Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
ANWAR TOLAK PENAFIAN DR MAHATHIR MENGENAI KERUGIAN BANK NEGARA
Tuesday, January 16, 2007
Bank Negara hanya mendapat keuntungan kecil sebanyak RM2.5 bilion sahaja berbanding keuntungan RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menokak penafian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar juga menuntut sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut.

Ketika menafikan kenyataan Anwar sebelumnya, Dr Mahathir berkata, kerugian yang dicatatkan adalah kecil berbanding keuntungan keseluruhannya.

"Memanglah selepas itu kita rugi sedikit tetapi kerugian kita adalah lebih kecil dari keuntungan yang kita perolehi. Kerugiannya tidaklah sampai RM30 bilion seperti yang disebut oleh Anwar. Jumlahnya lebih kecil dari itu, tetapi saya tidak ingat berapa jumlahnya yang sebenar. Tapi memang tidak tidak sampai RM30 bilion".

Dr Mahathir bukan sahaja membayangkan bahawa segala kerugian telah ditebus kembali, malah kerugian itu hanya sedikit sahaja dan hanya sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi sebelumnya.

Ia bermakna, kerugian Bank Negara sebenarnya adalah sebahagian dari keuntungan yang diperolehinya pada peringkat awal.

"Pada waktu yang sama pasaran saham naik sehingga ke tahap 840 mata daripada 262 mata. Ini merupakan permodalan pasaran sekitar RM300 bilion.

"Jadi, ketika kita rugi sedikit di pasaran matawang asing, kita telah untung berlipat kali ganda melalui keuntungan pasaran saham. Ini bermakna memberi sokongan kepada Ringgit dan menentukan satu matawang yang stabil membantu pasaran saham.

"Inilah yang memberi keyakinan kepada pasaran dan membolehkan rakyat Malaysia meraih keuntungan," kata bekas Perdana Menteri kepada Malaysia Today baru-baru ini.

Menolak penafian Dr Mahathir terhadap kenyataannya itu, Anwar berkata, berdasarkan akaun yang diaudit oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing antara 1989 hingga 1993.

"Bank Negara walaubagaimanapun mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion pada tahun 1990. Secara keseluruhan, kerugian tersebut berjumlah RM31.3 bilion, sebagaimana kenyataan saya sebelum ini," katanya.

Anwar juga mendedahkan, sehingga tahun 2003, Bank Negara terpaksa membayar sehingga RM868 juta setahun akibat kerugian tersebut.

Menurut penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcoplah yang melaksanakan transaksi matawang asing sejak 1986 di Bank Negara.

Nor Mohamed pada waktu itu adalah Pembantu Gabenor Bank Negara.

"Tun Daim Zainuddin merupakan Menteri Kewangan pada waktu itu. Tambahan lagi, menurut Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein, Nor Mohamed Yakcop telah menyembunyikan kerugian sebenar dari beliau.

"Di atas nasihat Nor Mohamed Yakcop, Gabenor Bank Negara telah menghantar laporan awal kepada saya yang kemudian dibentangkan di Kabinet dan Parlimen yang mana kerugian tersebut disifatkan sebagai 'kerugian di atas kertas' kesan pergerakan kadar pertukaran matawang dan dapat ditebus kembali.

"Ini kemudian terbukti silap dan kerugian yang dicatat adalah amat besar. Gabenor Bank Negara mengambil tanggungjawab kerana memberi maklumat yang salah kepada Perbendaharaan walaupun beliau tetap bertegas bahawa Nor Mohamed Yaakcop yang bertanggungjawab. Saya menerima perletakan jawatannya dan menerusinya, mengarahkan Nor Mohamed Yaakcop turut berbuat demikian," Anwar menjelaskan.

Berikutan skandal tersebut, katanya lagi, Nor Mohamed boleh didakwa di mahkamah sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan dan ditetapkan agar tidak boleh memegang apa-apa jawatan di dalam industri kewangan.

"Nor Mohamed Yakcop kemudian dibawa kembali oleh Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat ekonomi. Perdana Menteri hari ini telah pergi lebih jauh lagi dan melantik Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua.

"Memandangkan kerugian kepada kerajaan, dan secara tidak langsung rakyat Malaysia, sebuah suruhanjaya bebas seharusnya dilantik untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut," kata Anwar.
posted by jasindaily online @ 4:44 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com