DEMI MASA |
|
|
DR MAHATHIR BUAT PERHITUNGAN POLITIK YANG SILAP, KATA ZAINUDDIN |
Thursday, October 26, 2006 |
Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat perhitungan politik yang silap apabila mendedahkan kandungan pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, demikian menurut Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin, Rabu.
Beliau berkata ketika para pemimpin, bangsa Melayu dan orang-orang Islam mengharapkan satu perdamaian menjelang Aidilfitri tetapi bekas Perdana Menteri itu telah mendedahkan perkara-perkara sensitif yang terkandung dalam pertemuan itu.
Beliau menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini adalah menyedihkan bagi umat Melayu kerana mereka gagal melihat satu perdamaian yang diharapkan antara seorang bekas pemimpin negara dan penggantinya.
"Sepanjang ingatan saya ini adalah kali kedua perhitungan politik yang silap dilakukan oleh Dr Mahathir. (Dahulu) Selepas bawa Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke (dalam) Umno untuk kuatkan Umno, akhirnya Umno rosak", katanya ketika dihubungi Bernama, Rabu.
Zainuddin yang juga anggota parlimen Merbok berkata, berikutan perhitungan politik yang silap itu, tinjauan rambang para pegawai Kementerian Penerangan dalam tempoh sehari selepas Dr Mahathir membuat kenyataan itu mendapati simpati terhadap Abdullah meningkat begitu tinggi.
Menurutnya, hasil tinjauan rambang itu juga mendapati orang ramai kesal dengan sikap Dr Mahathir yang membuat kenyataan terbuka itu.
Bagaimanapun menurutnya, Kementerian Penerangan akan membuat kajian lebih terperinci mengenai sikap rakyat terhadap perkembangan itu.
"Ramai orang tak setuju dan merasakan tak sewajarnya Dr Mahathir membakar kelambu hanya kerana seekor nyamuk," katanya.
Zainuddin berkata, beliau sendiri terkejut dengan kenyataan Dr Mahathir yang meramalkan masa depan Barisan Nasional (BN) yang gelap.
"Tiga hari sebelum pertemuan itu, saya sendiri katakan kepada Pak Lah (Perdana Menteri) bahawa saya tak yakin pertemuan itu akan datangkan hasil yang positif," katanya.
Beliau berkata, sewajarnya pertemuan itu berakhir tanpa sebarang kenyataan terbuka.
"Harapan saya dan kebanyakan orang Melayu dan Islam runtuh apabila Dr Mahathir buat kenyataan lebih kritikal dan bersifat peribadi terhadap Pak Lah," katanya.
Zainuddin berkata, Perdana Menteri telah jelas membuka pintu rundingan dan pertemuan selanjutnya apabila beliau menjemput Dr Mahathir untuk pertemuan selepas itu.
"Saya percaya orang ramai berharap dialog seterusnya secara tertutup antara empat mata akan diadakan selepas ini," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berharap agar Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan komen-komen yang tidak sihat terhadap kepimpinan Abdullah kerana ia merupakan perbuatan yang kurang sopan daripada seorang ahli kepada partinya sendiri.
"Saya kata begitu sebab ia tidak pernah terjadi dalam Umno di mana ahli boleh memaksa ketuanya untuk mengikut kehendak seseorang.
"Jika semua apa yang dibuat oleh kerajaan nak dikomen dan dipertikaikan secara besar-besaran ia jelas tidak proper," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tok Has dekat Jertih, Rabu.
Kira-kira 17 jam selepas Abdullah dan Dr Mahathir mengadakan pertemuan selama dua jam, Dr Mahathir memperbaharui kritikannya terhadap Abdullah.
Ahli-ahli Umno sebelum ini melahirkan harapan agar pertemuan tersebut menjernihkan hubungan Dr Mahathir dan Abdullah yang tidak harmoni sejak Dr Mahathir secara terbuka membidas pentadbiran Abdullah enam bulan lepas.
Namun, dalam sidang akhbarnya di Seri Kembangan dekat sini pukul 10 pagi dua hari lepas, Dr Mahathir mengambil sikap mengkritik pentadbiran Abdullah di samping membuat beberapa dakwaan baru yang mungkin akan memburukkan lagi suasana politik.
Mengulas lanjut, Idris berkata bukan menjadi kesalahan jika membuat komen terhadap seseorang pemimpin tetapi perlu dibuat mengikut saluran yang betul.
"Saya sendiri pernah melakukannya (membuat komen) terhadap Pak Lah tetapi yang bezanya kita lakukan secara betul yang tidak bertentangan dengan Islam," katanya.
Beliau berkata sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin lain amat menghormati apa yang dilakukannya dan kini tiba giliran bekas Perdana Menteri itu pula menghormati keputusan yang dibuat Abdullah.
"Apa yang dilakukan bukan keputusan Perdana Menteri sendiri tetapi keputusan yang dibuat oleh kabinet," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan Tun Dr Mahathir itu tentulah telah menyebabkan ramai rakyat rasa tidak puas hati kerana harapan mereka mahu melihat persefahaman antara kedua tokoh berkenaan tidak tercapai.
"Mereka mengharapkan pertemuan empat mata itu akan dapat merungkai segala masalah yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir dam sepatutnya beliau tidak mengeluarkan lagi kritikan kepaad kerajaan.
"Tetapi malangnya, bekas Perdana Menteri itu terus mengkritik kerajaan dan kepimpinan Datuk Seri Abdullah malah kali ini lebih keras lagi," katanya kepada para pemberita selepas mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Jalan Timbalan, Tanjung Emas, Muar, Rabu.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata apa yang penting pada masa ini ialah memberi peluang kepada pimpinan kerajaan untuk melaksanakan program-prgram pembangunan selaras dengan matlamat mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 yang diasaskan oleh Dr Mahathir. |
posted by jasindaily online @ 12:03 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|