DEMI MASA |
|
|
PENGERUSI SPR DISIFATKAN 'KEPALA HANTU' DIDESAK LETAK JAWATAN |
Tuesday, September 05, 2006 |
PULAU PINANG : Keadilan mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Tan Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Setiausahanya Datuk Kamarulzaman Mohd Noor meletakkan jawatan kerana gagal mengendalikan pilihan raya negara ini secara adil dan telus.
Desakan itu dibuat oleh Naib Presidennya, Azmin Ali ketika berucap pada sesi ucapan penggulungan Kongres Tahunan Nasional ke-3 parti itu, di Hotel Equatorial, sini, Ahad.
Azmin turut mengisytiharkan Pengerusi SPR itu sebagai 'Kepala Hantu'.
"Saya mengisytiharkan pada Kongres Parti Keadilan Rakyat, Tan Seri Rashid Abdul Rahman adalah 'Kepala Hantu' dalam pilihan raya negara ini," tegasnya yang juga Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP).
Pengisytiharan itu ekoran kenyataan Rashid (Berita Harian 10 Ogos 2006) yang menyifatkan SISMEP12 yang dibangunkan JPRP sebagai 'gimik politik' dan menafikan kewujudan pengundi hantu dalam daftar pemilih SPR.
SISMEP12 atau Sistem Menang Pilihan raya 12 adalah sistem perkomputeran yang berperanan membaca dan menganalisa data secara saintifik dan sistematik.
Sistem itu juga berupaya membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua - berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tiada Kad Pengenalan baru.
Tegas Azmin, kewujudan pengundi hantu bukan sekadar dakwaan parti politik tetapi telah disahkan oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, pada 2001 yang membatalkan keputusan pilihan raya Likas 1999 yang dimenangi calon Barisan Nasional.
Beliau selanjutnya membacakan laporan keputusan Hakim Mohd Kamel yang mengesahkan kewujudan pengundi hantu secara berleluasa dalam daftar pemilih SPR.
Dalam ucapan selama 30 minit itu, Azmin bertegas mengatakan daftar pemilih SPR 'tidak bersih.'
Beliau memberikan contoh bagaimana nama Allahyarham bapanya yang dikeluarkannya pada daftar pemilih 1999, boleh wujud kembali pada daftar pemilih 2004.
Bahkan katanya, SISMEP12 turut mengesan nama tujuh pengundi Tionghua yang tidak dikenali menggunakan alamat rumah ibunya.
Melalui SISMEP12, Azmin turut mendedahkan 100 pengundi menggunakan alamat palsu beralamat Tingkat 35, Blok 10, Unit 15, Pangsapuri Kelang Gate.
Padahal, katanya kawasan perumahan berkenaan tidak wujud bangunan pangsapuri.
"Kalau ini bukan hantu wahai Rashid, apa namanya?" ujarnya.
Berikutan itu, Azmin menyifatkan kenyataan Rashid seolah-olah kenyataan daripada Ketua Umno Cawangan.
"Oleh itu satu lagi pengisytiharan yang hendak saya buat terhadap Tan Seri Abdul Rashid, kalau beliau berminat menceburi politik-letak jawatan Pengerusi SPR dan masuk Umno," tegasnya yang mendapat tepukan gemuruh lebih 2000 perwakilan dan pemerhati.
Berikutan kepincangan SPR tersebut, pihaknya akan menyerahkan laporan bertajuk “The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections” kepada 85 kedutaan asing berpusat di Kuala Lumpur pada 4 September.
Kongres selama dua hari yang bermula 2 September berakhir semalam, turut diikuti oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di samping Saifuddin Nasution Ismail bersama para pemerhati di bahagian belakang dewan.
Kongres berkenaan telah disiarkan secara langsung oleh Malaysia Today. |
posted by jasindaily online @ 3:44 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|