Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
LEDAKAN 9 SEPTEMBER DI KUBANG PASU
Monday, September 11, 2006
Tanggal 11 September ini adalah hari ulang tahun ke lima meledaknya tiga bangunan mercu tanda di Amerika - World Trade Center di New York dan ibu pejabat Pentangon.

Hingga ke hari ini tragedi yang menggegar Amerika itu telah di perkatakan sebagai satu konspirasi kabal neocon yang bersekongkol dengan badan-badan risikan di Amerika dalam mengolah persetujuan rakyat Amerika untuk melancarkan agenda perang ke atas Iraq.

Untuk saya ada satu lagi konspirasi yang lebih licik lagi tersusun yang telah dan sedang dirancang. Juga untuk melancarkan satu peperangan.

Konspirasi ini bercita-cita untuk menganugerahkan kembali kuasa kepada insan yang bernama Tun Dr Mahathir Muhamad. Konspirasi ini telah lama dirancang dan sedang berjalan lancar. Saya cukup yakin ramai warga yang gagal membaca tanda dan makna konspirasi ini, justeru mereka akan mempertikaikan kenyataan saya ini.

Warga yang tidak bersetuju akan berhujah menerangkan bahawa Dr Mahathir insan yang tidak gilakan kuasa. Beliau telah menjadi pemimpin negara ini selama 22 tahun. Malah insan yang bernama Dr Mahathir ini, menurut kisahnya, amat-amat dihormati terutama di Afrika.

Beliau tidak memerlukan apa-apa jawatan. Beliau juga telah di nobatkan sebagai Wira Dunia Ketiga. Dr Mahathir Muhamad sendiri telah beberapa kali berkata bahawa dia 'tidak gila kuasa' kerana beliau telah melepaskan jawatan Perdana Menteri dengan suka rela. Meletakkan jawatan ini dianggap sebagai tanda 'tidak ingin terus berkuasa'.

Apakah semua ini betul? Jawapan dari saya pasti TIDAK - yang dieja dengan huruf besar. Saya tidak menafikan yang beliau telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Bagi saya lama nya tempoh berkuasa tidak memberi apa-apa makna yang hakiki.

Tan Sri Isa Samad dari Port Dickson telah melintasi angka yang sama. Jika kita ke Sarawak, kita akan terserempak dengan Tan Sri Taib Mahmud yang telah melebihi 22 tahun berkuasa. Lama berkuasa bukan menjamin kemunculan ruang demokrasi yang luas.

Wira Dunia Ketiga

Pada hemat saya 22 tahun yang lalu adalah era kegelapan kerana runtuhnya pelbagai lembaga daulah yang seharusnya membidani kelahiran sebuah Malaysia demokratik yang bermasyarakat sivil.

Tentang Dr Mahathir popular di Afrika ini hanyalah sandiwara kosong. Ini kerana para pemimpin Afrika yang datang ke Langkawi saban tahun itu, tidak diketahui susur galur politik mereka. Jangan buat tidak arif dan ingin terus menyimpan rahsia awam kerana warga telah banyak mendengar kisah-kisah dan surah-surah sahih tentang gelagat para pemimpin Afrika ini.

Mereka datang hanya untuk bercuti, membeli belah dan meleser - walhal ongkos 'perkelahan' mereka ini ditanggung oleh kita semua sebagai pembayar cukai.

Tentang Wira Dunia Ketiga ini, marilah kita jangan menipu diri sendiri. Menipu diri sendiri ini adalah satu perbuatan dan perangai bodoh. Semua agama menegah dan melarang umatnya dari membuat kerja-kerja bodoh yang tidak menjana kebaikan umum. Tidak ada siapa yang menobatkan Dr Mahathir sebagai Wira Dunia Ketiga kecuali akhbar.

Apakah betul Dr Mahathir melepaskan jawatan dengan rela hati? Jawapannya masih tidak. Dr Mahathir dipaksa oleh rakyat melalui gerakan massa reformasi untuk meninggalkan kerusi Perdana Menteri. Agitasi dan demonstrasi di kemuncak gerakan reformasi telah berjaya melahirkan sentimen 'resistance' untuk menolak kepimpinan Dr Mahathir.

Kebencian rakyat terutama manusia Melayu terhadap Dr Mahathir tidak dapat dinafikan. Buktinya ialah pilihan raya pada tahun 1999. Dr Mahathir seorang politikus amat menyedari kebencian rakyat terhadap dirinya. Malah perkara ini diakuinya sendiri setelah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membawa kemenangan yang paling besar pada pilihan raya tahun 2004.

Dr Mahathir sebagai seorang politikus yang licik sedar jika beliau terus mengambil bahagian dalam pilihan raya ke 11, hasilnya pastilah kemenangan yang lebih besar untuk Barisan Alternatif dan gerakan reformasi.

Sebelum mengundur, Dr Mahathir telah merancang dengan licik untuk mencari bakal penggantinya. Dua bulan dahulu beliau sendiri telah berkata bahawa dia telah tersalah pilih. Tanggapan Dr Mahathir itu tidak betul. Pemilihan Abdullah sebagai penggantinya adalah tepat. Suasana politik pada ketika itu tidak memungkinkan orang lain melainkan Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri.

Warga wajib menyedari bahawa Abdullah adalah anggota lama kabinet Dr Mahathir sendiri. Beliau mengetahui minda, sikap dan keupayaan tenaga kerja Abdullah. Surah-surah telah saya dengari tentang bagaimana Dr Mahathir sering mengetawakan Abdullah di dalam mesyuarat kabinet.

Strategi Mahathir

Abdullah diketawakan kerana beliau telah tidak membaca laporan dan minit mesyuarat kabinet. Ini surah dari perawi sahih - perawi yang pernah duduk di sebelah Dr Mahathir sendiri.

Tetapi kenapa Dr Mahathir masih melantik Abdullah jika dari dahulu lagi beliau telah memperlekehkan Perdana Menteri Malaysia yang kelima itu.

Dr Mahathir berpendapat dengan sifat Abdullah yang lembap dan sikap ‘sana tak tau sini tak tau’, beliau berharap Abdullah akan terus menjadikan dirinya sebagai rujukan. Mahathir memasang strategi agar Abdullah akan terus memerlukan pandangan-pandangan dari beliau.

Dalam perhitungan Dr Mahathir, Abdullah yang lembap pasti dapat disuruh arah. Ertinya Dr Mahathir akan terus memiliki kuasa dengan menggunakan Abdullah sebagai 'muka depan yang baik'.

Perancangan Dr Mahathir ini tepat dan akan berjaya , jika apa yang dipanggil dalam istilah ekonomi keadaan 'ceteris paribus/semua tidak berubah'.

Tetapi dalam dunia ini semua akan berubah. Ini hukum alam. Dalam pentadbiran baru yang dipimpin oleh Abdullah dengan tiba-tiba telah muncul apa yang kini di kenali sebagai 'level four/tingkat empat'. Ini adalah satu kumpulan anak-anak muda yang sedia bekerja untuk memberi nasihat dan juga merancang garis tindakan politik Abdullah.

Level Four inilah yang telah menggagalkan ceteris paribus konspirasi Dr Mahathir. Abdullah kini tidak ingin dan tidak perlu lagi merujuk kepada orang yang melantik dirinya.

Hasilnya Dr Mahathir menjadi berang. Perancangan yang telah diatur melalui 'janji-janji' dengan Abdullah kini hanya tinggal janji kosong. Keberangan ini memaksa Mahathir berkonspirasi, bersekongkol dengan sesiapa sahaja dan merancang untuk menjatuhkan Abdullah.

Niat Dr Mahathir ini telah lama terpendam. Beliau hanya menunggu masa yang tepat untuk melancarkan serangan.

Perwakilan bahagian

Salah satu dari strategi Dr Mahathir pada hari ini ialah untuk menjadi perwakilan dari bahagian Kubang Pasu untuk hadir ke perhimpunan agung UMN pada awal November akan datang.

Kalau dilihat dari segi logik memang betul Dr Mahathir ini sedang merendah-rendahkan martabat Wira Dunia Ketiga kepada status Jaguh Felda.

Tetapi, jangan silap baca, Dr Mahathir bukan ingin bercakap di dalam perhimpunan agung parti pada tahun ini. Tidak banyak yang dapat diucapkan dari lantai persidangan. Cakap-cakap yang dia ingin mendapat peluang bersuara di perhimpunan agung hanya sebagai strategi -'tembak kiri untuk pukul kanan'.

Ucapan dan kenyataan akhbar tentang keinginan Dr Mahathir untuk bersuara di Perhimpunan Agung hanyalah untuk melalaikan musuh. Dr Mahathir memiliki perancangan berjangka panjang.

Jika Dr Mahathir dipilih pada 9 September nanti, bermakna beliau akan juga menjadi wakil untuk perhimpunan agung tahun depan. Tahun depan adalah tahun pemilihan. Pada tahun ini apa yang diperlukan oleh Mahathir hanyalah tepukan gemuruh ketika beliau memasuki dewan persidangan.

Pasti ada juak dan hulubalang Dr Mahathir yang akan bangun berdiri bertepuk tangan sebagai tanda hormat kepada Bapa Mirzan. Semua ini amat senang untuk dirancang.

Sesudah Perhimpunan Agung tahun ini, Dr Mahathir memiliki satu tahun untuk terus merancang kejatuhan Abdullah. Akan sampai satu ketika pada tahun hadapan di mana pemilihan pucuk pimpinan parti akan dilakukan.

Pasti akan ada bahagian-bahagian yang akan terus menunjukkan simpati terhadap Dr Mahathir.

Bahagian-bahagian yang taksub kepada kepimpinan Dr Mahathir atau ketua-ketua bahagian yang memiliki kepentingan ekonomi pada zaman Dr Mahathir berkuasa akan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Presiden untuk parti Umno.

Jika Dr Mahathir mendapat pencalonan untuk kembali menjadi Presiden parti, maka tidak dapat tidak Datuk Najib Razak akan terpaksa mencalonkan diri untuk melawan Abdullah. Tindakan Najib ini akan dilihat sebagai usaha untuk menghindarkan satu lagi perpecahan di dalam Umno.

Sebenarnya inilah yang sedang di rancangan oleh Dr Mahathir. Malah pada hari ini Dr Mahathir amat-amat berharap agar Najib menjalankan peranan untuk menggesel Abdullah.

Pada ketika ini Najib masih setia kepada pimpinan Abdullah.Tetapi ini juga tidak akan menjadi 'ceteris paribus'. Dr Mahathir akan terus menjalankan kempen untuk menyingkirkan Abdullah dari kerusi Perdana Menteri.

Jika Najib dapat menggantikan Abdullah maka Najib pastilah akan berterima kasih kepada Mahathir. Terima kasih dari Najib ini bermakna Perdana Menteri yang bernama Najib Razak akan setia menjadikan Dr Mahathir sebagai sumber rujukan.

Jika Najib masih enggan bangun melawan Abdullah maka tidak dapat tidak, Dr Mahathir sendiri akan mencalonkan diri untuk menjadi Presiden Umno. Saya yakin yang beliau tidak akan mengambil jawatan Perdana Menteri. Sebagai Presiden parti Dr Mahathir akan memiliki kuasa yang cukup.

Tanda-tanda perancangan dan niat Dr Mahathir ini telah dihebohkan dua hari dahulu oleh Zainuddin Maidin. Mengiku kenyataan Menteri Penerangan ini, Dr Mahathir telah agak terlambat untuk terus berkuasa berbanding dengan Lee Kuan Yew yang mengangkat dirinya untuk menjadi 'senior minister' agar dapat terus berkuasa.

Sabtu 9 September ini akan berlaku satu ledakan politik di Kubang Pasu. Dr Mahathir akan dipilih oleh ahli-ahli cawangan Umno.

Pada hemat saya Dr Mahathir akan mendapat undian yang cukup untuk membolehkan beliau menjadi perwakilan. Jika ini berlaku ertinya hari-hari akhir untuk Abdullah semakin pendek.

Tetapi jika Mahathir gagal, saya juga cukup yakin konspirasi untuk menjatuhkan Abdullah ini tidak akan luntur malah akan bertambah rancak. Ini samalah seperti sifat kumpulan neocon dan kabal kaum Zionis yang tidak berhenti-henti untuk menimbulkan huru hara terhadap rakyat dunia.

Kaum Zionis dan neocon melancarkan perang yang sedang mengelapkan dunia, Dr Mahathir juga sedang melancarkan perang untuk terus memperbodohkan kita.
posted by jasindaily online @ 5:52 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com