DEMI MASA |
|
|
NGO ISLAM NYATA PENDIRIAN TERHADAP ISU MURTAD |
Thursday, July 20, 2006 |
Perbincangan khas di kalangan wakil-wakil NGO yang beraspirasikan Islam telah diadakan bagi merangka sikap dan gerak kerja bersama untuk menangani pelbagai isu-isu berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia. Mesyuarat tersebut memutuskan untuk menubuhkan gabungan yang dinamakan Pertubuhan-Pertubuhan (NGO) Pembela Islam (PEMBELA) sebagai rangkaian gerak kerja bersama pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh wakil lebih 50 buah pertubuhan beraspirasikan Islam termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Peguam Pembela Islam (PPI), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Muslim Professional Forum (MPF), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), MUAFAKAT, badan-badan pelajar dan lain-lain Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Ia turut dihadiri oleh wakil-wakil taman perumahan, surau, masjid, para peguam, individu-individu yang mendokong aspirasi yang sama, selain para peguam yang terlibat secara langsung mengendalikan kes-kes berkenaan permohonan keluar Islam di negara ini.
Beberapa kes mahkamah yang melibatkan Islam telah timbul akhir-akhir ini seperti kes Muhammad Abdullah@Moorthy, Azlina Jailani (Lina Joy) dan Meor Atiqulrahman. Perkara tersebut telah menimbulkan kebimbangan dan ketidakpuasan hati yang semakin memuncak di kalangan masyarakat Islam di negara ini, berkenaan isu murtad serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan perundangan negara.
Mesyuarat PEMBELA telah bersepakat bahawa isu murtad di negara ini sudah berada di tahap yang membimbangkan dan kesal dengan usaha berterusan pihak-pihak tertentu yang bertujuan menggugat kedudukan Islam di Malaysia melalui saluran perundangan.
PEMBELA melihat persoalan status keIslaman dan permohonan untuk keluar dari Islam adalah persoalan yang harus diadili oleh para Hakim yang memahami perundangan Islam di Mahkamah Syariah; dan bukan di Mahkamah Sivil terutama apabila ia melibatkan para Hakim bukan Islam.
Gabungan tersebut mengajak semua pihak terutama kerajaan melihat masalah murtad secara jujur dan serius. Ia percaya masalah tersebut boleh ditangani tanpa menimbulkan sebarang kekecohan sekiranya ditangani dengan bijak. Pihak PEMBELA bersedia untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi mengatasi masalah tersebut.
Masalah murtad dan kedudukan istimewa Islam adalah perkara yang amat sensitif di kalangan umat Islam di negara ini dan sebarang cubaan menggugat kedudukan tersebut akan mengguris perasaan ramai pihak dan bakal mengganggu keharmonian dan kerukunan masyarakat berbilang bangsa.
PEMBELA merasa kesal di atas beberapa komentar yang tidak sepatutnya dibuat dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Islam mengenai Rasulullah (saw) dan sunnah memakai serban.
Sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk bagi menjalankan gerakan menangani masalah murtad dan mengukuhkan kedudukan Islam dalam perundangan negara. Yang terdekat ialah menyediakan memorandum untuk diserahkan kepada para pemimpin kerajaan mengenai masalah murtad.
PEMBELA bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengadakan majlis penerangan, dialog termasuk dengan bukan Islam dan pertemuan dengan pemimpin kerajaan bagi mencari penyelesaian kepada masalah murtad.
Sebarang sumbangan dan pertanyaan boleh ditujukan kepada:
Pertubuhan-Pertubuhan (NGO) Pembela Islam (PEMBELA) d/a Sekretariat Abim Pusat, Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak (image placeholder)3100 Kuala Lumpur Tel: 03-6188 0300 Faks: 03-6189 6700 Email: sap@abim.org.my abim@po.jaring.my |
posted by jasindaily online @ 5:42 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|