PULAU PINANG: Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ditegur perwakilan dalam Kongres Angkatan Muda Keadilan kerana tindakannya mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyokong Forum anjuran Artikel 11.
Menurut wakil Perlis Hasmuzair Hassan, isu yang dibangkitkan oleh kumpulan Artikel 11 cukup sensitif bagi orang Islam kerana matlamat kumpulan itu jelas untuk menarik kembali hak orang Islam yang jelas termaktub dalam perlembagaan.
"Malangnya Naib Ketua Angkatan Muda kita menyokong forum (Artikel 11) tersebut atas nama kebebasan bersuara. Kita sedih, dan keliru…inikah halatuju Angkatan Muda?"
Katanya, meskipun akhirnya isu tersebut telah dijelaskan oleh pimpinan tertinggi, tetapi ia dilihat agak terlewat.
"Kita pohon hal-hal sensitif sebegini haruslah diberikan perhatian sedalam-dalamnya dan bukan sekilas pandang," tegasnya ketika sesi perbahasan Ucapan Dasar Ketua AM, Ezam Mohd Noor pada Kongres Angkatan Muda ke-3, di sini, hari ini.
Sambil tersenyum Hasmuzir kemudiannya memberikan 'amaran' kepada pimpinan Angkatan Muda.
"Kepada pimpinan, ingat tahun depan tahun pemilihan. Tahun ini pimpinan berkuasa, tetapi tahun depan ahli pula yang berkuasa," disambut tepukan gemurah perwakilan.
Menjawab isu berkenaan dalam sesi pengulungan kemudiannya, Shamsul memulakannya dengan serangkap pantun:
Apabila Perlis membuka bicara, Seluruh perwakilan memberi tumpuan; Memang adat Angkatan Muda, Tidak gentar dengan kritikan. Menurut Shamsul, Angkatan Muda perlu konsisten dan jujur dengan prinsip perjuangan.
"Tahun lalu kita luluskan usul mewujudkan sebuah negara perlembagaan. Artikel 11 itu menjamin kebebasan beragama dalam (perlembagaan) Artikel 11.
"Kalau mereka hendak berforum, berbincang dan berbahas, apakah kita parti politik yang progresif kita hendak gunakan seluruh jentera polis untuk menghalang forum ini (seperti kenyataan pemuda Umno Johor) - sudah pasti tidak," katanya.
"Sebab ketika hendak berceramah, polis halang tidak beri permit, kita lawan polis, kita kata ini hak kita untuk bersuara. Dalam hal yang sama ini, kita kena tetapkan pendirian dan beri pandangan kita," tegasnya.
|