuat kecoh dan berlagak samseng yang terlibat dalam isu keganasan kampus tersebut.

Isu perkauman bukan punca utama kepada kes keganasan kampus UPM, sebaliknya adalah hasil daripada kekangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang gagal melahirkan generasi muda yang matang dan berfikiran terbuka. Akibat dari pemikiran yang tertutup inilah sebenarnya juga membenihkan sentimen perkauman yang sekian lama disemai di kampus.

Langkah Prof Dr Nik Mustapha Abdullah mengadakan sidang media tersebut nyata memperlihatkan motifnya untuk menutup punca asal berlakunya keganasan kampus UPM. Cubaan Prof Dr Nik Mustapha Abdullah memaparkan kes keganasan kampus ini sebagai pergaduhan sesama kaum Cina dengan Melayu dan diselesaikan dengan gimik ''jabat tangan" yang nyata bersifat luaran, sungguh tidak bertanggungjawab.

Tindakan tersebut bukan sahaja tidak mengembalikan hak mahasiswa untuk berpersatuan, berhimpun dan bersuara, sebaliknya ia telah mewujudkan ketegangan sesama kaum yang seterusnya merosakkan keharmonian dalam kampus.

Dalam perkembangan lain, 23 buah NGO dan parti-parti politik telah berkumpul pagi 25 Julai di hadapan Bangunan Pentadbiran UPM bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar) dan mengadakan dialog terbuka dengannya mengenai berbagai isu yang berlaku di UPM.

Kumpulan tersebut yang telah membuat temujanji lebih awal tetapi hanya dibenarkan menghantar 3 orang wakil tanpa wartawan. Mereka hanya diterima oleh kakitangan biasa UPM kerana Timbalan Naib Canselor (Hal ehwal Pelajar) enggan berjumpa dengan kumpulan tersebut.

Pihak pengurusan UPM perlu berani mendengar pandangan kumpulan sivil dan orang ramai. Institusi Pengajian Tinggi Awam ialah harapan negara jika negara mahu menjadi negara maju. Sikap tidak apa oleh pihak pentadbiran universiti terhadap gelagat samseng ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar hanya akan memburukkan lagi krisis yang dihadapi oleh institusi pengajian tinggi.
posted by jasindaily online @ 6:01 AM   0 comments
SUHAKAM AKAN SIASAT INSIDEN GANAS PERHIMPUNAN PROTES MINYAK NAIK
Keputusan Suhakam untuk mengadakan inkuiri bagi menyiasat dakwaan keganasan dan salahguna kuasa oleh polis dalam meleraikan sekumpulan penunjuk perasaan aman yang memprotes kenaikan minyak dan tarif elektrik, pada 28 Mei 2006. Dalam insiden tersebut, 20 orang telah ditahan; ada di antara mereka yang mengalami kecederaan serius akibat daripada penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pihak polis dalam menyuraikan orang ramai.

Walaupun keputusan agak lewat, namun, ia lebih baik daripada tiada.

Walau bagaimanapun, menurut pesuruhjaya Choo Siew Kioh bahawa jika polis mengambil tindakan, panel inkuiri tidak perlu dimulakan. Kemungkinan Choo merujuk kepada Seksyen 12(2), Akta yang melarang Suruhanjaya tersebut dari membuat inkuiri ke dalam kes yang sudah atau sedang dalam siasatan.

Sehingga hari ini, tiada anggota polis yang telah dikenakan hukuman atas peristiwa berdarah tersebut.

Dalam insiden tersebut, Ketua Polis Negara, Mohd Bakri Omar dengan tegas mempertahankan tindakan anggota polisnya sebagai menggunakan 'minimal force' dan mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka.

Dalam perjumpaan pada awal Jun, Suaram telah keluar meninggalkan bilik perjumpaan bersama Suhakam tanda protes kerana Suhakam enggan mengadakan inkuiri berkaitan insiden Protes Minyak Naik tersebut.

Kini, selepas Suhakam menyatakan keputusan untuk mengadakan inkuiri, Suaram kini bersedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu mengumpulkan maklumat dan bukti, khususnya dalam memberikan nama-nama mereka saksi.
posted by jasindaily online @ 5:57 AM   0 comments
APAKAH MANFAAT KUNJUNGAN BAPA MARINA KE KELANTAN KEPADA PAS?
Tuesday, July 25, 2006
Bekas PM ke - 4 akan memulakan tugas rasminya mengkritik Abdullah Badawi al-Hadhari di Kelantan pada 28 Julai ini selepas pulang dari bercuti selama 20 hari di beberapa buah negara Eropah dengan menaiki kapal kepunyaan (dibayar sepenuhnya) oleh Ananda Krishnan.

Dua majlis akan beliau hadir semasa di Kota Bharu nanti. Pertama ialah majlis dialog dengan veteran Umno dan kedua majlis makan malam. Sebelum itu pada sebelah tengah hari beliau dijangka menunaikan sembahyang Jumaat di Kota Bharu.

Walaupun majlis itu bukan dianjurkan oleh Pas, namun pihak penganjur sangat berharap orang-orang Pas ramai-ramai akan menghadirinya. Sebab itulah Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diundang untuk hadir pada majlis makan malam tersebut. Undangan itu sebenarnya sebagai umpan kepada orang Pas agar hadir pada majlis bekas PM itu, walaupun mereka tahu Nik Aziz jarang untuk makan-makan di hotel.

Penganjur sudah arif, sekiranya Nik Aziz bersedia untuk duduk semeja dengan bekas PM tentu ramai penyokong dan ahli Pas akan datang. Kalau pun tidak untuk mendengar ucapan bekas PM itu, tetapi untuk mengintai-intai majlis berkenaan. Mahu melihat bagaimanakah telatah Nik Aziz duduk semeja dengan bekas PM sambil cakap-cakap dan makan-makan.

Penganjur atau lebih tepat lagi broker bekas PM itu tahu, tanpa orang Pas majlis-majlis itu akan dingin dan kering dengan orang. Kerana sah orang Umno tidak 'dedel' (tolol dan bodoh) untuk datang mendengar kritikan bekas PM kepada Abdullah. Lagi pun kerana sudah ada arahan rasmi daripada pemilik Mercedes WCE 1 (Annuar Musa), yang melarang orang Umno daripada menghadiri apa-apa majlis bekas PM itu di Kelantan.

Tentulah kalau ada mana-mana ketua bahagian, atau ahli jawatankuasa bahagian yang degil, hadir mereka akan disoal jawab. Walaupun kehadiran itu tidak haram, (seperti tersentuh daging babi) tetapi panjanglah ceritanya nanti. Biasanya juga orang Umno kalau mendengar arahan ketuanya, sama dengan ayam takutkan helang.

Tidak dapat dipastikan selain daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, siapa lagi yang menerima kad jemputan makan malam itu? Tetapi tentu broker bekas PM itu menghantar kepada semua kepimpinan utama Pas Kelantan termasuk juga ahli Exco. Semua itu adalah taktik pihak broker saja. Kerana dia tahu, sekiranya Nik Aziz hadir mereka yang lain juga kena hadir. Masakan MB hadir Exco pula tidak hadir. Atau kalau Mursyidul Am atau Pesuruhjaya hadir, masakan Ketua Kawasan atau Naib-Naib Pesuruhjaya tidak hadir pula? Jadi semua akan hadir?

Melainkan kalau Nik Aziz tidak hadir, ia tidak menimbulkan masalah sampingan. Tetapi kalau Nik Aziz hadir ia akan menimbulkan keadaan yang kekok. Ini akan memberi implikasi kepada Pas. Umno sudah tentu akan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku. Nanti riuh-rendahlah dijaja, bahawa Pas Kelantan berpecah dalam isu bekas PM – ada yang menyokong ada yang tidak. Akan bergemalah isu ini nanti dalam DUN Kelantan. Maka sekali lagi akan lenguhlah wakil-wakil Pas untuk menjawab segala itu!

Sebenarnya tidak ada masalah, kalau MB dan pemimpin lain hendak hadir makan malam dengan bekas PM itu. Bagaimanapun, bijak kalau sebelum itu mereka fikir masak-masak apakah manfaatnya dan implikasinya dengan kehadiran itu. Kalau ianya memberi manfaat ok, tetapi kalau ia memberi kesan buruk, elok jangan hadir, atau cari helah lain untuk tidak terjebak dengan masalah itu.

Sebelum mengambil keputusan tepat, Nik Aziz dan juga pemimpin lain kena dengar apa yang sedang bergemercingan dari bawah. Mereka kena tinjauan pendapat ahli dan penyokong bawahan. Jangan kerana hendak berpolitik, maka pandangan di bawah tidak diambil kira. Perlu sedar, orang di bawah adalah penting kerana merekalah yang merupakan agen utama penggerak Pas.

Sekarang ini terdengar dari bawah ramai yang tidak setuju dengan kehadiran bekas PM ke Kelantan. Mereka bukan marah kepada laki Siti Hasmah itu, datang, tetapi tidak mahu orang Pas menginding muka dengan bekas PM. Bekas PM boleh datang berapa kali pun dia suka, tetapi mereka tidak mahu orang Pas menjadi 'kereta privet sapu' kepadanya.

Rata-rata ahli dan penyokong kelas tiga tidak boleh menerima bekas PM itu. Dosa dan juga kecamannya kepada Pas sebelum ini masih menyocok dan menikam kalbu mereka. Mereka bukan berdendam, namun rasa sakit dan senak masih ngilu di hulu hati. Sebenarnya kalau hendak ikutkan hati mereka, bukan saja bekas PM, Ibrahim Ali sendiri pun orang Pas bawahan masih tidak menerimanya. Kalau tidak percaya tanya Ismail Noh, ketua Pas kawasan Pasir Mas?

Dari segi strategi politik, sebenarnya Nik Aziz atau pemimpin Pas tidak payah hadir pada majlis makan malam itu. Kalau tujuan mereka hendak melihat bekas PM itu bergaduh dengan Abdullah Badawi al-Hadhari, apa yang ada hari ini sudah mencukupi. Mereka sudah bergaduh. Kehadiran beberapa orang pemimpin kanan Pas semasa di Melawati dulu sudah mencukupi. Satu segi Pas sudah berjaya meletakkan Mahathir dan Abdullah di dalam 'bon' – tempat perlagaan lembu.

Kita boleh menerima politik itu berubah dari masa ke semasa. Kita juga menerima musuh hari ini adalah kawan esok, begitu sebaliknya. Namun dalam hal bekas PM ini, ia musuh yang tidak boleh bertukar menjadi kawan dalam masa terdekat dan semudah itu. Sifir dan formula politik tidak terpakai kepada semua keadaan.

Tahun 1969 bekas PM itu pernah bersama Pas. Pas pernah memberi tempat dan ruang kepadanya. Apakah yang Pas perolehi daripada itu? Dan apakah kesudahan dengan bekas PM itu kemudiannya? Apabila beliau menjadi PM, selama 22 tahun beliau kutuk Pas, kecam Pas dan tuduh macam-macam. Bekas PM itu sedikit pun tidak pernah mengenang jasa dan budi Pas. Lagaknya bekas PM itu samalah seperti melepaskan anjing tersepit.

Seperti dikatakan, bekas PM itu terlalu banyak dosa kepada Pas. Apa lagi ahli dan penyokong Pas Kelantan yang fanatik kepada parti, sukar untuk menerima bekas PM itu. Bagi orang Kelantan kalau mereka sudah membenci seseorang itu, susah untuk dipulihkan. Seperti mana rakyat Kelantan benci kepada Annuar Musa, buatlah apa pun, bawalah segunung intan dan sebukit emas, orang Kelantan tetap ingat akan kesilapan masa lalu.

Orang Kelantan bukan macam orang lain. Realiti ini perlu disedari oleh pemimpin Pas Kelantan dan juga Nik Aziz serta bakal penggantinya Datuk Husam Musa. Kita bimbang, jika Pas tidak peka dengan naluri dan sifat semula jadi orang Kelantan itu, ia akan memberi padah buruk. Keuntungan yang diharapkan secupak daripada perbalahan bekas PM dengan Abdullah itu akan menghadiahkan seguni kerugian pula kepada Pas.

Sekali lagi dijelaskan, persoalan ini diungkitkan bukan dengki, tetapi berpandukan kepada pengalaman masa lalu. Sejarah dan pola dan sosio politik Kelantan agak unik berbanding dengan negeri lain. Apa yang mungkin diterima di Kuala Lumpur tidak semestinya diakur di Kota Bharu. Kita tidak mahu keunikan itu kelak akan menikam Pas Kelantan dan juga para pemimpinnya.

Seperkara lagi Pas Kelantan juga harus belajar daripada kesilapan lampau yang membawa penyanyi bernama Mawi datang ke Kelantan. Pas Kelantan telah memberi penghormatan tinggi kepada penyanyi itu dengan harapan ia boleh membantu Pas dari segi hiburan. Semua diberikan kepada Mawi termasuk tiket kapal terbang, tempat tinggal dan wang saku.

Kerana kerajaan sendiri bawa Mawi, maka semua orang menyokong Mawi. Orang Pas yang sebelum ini tidak pernah dengar lagu rock, dengar, apabila ianya dinyanyikan oleh Mawi. Memalukan lagi tok-tok iman di kampung yang berjanggut 'seronyeh' (tidak diurus) juga turut menjadi agen mengedar dan menjual vcd Mawi. Tok imam pun terlibat sama. Begitulah kesannya yang berlaku di bawah apabila sesuatu itu dileadkan sendiri oleh kerajaan.

Walhasil, apa jadi dengan Mawi? Malas hendak menyebutnya kerana senak jantung di dada.

Berfikirlah dengan sebaik mungkin apakah tindakan meraikan bekas PM itu memberi manfaat besar atau pun bala’ besar kepada Pas. Kalau ia memberi pahala besar, silalah... tetapi kalau ia memberi bala' besar baik hentikan kerja sia-sia itu. Rentak dan gendang Ibrahim Ali boleh diikuti sesetengah saja, jangan ikut semua sekali!
posted by jasindaily online @ 4:48 AM   0 comments
AZALINA TETAP MAHU BINA PUSAT SUKAN LONDON
Kenyataan khas yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said, bahawa dia tetap akan teruskan pembinaan RM490 juta Pusat Sukan luar London, telah mempamerkan penentangan terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang telah menolak projek tersebut.

Selepas mesyuarat Kabinet, Rabu lepas, apabila ditanya mengenai cadangan RM490 juta Pusat Latihan Sukan di Brickendonbury, Hertfordshire, Abdullah mengumumkan bahawa projek sukan mega tersebut dibatalkan, apabila dia memberitahu bahawa "respon awal" daripada pihak berkuasa British menunjukkan yang mereka tidak akan membenarkan Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) di Brickendonbury luar London diubah menjadi Pusat Sukan Berprestasi Tinggi.

Pihak British tidak akan membenarkan apa-apa sambungan kepada bangunan yang sedia ada kerana mereka mahu melestarikan kawasan tersebut, kata Abdullah.

Bimbang akan pembatalan cadangan pusat sukan tersebut dilihat sebagai muktamad oleh Perdana Menteri, Azalina dan penyokongnya membuat keputusan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa projek tersebut masih diteruskan – walaupun ia akan dilihat seorang Menteri Kabinet memberi tamparan terbuka kepada Perdana Menteri.

Mengapa menyisihkan kenyataan PM mengenai pusat sukan dalam keadaan begitu terdesak, sehingga Azalina tidak boleh bersabar sehingga mesyuarat JK Kabinet mengenai Sukan akan datang pada bulan September untuk mendapat panduan?

Kini, segala kontroversi timbul dan nampak seolah-olah ia tiada kena-mengena dengan usaha meningkatkan mutu sukan negara ke tahap antarabangsa, tetapi lebih kepada permainan kuasa yang kompleks.

Malah, ada yang terfikir sama ada RM490 juta Pusat Sukan Brickendonbury akan menandakan berpecahan dan bantahan Kabinet yang pertama terhadap pimpinan Abdullah.

Akhbar Hertfordshire, Hertfordshire Mercury, menerbitkan sebuah laporan mengenai Pusat Sukan bernilai RM490 juta di Brickendonbury, yang menambahkan kontroversi kepada projek tersebut, dengan tajuk: "Arms deal link with £73 million Leisure centre?", mengenai cadangan kerajaan Malaysia untuk menggunakan perjanjian senjata dengan Britain untuk membeli dua frigates dan lain-lain peralatan ketenteraan sebagai alat untuk memujuk perancang British meluluskan pusat sukan di Kawasan Jalur Hijau di Timur Herts.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Razak akan ditanya dalam Parlimen bulan depan sama ada spekulasi tersebut ada asas, yang akan mengingatkan kembali kes skandal senjata Empangan Pergau pada awal 90-an, di mana kerajaan Malaysia membuat belian senjata British bernilai berbilion ringgit sebagai tukaran kepada bantuan British untuk Empangan Pergau.

Memang wajar bagi Azalina dan pegawai-pegawai sukannya berterus-terang kepada rakyat pembayar cukai mengenai projek gajah putih di London tersebut. Azalina patut mengumumkan kertas cadangan termasuk kos, sama ada jangka pendek atau jangka panjang; bagaimana 'sukan utama' skuash, hoki, badminton, bolasepak, akuatik, olahraga, bowling dan jimnastik akan manfaat; dan mengapa RM490 juta tidak boleh digunakan dengan lebih produktif bagi mencapai mutu sukan untuk jangka panjang dan mengekalkan pencapaian sukan.

Paling penting sekali, berapa banyak yang sudah dibelanjakan dalam kajian 'feasibility' dan lain-lain kajian bagi cadangan pusat sukan tersebut, sama ada benar bahawa perbelanjaan awal sudah mencecah angka jutaan ringgit!
posted by jasindaily online @ 4:38 AM   0 comments
JANGAN IKUT RENTAK BLOG, LAMAN WEB, PESAN PAK LAH
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata media perdana di negara ini tidak perlu bersaing dengan laman web dan blog di Internet dalam mengeluarkan bahan dan berita yang bersifat spekulasi dan sensasi.

Perdana Menteri berkata sebaliknya mereka perlu melaksanakan tanggungjawab berat menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan menyedari keperluan untuk tidak memberitakan apa-apa yang boleh menimbulkan reaksi atau suasana tidak baik.

"Orang akan merujuk juga kepada apa yang diberitakan oleh akhbar-akhbar perdana. Kerana itu, penting akhbar-akhbar ini menjaga peranannya, jangan terikut-ikut nak membawa (berita) sensasi yang ditimbulkan oleh laman web itu dan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Media Massa 2006 bertemakan 'Media dan Cabaran Era Globalisasi', di sini.

Abdullah mengulas lanjut kandungan ucapannya yang banyak berkisar tentang peranan dan pengurusan media dalam konteks memenuhi tanggungjawab sosialnya di negara ini.

Sambil menekankan bahawa media perdana mempunyai pengaruh serta mendapat perhatian ramai, beliau berkata: "Tak payah bersaing (dengan laman-laman web). Nak bersaing buat apa... Jangan buat berita bohong, yang (bersifat) spekulasi berdasarkan maklumat yang tidak betul."

Perdana Menteri menekankan pentingnya media berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu sensitif.

"Fikir sedalam-dalamnya sebelum nak dijadikan berita. Dan jangan disensasikan berita-berita sensitif kerana itu boleh menimbulkan reaksi yang tidak baik," katanya.

Abdullah berkata walaupun negara sudah meningkat maju, namun masyarakat Malaysia masih sensitif berhubung perkara berkaitan agama serta isu kedudukan dan aspirasi kaum.

Kenyataan pihak tertentu yang boleh mengapi-apikan dan membawa kepada keadaan tegang atau menyebabkan pergaduhan tidak perlu diberikan ruang di media, katanya.

Beliau turut ditanya tentang populariti sesetengah laman web dan blog serta pandangan bahawa kredibiliti media perdana kini terjejas kerana tidak melaporkan perkara yang serupa.

"Kita tidak boleh memilih untuk menjadi popular tanpa sebab, atau kita tidak boleh memilih untuk popular bagi suatu sebab yang salah. Kita tidak harus bersaing dengan seseorang yang melakukan sesuatu yang kita patut tahu memang salah. Ia tidak betul, ia tidak wajar," katanya.

Abdullah menegaskan bahawa kebebasan akhbar wujud di negara ini tetapi ia mesti ada hadnya kerana kebebasan yang tidak ada had akan membawa kepada porak-peranda dan menimbulkan kesusahan.

Di samping memahami undang-undang berkaitan media seperti Akta Hasutan, beliau menggesa para pengamal media supaya mengasuh diri untuk berhati-hati apabila berhadapan dengan isu agama, politik dan kaum.

Menjawab satu pertanyaan, Perdana Menteri berkata media perdana sememangnya berhati-hati dalam membuat berita tetapi beliau dapat melihat kecenderungan mensensasikan sesuatu berita seolah-olah ia menjadi satu tekanan kepada mereka untuk berbuat demikian.

"Inilah yang membimbangkan dalam hal ini. Kita nak kebebasan, ketelusan. Itu baik, tetapi hati-hatilah nak menggunakan kebebasan itu. Jangan kerana kebebasan kita tak jadi bebas lagi. Itu yang kita tak mahu," jelas beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdullah berkata media memainkan peranan besar untuk meningkatkan kesedaran rakyat bahawa tanggungjawab menjayakan Misi Nasional yang menjurus kepada Wawasan 2020 tidak hanya terletak di bahu kerajaan kerana ia menjadi tanggungjawab bersama semua warga Malaysia.

Menyentuh soal globalisasi, Perdana Menteri berkata masyarakat negara ini tidak boleh menutup mata atau membina benteng untuk menyekat kemaraan fenomena itu.

Negara dan rakyat perlu bersedia menghadapi kesan globalisasi supaya segala manfaatnya dapat dikecapi oleh semua pihak, katanya.

Persidangan itu dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
posted by jasindaily online @ 4:34 AM   1 comments
MAHATHIR: PATUTKAH PAS TERPENGARUH?
Assalamu'alaikum wm.wrt.,

Kini, krisis Dr. Mahathir Mohamad V Abdullah Ahmad Badawi masuk pusingan ke dua. Pusingan pertama, Mahathir mengkritik, membidas dan mendedahkan kelemahan Abdullah mengurus Negara. Manakala, Abdullah menjawab balik segala tuduhan Mahathir melalui 'barua-barua' politik seperti Nazri Aziz [peon Parlimen-hard core Abdullah], Rafidah Aziz [MITI], Syed Hamid Albar [Menteri Luar], Idris Jusoh [MB Terengganu] dan beberapa menteri kabinet, MB, KM serta beberapa ahli di kalangan MT UMNO sendiri yang turun padang bagi pihak Abdullah.

Pusingan kedua, bermula setelah Mahathir balik bercuti pada hari Ahad, 22.7.2006 lalu. Kick offnya di Kelantan pada 28.7.2006 ini. Mahathir dijangka akan membuat pendedahan yang lebih detail berhubung dengan pendedahan dokumen-dokumen yang dibuat oleh 'tali barut' Abdullah kepada public yang menggambarkan bahawa segala-segalanya adalah kerana mu Mahathir dan Abdullah tidak terbabit langsung khususnya dalam soal pembinaan Jambatan Bengkok.

Bagi para penyokong dan sekutu Mahathir, pendedahan tersebut disifatkan sebagai memutarkan belitkan fakta sebenar. Pada hakikatnya, Abdullah gagal menjawab dengan baik apa yang Mahathir bangkitkan terutama dalam isu penglibatan 3 K dalam urusan ekonomi dan politik Negara ini. Lebih memalukan, apabila Abdullah menafikan penglibatan Khairy Jamaludin sebagai penasihatnya tanpa membawa sebarang bukti yang meyakinkan. Tidak ada manusia [termasuk Abdullah] yang akan membuat pengakuan bahawa dialah membuang najis di tepi jalan yang menjadi laluan orang ramai.

Dalam konteks krisis Mahathir V Abdullah ini, timbul pula pandangan mengatakan biarkan krisis tersebut berlegar-legar di kalangan kabilah UMNO sahaja, pihak lain khususnya parti PAS jangan melibatkan diri [PKR awal-awal lagi menolaknya] kerana ia tidak memberi faedah kepada PAS atas alasan Mahathir banyak berbuat dosa terhadap ahli, pendokong dan parti PAS itu sendiri. Dalilnya, seperti konsert Mawi di Kelantan yang tidak memberi faedah, sebaliknya mencalarkan imej PAS. Jadi, dalam soal ini, ada berbelah-bagi di kalangan ahli-ahli PAS. Ada pihak yang menyokong dan ada pihak yang menentangnya. Perbezaan pandangan dan pendapat digalakkan dalam Islam, tetapi menjadi kemurkaan amat sangat kepada UMNO. UMNO mahukan pendapat satu hala sahaja. Tidak boleh ada perbezaan. Pada pandangan UMNO, Allah s.w.t. menjadikan seluruh manusia itu adalah sama spesis dengan otak [pemikiran] para pemimpin dan ahli-ahli UMNO serta UMNO dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini. Jadi, seluruh umat perlu sujud kepada UMNO.

Anwar Ibrahim sebagai penasihat PKR awal-awal lagi telah memberi amaran kepada PAS supaya menjauhkan diri daripada Mahathir. Beliau juga kesal dengan tindakan beberapa pemimpin kanan PAS menghadiri Majlis Dialog dengan Mahathir di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Hulu Kelang hari Sabtu pada 24.6.2006 lalu. Kita faham, kenapa Anwar mengambil pendekatan sedemikian rupa. Mahathirlah orang yang telah merosakkan sejarah hidupnya. Mahathir telah banyak membuat kezaliman terhadap batang tubuhnya dan kini kes saman beliau terhadap Mahathir sedang menunggu untuk dibicarakan secara terbuka di mahkamah.

Baca pandangan Anwar dan kritikannya terhadap PAS yang mengekori isu-isu yang dibawa oleh Mahathir :
http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_141e3efe-3132372e-fe30af00-ce3811f9
http://www.malaysia-today.net/blog/2006/07/polemik-mahathir-abdullah-anwar.htm
http://www.malaysia-today.net/Blog-e/2006/07/mahathir-has-mismanaged-country-anwar.htm

Selain itu, dua orang penulis secara konsisten menentang karenah Mahathir ini. Mereka ialah Mohd. Sayuti Omar yang mempunyai kolum tetap di Malaysia Today [penulis buku kontroversi 4 Abdul yang menyentuh perebutan kuasa dalam PAS di Kelantan] dan seorang lagi Tun Paduka Tuan sependapat dengan Sayuti, tetapi TPT lebih cenderung sedikit kepada PAS, tidak seperti Sayuti seolah-olah menyokong dan mendaulatkan kepimpinan Abdullah yang bobrok itu.

Dalam erti kata, Sayuti menyokong kepimpinan Abdullah yang mana kebanyakan para pemimpinnya mengamalkan rasuah untuk hidup kaya raya seperti yang ditunjukkan oleh Datuk K- raja bunga, menyalahgunakan kuasa, memerintah secara autokratik, zalim [rujuk kes ISA], tidak ada kebebasan media, rakyat diugut dan diancam untuk terus memberi sokongan kepada UMNO seperti yang berlaku di ITPA-ITPA, pelajar-pelajar diugut dan diancam supaya memberi sokongan kepada kumpulan Aspirasi yang kini bangkit menjadi ketua gangster di ITPA-ITPA di seluruh negara, mengamalkan diskriminasi dalam aktiviti-aktiviti politik dan ekonomi serta merembat harta rakyat sesuka hati tanpa mempedulikan nasib rakyat marhaen yang tertekan dengan peningkatan kos sara hidup. Hilang pertimbangan sebagai sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat. Keuntungan dijadikan perhitungan, bukan lagi kebajikan rakyat. Jadi, pemerintahan Abdullah adalah serupa dengan pemerintahan 22 tahun Mahathir. Bentuk kerajaan seperti ini yang disokong oleh Sayuti dalam penulisannya itu.

Untuk gambaran yang lebih jelas, sila ikuti pandangan mereka berdua melalui ULR ini:

Mohd Sayuti Omar berpendapat:
http://malaysia-today.net/columns/sayuti/2006/07/mahathir-takut-dedahkan-dokumen.htm http://malaysia-today.net/columns/sayuti/2006/07/mahathir-terus-isim-mengkritik.htm http://www.malaysia-today.net/columns/sayuti/index.htm

Tun Paduka Tuan pula :
http://marhaen.kelatedaily.net/mar_a_tunpaduka120.html http://marhaen.kelatedaily.net/mar_a_tunpaduka121.html

Bagi saya, tidak salah bagi PAS untuk mengikuti atau follow-up apa sahaja isu-isu yang dibawa oleh Mahathir dan Abdullah. Kita mesti terbuka. Menerima, menapis dan memberi tindak balas segera terhadap apa-apa isu dibangkitkan yang boleh digunakan untuk kepentingan rakyat dan agama Islam. Tindakan PAS mengeluarkan laporan khas penerangan mengenai Jambatan Bengkok dari perspektif PAS sendiri patut dialu-alukan. PKR sendiri menyokong penubuhan IFC dan juga turut memberi sokongan kepada golongan ini untuk mengadakan road show ke seluruh Negara [di Johor baru-baru ini] untuk menjelaskan kepada rakyat apa pentingnya penubuhan IFC ini.

Peranan PAS sekarang ini ialah memperkemaskan gerak kerja parti. Pemimpin perlu turun padang bertemu rakyat. Kita tidak boleh mengharapkan kekuatan orang lain. Kita mesti berdiri di atas kaki sendiri. Bila-bila masa sahaja kawan seperjuangan kita sekarang ini boleh melarikan diri dari kita. Siapa sangka kumpulan 11 yang diketuai oleh Roslan Kasim boleh meninggalkan perjuangan KeADILan [kini dikenali sebagai PKR] masuk UMNO semula. Sekarang, kemungkinan kehidupan mereka senang lenang atau pun sekurang-kurangnya senang mencari makan kerana ada connection dengan golongan pihak berkuasa, berbanding ketika mereka berjuang dalam KeADILan dulu. PAS perlu ingat, kawan tidak selamanya kekal terutama kepada golongan yang tidak ada ideology tetap perjuangan. Golongan ini senantiasa meneropong peluang-peluang yang ada di hadapan bagi memenuhi impian kehidupan masing-masing

Oleh itu, seluruh pemimpin, ahli dan pendokong PAS jangan takut untuk menghadiri sebarang majlis-majlis yang dihadiri oleh Mahathir, malah kalau dijemput kita juga perlu hadir di program-program yang dianjurkan oleh UMNO untuk 'majlis pok amai-amai' bagi Abdullah. Kita perlu dengan jiwa yang tenang menghazam apa yang diperkatakan oleh Presiden PAS:

http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=2876&Itemid=28 http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=3396&Itemid=28

Akhir kata, gunakan aqal untuk berfikir, jangan guna otak lembu seperti para pemimpin ada ahli-ahli UMNO lakukan sekarang. Mereka hanya sokong kepada orang yang berkuasa yang boleh memberi kekayaan. Sokongan mereka tidak berprinsip. Hidup seperti lalang ditiup angin. Sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Kuasa, kedudukan dan kekayaan menjadi matlamat hidup. Persetankan apa yang akan terjadi terhadap bangsa dan Islam, Negara hendak tergadai, lantaklah, yang penting aku dan anak-menantu aku serta kroni-kroni akan hidup senang lenang, biarkan rakyat marhaen merana. Melayu mudah lupa dan senang diperbodohkan, bila tiba pilihan raya, jenguk ke kampong-kampung, hulurkan duit sekupang dua, beras, gula-kopi, kain pelikat dan apa sahaja yang sepatutnya boleh diberi, undi tetap di dalam tangan. Kemenangan akan tetap dimiliki. Gunakan seluruh institusi kerajaan untuk membuta dan memekakkan rakyat dengan berita-berita UMNO-Gemilang, Cemerlang, Terbilang, tetapi sebenarnya TEMBERANG.

"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA"

"PROTES SAMPAI TURUN"

posted by jasindaily online @ 4:26 AM   0 comments
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com