DEMI MASA |
|
|
EKONOMI PAK BELALANG |
Thursday, December 07, 2006 |
SEJAK dua dekad lalu, ketika ekonomi Asia dikatakan sebagai "miracle". Malaysia berada dalam posisi yang memberi saingan sengit kepada kebanyakan negara yang kini menjadi antara kuasa ekonomi Asia. Pertumbuhan ekonomi, pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment: FDI) dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat dengan ketara sekali. Namun, kini keadaan sangat menyecewakan apabila di rantau Asia Tenggara sekalipun, kita semakin terkebelakang dalam beberapa bidang, fundamental ekonomi terus rapuh dan Malaysia tidak lagi menjadi destinasi utama FDI.
Adalah sukar dalam tempoh terdekat ini ekonomi negara boleh kembali subur sepertimana keadaannya sebelum krisis lapan tahun lalu, iaitu pada masa Malaysia adalah antara sepuluh negara-negara di dunia yang paling memikat pelaburan asing, terutama kerana pihak pelabur asing semakin menjauhkan diri apabila melihat indeks persepsi rasuah telah menjulang Malaysia daripada tangga 139 tahun lalu ke tangga 144 tahun ini. Secara langsung ia memberi gambaran yang negatif bahawa keadaan perniagaan di Malaysia mempunyai risiko yang tinggi dan juga kerana dasar-dasar yang tak menentu. Sekarang, Malaysia terletak ke lebih 60 sebagai destinasi modal asing.
Namun projek ekonomi terus diwarnai dan kekal sebagai "projek politik," termasuklah projek mega utama seperti projek Pembangunan Wilayah Johor Selatan atau Southern Johor Economic Region (SJER) yang diharap menarik pelaburan lebih RM40 bilion, Jambatan ke-2 Pulau Pinang dengan inisiatif perbelanjaan swasta sebanyak RM2.7 bilion dan beberapa projek besar-besaran yang lain. UMNO juga telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk diagih-agihkan kepada kesemua bahagian-bahagian parti itu dan mendesak supaya dana ini dibelanjakan dalam masa 90 hari. Ini keistimewaan kerajaan 'Pak Belalang', yang mampu dengan sekelip mata, mereka-reka projek-projek politik.
Semua projek itu, yang secara realitinya belum berjalan sedepa, tetapi sudah menjadi kempen pilihan raya besar-besaran. Golongan elit atau 'bangsawan' kini sudah mula mengasah keris. Jangan sekali-kali sesiapa pun berani mencampuri pengurusan projek-projek ini, maka akan mereka amuk....Parlimen sekali pun jangan persoal peruntukan ini. Mereka sanggup menipu di Parlimen dengan menafikan adanya dana ini walau pun telah diketahui pengumuman yang dibuat oleh Abdullah di perjumpaan dengan wakil-wakil UMNO sebelum perhimpunan agung parti itu yang lalu.
Projek ekonomi sebagai umpan politik akan hanya menjadikan pembangunan ekonomi menjadi tidak mapan. Ianya umpaya maju setapak mengundur beberapa tapak. Ia juga merupakan lubang besar untuk berlakunya ketirisan apabila pemimpin dan elit BN mulai sekali lagi melihatnya sebagai peluang baru untuk mereka memunggah kekayaan. Kejayaan sesuatu projek itu bukanlah dalam perkiraan mereka, bahkan apakah projek itu benar-benar memberi manfaat kepada negara dan rakyat juga bukan persoalannya.
Dalam pada itu, kita bertanya, apa sudah jadi dengan projek hidro Bakun di Sarawak, hutan habis, elektrik belum ada. Begitu juga apa jadi dengan projek perkampungan perfileman E-Village di Serdang, Selangor, yang kini jadi padang jarak padang tekukur? Dan yang tidak kurang mengecewakan juga ialah projek Cyberjaya yang menelan berbilion ringgit, tetapi hasilnya tidak ubah seperti hanya setaraf pekan koboi yang gersang dan kontang.
Masyarakat ICT antarabangsa hari ini mulai membandingkan Cyberjaya dengan konsep pembangunan yang sama di Bangalore, India. Wilayah di India itu yang dibangunkan dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding Cyberjaya kini menjadi antara yang paling menarik dan maju di dunia.
Dengan banyaknya projek demi projek yang gagal, apakah kita mampu berharap "projek ekonomi-politik" ala BN boleh sukses? Projek sebesar SJER atau yang kemudiannya ditukar nama menjadi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) misalnya bukanlah projek membungkus kerepek di belakang rumah. Ia melibatkan perancangan, pembangunan dan keseluruhan kos dan pakej pemasaran yang besar.
Kerana nama yang asyik bertukar, selain menimbulkan kekeliruan, yang tersirat ialah, Abdullah hanya berharap pengumumannya akan menjadi mantra baru ekonomi. Malangnya pelaburan asing tidak akan berlumba-lumba masuk berpusu-pusu hanya dengan majlis pengumuman yang gilang-gemilang. Hari ini para pelabur akan melihat bagaimana idea model wajah baru Johor Bahru itu apabila siap sepuluh tahun kelak, setaraf Hong Kong yang hari ini? Kerajaan cuba menyamakan WPI dengan Hong Kong, namun, ia bukan Hong Kong 5-10 tahun akan datang, tetapi Hong Kong hari ini. Maka hakikatnya kita akan terus masih ketinggalan dalam saingan.
Ringkasnya, apa maknanya membangunkan kota masa depan di negara ini tetapi kota masa depan itu di negara lain sudah wujud hari ini? Ini bukan persaingan namanya, tetapi konsep ‘Malaysia Boleh’! Riuhnya bukan main. Satu kampung tersentak dan melatah buatnya.
Untuk mengelak kekeliruan maka perlu ditegaskan, yang ditentang oleh Parti Keadilan Rakyat (keADILan) sejak awal ialah kemelut dan sampah sarap cuba disorokkan. Mata rakyat dikelabukan. Pemikiran rakyat dikelirukan. Keadilan tidak pernah menentang pembangunan dan projek untuk rakyat, tetapi cita-cita kemakmuran tidak akan tercapai selagi niat-niat pemimpin yang duduk di kerusi kekuasaan itu dan orang yang melaungkan "agenda Melayu," dalam masa yang sama mereka ini jugalah yang hanya menganggap bahawa ini satu lagi kesempatan meninjau peluang cara untuk merompak kekayaan negara. Parti-parti komponan yang lain tidak ketinggalan. Bisikan-bisikan pengagihan sedang berjalan lancar. Ya, konsep Pak Belalang diguna pakai… satu untuk kamu, dua, tiga untuk aku!
Memang terduga sejak awal, politik kaum akan dilaungkan terus menerus oleh pemimpin yang bacul. Ugutan dibuat supaya perbuatan mereka tidak ditentang. Lihat bagaimana pahlawan "ultra-Melayu" yang bercakap tentang "negara bangsa" dengan kononnya mengangkat idea Dato' Onn Jaafar. Memang jelas negara sedang berada di dalam krisis kepimpinan yang parah sekali, terutama apabila elit BN itu lupa persoalan asas, iaitu tidak ada bangsa di dunia yang menjadi besar dan agung daripada laungan sentimen dan menyalakan api perkauman.
Mereka lupa atau tidak pernah mengerti bahawa sesuatu bangsa itu akan menjadi besar dan terhormat apabila ia dapat mempertahankan idealisme, pemimpinnya berani bercakap benar, berpegang kepada prinsip perjuangan dan prinsip keadilan. Apa pun, kepedulian kepada amanah yang diberikan tidak wujud sama sekali.
Kisahnya konon di Bringin Rendang Dari hal tok nujum yang dah terbilang Telek menelek semua temberang Ahli nujum Pak Belalang.
Nampaknya strategi "membeli masa" ("buying time") dan bersilat cara lama seperti ala Pak Belalang untuk mempertahankan kuasa politik BN bukan hanya tidak akan menjadikan rakyat kita bebas, tetapi perjuangan perkauman yang melampau ini nyata sedang memamah dan membakar diri penguasa itu sendiri. Projek-projek besar yang diramal dan dilaungkan untuk kemajuan ekonomi rakyat hanyalah sebagai fatamorgana (mirage) sahaja. Kalau rakyat masih tidak peka dan bertindak kali ini, Pak Belalang akan bermaharajagila menjadikan wilayah dan negara ini tergadai.
Kamarul Baharin Abbas (sumber dari m@rhaendaily )
|
posted by jasindaily online @ 8:45 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|