Mutakhir ini, heboh diperkatakan perihal perbalahan antara Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir dengan penggantinya iaitu Pak Lah. Entah apa gerangannya, isu yang pada awalnya dilihat "Sekadar di pinggiran" kini tiba-tiba menjadi kecoh, bahkan dikatakan bisa menggugat kepercayaan segenap lapisan rakyat terhadap kepemimpinan Pak Lah dan kerajaan yang ada pada hari ini. Melihat kepada senario ini, kita terkadang terfikir "Apa Sudah Jadi" dengan kerajaan Barisan Nasional terutamanya Parti UMNO? Sejarah membuktikan, sememangnya bagaikan sudah tersurat akhirnya parti yang menjadikan Kuasa dan Wang sebagai landasan perjuangan mereka akhirnya akan bercakaran sesama sendiri. Memang tidak masuk akal langsung, pemimpin besar yang telah disanjung sekian lama oleh para pemimpin UMNO dan kerajaan sebagai "Bapa Permodenan" tiba-tiba bertindak mengkritik kepimpinan seorang pemimpin yang diberikan kuasa oleh dirinya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Mahathir dan Pak Lah. Pak Lah yang dulunya pernah menentang Mahathir, akhirnya diberikan jawatan utama dalam parti UMNO dan kerajaan kini menjadi mangsa kritikan pedas bekas Perdana Menteri itu. Lantaran terlalu trauma dengan kritikan tersebut Pak Lah dilihat terlalu lemah dan tidak berupaya untuk menjawab segala kritikan yang ditimbulkan terutamanya dalam isu yang berkaitan anak menantunya sendiri iaitu Khairy Jamaluddin yang digelar "Budak Hingusan" oleh Mahathir. Persoalannya di sini, apakah rahsia besar di sebelah ucapan Mahathir yang mengatakan Pak Lah "Mungkir Janji" serta menikam beliau dari belakang? Mengapakah Mahathir bertindak sedemikian rupa, yang sebenarnya telah "Menelanjangkan" imej dan maruah UMNO serta kerajaan yang ditinggalkannya sendiri? Bila dicongak dan dibuat perhitungan dengan waras, tidak mungkin manusia seperti Mahathir sanggup "Menconteng Arang di Muka Sendiri". Apa yang dipertikaikan terhadap Pak Lah sebenarnya telah membuka "Pekong di Dada" beliau sendiri. Semasa pelantikan Pak Lah, beliau sendiri menyatakan bahawa Pak Lah mempunyai imej yang bersih dan beragama. Apakah benar sokongan rakyat terhadap Pak Lah dalam pilihan raya lalu, kerana kredibiliti beliau atau kerana penipuan dalam pilihan raya. Mahathir, insan yang terlalu berjasa kepada pembangunan di negara ini bersedia melantik Pak Lah kononnya beliau melihat Pak Lah adalah pemimpin yang paling sesuai untuk meneruskan wawasan 2020 yang telah diilhamkannya. Namun, sayang seribu kali sayang. Kini segalanya bagaikan sudah tersurat bahawa Kapal UMNO dan kerajaan Barisan Nasional akan karam bukan kerana dilambung ombak lautan, tetapi sebaliknya karam akibat dibocorkan dari dalam oleh nakhodanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada parti UMNO. Kritikan dan pendedahan berani oleh Mahathir telah membuka mata kepada sekelian hamba rakyat akan kebobrokan parti itu sendiri. Mungkin parti UMNO sudah mula mereput dan akan pupus ditelan zaman selepas ini. Mungkinkah UMNO akan tercatat dalam sejarah sebagai parti terbesar yang akan lenyap di muka bumi ini? Mahathir mengkritik!! Persoalannya apakah beliau benar-benar ikhlas atau "Ada Udang di Sebalik Mee". Rakyat harus sedar, selama 22 tahun menjadi pemimpin besar di negara ini dosa Mahathir masih terlalu banyak kepada sekelian rakyat. Itu belum termasuk lagi dosa beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika pun benar, Mahathir mempertikaikan kepimpinan Pak Lah, begitulah juga rakyat mempertikaikan kepimpinan Mahathir dulu. Masih kita ingat kezaliman dan keangkuhan Mahathir akan kuasa yang dimilikinya. Hingga ada yang menggambarkan Mahathir adalah Firaun Moden "Mahafiraun" di alaf baru. Sikap beliau dan dosa terhadap rakyat sebenarnya boleh dilupakan begitu sahaja, tetapi apakah dosa beliau menghina Nabi Junjungan Besar kita Muhammad S.A.W dapat kita redha begitu sahaja. Begitu juga dosa pada Anwar? Biarpun Anwar telah memaafkan Mahathir. Tetapi pernahkah kita mendengar Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada Anwar? Lantaran itu, usahlah kita terlalu terpengaruh dengan perkembangan ini. Orang seperti Mahathir sememangnya begitu pandai bermain dengan kata-kata. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam politik. Beliau sebenarnya terlalu teruja dengan kedudukan beliau sekarang. Setelah tiada kuasa, dan suaranya tidak didengari maka barulah beliau terfikir erti sebuah demokrasi agaknya. Beliaulah yang bertanggungjawab memusnahkan demokrasi berparlimen di negara itu. Jika ingin kita huraikan satu persatu, terlalu banyak dosa Mahathir kepada rakyat. Maka tidak perlulah Mahathir ingin berlagak sebagai "Hero Melayu". Kononnya berjuang untuk membela rakyat sedangkan selama ini beliaulah yang menindas rakyat. Persoalan tentang pengganti beliau Pak Lah mengumpulkan hasil mahsul negara untuk keluarga kini, sememangnya telah dipraktikkan oleh Mahathir dulu. Umum mengetahui siapa itu Marina, Mirzan dan Mukhriz. Pernahkah kerajaan mengarahkan anak-anak Mahathir ini mengisytiharkan harta masing-masing? Maka "Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tidak Ke Nasi". Inilah yang terjadi hari ini, siapapun pemimpin UMNO yang dilantik ke kedudukan seperti Pak Lah hari ini, akan memperkayakan kaum kerabat dan keturunan mereka dulu barulah memikirkan nasib rakyat. Sebab itulah laungan "Tradisi Membela Rakyat" adalah satu slogan keramat yang hanya akan bergema menjelang pilihan raya sahaja, semata-mata untuk memancing undi. Selepas pilihan raya slogan itu disimpan dalam peti besi, sebalik menjadi "Tradisi Membela Kaum Kerabat". Maka, sebagai pengasas tradisi ini Mahathir sepatutnya berbangga kerana Pak Lah berjaya mengamalkan serta mempraktikkan corak kepimpinan yang ditinggalkannya. Cuma bezanya Mahathir menzalimi Anwar, tetapi Pak Lah membebaskan Anwar. Apakah benar Pak Lah mungkir janji? Jika benar kenapakah beliau bertindak demikian dan kenapa Mahathir terlalu melenting macam "Cacing Kepanasan". Pasti ada sesuatu kepentingan Mahathir terhadap projek-projek besar yang telah dibatalkan oleh Pak Lah agaknya. Mungkin ketika menyerahkan kuasa kepada Pak Lah dulu, semua projek-projek itu MOUnya telah ditandatangani. Dan mungkin juga sebahagian besar projek tersebut akan dimonopoli oleh syarikat-syarikat kaum kerabat dan kroni Mahathir. Maka, apabila Pak Lah membatalkan projek tersebut, bukankah itu akan dikira "Mungkir Janji" dan "Menikam Dari Belakang" kerana ia menyebabkan kroni Mahathir kerugian berbillion ringgit agaknya. Mungkin inilah penyebab yang beliau terlalu marah benar kepada Pak Lah. Jika nak ditutupkan mata, bahawa Mahathir sudah insaf dan baik orangnya. Jauh panggang dari api selagi beliau tidak memohon maaf secara terbuka kepada rakyat. Bahkah, beliau secara jelas menolak kepimpinan dan parti PAS serta mengatakan bahawa Islam yang dibawa oleh PAS adalah mengarut sama sekali. Apatah lagi dengan Keadilan. Malahan saranan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub agar beliau menjadi "Ketua Pembangkang" ditolak bulat-bulat dan beliau tidak mungkin akan bekerjasama dengan pembangkang. Ini yang menghairankan kita sebenarnya. Sedangkan dalam masa yang sama beliau memberikan kerjasama yang besar apabila mendedahkan isu-isu besar kerajaan yang selama ini tidak mendapat perhatian apabila didedahkan oleh wakil pembangkang di Parlimen. Justeru itu, sama-samalah kita nantikan episod seterusnya dalam pertembungan Mahathir - Pak Lah ini. Moral daripada insiden ini ialah kembalilah ke jalan kebenaran, tegakkan Islam dan Keadilan serta jangan jadikan "Kuasa Dan Wang" sebagai senjata untuk bertindak zalim, sombong dan bongkak di bumi Allah ini. Mungkinkah perbalahan Mahathir dan Pak Lah ini sudah suratan ataupun kebetulan. P/S - Akan datang "Mahathir vs Pak Lah: Najib Intai Peluang, Anwar Ada Harapan!!” |