Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
WAN AZIZAH MAHU KANUN KESEKSAAN DIPERHALUSI
Tuesday, July 18, 2006
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas memperhalusi bahagian pembanterasan keganasan dalam cadangan pindaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang kabur.

Dalam kenyataan berkenaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 yang dikeluarkan pada 17 Julai lepas, Wan Azizah menegaskan bahawa pindaan rang undang-undang tersebut penting untuk memberi pengertian sebenar perbuatan "jenayah" dan meliputi prosedur penangkapan suspek.

Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Penal Code, PC)

Menurut Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata, cabaran terbesar dalam perundangan menentang keganasan adalah takrifan "tindakan pengganas" yang kabur dalam Seksyen 121-130A Kod Hukuman, Kanun Keseksaan, di mana pihak tertentu boleh mendapat faedah dengan mengelak sekatan undang-undang dan mengalihkan objektif dasar. Tafsiran yang diungkapkan dalam Seksyen 130(c)-(t) juga perlu pengkajian semula.

Tambah Azizah, Seksyen 130(B)(2-3) pula meliputi tindakan atau ugutan di dalam atau luar Malaysia, di mana perbuatan "pengganas" ditafsir sebagai sesuatu tindakan atau ugutan, dengan niat untuk memajukan tujuan politik, agama atau ideologi; dan tindakan atau ugutan dengan niat untuk mempengaruhi atau menekan Kerajaan Malaysia atau Negara asing atau organisasi antarabangsa untuk membuat sesuatu, atau dihalang daripada membuat sesuatu.

"Definisi yang luas ini amat merbahaya jika diguna pakai dalam konteks hari ini kerana membuka ruang untuk disalahgunakan oleh badan perisikan negara untuk mengambil tindakan sewenang-wenangnya pada bila-bila masa," kata Azizah di Parlimen yang bersidang pada 17 Julai lepas.

"Malah, kuasa mutlak diberikan kepada polis seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA) juga membolehkan rakyat ditahan kerana hanya disyaki 'mengancam keselamatan negara' tanpa bicara."

"Apa yang perlu ditegaskan ialah Seksyen 121-130 telahpun merangkumi peruntukan kesalahan jenayah keganasan, maka tidak perlu diperuntukkan sekali lagi seksyen tambahan tersebut yang memberi kuasa mutlak kepada polis dan pendakwaraya, sebaliknya mendakwa secara terbuka dengan seksyen-seksyen sedia ada," jelasnya lagi.

Wan Azizah mengingatkan bahawa setiap tindakan perlu diambil secara berhati-hati, adil dan cukup tegas bagi memastikan hak asasi rakyat tidak dicabuli sekalipun, atas alasan keselamatan negara.

Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenyah (CPC)

Wan Azizah juga mempersoal cadangan Seksyen 106B dan 106(c), Kanun Tatacara Jenayah, di mana polis diberi kuasa untuk menangkap tanpa waran seseorang yang menimbulkan banyak keraguan dan disyaki teroris; dan Pendakwaraya diberi kuasa untuk memintas komunikasi tertentu sekiranya dipercayai atau disyaki mengandungi maklumat berkenaan dengan kegiatan keganasan.

"Apakah niat sebenar kerajaan untuk menambah peruntukan baru sedangkan sudah ada akta yang memperuntukkan pihak polis berbuat demikian?" soal Azizah.

Menurutnya, pindaan itu tidak boleh diterima kerana ia memperuntukkan kuasa yang terlalu luas kepada penguatkuasa sehingga bercanggah dengan amalan undang-undang. Pendakwaraya juga seharusnya membuktikan kepada mahkamah bukti dan alasan yang kukuh untuk memintas sebarang komunikasi agar tidak berlaku pencerobohan hak peribadi individu.

Wan Azizah berpendirian bahawa peruntukan yang sedia ada telahpun mencukupi bagi memerangi pengganas, maka pindaan Rang Undang-undang untuk peruntukan baru yang lebih mencabul hak asasi manusia adalah tidak bermakna.

"Apabila dunia digemparkan dengan tragedi demi tragedi, apa yang kerajaan patut tawarkan kepada dunia ialah satu gesaan keras agar dunia cuba belajar dan memahami punca sebenar ketiakpuasan hati para teroris berkenaan."

"Melihatkan kepada bentuk dan modus operandi mereka, adalah tidak keterlaluan jika kita katakan yang teroris sebenar tidak akan takut kepada sebarang bentuk perundangan kerana mereka juga tidak takutkan mati. Justeru, jika undang-undang digubal sebagai langkah mengawal kegiatan mereka, maka sudah pasti ia bukan suatu tindakan kawalan yang berkesan."


Wan Azizah mengakhiri ucapan beliau dengan menyeru Jawatankuasa Pilihan Khas agar meneliti sekali lagi cadangan yang telah mereka kemukakan dalam bahagian ini bagi memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan mereka sebagai insan merdeka di dalam sebuah negara yang demokrasi dan bertamadun.
posted by jasindaily online @ 6:02 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com