DEMI MASA |
|
|
RASHID MAIDIN DALAM KENANGAN |
Monday, September 11, 2006 |
Al-Fatihah.... Kira-kira jam 10.45 pagi Jumaat 1 September yang lalu, seorang insan bernama Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah anak perempuannya di Si Sakhon dalam daerah Narathiwat, Thai Selatan. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Muhammadiah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Darul Salam. Marilah kita sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada rohnya.....
Siapakah gerangan manusia yang bernama Rashid Maidin ini? Secara ringkas, beliau ialah salah seorang pemimpin utama dalam Rejimen Ke-10 iaitu sebuah pasukan bersenjata Melayu yang didirikan pada 21 Mei, 1949 di Kerdau, Temerloh, Pahang untuk melawan tentera penjajah Inggeris di Malaya waktu itu.
Kira-kira empat tahun kemudian, Rejimen tersebut bersama-sama dengan pasukan sesaudara yang lain telah melakukan perpindahan strategik ke kawasan sempadan Malaya-Thailand untuk mendirikan basis. Mereka terus berada di situ hingga tamat perjuangan bersenjata hasil daripada Perjanjian Damai pada 2 Disember, 1989.
Akibat daripada pengaruh lama dari zaman penjajah dan prasangka yang berlarutan, ramai juga daripada mereka memilih untuk terus tinggal di sana. Salah seorang daripadanya ialah Rashid Maidin.
Dalam keadaan malang begini, Pak Rashid telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Ketika itu usianya sudah hampir 90 tahun. Alangkah bertambah sedihnya kita kerana dia terpaksa juga membawa pergi bersamanya entah berapa banyak rahsia perjuangan yang memang sudah lama terpendam di lubuk hatinya untuk dicurahkan. Sayang seribu kali sayang.....
Di samping itu, atas macam-macam sebab dan keadaan, tokoh perjuangan kemerdekaan ini hampir tidak pernah diperlakukan secara betul dan adil oleh pihak-pihak yang tertentu, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang buta sejarah.
Berdekad-dekad lamanya, dia adalah di antara puluhan ribu pejuang nasionalis dan patriotik tidak bernama yang dengan rela bermandi darah untuk melawan penjajahan Jepun dan Inggeris demi kemerdekaan tanahair.
Beliau terus-menerus mencurahkan seluruh jiwa raganya menentang segala bentuk penindasan manusia ke atas manusia dan memperjuangkan keadilan demi kesejahteraan rakyat jelata. Sumbangannya kepada negara dan bangsa adalah terlalu besar untuk dihitamkan begitu saja.
Kini, dia sudah tidak ada lagi. Tetapi, siapa sahaja yang bersikap jujur dan ingin mencari kebenaran dari kenyataan, tentu akan merasa terkilan dengan 'ganjaran' yang diterimanya sepanjang hayat - dan entah sampai bila lagi.
Untuk berlaku adil kepada semua pejuang kemerdekaan sama ada yang masih hidup atau sudah mati, kerajaan boleh membalas jasa mereka dengan hanya memberikan pengiktirafan yang sewajarnya peranan mereka dalam sejarah.
Dengan begitu, kerajaan bukan saja akan dapat menghilangkan prasangka yang tidak perlu berterusan lagi di kalangan sesetengah bahagian dalam masyarakat, bahkan akan memupuk perpaduan seterusnya demi masa depan negara Malaysia yang tercinta.
Syed Hamid Ali
|
posted by jasindaily online @ 5:50 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|