Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
UBAHSUAI DAPUR RM4.5JUTA: AMK TUNTUT PENJELASAN MB
Wednesday, January 17, 2007
Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan (AMKNS) memberikan tempoh tujuh hari kepada Menteri Besar negeri itu, Mohamad Hasan untuk menjelaskan kedudukan sebenar berhubung laporan Jabatan Audit Negara, bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan RM4.5 juta untuk pengubahsuaian dapur rumah beliau.

"Dengan ini kami memberi masa 7 hari untuk Y.A.B Menteri Besar memberi penjelasan pada rakyat sebelum (kami) mengambil tindakan undang-undang," jelas kenyataan Timbalan Ketua Angkatan Muda Negeri, Ramlan Roes kepada Malaysia Today.

Menurut Ramlan, pihaknya menyifatkan perbelanjaan sebanyak RM4.5 juta hanya untuk pengubahsuaian dapur rumah merupakan satu bentuk penyelewengan wang rakyat.

Dalam pada itu, AMKNS juga menuntut Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan siasatan ke atas Menteri Besar berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara tersebut.

"AMKNS yakin bahawa BPR akan menyambut baik slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia di atas prinsip Islam Hadhari yang diwar-warkan antara lain membasmi rasuah hingga ke akar umbi," jelasnya.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail mendakwa bahawa abang Mohamad Hasan, Datuk Azman Hasan telah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri terutama dalam pembahagian kontrak.

Jelasnya, beliau menerima aduan daripada pegawai kerajaan bahawa Azman telah mengarahkan mereka memberikan projek kepada kontraktor-kontraktor pilihannya.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, berkata beliau telah melaporkan perkara tersebut kepada Menteri Besar, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Sebaliknya, beliau pula dimarahi oleh Azman kerana tindakannya itu.

"Datuk Azman bertindak keterlaluan seolah-olah beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sedangkan jawatannya hanya Setiausaha Umno negeri," dia dipetik berkata demikian.

Sementara itu, Menteri Besar mencabar mana-mana pihak yang mempunyai bukti bahawa abangnya mencampuri urusan kerajaan negeri supaya membuat laporan kepada BPR.
posted by jasindaily online @ 5:18 PM   1 comments
SPR BERPIHAK KEPADA CALON BN MESKIPUN SALAH ISI BORANG
Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Talam, Raub telahpun tamat semalam dan menyaksikan dua pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Meskipun proses itu telahpun tamat, SPR kini dihantui dakwaan berlakunya ketidaktelusan perjalanan penamaan calon di mana Angkatan Muda KeADILan mendedahkan bahawa SPR terbabit dalam membantu memastikan calon BN dapat bertanding.

"Kita dapat maklumat bahawa SPR memberi tunjuk dan panduan kepada calon BN, Abd Aziz, 47, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Raub untuk mengisi borang. Aziz telah didapati salah mengisi borang pencalonan beliau dan mendapat bantahan daripada DAP. Tetapi SPR menolak bantahan tersebut," kata Pemangku AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dalam satu kenyataannya semalam.

Berikutan laporan itu AMK mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid meletak jawatan sejajar dengan 'kelibatnya' yang didapati condong kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi usul tanpa bahas dalam Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda 2005 dan 2006 yang lalu.

Kecewa dengan Pengerusi SPR

"Angkatan Muda juga merasa kecewa dengan kenyataan Rashid baru-baru ini yang sanggup mengatakan bahawa alternatif tidak terlawan kekuatan dan jentera BN.

Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang Pengerusi SPR, katanya.

AMK juga melihat Rashid didapati tidak berani untuk menunaikan apa yang diperkatakan sebelum ini mengenai kewujudan pengundi hantu. Namun, beliau masih juga meneruskan pilihan raya tanpa memberi jaminan yang betul.

Bagi menjawab kenyataan Naib Ketua Umno, Khairy Jamaluddin dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Anwar dan pemimpin pembangkang penakut, kata Khairy” pada 16 Januari lepas, Angkatan Muda masih dalam semangat juang yang tinggi dan memerangi ketidak adilan dalam SPR.

Cabar Khairy berdebat

Dalam kenyataan tersebut, Khairy mempersoalkan dimanakah slogan pembangkang satu masa dulu yang mengatakan lawan tetap lawan, kata Shamsul yang memetik kenyataan Khairy itu.

Sekiranya Umno berpendapat bahawa SPR menjalankan tugas mereka dalam konteks demokrasi, AMK mencabar Khairy dan seluruh barisan Pemuda Umno untuk ‘berlawan’ dalam satu gelanggang yang sama rata.

Untuk itu katanya Umno perlu membenarkan KeADILan dan pembangkang untuk dipapar dalam media, sama ada di televisyen mahupun di radio dan tidak memagari kebebasan media.

Justeru AMK mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka secara langsung dalam televisyen dengan AMK sekiranya benar-benar tohmahan yang mengatakan bahawa SPR ini benar-benar dalam landasan demokrasi.
posted by jasindaily online @ 5:17 PM   0 comments
PENGGABUNGAN FIRMA PERLADANGAN DITERUSKAN
PUTRAJAYA 17 Jan: Rancangan menggabungkan tiga firma perladangan milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) tetap akan diteruskan walaupun hadapi masalah.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah ditanya oleh wartawan mengenai laporan bahawa rancangan Synergy Drive Sdn Bhd menggabungkan tiga firma besar telah menemui masalah, Abdullah berkata: "Keputusan telah dibuat. Ia akan diteruskan."

Ia dilaporkan oleh Business Times, memetik sumber-sumber, bahawa PNB berubah fikiran pula mengenai urusniaga tersebut.

Perjanjian sepatutnya suudah ditandatangani pada Isnin antara Synergy Drive dan Sime Darby Bhd, Kumpulan Guthrie Bhd dan Golden Hope Plantations Bhd bagi memajukan penggabungan selangkah ke hadapan, kini terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Lembaga pengarah Sime dan Guthrie berkata Synergy Drive telah melanjutkan tarikh bagi mereka memasukki perjanjian untuk diserahkan aset mereka kepada Synergy Drive kepada 29 Jan.

Pengarah eksekutif ECM-Avenue Bhd, Hoo See Kheng berkata penggabungan adalah muktamad.

Dia fikir penangguhan mungkin disebabkan isu-isu kecil yang perlu diselesaikan.

"Organisasi-organisasi besar merupakan trend masa kini, jadi penggabungan baik bagi industri dan negara ini," kata Hoo.

PNB enggan memberi komen.

Saham Sime Darby Bhd, Golden Hope Plantations Bhd dan Kumpulan Guthrie Bhd bercampur-campur semalam.

Synergy Drive diwujudkan oleh CIMB Investment Bank, November lepas bagi membeli aset dan liabiliti tiga buah syarikat dan lima anak syarikatnya yang tersenarai.

Apabila bergabung, PNB merupakan pemegang saham terbesar dalam Synergy Drive dengan lebih 45 peratus pemilikan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan memiliki 10 peratus dan selebihnya dipegang oleh pemegang minoriti.
posted by jasindaily online @ 5:15 PM   0 comments
SELEPAS RAZAK, ALTANTUYA DISERAH KEPADA NAJIB?
GEORGETOWN: Heret Datuk Seri Najib Tun Razak ke balai polis, bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Sharibuu, kata Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali.

"Saya tuntut, Keadilan tuntut dan rakyat tuntut supaya Datuk Seri Najib diheret ke balai polis untuk memberi keterangan kepada polis, bagaimana UTK beliau terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dari Mongolia.

"Saya tidak mahu tuduh Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak mahu buat fitnah sebab saya mangsa fitnah, Datuk Seri Anwar Ibrahim mangsa fitnah, saya cuma nak tanya Datuk Seri Najib.


"Sebab daripada orang politik sehinggalah pemandu teksi, semuanya mengaitkan (kes tersebut) dengan Timbalan Perdana Menteri," tegasnya pada ceramah di Batu Maung, dekat sini, Ahad lalu.

"Najib kena jawab, bagaimana 'unit komando' beliau boleh terlibat dalam kes tersebut."

Jelasnya, pengalaman beliau selama 12 tahun dengan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri, memang ada kawalan khas dari UTK di kalangan komando.

"Mereka tidak menerima arahan daripada pegawai lain, melainkan daripada Timbalan Perdana Menteri.

"Apakah UTK ini mendapat arahan daripada ketuanya ?"soal Azmin.

Tambahnya, Altantuya dikatakan berkenalan dengan Razak Baginda, maka kenyataan juga harus diambil, iaitu selepas Razak Baginda siapa ....?

"Saya tidak mahu tuduh, sebab kita tahu selepas Razak Baginda, Altantuya diserahkan kepada orang lain, siapa orang lain tersebut?"

Azmin turut membangkitkan persoalan siapakah pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan yang meluluskan penggunaan 'bom C4' yang di bawah kawalan kementerian terbabit, yang digunakan untuk meletupkan Altantunya bagi memusnahkan bukti dan anak dalam kandungannya.

"Sebab atas prinsip Datuk Seri Najib sebagai Menteri Pertahanan, beliau kena menjawab persoalan ini."

Tambahnya, rakyat juga inginkan jawapan, siapakah yang memberikan arahan kepada Jabatan Imigresen untuk memadamkan rekod perjalanan Altantunya ke negara ini.

Malah, kata Azmin, Najib juga perlu disiasat berhubung pemberian kontrak pembelian kapal selam yang diberikan kepada Razak dengan komisyen berjumlah RM530 juta, seperti yang didedahkan Anwar.

"Bank Dunia mengesahkan dengan Datuk Seri Anwar bahawa ini adalah komisyen tertinggi yang pernah direkodkan dalam dunia,"ujarnya.

Sementara itu, Azmin berkata Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan, pula perlu melaksanakan tugas secara berprinsip dan bertanggungjawab, kerana akhirnya beliau akan berdepan dengan Allah S.W.T.

"Dan Musa Hassan, jangan kamu kecualikan Datuk Seri Najib dan jangan kamu mangsakan pegawai UTK ini.

"Kenapa sehingga sekarang kenyataan bertulis pihak polis daripada Datuk Seri Najib tidak diambil?"

Secara sinis, beliau yakin Musa mempunyai kehebatan luar biasa untuk memperolehi bukti sepertimana beliau menjumpai 'bulu' dalam kes Anwar dulu.

"Wahai Musa Hassan, yang sekarang menjadi Ketua Polis Negara, kamu ada kekuatan dan kebolehan yang luar biasa, (kalau) kamu boleh jumpa bulu, maka kamu boleh jumpa bom..."
posted by jasindaily online @ 5:10 PM   0 comments
CALON BN DI BATU TALAM HADAPI SAMAN
Tuesday, January 16, 2007
Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam pada 28 Januari ini, Abd Aziz Mat Kiram adalah salah seorang dari lima pemimpin kanan Umno Raub yang disaman awal bulan ini.

Pencalonan Abd Aziz, 47, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Raub diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Bahagian Raub, di Bangunan UMNO Raub, di sini malam tadi.

Abd Aziz adalah antara tujuh defenden yang disaman seorang ahli perniagaan Razali Hassan di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Mereka yang disaman ialah syarikat pemaju, Coralfare Sdn Bhd yang beralamat di Petaling Jaya, Selangor; Ketua Umno Bahagian Raub yang juga Exco Kerajaan Pahang, Dato Shahiruddin Ab Moin; Naib Ketua Umno Bahagian Raub, Dato Ir Azinudin Abdul Rahim dan Abd Aziz sendiri.

Turut disaman ialah bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Raub, Hajah Asma Haji Ismail; Setiausaha BN Raub, Ahmad Sabri Haji Zainal Abidin dan Yayasan Raub.

Shahiruddin, Azinudin, Abd Aziz, Asmah dan Ahmad Sabri adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raub.

Ketika memfailkan samannya, Razali menyatakan Yayasan Raub melalui permohonan bertarikh 2 Julai 1996 telah memohon kepada kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Pahang (UPEN) untuk membangunkan sebidang tanah seluas lebih kurang 10 ekar di Pusat Bandar Raub.

Pada 30 Oktober 1996, Yayasan Raub telah memberitahu UPEN bahawa pihaknya menarik balik permohonan tersebut dan mencadangkan Coralfare dinamakan sebagai pemohon mengantikannya.

Plantif mendakwa permohonan untuk memperolehi kesemua 47 hak milik tersebut atas nama Coralfare dibuat secara salah.

Beliau juga mahu satu perintah dikeluarkan bahawa perjanjian yang dimeterai antara Coralfare dan kerajaan Pahang pada 23 Ogos 2004 adalah tidak sah dan terbatal dari awal lagi.
posted by jasindaily online @ 4:48 PM   0 comments
SAMPAIKAH BANTUAN TAMBAHAN KEPADA MANGSA BANJIR??
BATU PAHAT 15 Jan. - Kerajaan hari ini mengumumkan bantuan kewangan tambahan sebanyak RM200 kepada setiap keluarga mangsa yang terjejas akibat gelombang banjir kedua yang kini melanda Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bantuan RM200 itu merupakan tambahan kepada RM200 yang telah diberikan kepada mangsa banjir akibat gelombang banjir pertama, Disember lepas.

Menurut beliau, bayaran tambahan bantuan itu boleh dibuat pada bila-bila masa melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada semua mangsa yang mendaftar dengan pusat pemindahan.

"Saya difahamkan kerajaan telah menyampaikan bantuan RM200 kepada hampir semua keluarga yang terlibat dengan banjir kali pertama Disember lalu.

"Kali ini, mereka yang berpindah sekali lagi atau mereka yang berpindah untuk kali pertama kerana terlibat dengan banjir yang melanda untuk kali kedua akan menerima RM200 untuk setiap keluarga," katanya.

Menurut Najib, sebelum ini kerajaan telah mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga yang terbabit dengan banjir bagi membantu mereka membeli peralatan asas rumah yang rosak akibat bencana itu.

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu (RM500) akan disampaikan bukan sekarang tetapi apabila mereka kembali ke rumah masing-masing.

Banjir yang melanda negara pada masa ini juga, katanya, tidak mewajarkan kerajaan mengisytiharkan darurat.

Tinjauan di kawasan-kawasan yang dilanda banjir mendapati bantuan kewangan yang diberi ternyata tidak mencukupi dengan keperluan bagi keluarga yang besar berbanding keluarga yang kecil. Begitu juga, masih ada mangsa yang belum menerima bantuan terutama yang tidak berada di pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir.
posted by jasindaily online @ 4:47 PM   0 comments
ANWAR TOLAK PENAFIAN DR MAHATHIR MENGENAI KERUGIAN BANK NEGARA
Bank Negara hanya mendapat keuntungan kecil sebanyak RM2.5 bilion sahaja berbanding keuntungan RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menokak penafian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar juga menuntut sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut.

Ketika menafikan kenyataan Anwar sebelumnya, Dr Mahathir berkata, kerugian yang dicatatkan adalah kecil berbanding keuntungan keseluruhannya.

"Memanglah selepas itu kita rugi sedikit tetapi kerugian kita adalah lebih kecil dari keuntungan yang kita perolehi. Kerugiannya tidaklah sampai RM30 bilion seperti yang disebut oleh Anwar. Jumlahnya lebih kecil dari itu, tetapi saya tidak ingat berapa jumlahnya yang sebenar. Tapi memang tidak tidak sampai RM30 bilion".

Dr Mahathir bukan sahaja membayangkan bahawa segala kerugian telah ditebus kembali, malah kerugian itu hanya sedikit sahaja dan hanya sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi sebelumnya.

Ia bermakna, kerugian Bank Negara sebenarnya adalah sebahagian dari keuntungan yang diperolehinya pada peringkat awal.

"Pada waktu yang sama pasaran saham naik sehingga ke tahap 840 mata daripada 262 mata. Ini merupakan permodalan pasaran sekitar RM300 bilion.

"Jadi, ketika kita rugi sedikit di pasaran matawang asing, kita telah untung berlipat kali ganda melalui keuntungan pasaran saham. Ini bermakna memberi sokongan kepada Ringgit dan menentukan satu matawang yang stabil membantu pasaran saham.

"Inilah yang memberi keyakinan kepada pasaran dan membolehkan rakyat Malaysia meraih keuntungan," kata bekas Perdana Menteri kepada Malaysia Today baru-baru ini.

Menolak penafian Dr Mahathir terhadap kenyataannya itu, Anwar berkata, berdasarkan akaun yang diaudit oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing antara 1989 hingga 1993.

"Bank Negara walaubagaimanapun mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion pada tahun 1990. Secara keseluruhan, kerugian tersebut berjumlah RM31.3 bilion, sebagaimana kenyataan saya sebelum ini," katanya.

Anwar juga mendedahkan, sehingga tahun 2003, Bank Negara terpaksa membayar sehingga RM868 juta setahun akibat kerugian tersebut.

Menurut penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcoplah yang melaksanakan transaksi matawang asing sejak 1986 di Bank Negara.

Nor Mohamed pada waktu itu adalah Pembantu Gabenor Bank Negara.

"Tun Daim Zainuddin merupakan Menteri Kewangan pada waktu itu. Tambahan lagi, menurut Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein, Nor Mohamed Yakcop telah menyembunyikan kerugian sebenar dari beliau.

"Di atas nasihat Nor Mohamed Yakcop, Gabenor Bank Negara telah menghantar laporan awal kepada saya yang kemudian dibentangkan di Kabinet dan Parlimen yang mana kerugian tersebut disifatkan sebagai 'kerugian di atas kertas' kesan pergerakan kadar pertukaran matawang dan dapat ditebus kembali.

"Ini kemudian terbukti silap dan kerugian yang dicatat adalah amat besar. Gabenor Bank Negara mengambil tanggungjawab kerana memberi maklumat yang salah kepada Perbendaharaan walaupun beliau tetap bertegas bahawa Nor Mohamed Yaakcop yang bertanggungjawab. Saya menerima perletakan jawatannya dan menerusinya, mengarahkan Nor Mohamed Yaakcop turut berbuat demikian," Anwar menjelaskan.

Berikutan skandal tersebut, katanya lagi, Nor Mohamed boleh didakwa di mahkamah sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan dan ditetapkan agar tidak boleh memegang apa-apa jawatan di dalam industri kewangan.

"Nor Mohamed Yakcop kemudian dibawa kembali oleh Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat ekonomi. Perdana Menteri hari ini telah pergi lebih jauh lagi dan melantik Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua.

"Memandangkan kerugian kepada kerajaan, dan secara tidak langsung rakyat Malaysia, sebuah suruhanjaya bebas seharusnya dilantik untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut," kata Anwar.
posted by jasindaily online @ 4:44 PM   0 comments
COBRA KING RM30 JUTA : HADIAH KEPADA PAK LAH
Selepas dikaitkan dengan skandal rasuah anak menantu, dan foto mesranya bersama bekas heroin James Bond, Michelle Yeoh, imej Pengerusi Persidangan Negara Islam (OIC) Abdullah Ahmad Badawi semakin tercalar.

Kini, dilaporkan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, kesal dengan tindakan Abdullah menerima 'hadiah' Cobra King daripada tokoh perniagaan ke-6 terkaya di Asia, Ananda Krishnan yang turut terbabit dalam bidang perjudian.

Menurut sumber tertinggi Keadilan, Ananda telah menghadiahkan kapal mewah bernilai RM30 juta tersebut kepada Abdullah.

Jelas sumber tersebut, pengesahan itu dibuat oleh Erdogan kepada Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Selaku Pengerusi OIC, Abdullah, kata Erdogan tidak sepatutnya menerima ‘hadiah’ daripada Ananda.

"Tindakan Abdullah itu mencemarkan imej beliau sebagai Pengerusi OIC," jelasnya dalam pertemuan dengan Malaysia Today.

Tambahnya laporan muka depan akhbar Turki, Hurriyet yang mendedahkan kapal tersebut milik Abdullah memang tepat dan berasas.

Menurut beliau, Abdullah memang telah melawat kapal yang sedang dibina itu bersama-sama Ananda di Bodrum, Turki.

Abdullah sebelum ini dilaporkan menafikan kapal tersebut miliknya dan juga menafikan melawat kapal berkenaan.

Beliau juga dikatakan akan meminta Hurriyet menarik balik laporan tersebut yang disifatkannya berbohong.

Bagaimanapun, sehingga kini akhbar berkenaan tidak membuat sebarang pembetulan atau menarik balik berita berkenaan.

Sebelum ini, Malaysia Today memetik laporan laman web penyokong Abdullah, yang menuduh Dr Mahathir sebagai pemilik sebenar Cobra King.

Bagaimanapun kemudiannya, bekas Perdana Menteri itu, melalui jurucakapnya telah menafikan berita berkenaan.

Anwar pernah membangkitkan persoalan, kalau Cobra King bukan milik Abdullah, siapa pemilik sebenarnya?
posted by jasindaily online @ 4:40 PM   0 comments
PAS TIDAK TAJA CALON BEBAS, AWASI SABOTAJ BN
Monday, January 15, 2007
PAS sama sekali tidak menaja sebarang calon bebas untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Raub pada penamaan calon 16 Januari ini (esok) tegas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

"Mana-mana pihak yang berarak dengan membawa bendera PAS atau lambang PAS, atau mendakwa dirinya ahli PAS adalah sabotaj dari pihak lawan," tegas beliau.

Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian Adun Barisan Nasional (BN) Dato' Tengku Paris Tengku Razlan, 65, pada 27 Disember lalu.

Ustaz Nasharudin berkata, apabila pucuk pimpinan PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) memutuskan untuk memboikot PRK Kecil Batu Talam yang dijadualkan berlangsung pengundian 28 Jan ini, maka tiada sebab pembangkang hendak menaja calon bebas.

Sejak beberapa hari lalu, media massa milik BN mengembar gemburkan berita kononnya pembangkang hendak menaja calon bebas untuk menentang calon BN.

Kebimbangan tersebut dizahirkan dengan kerahan besar-besaran jentera BN seluruh negara untuk memulakan kempen di Raub sejak dua minggu lepas.

Penganalisis politik berpendapat, bagi kawasan sekecil Batu Talam yang mempunyai pengundi sekitar 10 ribu, SPR tidak wajar memanjangkan tempoh kempen sehingga 12 hari.

"Sejak beberapa tahun lepas, pilihan raya umum dan pilihan raya kecil SPR hanya memperuntukkan 10 atau tujuh hari sahaja, jelas di Batu Talam mereka tidak yakin," kata seorang penganalisis politik.

Tambahan pula bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat rakyat semakin tidak gembira dengan kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mereka akan menterjemahkannya dalam bentuk undi untuk menolak BN.

Sesetengah pihak dalam BN menjangkakan parti itu akan memenangi kerusi Dun Batu Talam, namun mengakui mereka sukar mengekalkan majoriti.

Bagaimanapun PAS dan KeADILan tetap memboikot PRK Batu Talam dan mendesak sistem pilihan raya dirombak bagi memastikan ketelusan dan keadilan untuk semua parti yang bertanding.

Antara faktor yang mendorong pemboikotan antaranya, adalah:

-Daftar Pemilih yang tidak tepat dan diragui.
-Pengundi Pos yang sering disalahgunakan bagi kepentingan kerajaan BN.
-Proses penjalanan pilihanraya yang tidak telus, prejudis dan bersifat berat-sebelah.
-Sikap dan pendirian Pengerusi SPR yang tidak konsisten dan memihak kepada kerajaan BN.
-Tindakan SPR dalam pengendalian persempadanan yang tidak mengikut semangat dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat tidak adil.
-Sikap SPR yang rela diperkudakan oleh parti pemerintah sehingga menjejaskan maruah dan wibawa SPR sebagai Suruhanjaya bebas yang seharusnya memelihara proses pilihanraya.

Ketegasan PAS dan Keadilan memboikot pilihan raya di Batu Talam mengejutkan banyak pihak.
posted by jasindaily online @ 5:05 PM   0 comments
PIHAK TERTENTU MUNGKIN TAJA CALOB BEBAS, TUDUH PAS
PAS mengulangi penegasan tidak akan menaja, menyokong atau merestui calon bebas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam dan mengingatkan rakyat tentang kemungkinan pihak tertentu menaja calon bebas di dalam pilihan raya itu dan menuduh PAS melakukannya.

Malah, pada sebelah malam Isnin 15 Januari ini, PAS akan melancarkan kempen mobilisasi rakyat memboikot pilihanraya berkenaan serta menuntut proses pilihanraya yang bersih, telus, adil dan saksama, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar.

"Pelancaran kempen mobilisasi itu akan diadakan di Batu Talam sendiri dan oleh itu PAS mengulangi penegasan menolak sebarang kemungkinan akan menyokong, merestui jauh lagi menaja calon bebas di dalam pilihanraya kecil itu," jelas beliau.

Selepas itu, katanya, kempen itu akan diadakan ke seluruh negara dan gerakan menuntut pilihanraya yang bersih, telus, adil dan saksama akan digerakkan sehinga tuntutan-tuntutan yang dikemukakan tercapai.

"Walaupun kita yakin tidak berlaku, tetapi jika didapati ada mana-mana individu yang mempunyai keahlian di dalam PAS menjadi calon bebas dalam pilihanraya kecil Batu Talam itu, beliau akan dipecat dari PAS," tegas beliau.

Mahfuz mengingatkan mana-mana pihak yang hendak menaja calon bebas di dalam pilihanraya kecil itu dan kemudiannya menuduh PAS yang melakukan perkara itu supaya melupakan politik lekeh dan murahan mereka.

Beliau juga menyatakan rasa hairannya dengan para pemimpin Umno yang kelihatan "sewel" kerana jelas begitu marah terhadap keengganan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai pilihanraya kecil itu.

"Para pemimpin Umno semakin hari semakin ganjil dan kelihatan sewel. Sepatutnya mereka suka kerana PAS dan PKR memberi laluan percuma pepada mereka atas apa alasan sekalipun.

"Sepatutnya mereka gembira dan tidak marah-marah kerana kita tidak mahu lawan mereka. Rupa-rupanya ada juga di dalam dunia ini orang yang marah kerana kita tidak mahu cabar dan lawan mereka. Mungkin ini satu lagi rekod hebat Umno," kata Mahfuz.
posted by jasindaily online @ 5:02 PM   0 comments
JANGAN SALAHKAN RAKYAT JIKA PILIH JALAN RAYA: DR BADRUL
PERMATANG PAUH: Jangan salahkan rakyat, sekiranya mereka memilih 'cara jalan raya' setelah hilang keyakinan kepada sistem pilihan raya negara ini.

Tindakan pembangkang memboikot pilihan raya kecil Batu Talam adalah manifestasi tanda bukti bahawa rakyat telah hilang keyakinan dengan sistem demokarasi, sistem pilihan raya di negara ini, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Keadilan (MPT) Dr Badrul Amin Baharom.

"Apa maknanya jika rakyat tidak percaya kepada sistem demokrasi, kalau rakyat tolak demokrasi, rakyat tolak pilihan raya, jangan kita terperanjat kalau rakyat akan pilih jalan raya.

"Kita nak bagi tahu mereka, bila rakyat hilang percaya kepada sistem pilihan raya, pada sistem demokrasi, jangan salahkan rakyat apabila rakyat memilih jalan raya untuk meroboh barisan BN," tegasnya pada ceramah umum di Dewan Yayasan Aman dekat sini, malam tadi.

Keengganan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), membetulkan sistem yang diguna pakai termasuk membersihkan daftar pemilih, biarpun pembangkang telah membuktikan wujud nama pengundi hantu, disifatkannya sebagai satu bentuk provokasi politik.

"Jangan provok hak demokrasi rakyat.....mereka kata kita takut kalah," ujarnya.

"Ingat kita ni haprak sangat, dia ingat kita ni bangsat sangat, kita ada maruah. Saya tidak takut kalah, saya katakan saya telah belajar kalah, tapi saya tidak redha ditipu bulat-bulat," tegasnya.

Dalam kes Batu Talam, jelasnya BN akan berusaha untuk mengadakan ‘pilihan raya olok-olok,’ bagi membuktikan demokrasi masih subur, lebih-lebih lagi, jelasnya peruntukan jutaan ringgit telah tersedia untuk diagihkan sesama mereka.

Sekiranya SPR tidak membetulkan segala bentuk kepincangan dalam sistem pilihan raya negara ini, beliau yakin pembangkang akan memboikot pilihan raya umum depan.
posted by jasindaily online @ 5:00 PM   0 comments
MAHASISWA MENANG SELEPAS DIGANTUNG UUM
Seorang mahasiswa bernama Mohd Rizal Mohamad @ Anan telah berjaya membuktikan kepada seluruh mahasiswa Malaysia bahawa kebebasan sememangnya sesuatu yang sewajarnya dimiliki oleh setiap masyarakat termasuk mahasiswa.

Mohd Rizal Mohamad@Anan, seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia telah digantung selepas mendapati Rizal memalukan universiti kerana bertanyakan suatu soalan kepada ahli panel dalam forum terbuka di kampus UUM pada 11 Februari 2000.

Baru-baru ini mahkamah tinggi Alor Star bersetuju untuk menerima pampasan RM 70 ribu dari UUM walaupun terpaksa menunggu sehingga lebih 6 tahun untuk membuktikan hak bersuara yang telah terjamin dalam perkara 10 perlembagaan negara.

Nilai RM 70 ribu yang diterima oleh saudara Rizal bukanlah harga sebenar mempertahankan kebebasan yang diperjuangkannya, namun ia patut menjadi simbol kepada berani kerana benar dan kebebasan siswa untuk bersuara mesti dipertahankan.

Keputusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengalah seharusnya dijadikan pengajaran kepada pengendali universiti-universiti lain yang merelakan diri menjadi alat penghalang kebebasan dengan mengugut mahasiswa-mahasiswa dengan undang-undang dan Aku Janji.

Perkara tersebut seharusnya dijadikan panduan kepada institusi pengajian tinggi awam yang lain, agar menghormati kebebasan bersuara bukan bertindak melulu mengikut telunjuk tuan politik masing-masing.
posted by jasindaily online @ 4:55 PM   0 comments
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com