Rakyat Malaysia tidak memerlukan kritikan yang sekaligus cuba membakar api perkauman daripada tokoh asing seperti Lee Kuan Yew. Bekas Perdana Menteri Singapura ini sepatutnya melihat dan menangani masalah minoriti orang Melayu yang kebanyakannya miskin, tertindas dan terbiar di pulau Singapura.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali berkata, sudah lama keADILan membangkitkan dan mengkritik berbagai kekurangan dalam dasar yang dijalankan oleh Umno/BN selama ini. Jikalau ditanya jutawan besar bukan Melayu seperti Vincent Tan, Lim Goh Tong, Lim Peng Khing, Yeoh Ting Lee, Ananda Krishnan, dan Aramugam Pillai, mereka tidak akan mengatakan mereka terpinggir, bahkan sering mendapat bantuan serta kemudahan daripada pihak pemerintah.
Tetapi mengapakah tidak boleh dilantik tokoh-tokoh akademik bukan Melayu yang ulung sebagai Naib Censelor di universiti awam di negara ini? Mengapa tidak boleh diberikan biasiswa kepada pelajar bukan Melayu yang cemerlang kelulusannya dan menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, tanya Dr Syed Husin.
Menurut beliau, memang ada dasar pemerintah yang mendiskriminasi dan juga meminggirkan kaum, walaupun tidak seluruh kaum itu tetapi yang teruk dipinggirkan dan tertindas ialah golongan miskin, lemah, dan terbiar dari semua kaum. Mereka terdiri dari Orang Asal, orang Cina, orang India, dan jga orang Melayu yang merupakan kaum majoriti.
Dengan tidak menunggu dikritik oleh Lee Kuan Yew, kerajaan Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada golonggan ini dan menunjukkan sikap kepedulian rakyat terhadap mereka. |