Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
BUSH HANYUT DARI PENGKALAN REALITI
Monday, September 11, 2006
Dua pemimpin yang paling berbahaya dalam dunia ini ialah George W. Bush dan Kim Jong Il dari Korea Utara. Cahaya kelihatannya ghaib dari batu jemala kedua-dua lelaki ini. Tidak seorang pun dari mereka yang mampu melihat dunia sebagaimana ia wujud.

Saya berharap untuk menekankan perkara ini. Ianya bukanlah persoalan mempunyai pendapat yang berbeza. Orang yang waras dengan mudah boleh tidak bersetuju akan apakah polisi yang betul. Apabila orang melihat perkara yang tidak pun wujud, walau apapun alasan serta perdebatan ianya hanyalah sia-sia sahaja. Ianya seperti seorang yang nyanyuk yang percaya seseorang sedang bersembunyi dalam bonet kereta. Tidak akan ada penerangan walaupun sekukuh mana pun mampu meyakinkan orang seperti itu.

Bagi presiden menyamakan Osama bin Laden, seorang sewel dengan mungkin seribu pengikut yang bertaburan seluruh dunia, dengan Adolf Hitler dan Vladimir Lenin ialah keterlaluan, mengarut malah mengundang ketawa. Apatah lagi untuk mencadangkan yang Osama boleh menawan Iraq. Kita mempunyai 140,000 tentera, angkatan laut serta Angkatan Udara, dan kita tidak pun mampu "menguasai" Iraq. Mana mungkin Osama boleh melakukannya tanpa memiliki bala tentera? Lagi pun, beliau hanyalah seorang penganut Sunnah dengan beberapa kerat pengikut di kalangan penganut Sunnah sedangkan majoriti penduduk Iraq adalah penganut Shiah.

Manusia dikawal oleh mindanya. Kita tidak mampu mengangkat sebatang pensil atau menggaru telinga kita tanpa otak terlebih dahulu mengarahkan badan kita melakukannya. Minda ialah alat untuk kelangsungan hidup, dan kita berjaya mengharungi hidup dengan mengenalpasti realiti dengan tepat. Seringkali apabila kita gagal mengenal realiti dengan tepat, ianya membunuh kita, seperti mana seseorang yang percaya betapa ia boleh melepasi lintasan kereta api tatkala kenderaan itu meluru tiba.

Namun bukan setakat ianya lebih serius dari perbezaan pendapat, ianya jauh lebih serius dari berbohong. Orang waras boleh menipu. Jurujual kereta terpakai tidak benar-benar percaya yang terak pikup dengan ekor tupai terikat pada antena dan dadu styrofom tergantung di cermin pandang belakang dahulunya digunakan oleh guru tadika yang telah bersara. Beliau hanya berharap agar kita dengan lurus bendul mempercayainya.

Ahli politik menipu sepanjang zaman, kerana mereka mahu menanam pandangan sontot akan hakikat dalam minda anda, jika tidak anda akan nampak akan kebenaran betapa haprak nya mereka. Saya sering berkata satu-satunya perbezaan antara Richard Nixon dan Jimmy Carter ialah apabila Nixon berbohong, beliau tahu yang ia sedang berbohong. Manakala Carter pula seolah-olah percaya dengan kelentungannya sendiri.

Usahlah kita bermain kata. Apakah saya berkata yang presiden seorang yang sakit otak atau gila? Tidak, bukannya secara perubatan. Namun sekiranya bedebah itu percaya yang Osama, Hitler, Stalin dan Lenin boleh disamakan, sekiranya ia percaya yang ia sedang mengepalai dunia bebas ke kancah perang ideologi yang hebat pada abad ke 21, lalu ia telah pun memotong rantai sauh kapalnya dan terus hanyut ke Lautan Khayalan.

Karl Menninger, salah seorang pakar sakit jiwa yang tajam, telah mendefinisikan waras sebagai berada dalam realiti, namun beliau menegaskan yang semua orang sekali-sekala akan terpisah dari realiti. Kita melakukannya tatkala kita bermimpi, kita melakukannya ketika kita berangan-angan, kita melakukannya ketika kita marah dan kita melakukannya ketika kita mewajarkan sesuatu.

Saya percaya Presiden sungguh terdesak untuk menjadi seperti seseorang yang bukan sepertinya yakni seorang lelaki hebat. Beliau telah berangan yang ia adalah Winston Churchill kedua yang mengepalai pasukan demokrasi dalam krused hebat menentang pasukan kejahatan. Satu-satunya masalah beliau ialah tidak ada sesiapa pun berada di pihak jahat.

Betul, Osama serta beberapa kerat pengikutnya membenci kita. Peduli apa? Mereka hanya lah setitis dari satu baldi yang penuh dengan 6 bilion manusia. Bush telah menyentotkan pandangannya tentang realiti, beliau kelihatan tidak menyedari yang kebanyakan "sekutu" kita di Timur Tengah adalah diktator, dan golongan yang dipanggilnya pengganas- Iran, Hamas serta Hezbollah- mengambil bahagian dalam pilihan raya yang bebas.

Malahan apa yang dipanggil perang menentang keganasan juga adalah satu kelentungan. Anda tidak boleh melancarkan perang terhadap taktik. Kebanyakan kumpulan yang beliau labelkan sebagai pengganas adalah kumpulan tempatan dengan dendam serta tidak berfikir dua kali untuk membalun kita.

"Kita wajar ingat akan amaran Ayn Rand: :Kita boleh mengelak dari realiti, akan tetapi kita tidak dapat mengelak akibat dari tindakan mengelak dari realiti."
posted by jasindaily online @ 6:00 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com