DEMI MASA |
|
|
INILAH MASANYA SEBELUM TERLAMBAT! |
Friday, July 21, 2006 |
Semenjak beberapa tahun kebelakangan, saya sudah berhenti daripada melanggan akhbar-akhbar harian, dan jarang pula mendengar berita yang disiarkan oleh rangkaian-rangkaian televisyen Malaysia. Saya hanya merujuk kepada sumber-sumber "maklumat" tersebut apabila ada keperluan atau dalam keadaan yang tertentu sahaja. Kalau tidak, saya lebih banyak pergi ke internet, dan sekali sekala menonton saluran News Asia dari pulau kecil jiran kita itu. Dalam keadaan cuaca agak baik, saya akan mencuba pula siaran-siaran lain dari Indonesia yang dapat kami terima di selatan Semenanjung ini. Saya memang agak lebih berselera mendengar berita dari seberang, kerana ia lebih bebas daripada kongkongan dan kawalan pihak yang berkuasa di sana - tidak seperti yang sangat terasa di negara ini.
Sorrylah, saya bukan tidak patriotik. Seperti kata orang, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dan saya juga memahami bahawa cintakan tanah air itu adalah separuh daripada iman - hubbul wathan minal iman. Justeru itulah, saya tidak sanggup menjadi seorang "patriot" atau, dalam konteks lain, "nasionalis" totok yang senang diperbodoh-bodohkan oleh orang lain.
Sesungguhnya, saya memang sealiran dengan mereka yang menganggap bahawa "maklumat" yang diasak setiap hari oleh media tempatan ke benak kita itu hanyalah untuk membebirikan sesetengah orang dan kalau boleh terus mengajar mereka supaya lebih "cerdik" menipu diri sendiri dan berbohong.
Dalam konteks yang tersebut tadi, beberapa minggu lalu, saya telah melihat dengan sekali imbas satu berita di muka depan sebuah akhbar harian yang diunjukkan kepada saya oleh seorang teman. Tajuknya terpampang: 'Hapus yuran peperiksaan - Cadangan Ahli Parlimen bagi PMR, SPM dan STPM'.
Berita utama itu melaporkan: 'Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan agar yuran peperiksaan di sekolah kerajaan meliputi Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dihapuskan.'
Ia merujuk kepada tiga orang ahli Parlimen yang kesemuanya dari BN. Setakat ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada mereka kerana sekurang-kurangnya berani juga merengek-rengek tentang perkara ini. Kebetulan, dua daripadanya saya kenal dan tahu juga sedikit latar belakang mereka.
Mohamed Aziz (BN - Sri Gading) berasal dan dibesarkan di Batu Pahat; tapi tidak pasti sama ada dia dilahirkan di Jambi. Di kalangan mereka yang tahu dan sebaya dengannya, 'Matziz' ini dikenali juga dengan panggilan 'Ishak Jambi'. Walaupun persekolahannya tidak seberapa berbanding dengan kedudukannya sekarang, namun begitu dia boleh dikatakan sudah 'berjaya' dalam Umno. Malahan, tidak lama dulu, beliau pernah juga mencuba nasib untuk mengisi jawatan Pengerusi Tetap parti itu, tetapi gagal.
Sementara Mahadzir Khir (BN - Sungai Petani) pula, saya kenal sewaktu kami sama-sama belajar di universiti hampir 40 tahun yang lalu. Kalau tidak salah dalam ingatan saya, lama juga beliau dipanggil sebagai Dr Mahadzir Khir, hinggalah isu gelaran "Dr" itu akhirnya dibangkitkan di Parlimen.
Terhadap tokoh ini, Anwar Ibrahim (pada ketika itu selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia) pun pernah membuat teguran yang agak tajam dalam satu majlis di hadapan beberapa ratus orang bekas "pemimpin" mahasiswa yang sezaman dengan beliau (Anwar). Antara lain, Anwar menyentuh lebih kurang begini: "Saya bimbang kalau orang seperti Mahadzir ini menulis buku sejarah..."
Sebelum itu, dalam majlis yang sama, Mahadzir ada menceritakan sedikit tentang episod "tikam-menikam dari belakang" di kalangan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) waktu itu.
Berbalik kepada berita mengenai cadangan ahli Parlimen supaya yuran peperiksaan itu dihapuskan, Matziz juga dilaporkan berkata: "'Sudah tiba masanya, kerajaan memutuskan supaya yuran berkenaan dihapuskan. Saya percaya, kerajaan tidak akan muflis hanya kerana menghapuskan yuran peperiksaan,' katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Majlis Peperiksaan Malaysia (Pindaan) 2005 di Dewan Rakyat, hari ini."
Syabas YB! Dalam satu hal ini, saya setuju sepenuhnya dengan saudara.
Kita memang sudah sama-sama tahu, dan sejumlah besar rakyat pun mulai sedar ke mana perginya berbilion-bilion wang negara selama ini. Sekiranya dalam keadaan parah begitupun kerajaan masih belum muflis, inikan pula kerana menghapuskan yuran peperiksaan..............!
Tetapi, saya tidak setuju pula apabila beliau dilaporkan berkata: "..........jika ini dapat dilakukan, ia merupakan satu 'hadiah istimewa' daripada kerajaan kepada rakyat bawahan terutama di kawasan luar bandar.
Mat, Mat............!!!!! Janganlah jadikan "rakyat bawahan terutama di kawasan luar bandar'' itu sebagai peminta sedekah. Bukankah tangan yang menerima itu sentiasa di bawah?
Nampaknya, sahabat saya ni masih tidak dapat membedakan yang mana pokok dan yang mana hutan. Bukankah prinsip mendapatkan peluang yang sama melalui pendidikan itu merupakan hak dan bukan keistimewaan bagi setiap insan?
Sebab itulah, Mat, di dalam manifesto pilihan raya 2004 Barisan Alternatif (BA) melihat serta mendekati semua masalah (termasuk pendidikan) secara menyeluruh dan holistik seperti di bawah ini:
Di dalam era globalisasi dan Information and Communication Technology (ICT), anda dan keluarga anda perlu diberikan pendidikan yang komprehensif untuk membolehkan anda terlibat aktif dalam pembangunan negara. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mengajak anda sama-sama memainkan peranan di dalam arus perdana pembangunan dengan:
-Menggerakkan reformasi pendidikan bagi memastikan pendemokrasian pendidikan -Menyediakan buku teks percuma bagi sekolah rendah & sekolah menengah -Memastikan pendidikan rendah dan menengah diwajibkan dan memansuhkan yuran persekolahan dan peperiksaan. -Membina enam buah universiti awam baru menjelang tahun 2008. -Mengiktiraf dan membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil untuk memastikan semua anak-anak mendapat pendidikan mengikut pilihan ibu bapa masing-masing hingga ke peringkat tinggi. -Mengembalikan bantuan perkapita untuk Sekolah Agama Rakyat -Menyediakan Tabung Biasiswa dan Pinjaman yang mencukupi bagi melahirkan lebih ramai graduan. -Menambah bantuan awal tahun bagi keluarga yang layak dari RM 120 kepada RM 200.00. -Menghapuskan kadar faedah 3% yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Saya percaya, siapa sahaja (termasuk ahli-ahli Parlimen BN) yang ikhlas untuk memberikan peluang yang sama melalui pendidikan kepada "rakyat bawahan terutama di kawasan luar bandar" pasti akan bersetuju untuk bersama-sama memperjuangkan hak rakyat seperti yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya BA itu.
Inilah masanya sebelum terlambat!
|
posted by jasindaily online @ 6:43 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|