DEMI MASA |
|
|
JANGAN IKUT RENTAK BLOG, LAMAN WEB, PESAN PAK LAH |
Tuesday, July 25, 2006 |
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata media perdana di negara ini tidak perlu bersaing dengan laman web dan blog di Internet dalam mengeluarkan bahan dan berita yang bersifat spekulasi dan sensasi.
Perdana Menteri berkata sebaliknya mereka perlu melaksanakan tanggungjawab berat menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan menyedari keperluan untuk tidak memberitakan apa-apa yang boleh menimbulkan reaksi atau suasana tidak baik.
"Orang akan merujuk juga kepada apa yang diberitakan oleh akhbar-akhbar perdana. Kerana itu, penting akhbar-akhbar ini menjaga peranannya, jangan terikut-ikut nak membawa (berita) sensasi yang ditimbulkan oleh laman web itu dan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Media Massa 2006 bertemakan 'Media dan Cabaran Era Globalisasi', di sini.
Abdullah mengulas lanjut kandungan ucapannya yang banyak berkisar tentang peranan dan pengurusan media dalam konteks memenuhi tanggungjawab sosialnya di negara ini.
Sambil menekankan bahawa media perdana mempunyai pengaruh serta mendapat perhatian ramai, beliau berkata: "Tak payah bersaing (dengan laman-laman web). Nak bersaing buat apa... Jangan buat berita bohong, yang (bersifat) spekulasi berdasarkan maklumat yang tidak betul."
Perdana Menteri menekankan pentingnya media berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu sensitif.
"Fikir sedalam-dalamnya sebelum nak dijadikan berita. Dan jangan disensasikan berita-berita sensitif kerana itu boleh menimbulkan reaksi yang tidak baik," katanya.
Abdullah berkata walaupun negara sudah meningkat maju, namun masyarakat Malaysia masih sensitif berhubung perkara berkaitan agama serta isu kedudukan dan aspirasi kaum.
Kenyataan pihak tertentu yang boleh mengapi-apikan dan membawa kepada keadaan tegang atau menyebabkan pergaduhan tidak perlu diberikan ruang di media, katanya.
Beliau turut ditanya tentang populariti sesetengah laman web dan blog serta pandangan bahawa kredibiliti media perdana kini terjejas kerana tidak melaporkan perkara yang serupa.
"Kita tidak boleh memilih untuk menjadi popular tanpa sebab, atau kita tidak boleh memilih untuk popular bagi suatu sebab yang salah. Kita tidak harus bersaing dengan seseorang yang melakukan sesuatu yang kita patut tahu memang salah. Ia tidak betul, ia tidak wajar," katanya.
Abdullah menegaskan bahawa kebebasan akhbar wujud di negara ini tetapi ia mesti ada hadnya kerana kebebasan yang tidak ada had akan membawa kepada porak-peranda dan menimbulkan kesusahan.
Di samping memahami undang-undang berkaitan media seperti Akta Hasutan, beliau menggesa para pengamal media supaya mengasuh diri untuk berhati-hati apabila berhadapan dengan isu agama, politik dan kaum.
Menjawab satu pertanyaan, Perdana Menteri berkata media perdana sememangnya berhati-hati dalam membuat berita tetapi beliau dapat melihat kecenderungan mensensasikan sesuatu berita seolah-olah ia menjadi satu tekanan kepada mereka untuk berbuat demikian.
"Inilah yang membimbangkan dalam hal ini. Kita nak kebebasan, ketelusan. Itu baik, tetapi hati-hatilah nak menggunakan kebebasan itu. Jangan kerana kebebasan kita tak jadi bebas lagi. Itu yang kita tak mahu," jelas beliau.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abdullah berkata media memainkan peranan besar untuk meningkatkan kesedaran rakyat bahawa tanggungjawab menjayakan Misi Nasional yang menjurus kepada Wawasan 2020 tidak hanya terletak di bahu kerajaan kerana ia menjadi tanggungjawab bersama semua warga Malaysia.
Menyentuh soal globalisasi, Perdana Menteri berkata masyarakat negara ini tidak boleh menutup mata atau membina benteng untuk menyekat kemaraan fenomena itu.
Negara dan rakyat perlu bersedia menghadapi kesan globalisasi supaya segala manfaatnya dapat dikecapi oleh semua pihak, katanya.
Persidangan itu dianjurkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. |
posted by jasindaily online @ 4:34 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|
kadang2 mugkin kena ikut juga kod
Malaysia Web Design