DEMI MASA |
|
|
AKULAH PRESIDEN DAN PM MAHA BERKUASA |
Monday, October 09, 2006 |
Tulisan saudara Abd. Zarin bin Mohd Yasin yang lebih dikenali sebagai Sang Kelembai sangat menarik bagi pemerhati perkembangan politik tempatan. Disebabkan tulisanannya itu yang sering mengkritik style Abdullah Ahmad Badawi mengurus negara, maka baru-baru ini beliau telah dipecat daripada menjadi ahli UMNO. Tulisan terbarunya yang disiaran pada 2 Oktober 2006 cukup menarik untuk kita menikmati bersama. Ikuti tulisan beliau selengkapnya :
TINDAKAN MENGHALAL CARA
Ada orang menzahirkan damai abadinya untuk mencari Al-Ghazali dan Al Shafie tetapi persoalannya tahukah orang itu siapa dia Al Ghazali dan Al Shafie. Kalau kedua itu dicari sudah pasti pembaca sajak tersebut selepas membaca sajak itu akan terus berhenti atau meletakan dari jawatannya. Al Ghazali pernah dilantik menjdi Mufti dan kemudian meletakan jawatan tersebut dan memilih untuk berkelana dengan perjuangan dakwah islamiah, begitu juga Al Shafie yang mahu hendak diangkat menjadi Kadhi di zaman Raja Harun Al Rashid tetapi menolaknya.
Dan jika dia mencari Al Ghazali sudah pasti dia akan bertemu, mereka yang tergolong dalam golongan ulama yang memenuhi kriteria Imam Al Ghazali; "orang yang tahu dirinya adalah tahu (rojulun yadri wa yadri annahu yadri fa dzalika'alimun) jika sebaliknya kalau ada "orang yang tahu tetapi tidak tahu kalau dirinya tahu, maka termasuk golongan tertidur" (rojulon yadri wa la yadri annahu yadri fa dzalika naimun).
Nama asalnya hanya Abdullah Bin Hj Ahmad, tetapi selepas tewas bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia sungguhpun pada ketika itu beliau adalah seorang Setiausaha Parlimen, Abdullah Hj Ahmad telah memberi alasan kekalahannya adalah kekeliruan kerana terdapat dua nama yang serupa. Memang benar ada dua nama serupa, satu adalah dirinya dan seorang lagi yang pernah merengkok ditahan dibawah ISA. Oleh kerana itu ditambahkan perkataan "Badawi" yang digunakan oleh ayahnya.
Mengikut catatan jejak - jejak pejuang yang ditulis oleh Abd Samad Idris (Allahyarham Tan Sri) nama Badawi itu diberi kepada Hj Ahmad oleh masyarakat kampungnya mengambil sempena salah seorang daripada empat orang ulama (qutub empat) di Mesir. Sungguh pun Hj Ahmad Bin Abdullah Fahim lahir di Mekah Mukarramah tetapi gelaran itu diperolehi dikampungnya dan tidak seperti kebiasaan para pemuda Melayu yang belajar agamanya di Timor Tengah akan menambah dihujung namanya bagi tujuan mengenal asal usulnya seperti Al Banjari, Al Patani.
Hj Abdullah Fahim seorang ahli falak yang terkenal dan pernah menjadi Mufti di Pulau Pinang dan bila Sardon Jubir sengaja bertanyakan kepadanya tarikh yang sesuai bagi kemerdekaan Tanah Melayu, beliau telah memberikan tarikh 31hb Ogos 1957 berdasarkan angka ganjil seperti mana tarikh-tarikh kemerdekaan Indonesia dan India pada 17 dan 15 Ogos. Kononnya tarikh itu menentukan kecemerlangan. Sebaliknya negeri - negeri itu, kalau diukur kecemerlangan Islamnya, contoh Indonesia, sehingga hari ini walau majoriti penduduknya atau rakyatnya Islam tetapi tidak meletakan Islam sebagai Agama Rasmi dalam Perlembagaan, India yang dahulu negeri keagungan dan dikuasai Islam, terpaksa dipecahkan menjadi Pakistan Timor (Bangladesh) dan Barat dan India hari ini dikuasainya sepenuhnya oleh Hindu. Malaysia walau sudah hampir 50 tahun, agama Islam tidak menjadi satu agama yang tenteram kerana dipenuhi dengan bermacam-macam dugaan dan yang terbaharu, beberapa pihak sudah berani mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi dengan menyentuh artikel 11. dalam perlembagaan.
Masalah kedudukan Islam terus tercabar dibawah pemerintahan seorang yang berketurunan "Ariffbillah" (meminjam gelaran yang di beri oleh Muhamad Bin Muhamad Taib - Ketua Penerangan UMNO kepada Hj Abdullah Hj Ahmad ). Dan hari ini Malaysia samalah saperti yang dikatakan oleh Dr Abdul Qadir Audah seperti berikut:
"Para pembesar (Perdana Menteri), yang menganut agama Islam, baik di Timur maupun di Barat, mereka telah merasai lazatnya berkuasa, hingga mereka diserang oleh penyakit "takut" hilangnya kekuasan itu, dan mereka diperbudak oleh perasaan yang amat kuat untuk tetap di atas kekuasaan. Mereka akan dan telah mengorbankan segala mungkin untuk melindungi kekuasan itu, mereka korbankan kehormatan diri mereka, kehormatan tanah air mereka, kebesaran diri dan kebesaran negeri mereka, dan sehingga hendak mereka korbankan Islam agar mereka dapat menggembiran hati musuh Allah dan musuh-musuh Islam"
Setiap orang Islam pasti tahu mengenai Perang Badar, Islam yang minoriti dapat mengalahkan golongan kafir Quraisy yang lebih besar jumlahnya. Dan waktu kebanggaan itu dirasai oleh orang Islam, Nabi saw langsung mengatakan " Kita pulang dari jihad kecil menuju jihad yang besar" Ada yang bertanya, "Apa jihad besar itu wahai Rasulullah?" Dijawab, "Ialah memerangi hawa nafsu",.
Manusia sudah dikenali seperti serigala dari manusia. Mereka selalu ingin menerkam orang lain, agar dapat dijadikan sebagai mangsanya, Kalau hawa nafsu sudah menguasai dirinya, maka ia akan menjadikan sesaorang itu lupa daratan seperti Abdullah Hj Ahmad yang buta kepada pencarian Al-Ghazali dan Al Shafie.
Kewujudan Firaun adalah kerana rakyatnya yang tidak mahu mengatakan "tidak" telah disebutkan dalam Al-Quran. Ketika dirinya mulai berkuasa, maka segala daya upaya diperlukan, demi kelestarian kedudukannya itu, bahkan sehingga sesat lantas mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Hari ini Majlis Tertinggi UMNO sedang membentuk firaun baru dengan sokongan 3 juta ahli UMNO. Firaun baru ini dikenali sebagai Firaun Hadhari, yang sombong mengucapkan "Akulah Perdana Menteri" .
Ucapan ini mungkin membawa erti "Aku orang yang berkuasa penuh dan barang siapa menentang aku, akan aku sumbatkan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri atau jika dia adalah Ahli UMNO yang mengkritik aku, aku singkirkan dia atas nama musyuwarah kerana kesemua ahli syura berada dalam cengkaman aku, aku hanya perlu tanya setuju atau tidak setuju , tidak perlu aku minta pendapat seorang demi seorang atau bertanya pendapat lain".
Kini kepimpinan sudah berubah arah. Kalau dahulu sokongan diberi kerana kepercayaan akan keikhlasan memikul tanggung jawab, hari ini mungkin berubah menjadi kepentingan yang hadir untuk memperkayakan kaum kerabatnya. Dalam menentukan, memilih pimpinan atau memberi jawatan, Islam tidak mengenal "Family System, teman, sahabat dan keturunan. Kemampuanlah (ability) yang menjadi kriteria, ukuran kemampuan, bukan kerana membodek, atau kesetiaan dan sokongan tanpa batas.
Umar bin Khattab berkata dengan tegas terhadap anaknya (menantu pun kira anak juga -sk) Abdullah Bin Omar, "Barangsiapa yang mengangkat sesorang untuk satu jabatan yang mengurus kaum Muslimin maka "diangkatnya orang kesayanganya" atau hubungan karib kerabatnya antara keduanya, maka dia telah berkhianat kepada Alllah dan Rasulnya dan kepada semua kaum Musliman.
Pendapat Umar mempunyai alasan - alasan bernas. Menjadi Perdana Menteri atau ketua Parti bukan bererti memberi kuasa untuk beliau melantik sesiapa sahaja yang mahu diberi pangkat dan jawatan. Pangkat dan jawatan memerlukan seseorang yang amanah dan sanggup memikul tanggung jawab yang besar dan ini bukan boleh diwariskan sebagai hadiah kepada sesiapa sahaja.Dan Rasullah saw juga telah memperakui kenyataan dengan Umar itu (Man waliya min amril muslimiina fa walla wa huma ya jidu man huwa ashlahu lil muslimiina minhu, fa qad khaana allaaha wa rasulahu-h.r.Muslim)
Perhatikan siapa Abdullah Hj Ahmad lantik dalam jemaah Menterinya. Sebilangan sahabat karibnya dalam perjuangan untuk menumbangkan Mahathir Mohamad dahulu dan antaranya adalah seorang yang berkelulusan undang-undang yang bersama menyiapkan kertas "summon" UMNO ke Mahkamah. sehingga UMNO diharamkan. Lihat bagaimana dia terpaksa mengambil semula Tengku Adnan Mansor menjadi Menteri kerana hendak masukan seorang lagi jadi Menteri, kerana orang ini sahabat karib isterinya. Begitu juga, seorang yang tidak berpengalaman mentadbir kerajaan hanya tokoh korporat dilantik menjadi Menteri Besar kerana dia ada hubungan dengan menantunya.
Dan kerana itulah Dr Abdul Qadir Audah telah menyindir pemimpin Islam seperti Abdullah Hj Ahmad yang disanjung oleh setengah orang yang buta ilmu di mana setelah kehidupan dunia tercapai, maka tidaklah dia peduli, apakah dirinya akan merugikan Islam atau tidak.
Katanya. "Mereka meninggikan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh Islam. Mereka mencintai mereka itu supaya gembira musuh-musuh Islam atau musuh-musuh Allah , dan mereka terus menerus berlaku demikian. Mereka berbuat demikian bukan kerana terpaksa yang dibolehkan oleh Islam, akan tetapi kerana betul-betul cinta, jujur dan kerana mengharapkan manafaat dari musuh-musuh Allah itu sekali pun merbahaya terhadap Islam dan kaum Muslimin. Semua itu mereka (kemungkinan Abdullah Ahmad) lakukan untuk melindungi kerusi pemerintahan dan kekuasaan dan segala sesuatu yang mereka perolehi dari menduduki kerusi itu. Agaknya mereka tidak mengerti tentang hukum-hukum Islam, dan kerana menghormati dan mengharap dari musuh-musuh Allah, itulah yang membinasakan diri mereka kerana perbuatan demikan, dan itu mereka nyatakan dengan lisan dan mereka selalu berpegang terus apabila dan di mana saja"
Sang Kelembai: Abdullah Ahmad perlulah dinasihatkan supaya masuk balik ke sekolah pondok jika nak tafsir apa pengertian tindakan menghalalkan cara. Satu contoh tindakan menghalalkan cara ialah dahulu kata apa-apa keputusan Lembaga Disiplin UMNO, Majlis Tertinggi tidak akan mengubahnya tetapi apa yang berlaku pada petang khamis 29hb September 2006 yang dicadang lain yang diputuskan lain. Itu sebenarnya "Tindakan menghalalkan Cara". Inilah yang akan menyebabkan beliau jatuh dan dituduh cenderung bersifat "Munafik". |
posted by jasindaily online @ 4:45 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|