Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
KESINAMBUNGAN PERJUANGAN AL-MARHUM USTAZ FADZIL MOHD NOOR
Friday, June 23, 2006
Empat tahun telah berlalu. Tarikh 23 Jun 2002 merupakan suatu saat yang memilukan bagi kepimpinan dan ahli PAS di seluruh negara, kerana ia merupakan tarikh pemergian seorang mujahid ulung yang tiada tolok bandingannya iaitu Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor.

Nama al-marhum 'Ustaz Fadzil' begitu unggul dan sentiasa segar dalam minda pemimpin dan ahli-ahli PAS kerana kehebatan dan ketokohannya.
Ikuti temubual ringkas Mohd Rashidi Hassan bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkifli Ahmad sebentar tadi.

Sebagai Pengarah PPP tentunya banyak berinteraksi dengan al-Marhum khasnya di segi pemikiran atau fikrah. Apakah yang istimewa tentang fikrah al-Marhum?

Saya dilantik al-Marhum memimpin PPP sejak 1999 menggantikan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawai selepas beliau menang di Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU ke-10. Saya bertuah mengenali al-Marhum pada fasa kemuncak perjuangannya. Terdahulu dari itu saya hanya kenal al-Marhum dari ucapan dan beberapa penerbitan ucapannya.

Mungkin saya agak keterlaluan, tetapi saya ingin merakamkan bahawa al-Marhum adalah seorang peribadi pemimpin yang menguasai konteks, realiti dan cabaran pentas perjuangannya. Inilah intisari kekuatan fikrah al-Marhum yang sekaligus mempamerkan penguasaan kepemimpinannya lantas mempengaruhi setiap tindak rencana politiknya dalam menangani setiap pergolakan politik dan persimpangan getir dalam kesinambungan perjuangan parti. Ketelitian fikrahnya juga dapat saya rasakan dalam setiap pemilihan tema dan kandungan ucapan dasar presiden pada setiap muktamar.

Boleh Dr huraikan dengan lebih lanjut?

Ketika negara diancam krisis politik yang tercetus akibat pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berserta dengan kegawatan ekonomi dan krisis matawang Negara-negara Asia Tenggara, kita dapat lihat haibah atau kehebatan penguasaan fikrah al-Marhum serta kepemimpinannya.

Rakyat dan negara berhajatkan kepimpinan ketika pemimpin negara terperangkap dalam kemelut survival politik masing-masing.

Al-Marhum melebarkan lembayung kepimpinannya secara praktik untuk menaungi seluruh kepentingan negara dan umat, walaupun mendapat tentangan dari dalam parti pada tahap awalnya.

Al-Marhum pantas mengesani kepentingan tambahan ia merupakan kesinambungan usaha politik pimpinan terdahulu sepertimana Dr Burhanudin Al-Helmy berjaya menggabungkan lebih 80 parti dan persatuan Melayu dalam PUTERA untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Juga sepertimana Ustaz Abu Bakar Al-Baqir merintis tahaaluf siyasi dalam memimpin PEPERMAS dan MATA.

Bagaimana al-Marhum menyatukan NGO negara?

Sejarah mencatat secara abadi bagaimana kepimpinan al-Marhum mencetuskan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia, GERAK bagi menangani kemelut politik ketika itu yang berkesudahan dengan perubahan besar politik negara ketika pakatan ini mengambil dimensi gabungan politik pembangkang atas wadah Barisan Alternatif atau BA.

Hari ini, semua kita maklum betapa kebijaksanaan tindakan politik ini telah merubah landskap politik negara dan seterusnya mematangkan lagi dan mengangkat keberanian rakyat untuk menentang sistem dan kerajaan yang zalim dan curang. Saya rasa ini cukup istimewa pada kepemimpinan politik al-Marhum.

Hasrat beliau menyatukan ummah bagaimana?

Saya masih ingat bagaimana al-Marhum menekankan kepentingan untuk mengangkat tema 'PAS Memimpin Perpaduan' dalam Muktamar ke-46 pada tahun 2000 yakni sebaik sahaja BA dan khasnya PAS menang besar dalam PRU ke-10, 1999.

Saya masih ingat betapa Ustaz Fadzil menekankan betapa pentingnya untuk PAS dan rakan-rakan BA meneruskan agenda memimpin perpaduan negara, meskipun seteru-seteru politik PAS sudah mula menyuntik jarum pepecahan dalam BA dengan menyalakan api perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan parti-parti komponen BA.

Pun begitu, al-Marhum terus komited untuk 'Menyanggah Serangan Menjana Kemenangan' bagi menangani makar dan tipuhelah seteru politiknya. Begitulah seterusnya pada setiap bacaan dan telahan serta 'ijtihad' politiknya dalam mendepani berbagai pergolakan politik negara.

Saya juga masih ingat betapa al-Marhum Ustaz Fadzil amat berhati-hati mengungkap segala ayat dan huraian dalam menyediakan 'Memorandum Penghayatan Pemerintahan Islam dalam Abad Ke-21M/15H' ketika cabaran mantan PM mencabar PAS untuk mengeluarkan konsep Negara Islam dari perspektif PAS.

Penguasaan konteks dan kekangan realiti politiknya terserlah ketika saya mengamati keprihatinannya menentukan hampir setiap ayat yang ditulis dari segi bahasa dan laras serta implikasi maknanya.

Begitu juga pada setiap ucapan Dasar Presiden yang saya terlibat bersama menyediakannya. Pun sama yang saya ingat dalam persiapan 'Syarahan Perdana' atas isu Palestin yang berkesudahan kedua-dua pengucapnya (al-Marhum dan Tun M) diangkat oleh pihak penganjur sebagai 'negarawan' atau 'statesman' yang mengupas isu kepentingan ummat Islam dan masyarakat antarbangsa dengan baiknya.

Apa ingatan selain fikrah dan politik?

Sukar untuk saya rumuskan. Namun saya boleh sebutkan begini. Memang sukar untuk kita takrifkan kepimpinan. Disiplin ilmu Kepimpinan atau 'Leadership' sendiri mengakui akan hakikat ini.

Namun, kata mereka, "kita akan mengenali dan mengesaninya ketika kita menemui dan berinteraksi dengannya". al-Marhum adalah antara peribadi tersebut. Bak pepatah Bahasa Inggeris 'Great Man Shows His Greatness in the Way He Treats Little People'. (Manusia Hebat Menunjukkan Kehebatan Mereka Dengan Cara Mereka Mengendali Orang Bawahannnya".

Saya yakin tidak ada ahli PAS bahkan rakyat awam, serendah mana sekalipun beliau, yang boleh 'mentajrih'nya atau mencari keburukannya dari sudut cara al-Marhum melayani atau bermuamalat dengan mereka. Lazimnya, ada-ada saja ingatan manis yang spontan untuk dikongsi bersama tentang keistimewaan peribadi al-Marhum Dato' Fadzil Noor, Rahimahullah
posted by jasindaily online @ 8:41 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com