Memetik artikel Nik Abdul Nik Aziz dalam Harakah keluaran terbaru, saya dapat membayangkan betapa sukarnya Pn. Sles Monira serta isteri-isteri tahanan lain berjuang meneruskan kehidupan tanpa suami. Suka saya menyebut bahawa anda tidak akan dibiarkan bersendirian dalam menangani tindakan zalim kerajaan draconian Umno - BN.
Sebuah gerakan yang bersifat menyeluruh wajib direncana bagi mengenakan tekanan terhadap kezaliman si 'pencari Al-Ghazali' dan peon-peonnya. Untuk membuktikan bahawa anggota parti pembangkang, NGO dan gerakan siswa benar-benar komited memperjuangkan hak tahanan untuk dibebaskan / mendapat pengadilan di mahkamah, maka di sini saya mencadangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh semua penyokong Gerakan Mansuhkan ISA.
1.Setiap kali solat Jumaat, anggota pembangkang Muslim boleh menggunakan hari itu untuk mengedar risalah yang memuatkan fakta ISA, petikan kata orang-orang yang mempertahankan ISA (Pemimpin Umno BN), fakta cara pelaksanaan hukuman ISA, gambar-gambar keluarga mangsa ISA, berita terkini mangsa ISA dan apa saja isi-isi penting yang boleh mengaitkan ISA dengan tindakan mala-fide parti pemerintah. Edarkan risalah tersebut hingga ke peti surat kediaman penduduk. Jadikan ISA sebagai propaganda pembangkang dan perang saraf dalam pilihan raya nanti. 2.Setiap hari Jumaat minggu ketiga diisytiharkan sebagai Hari Pembelaan Rakyat. Bukan sahaja pembelaan terhadap mangsa ISA, tetapi juga kepada rakyat marhaen yang majoritinya berpendapatan rendah bawah RM 1 500 sebulan. Sejak kenaikan harga petrol baru-baru ini kita dapat lihat rakyat semakin tersepit dan terpaksa mengurangkan perbelanjaan demi menampung hidup. Satu lagi projek kerajaan Barisan Nasional - menganiaya rakyat.
3.Mendesak Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberi penjelasan mengenai penyalahgunaan kuasa beliau dalam menghukum tahanan tanpa melalui sebarang proses yang sah dari sudut perundangan negara.
4.Menggabungkan semua peguam yang cintakan demokrasi dan anti kepada kezaliman untuk menubuhkan sebuah gerakan khas bagi mempertahankan kebebasan rakyat bersuara / mansuhkan ISA. Dicadangkan MP Tuan Karpal Singh sebagai Pengerusi.
5.Menggantungkan poster / banner mansuhkan ISA di tempat-tempat awam bagi membawa mesej kepada pemerintah bahawa kita memang serius mempertahankan golongan yang teraniaya.
6.Memberi penjelasan kepada golongan mahasiswa tentang isu-isu semasa termasuk isu tahanan ISA ini. Ia penting kerana mereka adalah pengundi bagi pilihan raya akan datang. Tanpa sebarang pendedahan yang sewajarnya, harapan kita untuk mengtong-sampahkan BN dalam pilihan raya ke-12 nanti hanya tinggal angan-angan Mat Jenin.
7.Anggota-anggota parti pembangkang disarankan bersama-sama berusaha menonjolkan bantahan dengan menghantar SMS atau surat ke media perdana sebagai satu bentuk desakan dan pendirian tegas kita untuk memansuhkan akta-akta yang bersifat draconian seperti ISA, OSA, Akta Percetakan dan AUKU. Anggaran kekuatan pembangkang adalah sekitar 3 juta orang. Jika semua orang membantu meniup isu ini nescaya perjuangan kita akan menjadi lebih mudah dan tersusun. Semuanya bergantung kepada komitmen kita, segalanya mungkin andai kita bersatu hati dalam perkara ini.
Bersama-samalah kita berusaha menewaskan Keris Khianat dan Dacing Berkarat di dalam pilihan raya mendatang. Cemerlang, Gemilang, Temberang. Bezakanlah antara parti yang bertaraf kaca retak dan gerakan reformasi yang bernilai permata. Cukuplah ditipu dan dikhianat oleh BN yang angkuh memerintah setengah abad. Tiada kerajaan yang akan kekal di dunia ini. Insya Allah BN zalim akan tumbang jua satu masa nanti sebagaimana tumbangnya Marcos, Shah Iran, Suharto dan lain-lain.
Akhirul kalam jangan biarkan diri anda bersekongkol dengan pemimpin yang hanya pandai bermuka-muka seperti Perdana Menteri kita Dollah Badawi. Mencari Al-Ghazali konon......
|