Mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata beliau tetap menghormati hak Tun Mahathir Mohamad untuk mengkritik kepemimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi walaupun tanggapan umum, beliau (Mahathir) pernah bersikap 'kejam', menindas rakyat dan menghalang kebebasan media. "Tindakan beliau itu tetap salah, tetapi tidak bermakna kerajaan boleh menafikan haknya untuk mengkritik," kata Anwar dalam satu sidang media di kediamannya di Damansara, dekat sini hari ini.
"Sama ada kita bersetuju atau pun tidak dengan Tun Mahathir, itu adalah hak beliau untuk bersuara dan kita mesti menghormatinya," katanya.
Katanya lagi, sekiranya kerajaan sekarang mengulangi perkara yang sama, ia jelas tidak adil dan tidak demokratik.
"Ia memerlukan kesabaran tinggi untuk saya nyatakan ini," katanya.
Beliau sekali lagi menggesa kerajaan yang diterajui Abdullah menjawab segala dakwaan Mahathir dengan segera kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
Ditanya wartawan, sama ada pertembungan ini, memberi peluang beliau memasuki Umno, Anwar menegaskan perkara itu tidak berbangkit sama sekali.
Beliau mengulanginya; "Saya tidak akan menyertai Umno dan tetap meneruskan agenda reformasi."
Namun demikian, Anwar berkata beliau masih meneruskan hubungan dengan ahli Umno di peringkat akar umbi dan menghargai sokongan mereka.
Berkaitan kehadiran pimpinan PAS pada majlis Mahathir, Anwar menjelaskan mereka (pimpinan PAS) telah bertemu beliau baru-baru ini dan menyatakan bahawa mereka tidak berniat sama sekali untuk terlibat dalam kontroversi Mahathir Abdullah.
Malah, katanya, mereka sekadar hadir untuk mendapat penjelasan pertikaian tersebut dan PAS tetap komited dengan agenda pembaharuan bersama beliau.
Isu Matrade
Berkaitan isu Matrade, beliau akui memang benar Kementerian Kerja Raya memberi cadangan kepada Kementerian Kewangan (ketika itu Anwar adalah TPM dan Menteri Kewangan) supaya memberi tender kepada sebuah syarikat.
Namun, sekiranya cadangan itu dilihat mempunyai 'niat berkepentingan' atau menteri terbabit dilihat sangat 'berminat dan 'menyokong' syarikat tersebut, Kementerian Kewangan serta merta akan membatalkan permohonan tersebut.
"Dan ini diperkukuhkan lagi oleh BPR, melalui jawatan kuasa pengurusan Kabinet yang saya sendiri pengerusikan," katanya.
Katanya, cadangan Samy Vellu selalunya bermasalah, selalu dipertikaikan dari segi 'kebersihan' dan ini persepsi yang dibuat oleh BPR melalui Jawatankuasa Pengurusan Kabinet yang dipengerusikannya (Anwar) sendiri.
Beliau menegaskan, sekiranya ada penyelewengan dan kepincangan terhadap mana-mana projek seperti MRR2 dan Matrade, satu penyiasatan yang penuh teliti perlu dilakukan. Ditanya berkaitan desas desus untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation), beliau menyatakan sememangnya ada cadangan tersebut daripada pihak-pihak tertentu.
"Namun, perkara itu masih terlalu awal dan saya belum memberi perhatian serius dalam kerjaya di peringkat antarabangsa," katanya
"Keutamaan saya adalah di Malaysia, untuk membuka ruang supaya lebih bebas dan demokratik, menumpukan kekuatan pertumbuhan ekonomi serta mengutamakan agenda pembaharuan," katanya.
|