Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
APAKAH MANFAAT KUNJUNGAN BAPA MARINA KE KELANTAN KEPADA PAS?
Tuesday, July 25, 2006
Bekas PM ke - 4 akan memulakan tugas rasminya mengkritik Abdullah Badawi al-Hadhari di Kelantan pada 28 Julai ini selepas pulang dari bercuti selama 20 hari di beberapa buah negara Eropah dengan menaiki kapal kepunyaan (dibayar sepenuhnya) oleh Ananda Krishnan.

Dua majlis akan beliau hadir semasa di Kota Bharu nanti. Pertama ialah majlis dialog dengan veteran Umno dan kedua majlis makan malam. Sebelum itu pada sebelah tengah hari beliau dijangka menunaikan sembahyang Jumaat di Kota Bharu.

Walaupun majlis itu bukan dianjurkan oleh Pas, namun pihak penganjur sangat berharap orang-orang Pas ramai-ramai akan menghadirinya. Sebab itulah Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diundang untuk hadir pada majlis makan malam tersebut. Undangan itu sebenarnya sebagai umpan kepada orang Pas agar hadir pada majlis bekas PM itu, walaupun mereka tahu Nik Aziz jarang untuk makan-makan di hotel.

Penganjur sudah arif, sekiranya Nik Aziz bersedia untuk duduk semeja dengan bekas PM tentu ramai penyokong dan ahli Pas akan datang. Kalau pun tidak untuk mendengar ucapan bekas PM itu, tetapi untuk mengintai-intai majlis berkenaan. Mahu melihat bagaimanakah telatah Nik Aziz duduk semeja dengan bekas PM sambil cakap-cakap dan makan-makan.

Penganjur atau lebih tepat lagi broker bekas PM itu tahu, tanpa orang Pas majlis-majlis itu akan dingin dan kering dengan orang. Kerana sah orang Umno tidak 'dedel' (tolol dan bodoh) untuk datang mendengar kritikan bekas PM kepada Abdullah. Lagi pun kerana sudah ada arahan rasmi daripada pemilik Mercedes WCE 1 (Annuar Musa), yang melarang orang Umno daripada menghadiri apa-apa majlis bekas PM itu di Kelantan.

Tentulah kalau ada mana-mana ketua bahagian, atau ahli jawatankuasa bahagian yang degil, hadir mereka akan disoal jawab. Walaupun kehadiran itu tidak haram, (seperti tersentuh daging babi) tetapi panjanglah ceritanya nanti. Biasanya juga orang Umno kalau mendengar arahan ketuanya, sama dengan ayam takutkan helang.

Tidak dapat dipastikan selain daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz, siapa lagi yang menerima kad jemputan makan malam itu? Tetapi tentu broker bekas PM itu menghantar kepada semua kepimpinan utama Pas Kelantan termasuk juga ahli Exco. Semua itu adalah taktik pihak broker saja. Kerana dia tahu, sekiranya Nik Aziz hadir mereka yang lain juga kena hadir. Masakan MB hadir Exco pula tidak hadir. Atau kalau Mursyidul Am atau Pesuruhjaya hadir, masakan Ketua Kawasan atau Naib-Naib Pesuruhjaya tidak hadir pula? Jadi semua akan hadir?

Melainkan kalau Nik Aziz tidak hadir, ia tidak menimbulkan masalah sampingan. Tetapi kalau Nik Aziz hadir ia akan menimbulkan keadaan yang kekok. Ini akan memberi implikasi kepada Pas. Umno sudah tentu akan mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku. Nanti riuh-rendahlah dijaja, bahawa Pas Kelantan berpecah dalam isu bekas PM – ada yang menyokong ada yang tidak. Akan bergemalah isu ini nanti dalam DUN Kelantan. Maka sekali lagi akan lenguhlah wakil-wakil Pas untuk menjawab segala itu!

Sebenarnya tidak ada masalah, kalau MB dan pemimpin lain hendak hadir makan malam dengan bekas PM itu. Bagaimanapun, bijak kalau sebelum itu mereka fikir masak-masak apakah manfaatnya dan implikasinya dengan kehadiran itu. Kalau ianya memberi manfaat ok, tetapi kalau ia memberi kesan buruk, elok jangan hadir, atau cari helah lain untuk tidak terjebak dengan masalah itu.

Sebelum mengambil keputusan tepat, Nik Aziz dan juga pemimpin lain kena dengar apa yang sedang bergemercingan dari bawah. Mereka kena tinjauan pendapat ahli dan penyokong bawahan. Jangan kerana hendak berpolitik, maka pandangan di bawah tidak diambil kira. Perlu sedar, orang di bawah adalah penting kerana merekalah yang merupakan agen utama penggerak Pas.

Sekarang ini terdengar dari bawah ramai yang tidak setuju dengan kehadiran bekas PM ke Kelantan. Mereka bukan marah kepada laki Siti Hasmah itu, datang, tetapi tidak mahu orang Pas menginding muka dengan bekas PM. Bekas PM boleh datang berapa kali pun dia suka, tetapi mereka tidak mahu orang Pas menjadi 'kereta privet sapu' kepadanya.

Rata-rata ahli dan penyokong kelas tiga tidak boleh menerima bekas PM itu. Dosa dan juga kecamannya kepada Pas sebelum ini masih menyocok dan menikam kalbu mereka. Mereka bukan berdendam, namun rasa sakit dan senak masih ngilu di hulu hati. Sebenarnya kalau hendak ikutkan hati mereka, bukan saja bekas PM, Ibrahim Ali sendiri pun orang Pas bawahan masih tidak menerimanya. Kalau tidak percaya tanya Ismail Noh, ketua Pas kawasan Pasir Mas?

Dari segi strategi politik, sebenarnya Nik Aziz atau pemimpin Pas tidak payah hadir pada majlis makan malam itu. Kalau tujuan mereka hendak melihat bekas PM itu bergaduh dengan Abdullah Badawi al-Hadhari, apa yang ada hari ini sudah mencukupi. Mereka sudah bergaduh. Kehadiran beberapa orang pemimpin kanan Pas semasa di Melawati dulu sudah mencukupi. Satu segi Pas sudah berjaya meletakkan Mahathir dan Abdullah di dalam 'bon' – tempat perlagaan lembu.

Kita boleh menerima politik itu berubah dari masa ke semasa. Kita juga menerima musuh hari ini adalah kawan esok, begitu sebaliknya. Namun dalam hal bekas PM ini, ia musuh yang tidak boleh bertukar menjadi kawan dalam masa terdekat dan semudah itu. Sifir dan formula politik tidak terpakai kepada semua keadaan.

Tahun 1969 bekas PM itu pernah bersama Pas. Pas pernah memberi tempat dan ruang kepadanya. Apakah yang Pas perolehi daripada itu? Dan apakah kesudahan dengan bekas PM itu kemudiannya? Apabila beliau menjadi PM, selama 22 tahun beliau kutuk Pas, kecam Pas dan tuduh macam-macam. Bekas PM itu sedikit pun tidak pernah mengenang jasa dan budi Pas. Lagaknya bekas PM itu samalah seperti melepaskan anjing tersepit.

Seperti dikatakan, bekas PM itu terlalu banyak dosa kepada Pas. Apa lagi ahli dan penyokong Pas Kelantan yang fanatik kepada parti, sukar untuk menerima bekas PM itu. Bagi orang Kelantan kalau mereka sudah membenci seseorang itu, susah untuk dipulihkan. Seperti mana rakyat Kelantan benci kepada Annuar Musa, buatlah apa pun, bawalah segunung intan dan sebukit emas, orang Kelantan tetap ingat akan kesilapan masa lalu.

Orang Kelantan bukan macam orang lain. Realiti ini perlu disedari oleh pemimpin Pas Kelantan dan juga Nik Aziz serta bakal penggantinya Datuk Husam Musa. Kita bimbang, jika Pas tidak peka dengan naluri dan sifat semula jadi orang Kelantan itu, ia akan memberi padah buruk. Keuntungan yang diharapkan secupak daripada perbalahan bekas PM dengan Abdullah itu akan menghadiahkan seguni kerugian pula kepada Pas.

Sekali lagi dijelaskan, persoalan ini diungkitkan bukan dengki, tetapi berpandukan kepada pengalaman masa lalu. Sejarah dan pola dan sosio politik Kelantan agak unik berbanding dengan negeri lain. Apa yang mungkin diterima di Kuala Lumpur tidak semestinya diakur di Kota Bharu. Kita tidak mahu keunikan itu kelak akan menikam Pas Kelantan dan juga para pemimpinnya.

Seperkara lagi Pas Kelantan juga harus belajar daripada kesilapan lampau yang membawa penyanyi bernama Mawi datang ke Kelantan. Pas Kelantan telah memberi penghormatan tinggi kepada penyanyi itu dengan harapan ia boleh membantu Pas dari segi hiburan. Semua diberikan kepada Mawi termasuk tiket kapal terbang, tempat tinggal dan wang saku.

Kerana kerajaan sendiri bawa Mawi, maka semua orang menyokong Mawi. Orang Pas yang sebelum ini tidak pernah dengar lagu rock, dengar, apabila ianya dinyanyikan oleh Mawi. Memalukan lagi tok-tok iman di kampung yang berjanggut 'seronyeh' (tidak diurus) juga turut menjadi agen mengedar dan menjual vcd Mawi. Tok imam pun terlibat sama. Begitulah kesannya yang berlaku di bawah apabila sesuatu itu dileadkan sendiri oleh kerajaan.

Walhasil, apa jadi dengan Mawi? Malas hendak menyebutnya kerana senak jantung di dada.

Berfikirlah dengan sebaik mungkin apakah tindakan meraikan bekas PM itu memberi manfaat besar atau pun bala’ besar kepada Pas. Kalau ia memberi pahala besar, silalah... tetapi kalau ia memberi bala' besar baik hentikan kerja sia-sia itu. Rentak dan gendang Ibrahim Ali boleh diikuti sesetengah saja, jangan ikut semua sekali!
posted by jasindaily online @ 4:48 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com