Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
PAS PERLU PILIH CALON BERJENIS!
Wednesday, October 11, 2006
Telah diterima akal di antara sebab kekalahan teruk Pas Kelantan di dalam pilihan raya umum 2004 ialah masalah calon. Terdapat beberapa kerat calon yang diletak bertanding semula tidak berwibawa dan sudah usang dan berlumut. Walaupun sesetengahnya memenuhi aspek 'kepimpinan ulama' namun sangat lemah dari juzuk-juzuk lain, contohnya pengurusan, pentadbiran dan juga tidak mempunyai pengetahuan luas sesuai dengan zaman ini.

Kalau boleh diberikan contoh, mereka tahu sembahyang tetapi kalau disuruh ke kedai membeli gula mereka tidak tahu!

Pengundi yang kebanyakan generasi muda, atau beza usia di antara calon yang diletakkan itu sesetengahnya menjangkau sampai 35 tahun menyebabkan calon-calon "out of date" itu tidak popular. Mereka tidak digerami untuk dipangkah kerana masalah tadi. Walhasil kerana kesilapan itu menyebabkan Pas hampir-hampir kehilangan kerajaan.

Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas. Antara 20 kerusi yang dimenangi oleh Umno itu ialah sesetengahnya diwakili oleh calon-calon yang lapuk dan sudah tua tadi, yang tidak memenuhi naluri dan kehendak semasa para pengundi. Mereka ditolak jelas bukan kerana Pas, tetapi kerana kelemahan diri mereka (calon) sendiri.

Sekadar menyebut beberapa calon (maaf), seperti Abdullah Abd Razak (DUN Gual Periok), Shaari Awang (Jelawat) Hussein Ibrahim (Bukit Tuku), Ramli Abu Bakar (Wakaf Baru) Wan Hussein Wan Ahmad (Pengkalan Kubur), Wan Othman Wan Yusuf (Tendung) dan Hussein Awang (Semerak) mereka adalah calon yang sudah tua dan lama, dan sudah pun pernah menjadi wakil rakyat di kawasan masing-masing sekurang-kurang sepenggal.

Jika ditilik mereka ini tidak mempunyai apa-apa kebolehan dan keistimewaan untuk dicalonkan sebagai bakal wakil rakyat. Boleh dikatakan pemilihan mereka dibuat berdasarkan atas sifat setia kepada parti dan lama berjuang di dalam parti, ataupun kerana tidak ada calon pilihan lain. Namun dari segi kebolehan, kelayakan sebagai pemimpin masyarakat setempat di era globalisasi mereka tidak layak.

Jadi kerana kelemahan-kelemahan yang mereka miliki itulah, maka mereka telah dibuang oleh pengundi yang kebanyakannya jauh lebih muda, berpendidikan daripada mereka sendiri. Penolakan calon ini menjelaskan bahawa, apa yang diguna pakai Pas selama ini, bahawa orang yang setia kepada parti semata-mata tanpa mempunyai apa aset peribadi tidak boleh diguna lagi.

Justeru itu kali ini, dalam menyenaraikan calon-calon pada pilihan raya umum akan datang, Pas Kelantan harus mengelakkan memilih mereka yang berjenis demikian. Formula yang dipakai pada pilihan raya lalu atau amalan sebelum ini perlulah disemak semula.

Mungkin sudah sampai bagi Pas menyedari bahawa calon-calon yang dianggap sebagai orang parti, orang kita, ataupun yang hanya tidak pernah letak kupiah, namun tidak mempunyai apa-apa merit tidak sesuai lagi untuk dicalonkan sebagai calon Pas.

Pas tidak boleh bertolak ansur di dalam memilih calon-calonnya kali ini. Pas harus tegas dan berpandangan jauh dan menyelami hati serta kehendak para pengundi. Calon-calon yang mungkin baik bagi Pas atas sifat-sifat tadi, mungkin sudah tidak relevan kepada pengundi. Pas kena sedari selera pengundi waktu ini jauh berbeza dengan apa yang dialami Pas beberapa dekad lalu. Lebih penting mengambil iktibar di atas apa yang berlaku pada pilihan raya lalu.

Ada beberapa ciri-ciri yang perlu diberi perhatian oleh Pas ketika memilih bakal-bakal calonnya.

1.Mereka yang bersih tidak terlibat dengan sebarang skandal, baik perniagaan, perempuan, penipuan dan sebagainya.
2.Ikhlas, jujur, setia dan sabar di dalam perjuangan serta sanggup berkorban.
3.Mempunyai ciri-ciri profesional, ada bakat selaku pemimpin serta berpengetahuan sekurang-kurang dalam aspek pengurusan dan pentadbiran organisasi.
4.Mereka juga biarlah berkemampuan, mempunyai wang, dikenali oleh masyarakat setempat atau mempunyai konteks yang luas.
5. Mempunyai asas agama yang kukuh dan menghayati perjuangan parti – Pas sebagai parti Islam.


Itulah di antara ciri-ciri utama yang penting mereka yang layak dipilih menjadi bakal calon Pas.

Saya yakin sekiranya Pas dapat menyediakan barisan calon yang mempunyai sifat-sifat dan memenuhi keperluan di atas tadi, Pas tidak mudah akan ditolak pada pilihan raya akan datang. Realiti hari ini bahawa pengundi berusia di antara 21 tahun hingga 45 tahun, yang lahir tahun 1960 – 1983 begitu besar jumlah ini. Pengundi dalam lingkungan ini boleh dikatakan mereka yang celik huruf dan sudah tahu menilai sendiri.

Pola pemilihan di kalangan pengundi muda pula di mana mereka lebih cenderung menilai batang tubuh calon daripada parti juga perlu diambil kira oleh Pas dalam memilih calonnya. Pengundi muda hari ini tidak sangat taksub kepada parti di dalam membuat pemilihan sebaliknya mereka menilai kepada personaliti calon.

Umumkan calon awal

Seperkara lagi bila sebut perihal calon dan pilihan raya ini, Pas jangan mengenal pasti calon-calonnya pada saat-saat akhir. Pas perlu mengenali ataupun kalau perlu menamakan calon-calonnya awal-awal lagi. Misalnya, mereka boleh dipilih di kalangan Penyelia DUN yang dilantik waktu ini.

Mana-mana penyelia menunjukkan prestasi baik dalam menjaga kawasan, hemah bergaul dengan rakyat, Pas sudah boleh berikan mereka borang calon untuk di teliti! Ataupun mana-mana tokoh dan pemimpin tempatan yang mempunyai pengaruh, mempunyai kekuatan ekonomi dan bersih, juga sudah boleh dikenal pasti dan dinamakan sebagai bakal calon.

Tujuannya kenapa perlu berbuat begitu ialah untuk mengelak perebutan menjadi calon. Dan bagi mereka yang dikenal pasti itu pula sudah tentu akan meningkatkan usaha dan kerja mereka ke arah pilihan raya. Dalam pada itu, sekiranya mereka tidak mampu menyerlah, maka eloklah mereka diganti awal-awal lagi untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.

Dan kalau boleh dielakkan, Pas janganlah mencalonkan lagi mana-mana wakil rakyat yang sudah lebih daripada tiga penggal memenangi pilihan raya, kecuali terpaksa atas muslahat tertentu!
posted by jasindaily online @ 6:21 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com