DEMI MASA |
|
|
PERJUANGAN UMNO UNTUK MELAYU UMNO, BUKAN UNTUK MELAYU |
Monday, November 20, 2006 |
KUALA LUMPUR: 16 Nov 2006 - Di antara kandungan ucapan-ucapan para pemimpin Umno berisi ugutan, amaran, ancaman dan kutukan.....untuk menutup mulut sesiapa saja yang berpandangan asing dari Melayu Umno atau menggugat kepentingan Melayu Umno. Melayu Umno yang meneruskan agenda keUmnoan Melayu ini akan menghapuskan samasekali saki baki keunggulan tamadun Melayu yang bersalut Islam itu.
Saya menantikan bicara pengoperasian transformasi pelbagai arena yang mula disebut oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 13 November lalu. Apa yang terdengar dan terbaca hanyalah agenda yang masih samar-samar yang hanya menyedapkan pendengaran dan pembacaan sekadar mempamerkan bahawa memang sesuatu sedang dilakukan dengan serius terhadap segala kekurangan dan kemelut yang sedang melanda negara dan Melayu Umno.
Dalam kerajaan Umno-BN, mentaliti "some are more equal than others" mendapati bahawa kebanyakan individu Melayu hanya boleh mengembangkan potensi yang ada pada mereka jika dia seorang Melayu Umno. Tidak perlu untuk meluaskan pembicaraan tentang memaksimumkan potensi rakyat terhadap yang bukan Melayu kerana di kalangan orang Melayu sendiri berlaku peminggiran disebabkan hanya kerana tidak sekufu dengan pandangan sempit Melayu Umno. Bagaimana untuk memimpin rakyat Malaysia sedangkan sebahagian Melayu juga didiskriminasi bila mereka berkata benar dan menuntut perubahan. Setengah mereka ini mungkin warganegara yang jujur, pintar, berhemah tinggi dan memiliki visi yang jelas tentang keadilan dalam politik, pentadbiran negara dan kemaslahatan rakyat.
Saya belum meyakini perjuangan Melayu Umno yang pada hakikatnya memperjuangkan orang-orang Melayu Umno, bukan orang Melayu, jauh sekali orang lain.
Kita sudah boleh mengagak bilangan yang akan terpaksa meletakkan jawatan mereka jika Abdullah Badawi benar-benar mengotakan apa yang dikata. Laporan-laporan polis yang tersusun tinggi di serata pejabat-pejabat polis dalam negara menjadi buktinya. Ditambah pula dengan laporan-laporan dan penyelidikan Badan Pencegah Rasuah yang belum dihebahkan kepada umum. Malang sekali, itu tidak mungkin berlaku berdasarkan corak semasa kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi.
Melayu Umno menegaskan dalam ucapan-ucapan mereka bahawa mereka tidak akan mendengar perkara-perkara yang menjadi rintahan bukan Melayu Umno, khususnya bila menggugat kepimpinan Melayu Umno dan ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu adalah fahaman yang sesat lagi menyesatkan kerana ia menjadi ukuran buruk baik sesuatu keputusan yang bakal diambil oleh Melayu Umno, walaupun akan mendiskriminasi dan menzalimi BUKAN Melayu Umno, yang sesetengahnya adalah juga Melayu jati.
Lihatlah betapa mudahnya Melayu Umno menjadi kaya raya tanpa ilmu. Agihan bajet negara dilaksanakan, maka sudah untung sebelum bekerja, bahkan tidak perlu bekerja keras. Tidak perlu buat pemasaran produk kerana produk dan permintaan sudah tetap ditentukan oleh Melayu Umno. Hakikatnya, hanya perlu mengurus wang yang sudah didapati untuk diagihkan lagi kepada kaum kerabat, kroni dan kenalan. Atau melonggokkan wang depan mata-mata Melayu dengan pertukaran tanah dan harta mereka.
Melayu kampong dan kurang pendidikan akan segera terpukau dengan harga tanah dan harta yang sebenarnya tidak seberapa. Mereka lebih rela dengan wang segera kerana itu lebih mudah dari mengerjakan tanah sendiri wlaupun boleh mendatangkan hasil yang jauh lebih lumayan. Untung bersih seekar kelapa sawit boleh mencecah RM1000 sebulan. Bayangkan jika Melayu ada 100 ekar… tapi Melayu perlu tunggu, bekerja keras, dan bersabar kerana hasil pulangan hanya bermula selepas tiga tahun ke atas. Tapi sayang, Melayu lebih suka menyewakan tanah, kerana itu lebih mudah dan tiada risiko.
Ada Melayu yang mengambil hasil dari keperluan orang lain - dalam meluluskan projek, meluluskan permohonan-permohonan yang tersangkut dalam urusan birokrasi swasta dan kerajaan. Tahukah anda bahawa untuk seorang balu mendapatkan harta suami mereka yang sudah meninggal dunia akan mengambil masa bertahun-tahun? Bagaimanakah mereka akan hidup tanpa saraan suami? Tetapi jika "wang pendahuluan" disegerakan maka akan segeralah harta suami "dicairkan".
Korupsi menjamin kelangsungan keganasan terhadap wanita, perdagangan haram tubuh wanita, dan jenayah-jenayah lain. Ia akan melekehkan soal-soal keselamatan dalam kerja-kerja kontrak, projek, kilang, dan di mana-mana saja. Ia mengesani produktiviti dan kualiti produktiviti dalam pelbagai sektor. Ke semua itu mungkin dibayar dengan harga nyawa-nyawa manusia dan berjenis-jenis penyakit bila berlaku musibah, kecuaian dan kesilapan. Rafidah Aziz sendiri mengakui bahawa perbincangan soal gejala sosial dan usaha mengatasinya bukanlah topik yang sering dan suka dibincangkan oleh ahli-ahli Umno yang lebih seronok merapati topik-topik ekonomi yang membawa kekayaan.
Bagaimana pula rakyat yang ditahan tanpa bicara dan perbicaraan? Di manakah kelembutan dan kewajaran seorang pemimpin yang sanggup menzalimi rakyat yang tidak dibuktikan kesalahannya? Di manakah kelembutan hati bila anak dan isteri kepada yang ditahan itu merana, merindui tahanan dan terpaksa menanggung hidup sendirian tanpa ayah dan suami?
Kenapa menahan rakyat untuk berkumpul dengan bebas menyatakan pendirian mereka? Mengapa menyaring media massa agar yang dipaparkan hanyalah propaganda Melayu Umno dan Umno-BN? Kenapa tidak diberi ruang dan peluang untuk yang dituduh jelek menyatakan pendirian mereka dalam akhbar dan telivisyen? Kenapa menghalang mereka yang tidak sekufu dengan Melayu Umno dan Umno-BN untuk bebas bercakap di rangkaian TV dan radio yang berkembang sebahagiannya kerana menerima wang cukai dari mereka yang bukan dari golongan Melayu Umno dan Umno-BN?
Kenapa perlu memohon jangkamasa yang lebih lama untuk membuat perubahan dan transformasi demi kepentingan rakyat? Tiga tahun adalah lebih panjang dari masa yang telah dikecapi oleh Umar bin Adul Aziz yang sehingga kini harum namanya kerana melaksanakan pelbagai perubahan yang bermakna dalam tempoh dua tahun pentadbiran sebelum beliau meninggal dunia. Dua atau tiga tahun adalah masa yang cukup panjang dalam konteks untuk meyakinkan orang ramai tentang keluhuran dan ketelusan hati yang disertai tindakan yang mantap dan segera, khususnya dalam membasmi korupsi, nepotisme, kronisme, diskriminasi dan hampir segala yang jelek di mata Maha Pencipta.
Pemimpin yang sebenar adalah mereka yang melakukan sesuatu yang wajar dan betul tanpa menghiraukan kepentingan kerusi politik, populariti dan masa depan politiknya. Jika Abdullah Badawi lebih takut kehilangan kerusi wakil rakyat, Presiden Umno dan Perdana Menterinya, maka selagi itulah tidak akan ada perubahan dan transformasi yang bermakna dan yang boleh menyelamatkan Melayu UMNO, bahkan seluruh Melayu dan rakyat Malaysia kerana sebahagian besar broker-broker kuasa yang mengundi beliau adalah mereka yang mengutuhkan korupsi, nepotisme, kronisme, diskriminasi dan hampir segala yang jelek di mata Maha Pencipta.
Dengan segala wang, jentera, kepakaran dan kakitangan di bawah kekuasaannya, Abdullah Badawi, masih tidak mampu segera mengotakan katanya. |
posted by jasindaily online @ 9:00 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|