Beberapa minggu yang lalu selepas UPSR, usia anak saya mencatat 12 tahun. Dari pandangan Islam, anak lelaki antara 12 hingga 15 tahun yang biasanya sudah akil baligh dikira dewasa. Ertinya, dia sudah mumaiyiz iaitu dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Mulai dari situ, dia sendirilah memikul segala tanggungjawab yang melibatkan dosa dan pahalanya. Di sisi undang-undang negara pula, dia sudah wajib memiliki kad pengenalan. Tanpa kepingan plastik tersebut bererti dia akan melakukan satu kesalahan. Lebih tegas lagi, dia tidak boleh bergerak bebas sekalipun dalam negaranya sendiri, apatah lagi untuk memperlakukan haknya sebagai seorang warganegara. (Pada bunyinya dokumen ini sangat penting, tetapi seperti lesen-lesen yang lain, kad pengenalan sering juga menjadi bahan perniagaan seperti dodol).
Ibarat anak burung yang mulai keras sayapnya, anak yang berusia 12 tahun tadi harus juga bersedia untuk terbang tinggi sampai ke awan. Atau jika anak penyu, berlumba-lumba meninggalkan pantai untuk berenang menuju laut dalam. Tahukah dia sesungguhnya ke mana hendak pergi atau gerangan apa yang sedang menunggu di hadapan? Tentu banyak risiko dan cabarannya. Namun, begitulah mulanya satu lagi babak dalam tahap hidup manusia.
Perihal tersebut telah membuat saya terkenang kepada masa yang lalu ketika isteri saya mengandungkan anak kami yang kedua itu. Usianya dalam lingkungan 47 tahun, agak lewat sedikit untuk hamil. Olehkerana itu, adalah satu risiko yang kami ambil buat si ibu serta anak yang dikandungnya.
Pada suatu hari, saya telah melahirkan kebimbangan saya kepadanya. Dia diam dan tersenyum sahaja. Kemudian apabila diberitahu pula hasrat saya sangat menginginkan anak perempuan, dia menjawab: "Tidak! Saya nak lelaki."
Justeru timbul satu tanda tanya dan rasa pelik sedikit di dalam hati. Apakah selama ini tanpa saya menyedarinya, isteri saya juga menyimpan prejudis terhadap jenisnya sendiri? Tidak mungkin.......
Kami berbincang untuk memahami perasaan masing-masing secara perlahan-lahan. Dia membentangkan rasional serta alasan kebimbangannya dengan kesimpulan begini: "....sebab itulah saya katakan tadi bukannya senang bagi seorang wanita nak hidup dalam masyarakat yang tidak adil."
Setelah faham, sayapun menyatakan persetujuan dan menghormati pandangannya. Tetapi, kami berjanji walau apapun yang dikurniakan, kami tetap akan bersyukur kepada Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Dalam senario sama, izinkan saya menceritakan sedikit apa yang pernah berlaku kepada diri saya. Ketika isteri saya berada pada peringkat paling genting dalam wad bersalin di Hospital Universiti di Petaling Jaya, saya menunggunya di luar kamar berdebar-debar. Pada ketika itu, perut saya mulai berasa sakit bukan kepalang. Mujurlah berita gembira yang dinanti-nantikan itu segera sampai - seorang anak lelaki yang cukup sifatnya walaupun cuma 2.9 kg telah selamat dilahirkan. Dengan tidak berlengah-lengah, sayapun pergi dari situ untuk mendapatkan pemeriksaan doktor bagi perut saya sendiri, di hospital yang sama.
Alangkah terperanjatnya apabila diberitahu apendiks atau umbai usus saya dalam keadaan sangat mencemaskan. Oleh kerana dikatakan terlalu bahaya, pihak hospital tidak mahu mengambil risiko melepaskan saya. Saya terus ditolak masuk wad dengan kerusi roda. Sebelum itu, saya telah menurunkan tandatangan bersetuju untuk dibedah. Tetapi yang anehnya, selepas dua hari menjadi ‘pesakit’ dan entah berapa kali pula dikerumuni oleh regu-regu doktor, akhirnya saya dibenarkan keluar hospital tanpa menjalani pembedahan seperti yang mula-mula dijangkakan!
Apakah masalah sebenar yang saya hadapi? Bukannya pada perut, tapi pada hati. Selama beberapa bulan terakhir, hati saya terlalu berat memikirkan segala kemungkinan. Maklum sajalah isteri yang dikasihi mengandung pada usia lanjut begitu; macam-macam boleh berlaku pada dirinya dan anak. Lebih-lehih lagi kami belum begitu lama pulang dengan tidak membawa apa-apa yang bernilai wang setelah belasan dan puluhan tahun meninggalkan tanahair. Saya sendiri tidak mempunyai pekerjaan yang tetap untuk menyara keluarga. Di bawah keadaan beginilah saya merasa terlalu tertekan serta prihatin pula terhadap ‘penderitaan’ yang sedang ditanggung oleh isteri yang sedang mengandung.
Walaupun begitu, hakikatnya masih tetap 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'. Buktinya, ketika isteri saya melahirkan anak kami yang pertama sepuluh tahun sebelum itu, saya tidakpun mengalami sympathetic pregnancy iaitu Sindrom Couvade seperti keadaan yang disebutkan tadi.
Kini, anak lelaki saya yang berusia 12 tahun itu sudahpun dewasa untuk terbang tinggi dan menyelam jauh ke dalam. Saya sendiri tidak berani memberikan apa-apa jaminan terhadap masa depannya walaupun kami akan mencuba segala-galanya.
Teringat saya satu rangkap pantun yang berbunyi begini:
Rumah kecil tiang seribu Rumah besar tiang sebatang Kecil-kecil ditimang ibu Sudah besar ditimang gelombang.
Sungguh tepat dan bijak persepsi nenek moyang kita! Hanya selaku ibu bapa, berupayakah kita untuk menangkis faktor-faktor luaran yang terus-menerus menyerang anak-anak muda kita? Lebih-lebih lagi pengaruh itu berpunca dari sistem masyarakat yang bobrok dan keadaan sekelilingnya.
Kata-kata yang pernah diucapkan oleh isteri saya tentang dilema yang menghadapi wanita dalam 'masyarakat tidak adil' berdering semula dalam telinga. Tetapi, penindasan ke atas manusia berlaku tanpa mengira agama, kaum, warna kulit, gender dan sebagainya. Malangnya, di mana ketidakadilan dibiarkan bermaharajalela, keegoan lelaki telah menyebabkan kaum wanita semakin merasakan diri mereka lebih rendah dalam masyarakat.
Semua keburukan ini perlu dimusnahkan dan diganti dengan yang baru dan adil. Saya tidak pasti apakah saya sendiri akan dapat terus menyumbang sedikit ke arah ini. Tetapi, saya yakin pada generasi yang akandatang.
Apakah di peringkat ini saya sudah menolak segala tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat? Tidak. Terhadap anak saya yang sudah mencatat umur 12 tahun itu saya akan pastikan dia menjadi seorang warganegara yang baik dengan memiliki sekeping kad pintar plastik berwarna biru yang sah, bukan dibeli secara gelap.
Terhadap tanggungjawab yang lain pula, dia akan kami pupuk dan asuh dengan nilai-nilai keadilan yang murni supaya dia menjadi insan yang bukan sahaja dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, tetapi seterusnya berani bertindak melawan segala yang mungkar.
Sekalipun jika dia memilih jalan seperti yang diambil oleh Dr. Azahari, Osama atau 'Che' Guevara? Ya, sekalipun begitu. Jika itulah yang difikirkannya benar dan menjadi pilihannya sendiri.
|