DEMI MASA |
|
|
PEDAS-PEDAS CILI API |
Thursday, August 31, 2006 |
KEBEBASAN KEHAKIMAN
Cili Api mengaku berasa gembira kerana cerita tentang penyingkiran Hakim Negara, Salleh Abbas dan dua orang lain, Hakim Pawanteh dan Hakim Seah, mulai terbongkar. Ini ekoran desakan Majlis Peguam supaya peristiwa ini dikaji semula.
Selepas desakan itu, Hakim Negara sekarang, Fairuz Sheikh Halim, membuat kenyataan beliau ingin melihat kehakiman menjadi institusi yang bebas, tidak terikat kepada kerajaan. Ini merupakan hampir kemuncak kepada rentetan peristiwa yang bermula beberapa bulan lalu, manakala bekas Hakim Syed Aidid membongkar “surat layang” beliau menuduh amalan korupsi yang terdapat di kalangan sebilangan Hakim.
Cerita "surat layang", yang sebenarnya bukan surat layang, kerana sipenulis memberikan namanya, kini boleh dikatakan sudah tenggelam. Yang timbul luas ialah kenyataan serta temuramah yang diberikan oleh bekas Hakim Negara Salleh Abbas. Ini sudah hampir-hampir kemuncak. Cili Api kira kemuncaknya akan sampai sekiranya kajian semula sepenuhnya dilakukan ke atas penyingkiran Salleh Abbas dan dua Hakim itu.
Dari dulu sampai sekarang banyak jari menuding kepada mantan PM Dr Mahathir Mohamad sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap penyingkiran itu. Tetapi berikutan temuramah Salleh Abbas, Mahathir membuat kenyataan menafikan beliau yang menyingkir Salleh bersama dua orang Hakim itu.
Dari segi teknikal memang betullah. Hakim Negara Salleh dilucutkan jawatannya selepas didapati bersalah oleh sebuah panel. Ada orang berkata waktu itu, anggota panel tersebut terdiri daripada "the best that money can buy" (yang terbaik boleh dibeli dengan wang). Siapa yang menentukan anggota panel itu? Tanyalah Mahathir. Tapi bisik-bisik saja. Jangan kuat, takut ampai orang lain dengar.
Kasihan mantan PM. Sejak dia membuka silat mencabar PM Abdullah penggantinya, macam-macam tembelang mulai pecah. Itu nasibnya bila tidak PM lagi. Tetapi beliau masih terus. Tidak mahu undur. Sebabnya? Seperti katanya, kalau berundur bererti mengaku salah. Tetapi seperti yang dimaksud dalam Quran, "Apabila datang kebenaran, luputlah kepalsuan". Cili Api akan tunggu untuk melihat mana benar dan mana palsu.
Cili Api gembira semua ini berlaku sebab berikutan penyingkiran tiga orang Hakim kanan itu, institusi kehakiman di negara kita bukan saja menjadi lemah, dan hakim-hakim menjadi penakut, Exekutif (kabinet), atau lebih tepat PM, kuat berkuasa.
Cili Api angkat tabik kepada Salleh Abbas apabila beliau berkata beliau hendak peristiwa penyingkirannya dikaji semula bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk menegakkan semula kebebasan kehakiman.
NAJIB BEREVOLUSI
Cili Api terpegun sekejap bila membaca kepala berita sebuah akhbar, DPM Najib Razak menyeru supaya rakyat berevolusi. Maklum sajalah. Najib sudah lama diam dan tidak muncul dalam media. Jadi, bila muncul, Cili Api sangka tentu ada sesuatu yang besar hendak diumumkan.
Cili Api sangkakan Najib menyuruh ahli-ahli Umno memulakan revolusi menjatuhkan PM Abdullah Badawi supaya dia cepat menjadi PM. Rupanya tidak. Najib menyeru supaya diadakan Revolusi Tandas! Baru keluar dari tandas mana?
Manakala Kerajaan manaikkan harga minyak beberapa bulan lalu, Najib menyeru supaya rakyat mengubah cara hidup. Mengubah cara hidup itu boleh dianggap sebagai satu revolusi juga, bukan? Sama seperti mengubah mental dianggap sebagai Revolusi Mental. Tetapi Najib tidak boleh menyeru memulakan Revolusi Rakyat untuk mengubah cara hidup rakyat. Najib tahu, kalau ada revolusi rakyat, dia sendiripun akan hanyut.
Najib tahu juga lebih selamat jikalau beliau bercakap tentang Revolusi Tandas. Apabila bercakap tentang tandas, tentulah kita bercakap tentang najis cair dan keras yang dibuang di dalam atau di keliling tongnya. Tetapi ada najis-najis lain, seperti korupsi, penyelewengan dan maksiat. Najis is biasanya di luar tandas, tetapi agaknya mungkin berlaku dalam tandas juga. Betul tidak Najib?
Ramai pemimpin kerajaan sekarang ini bergelumang dengan najis-najis di luar tandas itu, terutama sekali korupsi. Cili Api lebih gembira jikalau Najib memulakan tindakan mengubah diri sendiri dan juga pemimpin-pemimpin Kerajaan bersamanya untuk berevolusi menghapuskan najis luar tandas itu. Nak panggil ini apa? Revolusi Najis atau Revolusi Suci? Terserahlah kepada siapa yang menulis ucapan dan mencipta slogan!
Berbalik kepada Revolusi tandas itu, Cili Api memang menyokong juga. Cili Api tahu benar, bukan saja tandas awam, tetapi tandas di pejabat-pejabat kerajaan, di mahkamah-mahkamah, di hotel-hotel dan juga di pusat-pusat perniagaan, banyak juga yang cemar. Bukan saja najis tersumbat atau berselerak pada pot. Tetapi terdapat juga bermacam-macam lukisan dan tulisan lucah di dinding.
Najib bermadah, tandas kotor menunjukkan peradaban rendah. Cili Api kurang setuju. Sebab tandas paling bersih ialah di tepi sungai. Tetapi tidak bererti masyarakatnya mempunyai peradaban tinggi. Tapi tidak guna berbalah tentang hal ini.
Cili Api pernah mendengar satu teori. Tandas kotor ada kaitannya dengan masyarakat yang terkongkong, tidak mempunyai ruang kebebasan. Sebab tiada ruang lain untuk membantah, mereka membantah dalam tandas. Cili Api pun tidak setuju dengan teori ini. Tetapi buat apa bertengkar? Lebih baik pantau saja Najib dengan revolusi tandasnya.
MEMARTABATKAN WANITA
Cili Api selalu mendengar orang mengatakan martabat wanita dalam negara ini tidaklah begitu rendah, disbanding dengan keadaan di banyak negara sedang membangun. Akan tetapi, bila bercakap-cakap dengan wanita yang aktif dan sedar memperjuangkan hak mereka, masih banyak lagi kekurangan yang terdapat.
Ada di antara mereka, melalui NGO yang mereka sertai cuba mempengaruhi Kerajaan membuat perubahan. Mereka sering melakukan demikian melalui Menteri Wanita, sebab kabarnya beliau ini kekurangan idea, tetapi tidak bodoh sombong dan mahu mendengar orang lain juga sedikit.
Selain itu, dalam banyak hal fikiran yang dikemukakan oleh parti-parti pembangkang mengenai hak dan taraf wanita lebih maju daripada pandangan yang dipegang oleh kebanyakan pemimpin parti Kerajaan. Itu sebab kita lihat, dalam manifesto bersama parti-parti pembangkang untuk pilihanraya tahun 1990 dan 1998, soal wanita mendapat kedudukan teristimewa.
Mungkin semua ini menimbulkan kesedaran di kalangan pimpinan Kerajaan. Beberapa modal pembangkang telah diambil oleh Umno-Bn menjadi modal mereka sendiri. Baru-baru ini Cili lihat dalam media, PM Abdullah membuat pengumuman kabinet bersetuju membentuk tiga jawatankuasa untuk mengkaji peraturan serta undang-undang berkaitan dengan gender – khusus taraf wanita.
Salah satu dari jawatankuasa ini akan mengkaji undang-undang berhubung pekerjaan.Cili Api tahu ramai wanita sangat prihatin tentang soal pekerjaan. Sekarang ini wanita yang berkelulusan dan berkebolehan tinggi bertambah; dalam beberapa sektor wanita lebih ramai daripada lelaki.
Mereka bukan saja mahu peluang pekerjaan yang sama dengan lelaki, bahkan mahu lebih banyak peluang jawatan tertinggi dibuka kepada mereka daripada sekarang. Selain peluang pekerjaan, mereka juga mengambil berat tentang syarat-syarat perkhidmatan, terutama sekali yang melibatkan cuti bersalin dan sebagainya.
Tetapi, pihak Kerajaan masih belum dapat memenuhi banyak tuntutan wanita. Misalnya, tuntutan wanita agar sekurang-kurang jawatan untuk wanita dalam lingkungan 30 peratus masih belum diterima di peringkat tertinggi sebab lelaki monopoli. Begitu juga cuti bersalin selama 84 hari masih tidak dilaksanakan kerana ada majikan yang menentang.
Cili Api rasa, peraturan dan undang-undang saja tidak cukup. Yang penting apa isinya. Dan bagaimanakah keazaman Kerajaan hendak melaksanakan tuntutan adil wanita untuk menaikkan martabat mereka. |
posted by jasindaily online @ 4:48 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|