DEMI MASA |
|
|
PIMPINLAH DENGAN JUJUR ATAUPUN UNDUR!!! |
Sunday, November 05, 2006 |
Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi harus hentikan perangai merungut dan merengek. Pimpinlah negara dengan jujur, jika tidak, eloklah berundur. Dia sudah menghabiskan tiga tahun untuk menentukan pendiriannya. Kalau ada lagi kejantanan dalam UMNO, inilah satu mesej yang harus diperjelas secara terang kepada pemimpinnya Memang mesti ada tempat untuk memberikan kesetiaan kepada seseorang pemimpin, tetapi bukan pada harga di mana para pengikut akan dicucuk hidungnya.
Sang singa dalam UMNO sudah lama pergi, hanya anak-anak kucing kurap yang masih tinggal lagi. Rengekan mereka jadi semakin lantang dan jelas hanya kerana ketiadaan susu untuk diminum. Tanaman berharga sudah lama dicabut daripada batas UMNO. Yang tinggal adalah cili yang sudah kering, keaslian pedasnya sudah tidak ada lagi.
Pada Persidangan Tahunan UMNO yang menjelang tiba, kita dapat jangkakan laungan puji-pujian dan pendewaan pemimpin yang utama. Secara perbandingan itu tidak akan dapat menandingi majlis yang dilakukan oleh orang Korea Utara untuk 'Pemimpin Kesayangan' mereka. Akan tetapi keriangan dan kegemilangan serta kata-kata pujian yang dituturkan akan tetap berbunga sebagai gambaran betapa taat si pemuka-muka terhadap pemimpin besarnya.
Para pembodek Abdullah sudah pun memberikan gelaran "Bapa K-Ekonomi".Apa sahajalah maknanya. Saya cadangkan dia diberikan gelaran yang lebih sesuai, "Bapa Tanah Kayangan (Fantasy land)"! Bahkan kabinet beliau telah pun dipenuhi oleh Mat Jenin.
Wang politik yang melimpah ruah dan naungan politik yang tak sudah telah melumpuhkan UMNO dengan berkesan. Akan semakin ramai Puteri yang berpakaian indah menghadiri perjumpaan itu. Merekalah yang akan menyerikan suasana dan tidak lebih dari itu. Golongan Putra UMNO akan tidur berdengkur selepas menghabiskan sepanjang malam sebagai Mat Rempit mengganas di jalan raya dan taman perumahan dengan motorsikal mereka.
Saya menantikan tokoh yang berani semacam Allahyarham Sulaiman Palestin. Beliau tidak pernah teragak-agak mencabar pemimpin yang paling dihormati. Kalaulah dia masih bernyawa hari ini sudah tentu dia akan mengemukakan "Undi Tidak Percaya" di persidangan UMNO. Kalau pun usaha itu tidak akan berjaya, ia boleh menjadi satu kejutan yang diperlukan oleh Abdullah untuk bangun daripada tidurnya. Dia sudah terlalu lama bermimpi di siang hari.
Pertemuan Dengan Mahathir Yang Tidak Berguna
Prestasi Abdullah selepas (dan mungkin juga semasa) pertemuan empat mata dengan Mahathir adalah amat memalukan. Kalau Abdullah tidak boleh menangani Mahathir, bagaimana mungkin kita boleh mengharapkan Abdullah menjaga kepentingan negara yang turut membabitkan rundingan yang lebih sukar dengan pemimpin negara asing?
Mahathir telah berjaya mengkerdilkan Abdullah laksana seorang budak sekolah yang liat menyiapkan kerja rumah dan kini terpaksa menulis kata-kata denda seratus kali," "Saya mesti tumpukan kepada kerja saya dan tidak tidur lagi."
Mengikut cerita Abdullah, Mahathir yang kuat bercakap. Abdullah juga mengaku kerana menghormati Mahathir beliau tidak sanggup mencelah ataupun memotong cakap-cakap itu.
Mengikut kata Mahathir (dan diperakukan oleh Abdullah) dia pernah membangkitkan isu yang sama sejak beberapa bulan yang lalu.
Abdullah tidak perlu mendengar segala perkara itu berulang-ulang kerana dia pernah mendengarnya dahulu dan sudah tentu mempunyai segala jawapannya dan penafiannya. Rakyat Malaysia dan dunia sejagat sudah tentu puas mendengar segala aduan Mahathir. Apa yang dia perlukan seperti kita juga adalah jawapannya. Namun, kita selalu berdepan dengan alasan Abdullah yang meminta diberi masa lagi! Kalau Abdullah tidak menemui jawapannya sekarang, dia tidak akan mendapatnya sampai bila-bila pun.
Apa yang harus Abdullah lakukan sejurus Mahathir mengulang-ulang perkara yang pernah dikatakannya beberapa kali sebelum ini ialah menyuruh dia berhenti sejenak dan berkata: "Maafkan saya Tun, semua ini pernah saya dengar dahulu dan terlalu banyak kali. Biarlah saya perbetulkannya satu per satu!" Dengan itu beliau boleh menguasai suasana pertemuan mereka. Kemudian kita baru tahu siapakah yang sesungguhnya berkuasa.
Selepas pertemuan itu sepatutnya Abdullah mengadakan sidang akhbar dan secara terbuka mengajak Mahathir turut sama. Sudah tentu ini memerlukan kualiti keyakinan dan kepimpinan. Sedangkan inilah kualiti yang amat kurang pada Abdullah.
Sebaliknya Mahathir yang memberikan sidang akhbar, bukan sekali tetapi dua kali untuk memberitahu dunia apa yang telah berlaku antara mereka. Abdullah telah menjadi tukang rungut sambil mengadu bahawa Mahathir telah mengeluarkan kata-kata 'berbisa'. Dia mencari ketenangan dan perlindungan di sebalik lalakan para menteri dan tukang karutnya.
Abdullah terlupa bahawa segala isu yang dibangkitkan oleh Mahathir adalah perkara yang sama yang menghantui rakyat jelata. Dia berhutang kepada Malaysia dan bukan Mahathir sahaja untuk memberikan penjelasannya. Merungut dan diam membisu seolah-olah mencari ilham ataupun meminta wakilnya menjawab bagi pihak beliau, mendedahkan watak Abdullah yang memang serba tidak sempurna. Abdullah tidak meyakinkan kita dengan watak seorang ketua eksekutif tetapi seorang sultan palsu, tanpa takhta dan mahkota. Malaysia sudah pun memiliki sembilan orang sultan, sudah tentu Malaysia tidak memerlukan sultan yang kesepuluh..
Semasa Ramadan lalu, Abdullah telah sibuk mengimamkan solat, menyumbangkan sedekah dan membaca khutbah. Malaysia tidak ketandusan imam dan khatib, apa yang amat diperlukannya ialah seorang ketua eksekutif.
Masalah Kepimpinan Abdullah
Mahathir sudah lama bersara sebagai seorang Perdana Menteri. Legasi beliau adalah untuk kajian para pengkaji sejarah. Yang menjadi isu sekarang ialah kepimpinan Abdullah, ataupun kepincangannya. Dia menyorokkan kepincangan dalam membuat keputusan yang sukar-sukar dengan alasan dia memimpin secara musyawarah. Inilah satu helah yang lama digunakan oleh orang yang tidak berpendirian.
Mahathir telah menyebut Kalimullah Hassan dan Brendan Pereira kerana mencetuskan pengaruh songsang terhadap Abdullah. Mahathir memang cuba bermurah hati terhadap Abdullah. Mengikut pendapat saya, kelemahan Abdullah dan kesilapannya adalah salahnya sendiri. Kalau dia ada keberanian, memang sudah lama dia memecat dua orang wartawan itu, bukan kerana nasihat mereka yang dianggap tidak baik tetapi kerana komen mereka yang liar, sikap memplagiat tulisan orang lain (plagiarism) dan ketidak-upayaan untuk menjana usaha melariskan akhbar The New Straits Times. Kalau mereka berdua tidak boleh menguruskan akhbar mereka, bagaimana mereka dikira dapat mentadbir negara ini."
Apabila dibangkitkan isu konflik kepentingan membabitkan perniagaan keluarganya, pada mulanya Abdullah telah menafikannya. Apabila disogok dengan kata, dia tidak pula menafikan urusan dagang itu tetapi dia sengaja tidak tahu-menahu! Sepatutnya dia malu dengan kedunguannya. Sebaliknya dia gunakan perkara itu sebagai satu helah sahaja! Kini, Mahathir telah membangkitkan isu itu kepada dia, Abdullah memberi alasan yang terkini bahawa anak-anak Mahathir pun terlibat dengan perniagaan cara itu pada masa dahulu. Tidak lama lagi Abdullah akan ketandusan penjelasannya.
Dari mencari penyelesaian, Abdullah menggapai alasan. Sejak para penasihat dan mereka yang menghuni 'tingkat empat': tidak memberikan nasihat kepadanya, biarlah saya tawarkan satu penyelesaian cara mengelakkan 'konflik kepentingan' pada masa depan.
Selepas ini, mana-mana anggota keluarga (pasangan hidup, anak-anak, adik-beradik, dan ipar-duai) Perdana Menteri, menteri ataupun pegawai kanan kerajaan yang menjalankan perniagaan dengan kerajaan mestilah mengemukakan kontrak dan bida mereka untuk diteliti oleh sebuah Suruhanjaya yang bebas yang sepatutnya diketuai oleh seorang bekas Hakim Kanan. Badan ini mesti memiliki kuasa mahkamah untuk mensapina saksi dan mereka rakam penyelidikannya untuk pengetahuan umum. Butiran seperti keupayaan syarikat, dan prinsipal, serta bida pesaing lain, perlu diperiksa. Biarlah mentari memancar kerana itulah sahaja cara yang berkesan untuk mengubat kejelekan proses perolehan kerajaan.
Berkaitan dengan isu konflik kepentingan itu ialah kekerapan menggunakan aset awam oleh Abdullah dan pemimpin lain. Perdana Menteri kerap menggunakan jet eksekutif kerajaan yang mewah itu seolah-olah itu adalah kereta limosin peribadinya. Sepatutnya ada seseorang dalam Parlimen yang bertanyakan apakah Perdana Menteri dan anak-anaknya yang dewasa serta anak menantunya membayar balik kepada kerajaan kos menggunakan jet itu untuk pergi mengerjakan umrah, baru-baru ini. Apabila Presiden Bush menggunakan Air Force One untuk kempen politik, partinya terpaksa membayar kerajaan kos menggunakan pesawat itu kerana tugas tidak rasmi beliau.
Kalau kita biarkan isu semacam ini di peringkat awalnya, tidak lama lagi satu corak yang lebih rancak akan muncul. Tidak lama lagi akan ada suara orang politik yang suka membodek mencadangkan agar Sri Perdana dihadiahkan kepada Abdullah.
Abdullah kerap sangat merungut betapa rakyat Malaysia mempunyai kemudahan Dunia Pertama tetapi mereka mempunyai mentaliti Dunia Ketiga. Kumpulan jet eksekutif korporat kerajaan memanglah lambang Dunia Pertama, tetapi para penggunanya masa kini tidak pula begitu.
Sepatutnya Abdullah wujudkan peraturan yang jelas tentang peraturan dan syarat pada anggota keluarganya (dan juga pemimpin yang lain) yang mahu terlibat dengan urusan niaga dengan kerajaan, dan juga bila aset awam boleh digunakan untuk tujuan persendirian. Sudah tentu ini akan dapat melegakan hati Mahathir dan juga rakyat Malaysia yang lain.
|
posted by jasindaily online @ 7:26 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|