Sejak saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri (Mahathir) pada 2001, saya tidak pernah hentikan usaha memberi ingatan kepada pelbagai pihak akan kemungkinan meledaknya bencana yang akan menghenyak orang Melayu dan Islam di rantau ini secara amnya dan Umno pada khususnya. Inilah petaka yang direncana oleh beberapa kuasa di dalam dan luar negara. Usaha rasmi saya yang pertama ialah menyediakan satu kertas kerja bertajuk "The Path to National Suicide" (Laluan Memusnah Negara Sendiri) yang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 21 Mei, 2001. Saya telah mengingatkan Perdana Menteri bahawa kemungkinan meledaknya satu bencana dalam masa lima hingga sepuluh tahun, jika tidak lebih awal daripada itu dan peranan halus yang akan dimainkan oleh Singapura dalam keseluruhan perancangan musibah tersebut. Pada 2005 saya telah menulis dua buah buku, "Future Fast-Forward" dan "Brainwashed for War" dalam usaha untuk memberi ingatan kepada umah betapa pergolakan geopolitik semasa akan menjerut Islam dan kemungkinan meledaknya perang, bukan sahaja di Timur Tengah tetapi di rantau ASEAN juga, khususnya Malaysia. Sambil memetik kata-kata Professor Thomas Barnett, pengarang 'Pentagon's New Map' dan seorang penasihat tentera kepada Pentagon, saya telah memberi amaran bahawa Malaysia sudah pun dijadikan sasaran untuk dikuasai dan dihamba-abdikan.
Saya juga telah memperingatkan kemungkinan munculnya Tsunami Kewangan "Financial Tsunam" yang menenggelamkan keseluruhan rantau ini pada 2007/2008. Berbeza dengan krisis kewangan pada 1997. Pada kali ini tidak akan ada lagi jaringan keselamatan untuk usahawan Bumiputera. Mereka yang masih belum pulih sepenuhnya daripada henyakan krisis 1997 dahulu, akan disapu habis diikuti oleh generasi usahawan selepas mereka dan yang baru sahaja diangkat menyertai permainan itu oleh pentadbiran Paklah. Memang tidak akan ada pilih-memilih. Masyarakat perniagaan Cina akan turut terhumban di samping orang Melayu.
Saya percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad memang banyak mengongsi keprihatinan saya terhadap masa depan Malaysia dan berusaha bertungkus-lumus selama hampir tiga tahun menentukan rakyat Malaysia akan menerima peluang yang saksama untuk mendepani segala cabarannya. Beliau telah didesak oleh segelintir penyokong parti yang setia Paklah boleh dipercayai untuk mengambil alih pucuk kepimpinan bahtera Malaysia agar sentiasa tegap pelayarannya. Tun mempunyai keraguan jua, tetapi kesangsian itu tidak cukup untuk menangkis sentimen yang diserlahkan para pembantunya yang setia dalam hierarki parti. Kalaulah Tun melantik seorang calon lain, dia sudah tentu tidak akan merasakan kesetiaan penyokong setia parti itu dan perpaduan parti sudah tentu tergugat.
Tujuh bulan sebelum Tun bersara, memang nampak segala pertanda akan berlaku petaka. Terlalu banyak isyarat yang dilihat bahawa Singapura sedang memperlekehkan Tun gara-gara beliau sudah dianggap sebagai itik tempang dan mereka mulakan persiapan pecah tanah strategi untuk menguasai Malaysia Sedikit demi sedikit asset milik Singapura mula timbul dan satu jaringan intrig telah dianyam dalam Era Pasca Mahathir. Kerana status quo yang ada, Tun tidak boleh bertindak ataupun merobah keadaan, apa lagi menyandarkan harapan dan keyakinannya kepada semangat patriotisme dalam Umno dan pada orang-orang kepercayaan beliau untuk menjaga aset-aset negara yang paling berharga. Tun begitu percaya bahawa Umno sudah matang menjadi satu parti yang ada prinsipnya, dan yakin dengan keupayaan parti untuk mendaki satu tahap lagi untuk kegemilangannya, dan tidak mudah tunduk kepada kesetiaan menggila secara membabi-buta ataupun mudah dipujuk rayu oleh janji manis dan keuntungan kewangan.
Kek ekonomi telah diperbesar di luar jangkaan dan bolehlah dikatakan tanpa ragu-ragu lagi bahawa rakyat Malaysia memang sudah "boleh cari makan". Secare kolekitf kejayaan negara memang membanggakan. Tun adalah orang yang pertama yang berani mengaku kejuruteraan sosial bukan lagi satu Sains yang tepat kerana tidak ada satu pelan induk yang standard ataupun buku teks yang boleh diikuti, kerana pastinya berlaku kesilapan juga. Memang terdapat banyak kritikan terhadap DEB, tetapi daripada kacamata masyarakat Melayu, mereka sudah lama berhijrah. Mereka mempunyai pelbagai alasan untuk merasa bangga dengan kejayaan.
Rakyat Malaysia sedar akan bahaya perbezaan kekayaan dan pendapatan antara pelbagai masyarakat kaum dan kesannya yang hodoh seandainya ketidak-samaan itu terus berlanjutan. Tiga puluh lima tahun yang lampau telah menyaksikan usaha kolekitf untuk memperbetul isu yang menyakitkan itu dan kita boleh berkata dengan bangga dan yakin bahawa kita telah mencapai kejayaan yang berpada. Akan tetapi, banyak lagi yang perlu dilakukan. Sebelum beliau bersara Tun telah menentukan struktur dan sistem yang mendasari pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi dengan berkesan sebagai usaha untuk memperbesarkan kek ekonomi itu dan menentukan keseimbangan dalam perkongsian kekayaan negara dan segala kemewahannya.
Berbeza dengan Lee Kuan Yew, Tun tidak mempunyai hasrat untuk membayangi pentadbiran yang baru. Dia telah diyakinkan oleh Paklah betapa keyakinan dan kepercayaan beliau tidak akan disalah-tempatkan. Paklah telah memberikan jaminan peribadi, seperti juga yang diberikan oleh pembantu Tun yang pernah dipercayainya bahawa pasukan itu akan menjalankan tugas menepati harapannya.
Soalan Cepumas: Kenapa Keadaan Berubah?
Akan tetapi ada sesuatu yang telah tersasar, di sebalik segala perancangan yang pernah dilakar dengan baik keadaan tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan. Apa yang sudah terjadi?
Pembelotan. Itulah yang sudah terjadi. Umno sudah dimusnahkan daripada dalam dan luar, di mana Singapura memainkan peranan yang penting. Mereka telah mengambil pendekatan ala Zionis-Mossad. Itulah modus operandi yang telah diperhalus oleh Singapura dan dilaksanakan secara berkesan oleh segala agennya yang sudah lama bertahan. Sasaran pertama ialah NST. Sesiapa sahaja yang menguasai NST ataupun jurusan media akan menguasai dialog politik dan propaganda. Apabila mereka mendapat tempat dan kedudukan, pakar tukang karut mula bekerja lebih masa untuk memomokkan Tun dan mencemuh legasinya. Tun telah mengadu kepada Umno tetapi tidak ada sesiapa yang sanggup mendengarnya, seolah-olah Umno sudah diselubungi kain penutup mata.
Keadaan semakin menyerlah. Sebuah kubu Umno yang menguasai media dialog politik dalam bahasa Inggeris, telah dirampas tanpa sebarang rungutan. suara Umno yang berkuasa. Mereka gunakan akhbar itu untuk mengabui pemikiran masyarakat kelas menengah Melayu yang berpendidikan bahasa Inggeris, dengan menabur pelbagai fitnah, mencetuskan kecelaruan dan huru-hara - sekali gus melebarkan jurang perbalahan antara Tun dan masyarakat politiknya.
Singapura hampir berjaya. Tetapi Tun telah berani menentang pertelagahan itu mendekati ambang pintu Singapura, apabila beliau mendedahkan skandal jambatan indah dan penjualan pasir kepada Singapura. Inilah yang telah mencetuskan keadaan tegang dalam politik yang berterusan selama lapan bulan. Singapura mula panik dan gegarannya mula dirasakan oleh musuh-musuh kita di negara ini. Tun mesti dimusnahkan tidak krialah apa kosnya ataupun apakah kesannya nanti kepada negara ini, kepada Umno dan juga kepada masyarakat Melayu. Rencana untuk menjerut Umno tidak boleh dilonggarkan, selagi Paklah mencengkam kuasa dan segala aset masih kekal di situ, Tun boleh diasak dan dilemahkan
Memang mudah sangat strategi mereka. Dan setakat ini, tidak ramai dalam Umno memahami implikasinya. Semua tukang karut kini sudah melaungkan bahawa sudah ada kebebasan akhbar masa kin. Segelintir kes korupsi yang membabitkan orang berprofil tinggi (kenamaan) telah mendapat liputan muka depan akhbar utama.. Ia memuaskan nafsu pihak yang tertekan yang mahukan keadilan dan pembalasan. Apabila tukang karut beralih tumpuan kepada Tun, memomokkan dia seperti yang belum pernah terjadi kepadanya dalam sejarah negara ini, ada pihak yang berfikiran arif mengatakan bahawa perkara itu haruslah dijangka. Kerana kita sekarang sudah pun memiliki kebebasan akhbar.
Tidak ramai yang sedar bahawa apa yang disebut sebagai kebebasan itu ialah ruang kebebasan untuk mengutuk Tun dan bukannya kebebasan untuk mengkritik Paklah ataupun pentadbiran beliau. Inilah dia taktik media Zionis/Israel yang paling biasa. Ariel Sharon adalah seorang penjenayah perang, tetapi diwar-warkan sebagai 'Pemimpin Kedamaian' tetapi Yasser Arafat dimomokkan sebagai seorang "pangganas", seorang manusia yang tidak boleh diajak berunding'. 'Korup' dan sebagainya. Pembohongan demi pembohongan untuk mengaibkan Tun telah dilaporkan dalam NST.
Tun tidak berdiam diri. Beliau telah menyerang balas. Ketokohan Paklah, Khairy dan tukang karut mula merudum. Sekali lagi Singapura menjadi gelabah, Tindakan yang drastik diperlukan - sebagai pelencung minda yang mampu memprovokasi, kalau perlu hingga pertumpahan darah di jalan – sebagai mengalihkan tumpuan kritikan Tun. Lee Kuan Yew terkejut beruk dan mula menuduh orang Melayu di Malaysia cuba meminggirkan masyarakat Cina dan mempersoalkan apakah DEB masih relevan lagi. Kenapakah LKY mula jaga tepi kain orang dan menyibuk dengan urusan kita?
Dalam satu artikel yang berjudul: "The Wayang Kulit of Paklah and LKY" yang pernah disiarkan oleh Malaysia Today saya ada menulis:
LKY dan Paklah seolah-olah menganggap rakyat Malaysia adalah golongan yang bengong.
'Tuntutan maaf' LKY menunjukkan betapa tertekannya regim LKY dan boneka mereka di Malaysia dan ketakutan akan terdedah akhirnya cara mereka mengawal Malaysia.
Selepas sembilan bulan tersebarnya kritikan Tun Dr Mahathir yang lantang , bahawa Paklah dan Khairy adalah boneka regim LKY dan telah menjual Malaysia untuk mendapatkan pelaburan dollar Singapura, budak-budak di Tingkat Empat, dan para tukang karut sudah kehilangan modal bagaimana caranya untuk menentang segala pendedahan kerja busuk mereka. Luka yang ditanggung sudah semakin membarah
Persiapan bermula apabila Khairy mulakan isu perkauman dengan memberi amaran kepada Pemuda Umno bahawa orang Cina akan mengambil kesempatan seandainya Melayu lemah. Malang bagi Khairy, sambutan yang diharapkanya tidak menjadi walaupun politik perkauman dimainkan dengan dahsyat sekali. Khairy gagal menonjolkan imej dirinya sebagai juara orang Melayu. Tuan besar Khairy di Singapura mula risau kalau-kalau Khairy tidak dapat menonjolkan diri sebagai 'Juara Orang Melayu,' adalah amat sukar untuk melakar kembali isu politik yang sudah pun dipersetujui oleh Paklah agar terus akur kepada Singapura supaya terus menjadi seolah-olah Paklah yang sedang menguasai keadaan.
Belon ujian politik yang telah dinaikkan tinggi oleh Khairy tiba-tiba sudah menghilang entah ke mana. Tun Dr. Mahathir telah menang besar dalam propaganda perang yang sedang rancak diketengahkan.
Ada satu perjanjian bermuslhat di mana LKY akan membuat kenyataan yang berbaur perkauman mengenai peminggiran orang Cina di Malaysia oleh orang Melayu. Media massa telah diatur untuk mencetuskan jawapan kepada provokasi Singapura itu Kemudian Paklah akan mendesak satu penjelasan daripada LKY. LKY akan menuntut maaf dan akan menonjolkan beberapa pembohongan lagi untuk melonjakkan ketokohan Paklah.
Malang bagi LKY dan bonekanya, kelentungan itu tidak menjadi. Loceng penggera telah dibunyikan. Persidangan Agung Umno adalah dijangka menjadi majlis untuk para pengkritik menghenyak Paklah. Kalaulah Tun dapat menghadiri persidangan itu, tidak siapa yang dapat meramalkan apa yang akan terjadi.
Apa yang lebih berkesan untuk melencungkan perhatian keseluruhan negara daripada kritikan Tun daripada mencetuskan isu perkauman? Apa yang terjadi memang dahsyat sekali. Pada mulanya ia bertujuan untuk memudahkan Paklah mengeluarkan kenyataan terhadap para perwakilan yang begitu ghairah dan cuba menonjolkan imej seorang Perdana Menteri yang prihatin terhadap semua rakyat Malaysia. Hakikat bahawa itulah rencana yang dilakar memang jelas menyerlah semasa Khairy mengaku dalam akhbar Sunday Times pada 26 November 2006. (bukan 2007)
Saya petik kata-kata itu di sini:
Jadi, kita sekarang sedang mendebatkannya. Selepas redanya cakap yang berapi-api, kelantangan tentang hak ketuanan, hak keistimewaan dan laungan nasionalisme dan perkauman, ada orang yang cuba mengkaji semula tentang identiti etnik di Malaysia hari ini.....
Selepas beberapa hari beretorik adalah terlalu mudah untuk kata penyudah mengulanginya.
Akan tetapi itu bukannya contoh kepimpinan. Kepimpinan bererti membenarkan apa sahaja yang perlu disuarakan dibenarkan secara terbuka, dengan penuh tanggungjawab dan keberanian untuk mempengaruhi setiap individu balik ke jalan tengah, menenangkan yang tidak tenteram, dan menentukan emosi yang meruap-ruap menjadi satu tenaga yang positif dengan tujuan bukan semata-mata untuk orang Melayu tetapi untuk seluruh Malaysia.
Itulah kempimpinan yang kita nampak daripada Presiden Umno dan mesti dikekalkan imej itu pada persidangan tahunannya.
Tukang karut telah bekerja lebih masa untuk menyebarkan dakwah politik ini. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri defakto Undang-undang Nazri Aziz,. telah masuk campur dengan bersuara bahawa para perwakilan yang berani bersuara menuturkan kata-kata perkauman perlu bersedia menghadapi kesan Akta Hasutan. Kalaulah tindakan dibuat pada Persidangan Tahunan Umno itu, mungkin ada sedikit ruang dalam usaha untuk mengekang orang yang rasis. Tetapi ia sengaja dibiarkan dan seluruh dunia melihatnya secara lintas langsung di TV Astro.
Akhirnya nanti daripada strategi pelencungan ini, ternyata menunjukkan apa yang dicakap-cakap dalam Persidangan Umno itu adalah sesuatu yang bukan baru. Di setiap persidangan, kenyataan rasis semacam itu memang perkara biasa. Tetapi membiarkan lintas langsung melalui Astro TV, rakyat Malaysia yang bukan-Melayu secara tiba-tiba dan untuk pertama kali didedahkan kepada kebodohan itu. Khairy dan golongan tukang karutnya menjangka satu libasan yang akan muncul kerana apa yang terjadi dalam masa beberapa minggu daripada sekarang. Sekali gus itu akan mengkerdilkan sebarang kisah mengenai Tun ataupun apa yang dikritiknya. Sekali lagi saya kutip kenyataan Khairy:
Persidangan tahun ini merupakan kali yang kelapan bagi saya. Saya memang berminat dengan persidangan itu dan cuba mendengar sebanyak ucapan yang mungkin, sambil mengambil catatan di setiap sesi yang saya hadir.
Selepas berakhirnya persidangan tahun ini saya mengimbau persidangan yang lalu dan tidak nampak apa-apa yang ganjil telah berlaku........
Apabila saya tanya beberapa orang tokoh Umno yang lebih berpengalaman apakah penilaian saya terhadap perdebatan tahun ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan yang dulu-dulu, mereka bersetuju berasaskan perspektif politik yang memakan masa yang lebih lama.
Jika demikian tidak ada sesuatu yang memberangsangkan Paklah untuk mampu menaikkan semangat para perwakilan bahawa dia telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa dalam ucapan penangguhannya. Persidangan yang dulu-dulu telah diadakan dalam sesi khas, yakni tidak ada siaran langsung, dan kerana itu apa juga komen yang dituturkan walaupun ada yang amat berbisa adalah terhad dan tidak mencetuskan impak luaran. Demikian juga yang dialami oleh parti yang berasaskan perkauman.
Dengan membenarkan persidangan Umno disiarkan secara lintas langsung, setelah menyedari kerapnya lakonan emosi yang berapi-api, ia dianggap sebagai provokasi yang paling ekstrem untuk agenda politik - bagi menyuntik imej Paklah. Apabila seseorang pemimpin sudah bersedia membiarkan negaranya menghadapi risiko, sehingga merelakan pertumpahan darah di jalanan semata-mata untuk menyelamatkan kerjaya politiknya, dia sudah tidak layak lagi memimpin negara sebagai seorang Perdana Menteri
Sentimen perkauman ini telah disiarkan secara lintas langsung ke serata dunia. Inilah yang mencetuskan aib yang tidak terhingga kepada Malaysia kerana terdedahnya kepura-puraan Paklah dan Islam Hadhari serta kesederhanaannya konon. Ahli politik Barisan Nasional yang memuji-muji kesederhanaan Paklah telah membantu mengembangkan kepura-puraan itu dan segala pembohongannya.
Rakyat marhaen tidak mudah diperbodoh oleh rencana busuk ini dan Umno serta Barisan Nasional akan membayar padah yang tinggi harganya pada pilihan raya umum akan datang. Tidak dihairankan lagi kalau perkara ini akan menjadi.
Usaha kolekitf selama tiga puluh lima tahun untuk mengongsi kek ekonomi sudah berakhir dengan kehampaan. Ia menjadi satu bencana yang tidak diduga. Sepatutnya Paklah menyelesaikan masalah yang mendesak sekarang ini, dan bersiap menghadapi tsunami kewangan, serta mempertahankan negara daripada serangan yang dilakukan ke atas umat Islam oleh pakatan Zionis. Umno di bawah kepimpinan Paklah dan Khairy telah sengaja menyibuk dengan peralatan yang berbahaya, hanya untuk mengekalkan kesinambungan dinasti Badawi. Apabila darah mula mengalir di jalan raya, sama ada kesan provokasi musuh dalam ataupun luar, dunia akan menyekup Paklah, Khairy, Hishamuddin dan para klon mereka sebagai orang-orang yang bertanggungjawab sepenuhnya.
Islam sudah dikorbankan untuk kesinambungan kuasa politik. Kini musuh Islam akan berkata bahawa Bush memang betul, Paus Katholik (Pope) memang betul. Ancaman Islamo-fascisme menggalakkan keganasan. Musuh-musuh Islam akan menabur benih keraguan. Mereka akan berkata bahawa umat Islam memang tidak boleh dipercayai. Paklah dan para penyokongnya yang "setia" telah berpaling tadah terhadap Islam dan Umno
Semoga Allah ampunkan anda Paklah kerana mencemari Islam, umah dan Malaysia. Pada penutup ucaptama anda, anda telah menjerit tiga kali, Hidup Melayu...."Tetapi melalui tindakan anda itu sesungguhnya anda berkata "Bunuh Melayu", "Bunuh Islam" dan "Bunuh Malaysia."
|