Bolehkah kita memaksa sekumpulan manusia agar akur kepada penaklukan orang asing dengan cara memaksa mereka kebuluran? Ini adalah satu persoalan yang amat menarik. Ia menjadi begitu menarik sehinggakan kerajaan Israel dan Amerika Syarikat dengan kerjasama Eropah, kini cuba berganding bahu melaksanakan satu kajian saintifik yang berpadu dengan harapan dapat jawapan yang berkesan.
Makmal penyelidikan itu ialah Tebing Gaza dan bahan kajian adalah 1.25 juta rakyat Palestin yang menghuni di sana.
Untuk memenuhi standard piawaian saintifik, adalah penting untuk tahap mula menyediakan makmalnya.
Program itu telah dilakukan dengan cara ini: Pertama, Ariel Sharon telah menarik keluar perkampungan Israel yang telah lama berada di sana. Lagi pun mana mungkin untuk membuat kajian kalau masih ada ternakan yang jinak berkeliaran di makmal. Kajian itu dilakukan dengan "keazaman dan penuh prihatin", air mata mengalir laksana air, askar-askar mendakap dan memeluk peneroka yang telah diarah keluar, dan sekali lagi askar Israel ditontonkan sebagai pasukan yang paling unggul di dunia ini.
Setelah dicuci bersih makmal ujian itu, fasa seterusnya dimulakan: semua pintu masuk dan pintu keluar telah ditutup dengan rapi, untuk menentukan tidak ada sebarang pengaruh luar yang dapat menyusup masuk. Kerajaan Israel yang muncul berurutan telah disekat daripada membina pelabuhan di Gaza, dan tentera laut Israel menentukan tidak ada kapal yang mendekati pesisiran pantai. Lapangan terbang antarabangsa yang kelihatan indah selepas dibina, semasa selesai perjanjian Oslo, telah dibom dan ditutup. Keseluruhan kawasan Tebing Gaza telah ditutup dengan satu pagar besi sebagai temboknya dan hanya persimpangan jalan yang dibiarkan terbuka. Kecuali satu laluan, yang lainya semua adalah di bawah kawalan tentera Israel.
Namun masih ada satu ruang untuk menyambungkan kepada dunia luar. Ini terletak di persimpangan sempadan Rafah di Mesir. Simpang ini tidak boleh ditutup rapat, kerana ini akan mendedahkan regim Mesir sebagai sama bersekongkol dengan Israel. Mereka telah dapat selesaikan masalah itu: Mereka adakan satu majlis penyerahan persimpangan itu oleh tentera Israel kepada satu pasukan penyelia antarabangsa. Anggota kumpulan itu nampak baik-baik, mempunyai niat yang bagus, tetapi daripada segi amalannya mereka terlalu bergantung kepada tentera Israel yang mengawasi proses ulang-alik daripada sebuah kamar kawalan yang berdekatan. Pengawas antarabangsa itu menetap di sebuah kibbutz Israeli dan dapat memasuki kawasan persimpangan itu hanya dengan izin Israel.
Kemudian, segala-galanya sudah bersedia untuk penyelidikan.
Isyarat memulakan ujian itu telah diberikan sejurus orang Palestin mengadakan satu pilihan raya umum pertama secara demokratik, di bawah pemantauan sebuah pasukan yang dipimpin oleh bekas presiden Jimmy Carter. George Bush turut ghairah: wawasan beliau untuk membawa demokrasi ke Timur Tengah hampir menjadi kenyataan,
Akan tetapi rakyat Palestin telah sengaja gagalkan diri mereka dalam ujian itu. Mereka tidak memilih Arab yang baik-baik yang menjadi pengkagum Amerika Syarikat. Sebaliknya mereka telah memilih Arab yang kurang baik, yang takutkan Allah. Bush rasa terhina. Akan tetapi kerajaan Israel menjadi seronok dengan kemenangan Hamas, Amerika dan Eropah sudah bersedia untuk melaksanakan ujian tersebut. Bolehlah ia dimulakan:
Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) telah mengumumkan penahanan segala bentuk sumbangan kepada Pihak Berkuasa Palestin (Palestinian Authority - PA) kerana ia dianggap "sudah dikuasai oleh terroris". Pada waktu yang sama kerajaan Israel menghentikan aliran wang tunai sama sekali.
Untuk memahami kepentingan perkara ini: mengikut "Paris Protocol" (perjanjian ekonomi di bawah tajaan Perjanjian Oslo dahulu) ekonomi Palestin termaktub dalam sistem kastam Israel. Ini bererti kerajaan (Kastam) Israel memungut cukai segala barangan yang melalui pintu Israel kepada wilayah Palestin - sesungguhnya tidak ada laluan lain ke Palestin - selepas memotong komisen yang berpada. Israel perlu memulangkan wang kutipan cukai itu kepada Palestinian Authority.
Apabila kerajaan Israel enggan menyerahkan wang itu yang sebenarnya hak rakyat Palestin, ia bolehlah dikatakan satu tindakan merompak di siang hari. Tetapi apabila rompakan itu dikatakan dibuat ke atas terroris, siapa yang boleh komplen?
Palestinian Authority - yang mentadbir Tebing Barat (West Bank) dan Semenanjung Gaza - memerlukan wang seperti mereka memerlukan udara untuk bernafas. Ini pun memerlukan sedikit penerangan: Selama 19 tahun Jordan menguasai Tebing Barat dan Mesir menguasai Semenanjung Gaza, daripada 1948 hingga 1967, tidak ada satu pun kilang yang penting pernah didirikan di sana. Kerajaan Jordan mahu setiap aktiviti ekonomi dilaksanakan di negara Jordan sahaja, yakni di sebelah timur sungai dan Mesir memanglah mengabaikan semenanjung itu sama sekali.
Kemudian berlaku penaklukan Israel dan keadaan menjadi semakin buruk. Kawasan jajahan itu menjadi sebuah 'captive market' untuk industri Israel, dan kerajaan tentera Israel menyekat pembinaan sebarang perusahaan yang dianggap akan bersaing dengan perusahaan Israel.
Para pekerja Palestin terpaksa bekerja di Israel dengan gaji yang amat rendah (kalau mengikut piawaian Israel). Daripada gaji mereka kerajaan Israel memotong semua bayaran levi yang dikenakan ke atas pekerja Israel, sedangkan pekerja Palestin itu tidakpun menikmati segala kemudahan sosial daripadanya. Ini bermakna kerajaan Yahudi merompak dan menyalahgunakan tenaga pekerja yang bernilai puluhan billion dollar, yang hilang ghaib di bawah tong dana kerajaan.
Semasa Intifada dilancarkan, ketua industri dan pertanian Israel mendapati mereka boleh meneruskan perusahaan tanpa kehadiran pekerja Palestin. Malahan, lebih menguntungkan. Mereka membawa masuk para pekerja daripada Thailand, Romania dan negara miskin yang lain hingga ke hari ini, yang sanggup bekerja dengan gaji yang rendah dan keadaan hidup yang seakan-akan berada dalam zaman perhambaan. Lantas para pekerja Palestin telah kehilangan mata pencarian mereka.
Itulah tahap pertama ujian ini; Infrastruktur Palestin telah dimusnahkan, tidak ada lagi pengeluaran, tidak ada punca pekerjaan kepada kaum pekerjanya. Semua ini merupakan keadaan yang ideal untuk membuat "ujian besar untuk kebuluran".
PELAKSANAANNNYA dimulakan, seperti yang disebut tadi dengan menyekat pembayaran (gaji dan cukai)
Secara amalinya laluan antara Semenanjung Gaza dan Mesir telah pun tertutup. Sekali dalam setiap beberapa hari ataupun beberapa minggu ia akan dibuka untuk beberapa jam, sebagai menunjuk-nunjuk ataupun syarat sahaja untuk membolehkan sesiapa yang sakit dan mati ataupun nazak balik ke kampung mereka ataupun untuk pergi ke hospital di Mesir.
Persimpangan antara Semenanjung Gaza dan Israel telah ditutup "kerana keselamatan yang penting". Selalu sangat pada ketika yang tepat, "amaran tentang kemungkinan serangan terroris" diwujudkan. Hasil pertanian Palestin yang sepatutnya dieksport boleh menjadi busuk dan reput di persimpangan itu. Ubat dan bahan makanan tidak boleh dibawa masuk, kecuali pada tempoh tertentu daripada masa ke satu masa, juga sebagai syarat sahaja, apabila ada orang ternama menyuarakan protesnya. Kemudian muncul satu lagi "amaran keselamatan yang penting" dan keadaan akan menjadi semacam normal lagi.
Untuk melengkapkan gambaran, Angkatan Udara Israel telah mengebom satu-satunya janakuasa elektrik di semenanjung itu, supaya pada sebahagian siang tidak ada bekalan elektrik, ini bermakna bekalan air yang bergantung kepada janakuasa elektrik terpaksa terputus. Malahan pada hari yang paling panas, di mana suhu boleh naik melepasi 30 darjah celcius di bawah teduhan, tidak ada elektrik untuk menjana peti sejuk, pendingin udara, bekalan air dan keperluan lain.
Di Tebing Barat, sebuah kawasan yang lebih besar daripada Semenanjung Gaza (yang merupakan hanya 6 peratus wilayah jajahan Palestin, tetapi mengandungi 40 peratus penduduknya, keadaan tidaklah seburuk itu. Tetapi di Semenanjung Gaza, lebih separuh penduduk hidup di "bawah paras kemiskinan" Palestin. Kebanyakan penduduk Gaza hanya dapat mengimpikan dianggap miskin di kawasan Israel yang berdekatan bernama Sderot.
Apakah isyarat kerajaan Israel dan AS yang mahu diberitahu kepada orang Palestin? Mesejnya amat jelas: Anda akan sampai ke jurang kelaparan, dan mungkin lebih dahsyat daripada itu, selagi anda tidak menyerah kalah. Anda mesti humbankan kerajaan Hamas dan lantik calon yang diperkenan oleh Israel dan AS. Yang lebih penting lagi, anda mesti berpuashati dengan sebuah negara Palestin yang mengandungi beberapa kawasan pemisah, di mana setiap satu akan bergantung kepada ihsan Israel. Buat masa ini, pengarah kajian saintifik sedang memikirkan satu soalan yang memusykilkan mereka: bagaimana mungkin orang Palestin masih dapat bertahan? Kalau mengikut segala peraturan, mereka sepatutnya sudah lama menyerah kalah.
Sememangnya terdapat beberapa pertanda yang menggalakkan. Keadaan suasana keresahan dan kepedihan telah mencetuskan ketegangan antara Hamas dan Fatah. Di sana-sini memang berlaku perbalahan, ada yang terbunuh dan tercedera, tetapi dalam setiap kes, keadaan buruk dapat disekat sebelum ia meledak menjadi satu perang-saudara. Beribu-ribu orang tukang hasut dan talibarut Israeal memang terus membuat kacau. Berbeza dengan jangkaan, penentangan masih tidak luntur. Malahan, askar Israel yang ditangkap dahulu masih belum dibebaskan.
Salah satu alasannya yang tentu ada kaitan dengan struktur masyarakat Palestin. Keluarga besar (Hamas) memainkan peranan penting di sana. Selagi ada seorang ahli yang bekerja dalam sesebuah keluarga, keseluruhan keluarga itu dan sanak saudaranya tidak akan mati kelaparan. Tidak kiralah kalau berlaku kekurangan makanan berzat yang berleluasa. Sesiapa sahaja yang mempunyai pendapatan, mengongsinya dengan semua adik beradiknya, ibu bapa, datuk dan nenek, sepupu dan anak-anak mereka. Ini adalah stu sistem purba, tetapi amat berkesan dalam keadaan seperti itu. Nampaknya para perancang ujian itu tidak mengambil kira keupayaan ini.
Untuk mempercepatkan proses ujian, kekuatan keseluruhan tentera Israel sedang digembleng sekali lagi, mulai daripada minggu ini. Selama tiga bulan tentera darat telah menyibuk dengan Perang Lubnan Kedua. Semakin terserlah kini bahawa tentera darat yang selama 19 tahun dulu lagi telah digembleng laksana pasukan polis penjajah tidakpun berfungsi dengan baik kalau secara tiba-tiba berdepan dengan satu ketumbukan musuh yang terlatih dan lengkap bersenjata, sehingga mereka tidak mampu untuk melawan balik. Hizbullah telah menggunakan senjata anti-kereta kebal yang berbisa terhadap angkatan bersenjata Israel dan telah menghujani bumi Israel Utara dengan roket. Itu sebabnya kempen tentera Israel tidak berjaya.
Sekarang tentera darat Israel muncul semula ke medan perang yang ia amat fahami. Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza belum lagi memiliki senjata anti-kereta kebal. Dan roket Qassam hanya menyebabkan bencana yang terhad. Ini bermakan tentera Israel boleh menggunakan kereta kebalnya sekali lagi tanpa sekatan. Angkatan tentera yang satu ketika dulu semasa berada di Lubnan, takut sangat menghantar helikopter mengangkut askarnya yang tercedera, kini boleh menembak misil ke atas rumah "orang yang mereka ingini" ahli keluarga dan jiran mereka, secara mudah sahaja. Kalau pada tiga bulan dahulu hanya 100 Palestin yang terbunuh setiap bulan, kini kita menyaksikan satu peningkatan angka kematian orang Palestin dan yang tercedera.
Bagaimanakah penduduk yang disiksa dengan kelaparan, dan dinafikan perubatan dan kelengkapan untuk hospital primitifnya serta terdedah kepada serangan di darat, dari laut dan dari udara, dapat bertahan? Bolehkah ia mengalah? Apakah ia akan melutut dan meminta keampunan? Apakah ia mendapat kekuatan insani untuk terus bertahan dan menanggung ujian ini?
Dengan kata lain: Apakah dan berapa banyak lagi penderitaan yang diperlukan sebelum sesuatu penduduk menyerah kalah?
Semua pakar sains yang mengambil bahagian dalam ujian ini - Ehud Olmert dan Condoleeza Rice, Amir Perez dan Angela Merkel, Dan Halutz dan George Bush dan tidak perlu lagi kita menyebut pemenang hadiah Nobel Shimon Perez - memang taksub membelek mikroskop dan menunggukan jawapannya, yang sudah tentu akan menjadi satu sumbangan penting kepada Sains politik.
|