DEMI MASA |
|
|
SKANDAL ZAKARIA: BENCANA KEPADA UMNO |
Sunday, November 05, 2006 |
Sikap Majlis Tertinggi UMNO yang seolah-olah tidak berapa kisah, malahan menganggap kecil sahaja pelbagai skandal yang dicetuskan oleh Zakaria tentu telah memeranjatkan ramai manusia. Ini mencetuskan satu persoalan yang tidak boleh dielakkan: Apakah sudah berakhir agenda reformasi Perdana Menteri Abdullah Badawi yang satu ketika dahulu sungguh digembar-gemburkan untuk membanteras rasuah dan mengembalikan martabat kerajaan. Zakaria Mat Deros merupakan ahli Majlis Perbandaran Kelang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor. Sejak seminggu yang lalu dia telah menguasai muka depan akhbar dengan pelbagai skandal yang merangkumi pembinaan sebuah mahligai tanpa kelulusan majlis kepada kisah pembinaan sebuah restoran di atas tapak milik majlis hinggalah kepada kisah amalan nepotisme di mana tiga orang ahli keluarganya menganggotai Majlis Perbandaran Kelang.
Pada 2 November, Majlis Tertinggi UMNO telah bersidang untuk membincangkan skandal Zakaria. Sejurus selesai, Abdullah membuat pengumuman bahawa kalau ada pun tindakan yang akan diambil terhadap Zakaria ialah meminta beliau menarik diri daripada menghadiri upacara angkat sumpah sebagai ahli majlis yang dijadualkan pada 8 November. Apabila ditanya kenapa tidak ada tindakan lagi yang akan diambil terhadap Zakaria termasuk terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Bahagian UMNO Kelang, Abdullah berkata bahawa Zakaria telah menjadi seorang ketua bahagian yang baik dan segala salah-lakunya bukan ada kena mengena dengan parti. Abdullah berkata: itu ada kena mengena dengan kerajaan. Cukuplah kalau kami membuat keputusan dia tidak dilantik sebagai seorang anggota majlis.
Dengan pengumuman Abdullah demikian, segala perlanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Zakaria telah menaikkan amarah semua manusia yang waras dan menyebabkan keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan gagasan pemerintah menjadi satu tandatanya yang serius kini disungkup sahaja di bawah permaidani. Sikap angkuh dan memperlekeh pandangan umum oleh UMNO dan Perdana Menteri yang menutup segala salahlaku golongan elit yang memerintah adalah merupakan perkara utama yang menjadi perhatian rakyat. Ia bukan sahaja menjadi tanda bahawa Abdullah sudah melupakan segala agendanya untuk melakukan reformasi tetapi juga mencetuskan keraguan tentang keupayaan beliau untuk menegakkan keluhuran undang-undang di negara ini.
Untuk memahami betapa seriusnya implikasi itu, marilah kita teliti segala skandal itu secara terperinci seperti yang disebutkan di bawah ini:
1. Zakaria telah membina mahligai mewah empat tingkat dengan 17 bilik dan dikatakan bernilai RM8 juta tanpa sebarang kebenaran daripada Majlis Perbandaran Kelang (MPK).
2. Tapak tanah di mana mahligai itu dibina ialah seluas 43,000 kaki persegi terletak di sebuah kawasan perumahan kos rendah, dan telah difaraidkan oleh kerajaan Selangor kepada isteri Zakaria dengan harga RM180,000 yang semestinya satu harga amat rendah daripada harga pasaran. Keadaan penerima yang sudah kaya-raya sepatutnya tidak layak memohon tanah yang dikhususkan kepada orang yang miskin.
4. Zakaria telah gagal membayar cukai pintu untuk rumahnya selama 12 tahun.
5. Zakaria, anak lelakinya Zainuri dan menantu perempuannya Rosalinda Abdul Jamil telah dilantik menganggotai Majlis Perbandaran Kelang.
6. Zakaria telah dilantik menjadi seorang senator pada 30 Julai 1991, dan terus bergiat demikian secara tidak sah sejak 10 Sept. 1992 sejurus dia diisytiharkan muflis dan sepatutnya tidak layak memegang tugas itu.
7. Zakaria disyaki terlibat dalam penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada Persatuan Badminton Selangor (SBA) pada 2004. Tanah seluas 7 ekar itu terletak di Shah Alam dan telah ditawarkan pada harga RM18 satu kaki persegi, dan ini amat rendah daripada harga pasaran. Ketika itu Zakaria adalah Pengerusi Jawatankuasa Tanah. PKNS meluluskan penjualan tanah semasa dia juga menjadi Presiden SBA.
8. Selain Zakaria, dua lagi anggota majlis MPK - Mazlynoor Abdul Latiff dan Faizal Abdullah - telah membina mahligai mereka tanpa kelulusan. Mzlynoor ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kelang, dan Faizal ialah Ketua Pemuda UMNO Kapar.
Kisah di atas mungkin kelihatan kompleks, namun soalan pertama yang boleh ditanya oleh sesiapa yang telah melihat mahligai yang begitu besar tentulah ... mana diragaunya duit yang banyak untuk membina mahligai itu - sedangkan dia hanya seorang anggota majlis perbandaran, bukannya seorang taikun perniagaan? Malangnya (ataupun seperti yang dijangka) tidak ada di kalangan pihak yang berkuasa mempersoalkan perkara ini.
Kalaulah kerajaan Abdullah memang begitu nekad mahu membasmi korupsi seperti yang dijanjikannya, apakah Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri pernah melompat untuk menyiasat kesahihan kekayaan Zakaria yang amat nyata dan memeriksa rekod bayaran cukai pendapatannya? Kenapakah pihak berwajib diam membisu? Ataupun apakah sudah menjadi amalan bahawa pihak pemerintah berhak untuk hidup senang-lenang tanpa dikira punca kekayaannya? Nampaknya jawapannya ialah 'Ya' kalau kita ambil kira cara UMNO menangani kes itu dan sikap berdiam pihak penguatkuasa.
Dengan kefahaman ini, nampak juga ada logiknya kalau UMNO menangani kes Zakaria mengikut cara yang diambil - setakat berhenti menjadi anggota majlis. Noktah, itu sahaja. Jika tidak, ada sarang tebuan yang akan terjolok. Kalau dilihat secara alternatifnya, tindakan UMNO ini adalah satu cara menguasai bencana yang optima (optimum damage control) - kelihatan menghukum tetapi sebenarnya mengekalkan status quo supaya orang ramai dan si penyangak sama-sama tetap ceria. Sudah tentu UMNO sedar kalau dibuat siasatan menyeluruh mengikut perjalanan undang-undang, strukturnya itu yang begitu mudah dibakar, bencana yang dihasilkan akan merebak laksana api liar yang mungkin membakar keseluruhan negara ini.
Mengikut amalan politik masakini, rakyat negara ini mungkin tidak bermaya untuk memaksa parti pemerintah menguatkuasakan undang-undang ke atas golongan elit yang memerintah, tetapi sudah tentu rakyat berhak menyatakan keprihatinan mereka betapa seriusnya kesan skandal itu semua. Dan inilah yang saya cadang untuk lakukan. Dengan memeriksa senarai bagaimana undang-undang telah dilanggar, kita boleh membuat beberapa rumusan:
Pertama: Pemimpin UMNO seperti Zakaria telah berlagak seolah-olah mereka berkuasa mengatasi undang-undang.
Kedua: Pelanggaran undang-undang semacam itu oleh golongan elit yang memerintah dianggap boleh diterima oleh pihak berkuasa, kerana mereka telah lama bebas berlagak demikian selama beberapa tahun.
Ketiga: Segala pelanggaran undang-undang itu adalah dianggap rasuah seperti mengagihkan tanah negeri berasaskan alasan yang tidak sahih ataupun menjualnya dengan harga yang begitu rendah daripada harga pasaran. Kerja-kerja itu tidak boleh dilakukan tanpa persekongkolan pihak-pihak lain seperti Pejabat Tanah, Exco Negeri dan juga Menteri Besar. Lantas, selain daripada penikmat kerja-kerja rasuah yang sudah pasti bersalah, orang lain yang ada hubungan dengan tindakan itu adalah juga bersalah sama ada kerana menyokong ataupun mengabaikan tugas.
Keempat: Semua pihak berkuasa sengaja merelakan perlanggaran undang-undang seperti membina bangunan sebelum mendapat kelulusan ataupun membenarkan tanah kerajaan diceroboh. Mereka bersalah kerana cuai dan pegawai bertanggungjawab patut dikenakan tindakan disiplin ataupun hukuman berat seandainya didapati terlibat dengan rasuah.
Kelima: Keputusan ke atas keseluruhan episod ini adalah membayangkan satu budaya rasuah, salahguna kuasa golongan elit dan ketidak-cekapan dan apati (sikap tidak apa) yang sudah menyerap masuk kepimpinan politik dan perkhidmatan awam negeri Selangor baik daripada Menteri Besar di bahagian teratas hinggalah kepada anggota majlis Exco dan kepada majlis perbandaran. Turut mengejutkan ialah badan penguatkuasa undang-undang Persekutuan seperti BPR, Polis, Peguam Negara dan juga Kementerian Kerajaan Tempatan ternyata sudah tidak berfungsi dalam mencegah ataupun mengheret pihak penyangak untuk dihukum.
Keenam: Sejak UMNO menguasai sepenuhnya gagasan Barisan Nasional, budaya politik yang dibesarkan oleh kelakuan Zakaria dan sekutunya tentulah memang wujud di merata negara ini kecuali di Kelantan, yang dikuasai oleh PAS.
Berbalik kita kepada sidang akhbar Abdullah, di mana dia mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO ke atas Zakaria, saya tidak nampak logik untuk melepaskan Zakaria dengan mudah.
Abdullah berkata bahawa kedudukan politik Zakaria dalam parti tidak seharusnya digugat kerana perlanggaran undang-undang oleh Abdullah adalah urusan kerajaan dan bukan urusan parti. Jika demikian kenapakah kes beliau tidak ditangani oleh Kabinet? Kenapakah nasib beliau mesti ditentukan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan bukan Kabinet Persekutuan? (Secara kebetulan, bukankah peristiwa ini memperakukan pandangan yang kerap diserlahkan bahawa UMNO yang sebenarnya menguasai negara dan bukannya gagasan BN?)
Abdullah juga ada menyebut bahawa Zakaria adalah seorang pemimpin parti yang bagus. Kenyataan ini memang aneh sekali. Apakah seorang pemimpin yang bergelumang dengan skandal dan diketahui sebagai gemar melanggar undang-undang dikatakan seorang pemimpin yang bagus? Kalau seorang Perdana Menteri boleh mengiakan soalan ini apakah yang boleh diharapkan daripada diri dan kepimpinannya?
Abdullah menganggap menafikan jawatan sebagai anggota majlis adalah cukup sebagai hukuman kepada Zakaria. Jika demikian bagaimana dengan harta karunnya? Bagaimana dengan rekod bayaran cukai pendapatannya: Bagaimana dengan perbuatan membalun tanah kerajaan untuk diri sendiri ataupun untuk pihak ketiga pada harga yang merugikan kerajaan? Oleh kerana skandal ini sudah menonjol, dan mencetuskan krisis keyakinan, bukankah tugas seorang Perdana Menteri yang baik mengarahkan agar tindakan yang setimpal diambil – membabitkan BPR, Polis daripada tidur mereka dan mengembalikan keyakinan terhadap kerajaan?
Dengan kuasa kediktatoran yang ada pada kerajaan, memang tidak syak lagi bahawa UMNO akan menangani peristiwa ini tanpa banyak halangan, tetapi ia akan menjadi satu pengajaran kepada mereka berapa jauh lagi mereka boleh pergi ke arah yang sama tanpa mencetuskan bencana kepada mereka dan juga kepada negara.
Bagi rakyat Malaysia amnya, ini adalah satu peluang yang baik untuk menilai diri dan memahami keadaan kerajaan yang sebenar betapa pemimpin yang kita lantik mempermainkan kita. Apakah kita mampu membiarkan status quo ini berterusan? Jika tidak apakah ada harapan bahawa kepimpinan yang sama akan membawa perubahan yang diperlukan untuk mengelakkan bencana yang mendatang?
Kim Quek.
|
posted by jasindaily online @ 7:31 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|