DEMI MASA |
|
|
POLITIK WANG UMNO AKAN JADIKAN MALAYSIA KUBANG RASUAH |
Friday, September 15, 2006 |
Dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membersihkan politik wang tidak boleh dipercayai samasekali apabila orang yang dituduh melakukannya pula yang mahu menyiasat perkara itu.
Malah, politik wang di dalam parti itu akan membiakkan lebih banyak rasuah sehingga negara ini akan menjadi "kubang rasuah"
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mahu menyiasat dakwaan itu adalah petanda bahawa politik wang akan berterusan dalam Umno.
"Mahdzir adalah salah seorang yang dituduh terlibat dalam kempen yang dikaitkan dengan politik wang dalam pemilihan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu.
"Apabila dia sendiri yang mendakwa bahawa pemilihan itu bersih dan Umno Kedah yang diketuainya juga yang mahu menyiasat perkara itu, ia merupakan bukti yang amat jelas politik wang bukan sahaja tidak akan dihapuskan dalam Umno malah akan menjadi darah daging parti itu," kata beliau ketika dihubungi.
Mahdzir, yang dianggap "hulubalang utama" Abdullah di Kedah, dituduh terlibat dengan apa yang berlaku di Kubang Pasu itu apabila beliau dilihat begitu bersungguh-sungguh berkempen supaya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dipilih dalam pemilihan itu.
Sepatutnya, kata Mohamad Sabu, hanya Jawatankuasa Disiplin Parti itu sahaja yang boleh menyatakan pemilihan itu bersih selepas siasatan yang juga bersih dari penyelewengan dibuat.
"Kenyataan Mahdzir sebagai Menteri Besar dan Ketua Perhubungan Umno Kedah bahawa pemilihan itu bersih akan menyebabkan ahli-ahli yang mempunyai bukti dan ingin menceritakan perkara sebenarnya tidak akan berani tampil ke hadapan kerana tidak berani melawan Menteri Besar.
"Kenyataan seperti itu juga akan menyebabkan pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak lagi takut melakukan politik wang kerana selepas itu mereka boleh membuat kenyataan yang menyebabkan tidak ada siapa pun berani tampil untuk menyatakan sebaliknya.
"Sebab itulah sebarang kenyataan bahawa Umno akan dibersihkan dari politik wang, lebih-lebih lagi kenyataan Abdullah sendiri sebagai Presiden parti itu, tidak boleh dipercayai sama sekali dan boleh ditolak tanpa soal," kata Mohamad Sabu.
Politik wang dalam Umno, katanya lagi, akan menyebabkan jenayah rasuah di negara ini semakin parah kerana tidak ada lagi kuasa yang berwibawa untuk mengawalnya jika para pemimpin Umno sendiri mengamalkan rasuah untuk berpolitik, mencari kemenangan dan menghalang pihak yang tidak direstui.
"Rasuah akan membiakkan lebih banyak rasuah. Penyakit itu tidak mungkin dapat diubati apabila kuman yang membiakkannya pula yang mahu berlagak sebagai doktor untuk merawatnya.
"Rakyat mesti membuat keputusan tegas untuk menyelamatkan negara ini dari menjadi kubang rasuah," tegas beliau.
Dalam pemilihan itu, Dr Mahathir tidak terpilih sebagai salah seorang dari tujuh orang yang dipilih sebagai perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung parti itu apabila hanya mendapat tempat ke sembilan dengan 227 undi sahaja.
Bagaimanapun, anaknya Datuk Mukhriz memperolehi 289 undi menduduki tempat kelima daripada keseluruhan 15 calon yang bertanding.
Enam perwakilan lain yang turut menang adalah calon nombor empat Haji Ahmad Hamid (317 undi), calon nombor tiga, Setiausaha Umno Bahagian Kubang Pasu Haji Shamsudin Ahmad (311), calon nombor tujuh Mohd Fadzli Abdul Halim (296), calon nombor dua Haji Shuib Din (293), calon nombor lapan Zulkifli Yaakob (286) dan dan calon nombor 11 Abdul Manaff Kechik (270).
Sebanyak 472 kertas undi dikeluarkan, 10 undi rosak sementara satu tidak dikembalikan.
Dr. Mahathir mendakwa berlaku rasuah dalam pemilihan tersebut serta terdapat ugutan kepada kakitangan kerajaan supaya tidak menyokong beliau sebagai perwakilan.
Bekas Presiden Umno itu juga mendakwa mempunyai bukti slip senarai calon pilihan, iatu calon nombor dua, tiga, empat, tujuh, lapan, 11 dan 14, yang didakwa diedarkan kepada perwakilan bahagian itu dengan disertakan wang tunai RM200.
Kecuali calon nombor 14, Haji Mohamad Abdul Rahim, kesemua calon yang disenaraikan dalam slip tersebut telah dipilih.
Walaupun menolak wujudnya politik wang dalam pemilihan itu, Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dilaporkan sebagai menyifatkan pengedaran senarai sedemikian adalah "perkara biasa".
"Pada saya biasalah bila ada pertandingan, ada orang keluar senarai seperti itu, itu perkara biasa," katanya.
Bagaimanapun, para penyokong Dr Mahathir yang tidak berpuas hati mencabar Johari memberi penjelasan mengenai majlis yang diadakan oleh Johari dan Shamsudin bersama ketua-ketua zon di dalam sebuah bilik persidangan di Kelab Golf Darulaman pada jam 12.00 tengah malam selepas majlis ceramah kempen supaya jangan mengundi Dr Mahathir sebelum hari pemilihan.
Mereka juga mahu tahu apakah kandungan "sampul-sampul surat yang tersusun di atas meja dalam bilik persidangan tersebut".
Dalam sidang media selepas berakhirnya mesyuarat agung itu, Johari dilaporkan sebagai mengakui memang ada pertemuan di antara pihaknya dengan perwakilan pada malam 8 September di Kelab Golf Darulaman.
Itu pertemuan biasa, katanya, kerana sudah lama pihak cawangan mahu mengadakan pertemuan bersama beliau.
Apabila ditanya adakah sebab utama kekalahan Dr Mahathir berpunca dari pertemuan malam itu, Johari hanya menjawab itu adalah pertemuan biasa.
Ditanya adakah benar bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff juga berucap dalam pertemuan itu meminta perwakilan agar tidak mengundi Dr Mahathir, Johari tidak menafikannya dan hanya meminta wartawan bertanya sendiri pada Osman.
"Itu saya tak tahu, kena tanya sendiri pada beliau," kata Johari yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri .
Osman, yang juga salah seorang ahli Jawatankuasa Disiplin Umno, dikatakan berucap dalam pertemuan itu dan meminta supaya Dr Mahathir tidak diundi.
Seorang lagi bekas pengikut Dr Mahathir di Kubang Pasu yang dikatakan turut memberikan ucapan dalam pertemuan itu supaya Dr Mahathir tidak diundi ialah Datuk Saad Man yang digantung keahliannya dalam parti itu.
Selepas pemilihan itu juga, beberapa orang yang dituduh terlibat dikatakan telah menelefon mereka yang menerima apa yang disebutkan oleh Dr Mahathir sebagai sogokan dan diingatkan supaya jangan mengaku menerimanya.
Malah, para penyokong Dr Mahathir juga mendakwa, seorang perwakilan dari Umno Cawangan Kampong Darat ke mesyuarat agung Umno Bahagian Kubang Pasu itu telah mengaku menerima wang sogokan sebanyak RM200 di dalam sampul berwarna coklat, sekeping wang RM100 dan dua keping wang RM50 pada pagi 9 September di Dewan Wawasan dan seorang lagi perwakilan dari Umno Cawangan Kampong Paya Dudor juga mengaku menerima wang sogokan RM200 dalam sampul berwarna coklat. |
posted by jasindaily online @ 7:36 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|