DEMI MASA |
|
|
JALAN KE ARAH PERPADUAN |
Tuesday, September 05, 2006 |
Awal kata: Kaum (dan bangsa) merupakan faktor utama dalam percaturan politik. Adalah lebih baik mengakui hakikat ini dan berusaha memperbaikinya daripada mengimpikan aturcara khayalan yang tidak akan dapat dilaksanakan. Britain telah menganugerahkan kemerdekaan kepada Malaysia dengan syarat dan dengan janji bahawa rakyat Malaysia tidak akan bermusuhan sesama sendiri sebaik sahaja dibebaskan daripada belenggu penjajahan. Setelah melalui pancaroba yang mencetuskan kemerdekaan India, Britain tidak mahu tangannya bergelumang dengan darah lagi. Memang berlaku juga pertumpahan darah disebabkan pergeseran kaum di Malaysia, seperti yang berlaku dalam satu masa singkat sejurus Jepun menyerah kalah.
Britain percaya bahawa ancaman kepada kestabilan Malaysia tidak akan berpunca daripada serangan komunis yang masih cergas ketika itu tetapi daripada rakyat Malaysia yang bermusuhan sesama sendiri. Seorang penjudi yang berpengalaman pasti tidak akan bertaruh menentang Britain.
Kita harus menyanjungi pemimpin kita yang terdahulu kerana berjaya menunjukkan secara berkesan bahawa rakyat Malaysia mampu hidup seiring bahu tanpa perlu diawasi oleh kerajaan British. Malangnya, disebabkan uforia Merdeka, semangat kefahaman yang sama-sama dikongsi, pengorbanan dan saling tolak-ansur telah dianggap sambil lewa dan tidak pun dicerna. Setengah abad kemudiannya negara menghadapi risiko dirobek oleh gelagat keangkuhan para pemimpin kita. Alangkah ironis jadinya keadaan ini!
Perpaduan melalui Kapitalisme
Ramai yang masih naïf dengan kepercayaan kalaulah rakyat Malaysia dapat menggunakan bahasa yang sama, mengongsi budaya yang serupa, ataupun menganut agama yang sama, perpaduan negara menjadi lebih mudah dikekalkan. Yang lain berfantasi bahawa kalaulah parti-parti politik tidak berasaskan perkauman, integrasi perkauman dapat dipercepatkan. Orang Melayu akan masih berpaut kepada harapan kalaulah kita ikuti ajaran Islam yang "suci" dan "benar", kita akan bersatu dan segala masalah akan menghilang begitu sahaja.
Kepercayaan yang penuh khayalan ini adalah disebabkan pemikiran songsang, ataupun kalau kita petik kata-kata Lord Bauer: "sikap mengabaikan secara menyeluruh hakikat yang nyata". Orang Korea mengongsi pusaka budaya dan bahasa yang sama namun ini tidak menyekat mereka untuk berbunuh-bunuhan sesama sendiri kalau diberikan peluang sedikit. Janji kewujudan perpaduan yang lebih meyakinkan bukanlah melalui budaya, bahasa, politik ataupun agama tetapi ekonomi, dan yang lebih penting lagi perusahaan yang terbuka.
Kapitalisme ialah sistem ekonomi yang paling cekap untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan, dan merupakan alat yang paling berkesan untuk mencipta perubahan sosial dan budaya yang bermakna. Apabila rakyat Malaysia melihat satu sama lain dan dunia ini bukan melalui sudut perkauman ataupun kenegaraan tetapi sebagai bakal pelanggan, rakan niaga dan sumber modal, kefahaman dan seterusnya kedamaian akan menyusul juga.
Perdagangan bebas adalah alat terbaik untuk meruntuhkan halangan perkauman dan yang lain-lain. Kapitalisme tidak memilih perbezaan antara perkauman, asal usul kenegaraan, kecenderungan politik ataupun kepercayaan beragama. Keuntungan tetap merupakan keuntungan juga, baik dari bangsa sendiri mahupun daripada orang asing.
Saya menjangka bahawa sosialisme bersama segala kesaksamaan akan menyatukan semua orang. Sosialisme gagal di Malaysia dan di tempat lain. Sosialisme gagal di Malaysia kerana ia bersekongkolan dengan komunisme yang berkonsepkan atheisme. Pembabitan puak komunis yang menggunakan keganasan semasa darurat dahulu sudah tentu tidak dapat membantu.
Dasar Ekonomi Baru telah menjulang orang Melayu ke aras kapitalisme. Dengan wujudnya kelas orang Melayu yang berniaga, mereka mula melihat orang lain tidak semacam pendatang tetapi sebagai bukan Melayu dan sebagai bakal pelanggan dan sekutu perniagaan. Mereka telah mewarnai perspektif berbeza terhadap keadaan yang ada.
Sebagai kepastian, orang Melayu (khususnya mereka dalam UMNO) amat baru sangat menerima kapitalisme. Istilah kaum kapitalis satu ketika dahulu dianggap sebagai 'pejoratif' ataupun menghina, dengan sindiran peniaga yang tidak berhati perut seperti yang wujud di zaman Dickens dahulu. Inilah peniaga yang menghisap darah kerana nafsu haloba bila berniaga. Lagi pun, para kapitalis ini adalah juga penjajah dan kerana itu amat mudah untuk membenci mereka. Dengan wujudnya kelas Melayu kapitalis yang dibantu oleh Negara, kapitalisme sudah mengharum dengan wangian yang baru walaupun ia dari jenis yang berjenama kroni ataupun proksinya.
Di Malaysia hari ini krisis ekonomi tidak lagi dikaitkan kepada isu perkauman. Ketika krisis ekonomi meledak pada 1997 dahulu tidak ada pun riak perkauman yang membuak walaupun kebanyakan petaka yang melanda banyak mengenai orang Melayu yang kaya-raya. Begitu juga dengan pengurangan subsidi minyak yang menyiksa semua pihak. Kesannya menekan semua kaum dan menjejaskan ekonomi sesiapa sahaja tanpa perkaumannya.
Kerajaan menggalakkan integrasi dalam sektor perniagaan. Memang elok dipuji usaha ini. Malangnya cara kerajaan menggalakkannya adalah cara yang tidak kena. Sebagai contoh, syarikat yang tersenarai mestilah mempunyai penyertaan bumiputera sekurang-kurangnya sampai 30 peratus. Peraturan ini tidak ada salahnya kalau pasaran dibenarkan memilih siapa bumiputera yang bernasib baik itu. Apabila penyertaan Bumiputera itu menjadi pilihan pegawai Kementerian Perdagangan, skim yang patut dipuji itu merudum menjadi satu sistem naungan politik yang berbaur rasuah.
Pendekatan yang lebih masuk akal ialah menggunakan ciri-ciri pemilikan dan penyertaan pekerja sebagai satu kriteria semasa memberikan kontrak. Syarikat Amerika semakin sedar betapa kepelbagaian di tempat kerja mempunyai habuannya yang tersendiri, selain mempunyai kemudahan untuk melakukan sesuatu yang betul. Korporat Amerika semakin berjaya menyisihkan saingan syarikat Eropah dan Jepun di Afrika kerana kebanyakan pegawai syarikat Amerika itu adalah berkulit hitam. Begitu juga halnya di China di mana syarikat Amerika giat mengambil rakyat Cina-Amerikan sebagai pegawainya.
Kedai runcit di Malaysia selalunya dikuasai oleh orang Cina. Selalunya mereka menggaji kaum mereka sendiri. Cara yang baik untuk mendinginkan kegiatan mereka dan pada waktu yang sama menikmati sektor kedai-runcit yang berkesan ialah dengan membuka industri itu kepada saingan asing seperti Carrefour dan Wal-Mart. Carrefour mempunyai dasar mengambil pekerja yang patut dicontohi; kerana ia aktif mengambil orang Melayu yang berkelayakan untuk kerja biasa dan pengurusan. Malangnya, kerajaan tidak menggalakkan kegiatan ini malahan menyekat perkembangannya, tentulah kerana pengaruh ‘politik wang’ yang mempengaruhi ahli politik UMNO oleh para peruncit Cina.
Begitu juga dengan perniagaan pinjam meminjam secara kecilan, syarikat kewangan dan bank melupakan para pelanggan yang tidak mempunyai kredit yang berwibawa. Mereka ini tidak punyai alternatif kecuali pergi ke kedai pajak gadai, Ah Long (ceti haram) dan golongan chettiar yang mengenakan faedah 'bunga' yang tinggi. Kebanyakan mereka ini adalah operasi dan perniagaan bukan-Melayu, termasuklah kaki-pukul yang mereka gunakan untuk mengutip hutang. Seandainya Malaysia membuka pasaran ini kepada peminjam asing seperti AIG yang memang pakar dalam pemberian pinjaman kelas 'sub-prime' seperti banyak lagi syarikat lain di Amerika, sudah tentu mereka akan mengambil ramai anak Melayu, lebih ramai daripada yang digunakan oleh peminjam wang etnik yang ada.
Kalau perkara ini gagal juga, rakyat Malaysia harus memboikot syarikat etnik ini yang memilih orang mereka sahaja untuk berkhidmat dengan mereka tanpa memikirkan komposisi masyarakat Malaysia. Kalau boikot semacam itu diberikan liputan meluas sudah tentu ia akan menukar cara pengambilan pekerja dan juga corak pemilikan perniagaan ini lebih berkesan lagi daripada apa yang diingini oleh kerajaan.
Jangan perlekeh kuasa pasaran
Parti Berasaskan Kaum dan Penyelesaiannya .
Saya mengharapkan agar orang politik tidak akan sengaja menyalahgunakan naluri perkauman para pengikutnya. Namun, saya akan berhujah sebaliknya, dan mengatakan bahawa parti politik yang diasaskan perkauman menyumbang kepada keharmonian kaum. Mereka menentukan bahawa golongan minoriti mempunyai wakil dalam kerajaan. Seseorang daripada kaum India tidak akan dapat menyandarkan harapan untuk memenangi satu kerusi Parlimen apa lagi menjadi seorang menteri kerana tidak wujud kawasan pilihan raya di mana pengundi India adalah yang dominan. Wujudnya menteri daripada kaum India hari ini semata-kata kerana parti kaum India itu menganggotai gagasan pemerintah.
Orang politik sudah pun sedar kini bahawa setiap parti politik itu sama ada berasaskan perkauman ataupun tidak, mesti menjangkau melepasi kumpulan perkauman mereka untuk mendapatkan kuasa. Semasa muktamarnya yang terakhir PAS telah menerima satu resolusi membenarkan orang bukan-Islam menganggotai parti, dan ini adalah satu pengakuan yang amat mengejutkan.
Perundangan Amerika telah melahirkan konsep 'Gerrymandering' (mengubah kawasan pilihan raya) untuk menentukan kemenangan wakil minoriti. Di Malaysia formula yang digunakan sekurang-kurangnya lebih telus, dan sudan tentu dianggap lebih demokratik. Yang lebih penting lagi, ia berjaya. Dengan cara bersatu dalam satu gagasan, parti yang berasaskan kaum dapat menjamin bahawa kuasa politik itu dapat dikongsi bersama.
Dewan Senat yang dianggotai anggota yang dilantik adalah lebih menyerlahkan komponen masyarakat Malaysia berbanding Dewan Senat di Amerika. Ini adalah satu perkara di mana Malaysia mengungguli Amerika.
Secara perbandingan lebih ramai orang Melayu di Singapura berbanding orang India di Malaysia. Gara-gara menggunakan model Malaysia, orang India lebih menonjol dalam arena politik di Malaysia berbanding orang Melayu di Singapura. Gambaran yang suram ini berulang lagi di ratau ini. Orang Melayu merupakan golongan minoriti di Thailand (tetapi merupakan majoriti di bahagian selatan) tetapi bukan senang melihat perkara itu hanya dengan melihat kepada senario poltiiknya; begitu juga dengan masyarakat Islam di Filipina. Pernahkah terfikir kenapa mereka mempunyai pergerakan yang cergas mahu berpisah daripada kerajaan pusat?
Isu yang menghantui masalah perkauman di Malaysia bukannya terletak kepada mengetepikan formula yang ternyata berjalan licin berasaskan parti berbaur perkauman, tetapi dengan memperkasakannya.
Harus dipertingkat usaha kerjasama antara para pemimpin, dan mereka mesti dilihat sama-sama berusaha. Mereka harus mengepalai usaha menggembleng anggota seperti ini agar berusaha membangunkan negara dan bukan semacam sekarang ini lebih kepada memuaskan kehendak golongan ekstremis di kalangan pengikut mereka.
Sudah kerap sangat selama ini seseorang calon UMNO yang berjaya menumpukan usaha untuk menjuarai perjuangan Melayu. Contoh yang paling hodoh pernah ditunjukkan oleh Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Pendidikan Hishamuddin Hussien ketika dia berlagak garang menghunus keris yang dilumuri sos ‘ketchup’ untuk menunjukkan keazaman beliau laksana seorang Hang Tuah moden.
Isu perkauman masih menjadi actor utama dalam percaturan politik dan akan menjadi begitu untuk satu tempoh yang lama. Adalah lebih baik memperakukan hakikat ini dan bersusah-payah memperbaiki keadaannya dari mengimpikan sesuatu yang impian yang tidak menentu kesannya. Malahan di kalangan negara demokrasi yang matang seperti Amerika, soal kaum tidak pernah jauh daripada pertimbangan politik.
Penyelesaian yang lebih baik adalah untuk memberi tumpuan kepada ekonomi dan bukannya politik. Kita semua tergolong sebagai konsumer ataupun pengguna dan sudah tentu kita mahukan harga barang turun dan perkhidmatan yang lebih baik. Kemestian ekonomi melepasi sebarang batasan perkauman, kenegaraan dan kelas. Inilah matlamat yang elok dihambat sempena ulang tahun Keemasan Malaysia Merdeka tahun hadapan.
Merdeka!
|
posted by jasindaily online @ 3:47 AM |
|
1 Comments: |
-
Gerrymandering berlaku juga di Malaysia. malah ianya masalah yang berat. Bagaimana lagi kerajaan BN mampu mengekalkan majoriti 2/3 nya walaupun tidak pernah dalam sejarah Malaysia mendapat 2/3 daripada jumlah undi?
|
|
<< Home |
|
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|
Gerrymandering berlaku juga di Malaysia. malah ianya masalah yang berat. Bagaimana lagi kerajaan BN mampu mengekalkan majoriti 2/3 nya walaupun tidak pernah dalam sejarah Malaysia mendapat 2/3 daripada jumlah undi?