DEMI MASA |
|
|
PEDAS-PEDAS CILI API |
Tuesday, September 19, 2006 |
RAIS MAHU MEMPERKASA BM?
Menteri Rais Yatim baru-baru ini membuka sebuah persidangan tentang bahasa. Ucapannya disiar penuh oleh sebuah akhbar pengampu. Tema ucapan itu ialah memperkasakan Bahasa Melayu. Cili Api mula-mula mahu angkat tabik, tetapi tidak jadi kerana kurang yakin dengan Menteri ini, yang satu masa dulu pernah mengisytiharkan beliau sudah membakar jambatannya dan tidak akan pulang ke Umno.
Sebelum itu akhbar itu, beserta beberapa lain yang taraf kewartawanannya sama tidak tinggi, mensensasikan berita tentang seorang pelakon muda yang berucap dalam bahasa Inggeris ketika menerima hadiah pelakon terbaik. Kesilapan pelakon ini ialah berterus terang menyatakan beliau tidak mahu berucap dalam bahasa Melayu kerana akan berbunyi "stupid" (bodoh).
Dengan tidak berlengah-lengah lagi "pejuang bahasa" bernama Rais ini mengkritik keras pelakon wanita itu. Alasan anak Yatim dan akhbar-akhbar tersebut ialah pelakon muda yang berterus terang itu tidak menghormati bahasa Melayu. Tetapi mengapa perlu dikritik dan dicerca begitu hebat sekali? Bukankah lebih baik jikalau diberi nasihat yang halus serta berbudi?
Sebabnya Cili Api berkata begitu ialah kerana Rais dan akhbar-akhbar yang konon berjuang untuk memperkasakan bahasa Melayu itu tidak pernah berdetuk atau berdetik apabila menteri dan pembesar berucap atau menjawab temuramah media dengan menggunakan sepenuhnya bahasa ibu JWW Birch.
Pernahkah mereka menegur Menteri Kewangan Kedua, misalnya, yang sentiasa memperkasakan bahasa Inggeris? Pernahkah Rais dan menteri-menteri sejawatannya mengkritik tidakan sewenang-wenang mengganti bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik?
Cili Api dengar dalam sidang Kabinet tiap-tiap pagi Rabu, bahkan juga dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, sering juga bahasa Inggeris digunakan bercampur aduk dengan bahasa Melayu. Tidak pernah pula Cili Api mendengar Rais Yatim mengkritik atau menegur mereka, apatah lagi mencerca. Jadi? But apa bising-bising saja?
SIKAP MENTERI KEWANGAN II
Beberapa hari lalu, Cili Api baca Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamad Yakcop, memberi nasihat kepada syarikat-syarikat tentang tanggung jawab sosial yang patut mereka lakukan. Ini bukan perkara baru, kerana sekarang ini ia sering diperkatakan oleh syarikat besar, kerana kononnya mereka sudah "sedar" dan mahu membetulkan kesalahan mereka selalu menipu serta menindas para pengguna dan para pekerja.
Cili Api setuju nasihat yang diberikan oleh menteri ini memang baik dan kena pada tempatnya. Tetapi adakah syarikat-syarikat akan "ambil apek" atau ambil peduli? Kalau tidak, apa yang Nor Mohamad atau Kerajaan boleh buat?
Sebenarnya keadaan ini sama saja dengan sikap menteri ini dan juga PM terhadap diri menteri duit yang kedua ini. Beliau pernah menjadi pegawai Bank Negara dan menjalankan spekulasi kewangan ke atas wang paun Biritish di bawah arahan mantan PM Dr Mahathir Mohamad. Akibatnya, negara kerugian lebih kurang RM20 bilion.
Beliau juga pernah juga menjadi Pengerusi Abrar, sebuah syarikat yang didakwa mempunyai hubungan dengan Anwar Ibrahim. Apabila tindakan undang-undang hendak diambil terhadap Abrar, selepas Anwar disingkir, Nor Mohamad Yakcop diselamatkan dari dakwaan.
Yang menarik sekali lepas itu mantan PM melantik beliau sebagai penasihat kewangan (untuk nasihat macam mana nak rompak kekayaan negara lagikah?). Aneh bin pelik ibnu ajaib, apabila PM Abdullah Badawi naik, beliau memilih Nor Mohamad Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua pula. Tidak kurang aneh, pelik dan ajaib dari tindakan PM Dolah meneruskan khidmat Samy Vellu dan Rafidah Aziz.
Selepas Tajuddin Ramli membawa kesnya dengan MAS ke mahkamah baru-baru ini, peranan menteri ini semasa di Bank Negara terbongkar. Tetapi adakah beliau mempunyai tanggungjawab sosial serta moral untuk meletakkan jawatan? Tentu sekali tidak. Dia dapat sokongan penuh daripada PM, bukan?
Selanjutnya tidakkah menteri kewangan kedua ini mempunyai tanggungjawab sosial dan moral supaya menggunakan bahasa Melayu. Cili Api lihat, setiap kali dia buka mulut, bahasa yang keluar ialah bahasa Inggeris. Tak tahu berbahasa Melayu ke? Atau merasa "stupid" jikalau mengunakan bahasa Melayu?
Cili Api tahu sebab sebenarnya mungkin Rais Yatim tidak akan menegur dan mengkritik sikap Nor Mohamad Yakcop yang konsisten memperkasakan bahasa Inggeris.
AIR MATA APA, KPN?
Sungguh mengharukan! Ketua Polis Negara yang baru, Musa Hassan menitiskan air mata apabila mengucapkan Selamat Jalan kepada KPN yang digantikannya. Cili Api yakin kerana jelas tanpa disuluh bahawa yang menangis ini bukannya adik beliau, pelakun Jalaludin Hasan, waktu melakonkan sebuah episod sedih dalam drama TV.
Tetapi Cili Api tidak dapat menyelami sanubari Musa untuk memahami mengapa sebenarnya beliau begitu sedih sehingga sebak dan menitiskan air mata. Adakah kerana ia bersuyukur kepada Allah kerana RahmatNya meletakkan beliau kepada jawatan polis yang tertinggi sekali dalam negara? Maklumlah, khabarnya beliau seorang yang warak, terutama sejak akhir-akhir ini.
Atau adakah beliau sedar tanggung jawab yang terpaksa dipikulnya sangat berat? Jenayah dalam masyarakat naik 13.3 % dalam tujuh bulan yang lalu. Jenayah ganas pula meningkat setinggi 23.8%. Siapa boleh jamin bunuh, rogol, ragut, rompak, dan lain-lain akan berkurang dengan hanya menambah peruntukan RM160 juta untuk mengatasinya?
Ataupun adakah beliau sedar isu korupsi bahkan keganasan di kalangan pasukan polis semakin teruk? Siapa tidak sedih jikalau tiada usaha untuk menaikkan gaji dan memperbaiki syarat perkhidmatan anggota-anggota polis? Kemudian, adakah isu Ipmc (suruhanjaya polis) untuk mengawal korupsi dan keganasan polis, misalnya, turut menghantui fikiran beliau?
Cili Api percaya semua perkara ini terbayang di hadapan mata Musa yang tertutup dan meleleh dengan air mata sewaktu memeluk bekas KPN Bakri. Tetapi ada satu perkara yang mengetuk-ngetuk dalam benak bodoh Cili Api. Adakah beliau sedar beliau dapat melompat tinggi kerana pada awalnya beliau dibantu oleh mantan PM Dr Mahathir?
Cili Api teringat, bukankah Musa yang bertanggungjawab mengusung dan mempamerkan tilam kotor berhari-hari ke mahkamah sewaktu kes Awar Ibrahim dibicarakan dengan cara begitu zalim sekali? Akhirnya, Hakim putuskan tilam itu tidak relevan!
Cili Api hendak tumpang tanya: Adakah Musa melelehkan air mata kerana kesal juga atas perbuatan beliau membantu menyibarkan fitnah sehingga Anwar dihukum penjara? Cili Api yakin dan percaya, sebagai seorang yang warak, tentu Musa sudah minta ampun daripada Allah.
Tetapi sudahkah beliau minta ampun daripada yang punya badan dizalimi? Agaknya, Anwar sendiri telah mengampukannya. Namun begitu ……. Cili Api tak tahu. Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun!
KEPULANGAN PAHLAWAN
Cili Api terperanjat gembira mendengar serombongan pemimpin serta ahli keADILan dibenarkan masuk ke kawasan Pangkalan Tentera Laut di Lumut untuk turut menyambut kepulangan rangka jasad dua orang pahlawan pembesar Melayu yang menentang penjajahan Inggeris, Ngah Ibrahim dan Muhammad Amin Alang Duakap.
Bersama Sultan Abdullah dan Uda Maamor, mereka ini dibuang negeri ke Pulau Seychelles atas tuduhan terlibat dengan pembunuhan JWW Birch, Residen British pertama di negeri Perak. British menjanjikan mereka akan disiasat dan dibicara di Singapura. Tetapi ini tidak pernah berlaku. Sebaliknya mereka terus dibuang negeri.
Pada tahun 1877, setahun selepas dibuang negeri, mereka memohon diampunkan oleh Queen Victonia, Maharaja British, atas alasan tidak pernah dibicarakan. Enam belas tahun kemudian Sulta Abdullah dibenarkan pulang ke Perak dan tinggal di sana sehingga tamat hayatnya dan disemadikan di Pusara Diraja, di Kula Kangsar. Ngah Ibrahim dan Muhammad Amin dihantar ke Singapura dan meninggal di sana. Tetapi sehingga sekarang tidak diketahui apa gerangan nasib Uda Maamor. Cili Api ingin tahu benar.
Masa di sekolah dulu, Cili Api diajar pembesar-pembesar ini penderhaka belaka. Mereka yang dituduh membunuh Birch, iaitu Si Pitum, Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pak Indut bukan saja menderhaka bahkan melakukan jenayah paling berat. Itu sebab mereka dihukum gantung. Empat orang pembesar yang diuang negeri itu dituduh sama-sama berkomplot merancang pembunuhan. Sesungguhnya mereka bukan penderhaka atau penjenayah tetapi pejuang bangsa.
Cili Api rasa sejarah perlu dibetulkan. Kononnya Birch dihantar ke Perak untuk menyelesaikan pergaduhan yang meluas berlaku di Perak waktu itu, membawa keamanan dan menasihat Sultan. Cili Api tidak pernah diajar sebenarnya penjajah British mengambil kesempatan dari keadaan tidak aman di Perak waktu itu untuk memulakan penaklukannya ke atas bumi Melayu Semananjung.
Ketika itu Britain memang sedang meluaskan jajahan takluknya. Perak merupakan sebuah negeri kaya dengan bijih timah dan banyak hasil cukainya. Seperti biasa, British berjaya menjalankan dasar pecah dan perintah untuk bertapak. Mereka melaga-lagakan golongan pembesar serta rakyat. Mereka membunuh atau membuang negeri pembesar atau pemimpin rakyat yang menentang, dan mengangkat sebagai boneka tanpa kuasa mereka yang sanggup menyokong atau bersekongkol dengan penjajah Britisih.
Birch memang selamanya menjadi pegawai jajahan; beliau pernah berkhidmat di Ceylon. Dia tidak faham bahasa dan budaya Melayu. Dia tidak silu-silu mengacau wanita-wanita (termasuk hamba) tempatan. Kelakuannya dibenci rakyat. Percubaaan British untuk meluaskan kuasa ekonomi dan politik penjajah tidak disukai oleh para pembesar. Cili Api tidak peliklah beliau akhirnya dibunuh dengan balingan tombak oleh Si Pitum! |
posted by jasindaily online @ 5:58 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|