Assalamu'alaikum wm.wrt., Peristiwa Dr. Mahathir Mohamad, bekas PM ke-4 dilempar gas pemedih mata setibanya beliau di Lapangan terbang Pengkalan Cepa adalah amat dikesalkan. Semua pihak mengutuk perbuatan yang tidak bertamadun itu. Adalah dipercayai berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Ibrahim Ali, orang yang bertanggungjawab itu ialah salah seorang daripada anggota Pemuda UMNO Kelantan yang Ibrahim sendiri mengenali penyerang tersebut.
Perdana Menteri yang mendengar berita tersebut tersangat marah dan mengarahkan pihak polis siasatan segera dan menangkap orang yang terlibat. Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Musa Hassan, kejadian itu terjadi ketika berlakunya pergelutan di antara Ibrahim Ali dengan Nik Sapeia Nik Yusoff untuk merebut Mahathir menaiki kereta salah seorang dari mereka. Pada masa kelam-kabut itulah seorang yang tidak dikenali mengambil kesempatan melempar gas pemedih ke arah Ibrahim dan Mahathir. Setakat ini, penyiasatan telah pun dimulakan dan seorang bergelar 'Datuk' disyaki sebagai yang bertanggungjawab terhadap peristiwa tersebut.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa Ibrahim Ali adalah bekas Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas yang dipecat oleh Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO dan diganti oleh Abdul Rahim bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Bahagian. Rahim memang rapat dengan Abdullah, tidak dengan Ibrahim. Kini, Ibrahim Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan-sebuah NGO yang ditubuhkan khas untuk membuat kacau terhadap pentadbiran PAS di Kelantan selepas pilihan raya umum ke 10. MTRK walaupun didaftarkan sebagai NGO, tetapi bergerak seperti sebuah parti politik. Manakala Nik Sapeia Nik Yusoff juga merupakan bekas Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai. Kedua-dua mereka kini telah menjadi 'hampas' kepada UMNO yang di bawah pimpinan Abdullah.
Ibrahim dikatakan sebagai orang yang bertanggungjawab membawa Mahathir ke Kelantan [setelah semua saluran komunikasi ditutup] yang merupakan babak ke dua-Mahathir V Abdullah. Di lihat dari sudut pergelutan tersebut, dilihat seolah-olah ada satu perancangan yang dibuat untuk merebut Mahathir dan membawa Mahathir [menjauhkan Mahathir daripada golongan Ibrahim Ali dan Abdullah Ahmad] menghadiri program yang dianjurkan oleh golongan Nik Sapeia, maka beberapa persoalan timbul di benak kita:
i. Dalam isu Mahathir V Abdullah ini, Ibrahim Ali yang paling ke depan di kalangan pemimpin, ahli dan veteran UMNO di Kelantan secara konsisten menyokong Mahathir. Ibrahim kelihatan rapat dengan Mahathir dalam berbagai majlis yang dihadiri oleh Mahathir, selepas Mahathir terbuang dalam arus politik 'rakus' UMNO, tetapi kenapa dengan tiba-tiba muncul pula nama Nik Sapeia yang hendak merebut Mahathir dari tangan Ibrahim dan membawa Mahathir menghadiri program yang diaturkan olehnya, kenapa tidak dibuat perbincangan terlebih dahulu atau mungkin boleh membawa Mahathir sekali pada masa hadapan dan mengapa Nik Sapeia bertindak samseng untuk mendapatkan Mahathir?. Bagi saya sudah tentu Nik Sapeia mempunyai satu agenda tersembunyi di sebaliknya.
ii. Kita semua tahu, selepas majlis dialog Mahathir pada 24.6.2006 yang lalu, Mahathir dikecam oleh pemimpin dan menteri-menteri UMNO yang beliau lantik dahulu itu dan seluruh saluran [platform] untuk beliau bercakap ditutup, hanya akhbar internet yang memberi ruang kepadanya untuk memberi pandangan dalam berbagai perkara yang berlaku di dalam Negara ini. Dipercayai juga Ibrahim Ali turut terlibat dengan kerjasama portal Malaysia Today menganjurkan majlis dialog pada 2.6.2006 lalu itu. Ibrahim awal-awal lagi telah membuat kenyataan [melalui Ahmad Rusli Ibrahim, Setiausaha MTRK yang juga salah seorang ahli MUBARAK] menyatakan Mahathir akan tetap di bawa ke Kelantan pada 28 Julai 2006 nanti. Pada asalnya cadangan membawa Mahathir ke Kelantan dicadangkan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), tetapi disebabkan berbagai tekanan yang dikenakan oleh pucuk pimpinan atasan UMNO yang tidak mahu memberi platform kepada Mahathir untuk bercakap, maka MUBARAK telah membatalkan cadangan mengadakan dialog dengan bekas PM itu. Dalam tempoh tersebut tidak timbul pun nama Nik Sapeia Nik Yusoff untuk mengadakan program khusus untuk Mahathir, tetapi tiba-tiba muncul di Lapangan terbang Pengkalan Cepa untuk mengambil Mahathir, sedangkan sebelum itu tidak ada tanda-tanda kenapa?
iii. Kita telah diberitahu oleh media terutama media internet bahawa Mahathir akan ke Kelantan untuk menghadiri dua program yang dianjurkan khas untuknya bercakap menjelaskan secara detail mengenai ketidak-puasan hatinya terhadap cara Abdullah mentadbir Negara. Satu anjuran Abdullah Ahmad [atau lebih dikenali sebagai Abdullah Kok Lanas, bekas Pengerusi NSTP yang juga dipecat oleh Abdullah dan bekas wakil rakyat serta bekas wakil khas Malaysia ke PBB] yang akan diadakan di Hotel Perdana pada pukul 3.30 petang. Pada sebelah malamnya pula akan diadakan satu majlis makan malam yang bertajuk 'Malam Perjuangan Belum Selesai' di Hotel Grand Riverview yang terbuka kepada orang ramai. Program itu dianjurkan MTRK di bawah pimpinan Ibrahim Ali. Jadi, kenapa dengan tiba-tiba Nik Sapeia Nik Yusoff hendak merampas Mahathir dan memaksa Mahathir menaiki keretanya dan memaksa Mahathir menghadiri majlis anjurannya?
iv. Kenapa berlaku keributan dan kekecohan ketika Mahathir sampai, sedangkan awal-awal lagi media telah menghebohkan bahawa Mahathir ke Kelantan khusus untuk menghadiri program yang dianjurkan oleh Abdullah Kok Lanas dan Ibrahim Ali, tidak ada sebarang laporan yang dibuat mengenai majlis yang dianjurkan oleh pihak Nik Sapeia Nik Yusoff ini. Sudah tentulah Ibrahim dan Abdullah Kok Lanas, pihak yang merancang membawa Mahathir ke Kelantan tidak membenarkan Nik Sapeia merampas Mahathir di tengah jalan, maka berlakulah tarik-menarik dan pergelutan. Ketika inilah seorang yang tidak dikenali mengambil kesempatan melemparkan gas pemedih mata ke arah Ibrahim Ali dan Mahathir?
Dalam merenung peristiwa ini, saya teringat satu peristiwa yang berlaku di Filipina pada tahun 1986. Ketika itu Ferdinand Marcos memerintah Filipina secara diktator. Semua saluran media di Filipina ketika itu diarah membuat laporan memuji dan memuja Marcos. Ramai ahli-ahli pembangkang ditangkap dan sesiapa yang berani bangkit menentang Marcos akan dibunuh dengan kejam. Marcos dan kuncu-kuncunya menguasai ekonomi dan politik Filipina. Keluarga dan kroni-kroninya hidup penuh dengan kemewahan, membiarkan rakyat hidup merempat dan melarat. Keadaan ekonomi teruk. Rakyat tidak pekerjaan. Tidak pekerjaan bermakna tidak ada sumber pendapatan untuk menyara diri sendiri dan keluarga. Kos belanja hidup meningkat. Harga barangan dan perkhidmatan mahal. Inflasi melonjak.
Keadaan ekonomi yang teruk ini turut mencetuskan krisis politik di antara Marcos dengan Ketua Pembangkang Ninoy Aquino yang ketika itu masih berada di Amerika Syarikat [seorang pelarian politik-suaka politik di AS]. Akibat pemerintahan Marcos yang zalim, rakyat [disokong oleh sebahagian pemimpin angkatan tentera Filipina] mulai bangun menentang Marcos dan kuncu-kuncunya. Reputasi Marcos sebagai Presiden dan pemimpin yang memerintah Filipina selama hampir tiga dekad semakin luntur. Manakala musuh politiknya, Ninoy Aquino semakin mendapat tempat di hati rakyat. Ninoy Aquino menjadi harapan rakyat untuk membela nasib mereka. Marcos menjadi marah dan berazam untuk menghapuskan Ninoy Aquino yang mengancam kedudukannya sebagai Presiden yang memerintah Filipina.
Pada tahun itu [1986], bagi membuktikan bahawa rakyat masih menyokong dan popularitinya tidak pernah pudar, Marcos bercadang akan mengadakan pilihan raya umum. Dengan mengadakan pilihan raya ini, pada firasat Marcos ia akan berjaya mengumpan Ninoy Aquino untuk kembali ke Filipina dari AS untuk menyertai pilihan raya tersebut dan bertanding menentang beliau. Tujuan Marcos ialah untuk menghapuskan [membunuh] musuh politiknya, Ninoy Aquino. Berkali-kali Marcos [berlakon] memberi amaran kepada Ninoy Aquino jangan kembali ke Filipina kerana keselamatan beliau tidak terjamin, tetapi Ninoy Aquino tetap berdegil. Beliau terbang dari AS dan sampai di Lapangan terbang Manila, sebaik sahaja beliau melangkah keluar dari pintu kapal terbang, belum sempat beliau menjejak kaki ke bumi, beliau telah ditembak bertubi-tubi oleh enam orang yang tidak dikenali dan ke enam-enam orang ini juga sempat dibunuh oleh pasukan polis Filipina.
Untuk membuktikan kepada rakyat yang beliau [Marcos] tidak terlibat dengan pakatan membunuh Ninoy Aquino ini, maka Marcos telah menubuhkan satu pasukan penyiasat untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut. Dalam pilihan raya tersebut, Marcos menang besar. Marcos amat berbangga, tetapi hakikat sebenarnya rakyat semakin meluat dan bangkit beramai-ramai [dibantu oleh sebahagian kumpulan tentera yang anti Marcos] menentang pemerintahan beliau. Kemenangan besar yang beliau perolehi dalam pilihan raya itu adalah hasil penipuan dan penyelewengan yang dibantu oleh institusi-institusi Negara, pihak polis dan tentera yang diarah menyokongnya tanpa berbelah-bagi. Kemenangan seperti ini pernah dinikmati oleh Suharto, Shah Iran dan Saddam Hussein, kemudian mereka juga akhirnya dijatuhkan oleh kuasa rakyat. Ketidak-puasan hati rakyat telah dicetuskan melalui satu gerakan yang dikenali sebagai "Kekuatan Rakyat" dimulai 22 Februari 1986 dan tiga hari kemudian Marcos meninggalkan Filipina dan tinggal di pengasingan di Hawaii.
Selepas kejatuhannya, maka terburailah segala-galanya. Marcoslah yang terlibat dalam pakatan membunuh Ketua Pembangkang Ninoy Aquino. Sungguh menggemparkan beliau, keluarga dan kroni-kroninya mempunyai kekayaan di luar jangkaan dengan latar belakang kehidupan rakyat yang hidup penuh kemiskinan dan kedaifan. Marcos dan keluarnya serta kroni-kroninya mempunyai banyak wang simpanan dan hartanah di luar negara khususnya di AS.
Dalam kes Mahathir ini, kita simpati apa yang terjadi ke atasnya. Tidak sepatutnya seorang bekas PM yang banyak berjasa pada Negara ini dilempar gas pemedih mata seperti itu. Adakah ini permulaan bagi membentuk budaya 'mafia' dalam politik masa untuk masa hadapan? Bagi Mahathir, ini merupakan satu peristiwa hitam sepanjang kehidupan politiknya-sebelum, semasa, selepas kemerdekaan dan terkini, ia dihina oleh pemimpin dan ahli UMNO yang dipilihnya sendiri, tambahan pula dengan usia yang semakin penghujung, mungkin terdetik di hatinya ''adakah ini sebagai satu hukum karma ke atas dirinya". Mahathir bukan pemimpin parti pembangkang, beliau adalah bekas PM dan dari parti UMNO yang memerintah Malaysia hampir separuh abad.
Bagi pemimpin dan ahli serta pendokong parti-parti pembangkang khususnya PAS dan KeADILan [dulu sebelum terbentuknya PKR] gas pemedih mata, beraneka jenis asid, dipukul dengan rotan, disepak dan diterajang serta dimaki hamun merupakan mainan biasa. Siapa tidak ingat peristiwa di Lebuh Raya Kesas pada 5.11.2000. Peristiwa di Kampung Bok, Kuala Ketil, Kedah pada 10.2.2002, Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang MB Kelantan yang sah dari segi undang-undang dan agama dijadikan sebagai 'binatang' dikepung dan terpaksa dibawa lari oleh pengikut yang setia di tengah malam buta, meredah hutan belukar, semak samun, denai-denai dan anak-anak sungai untuk selamatkan seorang MB yang memerintah sebuah negeri yang berdaulat. Kesalahan Nik Aziz ialah untuk bercakap dan bertemu dengan rakyat, tidak boleh diterima oleh manusia yang beraqal bahawa tindakan Nik Aziz itu mengancam keselamatan Negara dan menggugat kestabilan politik Negara.
Terbaru, pada tahun lepas [2005] bertempat di Masjid Al-Taqwa, Batu 6, Kuala Terengganu, di dalam masjid [rumah Allah], Presiden PAS, Abdul Hadi Awang [bekas MB, bekas MP dan wakil rakyat-bukan pengganas] sedang berucap tentang Islam dihujani dengan tembakan gas pemedih mata. Kesalahan Hadi sama seperti Nik Aziz, hendak bertemu rakyat dan bercakap menyampaikan maklumat dan ilmu. Dari tarikh 1.7.2001 sampai sekarang bahan-bahan yang disebutkan di atas adalah mainan sahaja bagi pihak pembangkang, tetapi tidak untuk pemimpin dan ahli-ahli parti pemerintah [UMNO/BN].
Adalah menjadi amalan demokrasi bahawa pembangkang akan mencari, mencungkil dan mendedahkan segala penyelewengan yang dilakukan oleh parti memerintah kepada rakyat untuk berfikir, begitu juga parti pemerintah juga berhak untuk mempertahankan diri dan menjelaskan kelemahan pembangkang kepada rakyat untuk berfikir. Kaedah ini bukan merupakan satu kesalahan jenayah, ianya patut digalakkan supaya ada system 'check and balance' dalam memerintah Negara. Tindakan menghalang maklumat dari pihak lain untuk disebarkan kepada rakyat adalah satu perbuatan yang amat keji dan zalim. Kerajaan seperti ini tidak akan dapat bertahan lama. Kerajaan komunis yang begitu ketat mengawal rakyat dan penyebaran maklumat, akhirnya tumbang juga.
Adalah diharapkan pihak polis dapat menjalankan penyiasatan yang adil dan saksama. Kita yakin pasukan polis pakar dalam bidang ini kalau tidak ada campur tangan politik. Kita tidak mahu melihat Negara ini diperintah secara kuku besi. Kita hendak melihat Negara ini bebas dan demokratik. Bebas bercakap, bebas berkumpul dan bebas mengeluarkan pendapat di ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang. Mendedahkan kelemahan pembangkang dan kerajaan bukan merupakan kesalahan, apa lagi untuk menggugat keselamatan Negara.
Kerajaan dan pembangkang yang berwibawa dan berintegriti ialah yang berani-hujah lawan hujah serta berlawan di tanah yang sama rata untuk menentukan siapa jantan dan siapa betina. Kita hendak melihat juga Negara ini mempunyai sebuah kerajaan yang bersih dan dipimpin oleh orang-orang yang beramanah. Kita tidak mahu melihat adanya pemimpin yang korup dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Kita hendakkan pemimpin yang takutkan Allah s.w.t., mengambil berat tentang dosa-pahala dan maslahah rakyat, jadikan rakyat sebagai tuan, bukan rakyat dijadikan hamba kepada pemimpin dan pemimpin selama-lamanya menjadi raja. Ini bukan ajaran daripada Nabi s.a.w. Ini adalah ajaran syaitan yang merosakkan agama, bangsa dan Negara.
http://marhaen.kelatedaily.net/index.html |