Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
MAHATHIR, TERBAKAR TIDAK MENJADI DEBU
Tuesday, September 05, 2006
Usaha kepemimpinan Umno, termasuk Majlis Tertinggi, menyekat atau, setidak-tidaknya, menyukarkan percubaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perwakilan biasa ke Mesyuarat Agung Tahunan Umno di Kuala Lumpur November ini tidak memeranjatkan langsung.

Yang pasti memeranjatkan adalah jika usaha sedemikian tidak dilakukan kerana walaupun kepemimpinan Umno dan Kerajaan sekarang menguar-uarkan komitmen kepada ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan, namun ia nampaknya keberatan untuk menghadapi sebarang bentuk pengauditan.

Malah terdapat tanda-tanda ia mirip kepada kawalan dan pemusatan kuasa, khasnya kuasa politik dan propaganda.

Jadi apa yang Dr Mahathir lakukan, bermula dengan kritikan terhadap pembatalan projek jambatan bengkok, penjualan MV Agusta dan pengagihan permit import kenderaan bermotor (AP), mencabar prinsip kawalan ini.

Pada pandangan saya, Dr Mahathir menyedari keadaan ini dan, dengan cara beliau sendiri, mengambil kesempatan daripada suasana kelam kabut dan bercelaru itu.

Pada mulanya Dr Mahathir tidak berasa perlu untuk menyimpang daripada aliran perdana kerana kegiatan dan hujah beliau diberi pendedahan yang sewajarnya oleh majoriti media massa arus perdana.

Tetapi ia tidak kekal lama. Menyedari bahawa hujah-hujah Dr Mahathir mula mempengaruhi pendapat umum, Kerajaan, khasnya para perancang dan pelaksana komunikasi Pejabat Perdana Menteri, mula mengenakan tekanan ke atas pengarang dan pengawal berita agar tidak lagi memberi ruang kepada Dr Mahathir.

Arahan itu, pada mulanya, dipatuhi oleh majoriti media massa arus perdana, khasnya yang dimiliki oleh Kerajaan dan Umno. Tetapi kesepakatan mereka terlerai apabila Dr Mahathir memperhebatkan kritikannya yang mendapat liputan luas daripada media massa asing dan laman-laman berita Internet tempatan.

Media massa arus perdana mendapati mereka tersepit di antara politik dan profesionalisme yang menyebabkan kewibawaan mereka tercabar. Hendak tidak hendak, antara takutkan tuan-tuan muda di Tingkat Empat Kompleks Perdana Menteri dan pemberontakan pembaca, mereka kembali melaporkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir tetapi dengan satu 'twist' iaitu mereka memutarbelitkan hujah-hujah beliau.

Ini memaksa Dr Mahathir mengubah strategi kepada membuat ucapan terbuka. Pilihan utama beliau adalah saluran rasmi atau yang ada kena mengena dengan Umno. Tetapi pintu kepada Umno tiba-tiba ditutup rapat.

Buat beberapa waktu beliau menerima jemputan daripada kelompok-kelompok di luar Umno dan Kerajaan. Sekali lagi percubaan dibuat untuk menggagalkannya. Beliau digambarkan sebagai pembelot parti yang bersekongkol dengan pembangkang.

Ketika semua taktik kasar (crude) ini dilakukan untuk menyekat beliau daripada bersuara, pemimpin-pemimpin tertinggi Umno dan Kerajaan tanpa segan silu berkata Dr Mahathir perlu menggunakan saluran parti jika mahu bersuara.

Mereka sekali lagi terperangkap apabila Dr Mahathir menyahut cabaran mereka dengan menawarkan diri sebagai calon perwakilan biasa Bahagian Kubang Pasu ke persidangan agung parti.

Dengan itu bermulalah kempen saraf yang rapi untuk menghalang pemilihan beliau di mesyuarat agung Bahagian Kubang Pasu pada 9 September ini.

Perwakilan bahagian dinasihatkan tidak mengundi beliau kononnya "untuk menjaga maruah Dr Mahathir sebagai bekas presiden Umno."

Mereka diberitahu bahawa adalah mengaibkan bagi Dr Mahathir dan parti jika bekas presiden itu dipilih sebagai perwakilan biasa. Jadi lebih elok beliau tidak dipilih.

Dr Mahathir menawarkan diri untuk bertanding menjadi perwakilan biasa apabila kebanyakan cawangan Umno Bahagian Kubang Pasu sudah bermesyuarat. Beliau berjaya mendapat 16 pencalonan.

Dalam sidang akhbar di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 4 September, Dr Mahathir berkata beliau tidak hairan jika percubaan saat akhir dibuat untuk menggagalkan pemilihan beliau.

Misalnya, kata bekas Perdana Menteri itu, dengan mengenakan syarat bahawa hanya calon yang memperoleh sekian peratus pencalonan cawangan sahaja boleh bertanding.

Apa pun keputusan pemilihan perwakilan Kubang Pasu Sabtu ini, satu hakikat yang terpaksa diterima ialah Dr Mahathir lebih daripada bersedia untuk terus berjuang.

Saya yakin setiap pemimpin kanan Umno yang ada kemampuan berfikir, mengakui bahawa Dr Mahathir bukan orang yang berprinsip "kalah jadi abu, menang jadi arang" atau boleh diperalatkan oleh sesiapa.

Lihat saja bagaimana beliau memberi kebebasan kepada anggota "Team B" dalam usaha mereka menjatuhkan beliau pada tahun 1987.

Dan bagaimana beliau menyelamatkan Umno pada tahun 1988, menerima kembali watak-watak yang berkerat rotan, berpatah arang dengan beliau, termasuk Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tetapi, antara abu dan arang, banyak tangan akan terbakar, mata pedih terkena asap dan hidung tersumbat terhidu debu.

Saya teringat kepada Persidangan Agung Umno tahun 1983, apabila selama tiga hari berturut-turut, Dr Mahathir diserang dan dikritik dengan hebat.

Banyak pemerhati ketika itu berasa bahawa hari-hari Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sudah terhitung.

Tetapi segala serangan dan kritikan itu tiba sepi apabila, dalam ucapan penggulungannya, beliau berhujah: "Kita dipilih untuk bekerja, jika kita tidak menjalankan kerja kita, kita boleh disingkirkan."

Dan Dr Mahathir tidak pernah berhenti bekerja.
posted by jasindaily online @ 9:41 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com