Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
MUDAH SANGAT NAK BANTU RAKYAT PALESTIN. TUNGGU APA LAGI ???
Wednesday, June 21, 2006
"Ribuan anak Palestin diancam kebuluran. Hulurkan bantuan kepada Aman Palestin Berhad di akaun Maybank:

562263010787." Jika anda ada menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ini, sebenarnya tidak ada apa yang perlu disangsikan mengenainya.

Malah menjadi kewajipan anda agar derma tersebut disumbangkan tanpa berlengah-lengah lagi.

Ini kerana Aman Palestin Berhad benar-benar wujud bagi memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai, malah semua bantuan tersebut telah dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin.

Sebuah banglo di Bandar Baru Bangi adalah manifestasi keprihatinan seorang korporat Islam yang membenarkan Aman Palestin menjadikan banglo tersebut sebagai ibu pejabatnya.

Mereka baru sahaja berpindah di situ walaupun Aman Palestin telah bergerak sebagai NGO sejak akhir 2004.

Pada Januari lalu, ia berjaya didaftarkan sebagai satu yayasan bagi membantu rakyat Palestin secara lebih kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.

Malah ketika penulis menemui Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman, beliau baru sahaja pulang dari sebuah kem pelarian Palestin di Lebanon bagi menyampaikan bantuan RM150,000 yang terkumpul bulan lalu serta menyelia beberapa projek kebajikan dan kemanusiaan yang dianjurkan oleh Aman Palestin di sana.

Sejak tahun 2005 hingga kini, Aman Palestin menyumbang RM500,000 kepada rakyat Palestin hasil kutipan daripada orang ramai.

Aman Palestin, menurut Abdullah Zaik, ialah satu sekretariat yang dibentuk khusus oleh rakyat negara ini bagi menangani secara terus masalah Palestin berdasarkan tiga isu yang utama.

"Pertamanya faktor kemanusiaan kerana apa yang berlaku di Palestin merupakan satu perlanggaran hak asasi manusia yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah kemanusiaan. Malah ia berlaku pada saat manusia dikatakan semakin moden dan tahu erti nilai nyawa dan kemanusiaan," katanya. Terlalu banyak kemalangan jiwa dan harta benda berlaku di wilayah itu sehingga hampir 400 kampung dihancurkan oleh rejim Israel. Mereka bertindak meruntuhkan kediaman milik rakyat Palestin dengan penghuni masih berada di dalamnya.

"Namun yang paling menyayat tentulah nyawa rakyat Palestin itu sendiri. Dalam serangan baru-baru ini satu keluarga rakyat Palestin yang sedang berkelah di tepi pantai hancur berkecai seluruh tubuh badan mereka akibat diserang dari sebuah kapal marin Israel. Hanya seorang anak perempuan keluarga itu yang terselamat.

"Yang lain termasuk ibu bapa, malah adiknya yang masih bayi, turut terkorban. Tidakkah sasaran tembakan seharusnya kepada tentera musuh? Tetapi mengapa orang awam turut menjadi sasaran?" katanya.

Disebabkan tidak mahu menjadi mangsa kekejaman seperti inilah kira-kira 6 juta rakyat Palestin kini menjadi pelarian dan hidup dalam suasana yang penuh dengan kedaifan di kem-kem pelarian.

Di kem-kem pelarian tersebut hidup, rakyat Palestin tidak ubah seperti anai-anai membina busut. Mereka membina rumah berlapis-lapis, daripada setingkat kepada bertingkat-tingkat tetapi bukan rumah dalam erti kata yang sebenar.

Selain itu, Aman Palestin ditubuhkan kerana persaudaraan sesama Islam. Apa yang berlaku di Palestin seharusnya turut ‘dideritai’ bersama oleh rakyat Malaysia kerana tidak ada apa yang membezakan antara rakyat negara ini dan mereka. Rakyat Malaysia dan penduduk Palestin menyembah Tuhan yang sama dan mengamalkan ajaran Islam yang sama.

"Tetapi apalah maknanya semua ini sehingga menyebabkan rakyat Palestin terpaksa merayu-rayu meminta bantuan, sedangkan kita di sini hanya sekadar menonton dan tidak melakukan apa-apa untuk meringankan bebanan mereka. Jadi di manakah persaudaraan Islam kita yang sebenarnya?" katanya.

Abdullah Zaik berkata, Aman Palestin juga menetapkan matlamat membebaskan Masjid Al Aqsa.

"Selama mana kita mahu membiarkan kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya Peristiwa Besar Israk dan Mikraj, Kota Islam Ketiga Terbesar dan Negeri Kenabian ini terlepas ke tangan Yahudi?

"Tidakkah kita mempunyai hubungan sentimental dan spiritual yang kuat terhadap Masjid Al Aqsa yang strukturnya kini semakin goyah dan menanti saat sahaja untuk roboh dan runtuh berikutan usaha-usaha puak Yahudi membuat dan menggali berpuluh-puluh terowong bagi mencari apa yang mereka maksudkan sebagai Kuil Mount Temple atau Haykal Nabi Sulaiman itu," katanya.

Atas kesedaran yang begitu tinggi Aman Palestin ditubuhkan dengan Penasihat utamanya pada masa itu bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yaacob dan dianggotai barisan sukarelawan yang begitu komited menjayakan pelbagai program membantu rakyat Palestin.

Pertubuhan itu kini mempunyai 15 petugas sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan profesion. Bagi melatih sukarelawan itu, Aman Palestin juga mengadakan kursus-kursus untuk mempersiapkan mereka dengan pengetahuan mengenai perkhidmatan sukarela.

Aman Palestin juga melancarkan program mengambil anak-anak yatim piatu Palestin sebagai anak angkat. Di bawah program yang mendapat sambutan positif ini, rakyat Malaysia boleh menyalurkan derma sebanyak RM130 sebulan untuk menaja kehidupan anak-anak Palestin.

"Setiap enam bulan kita akan menyampaikan tajaan itu kepada anak-anak angkat Palestin di kem-kem pelarian.

Keluarga angkat di Malaysia boleh menghubungi kanak-kanak itu melalui surat," katanya.

Menurut Abdullah Zaik, sumbangan berbentuk kewangan rakyat Malaysia sebenarnya amat sedikit berbanding jumlah derma yang dihulurkan oleh negara-negara Islam lain yang angkanya mencecah berbilion dolar Amerika.

Namun Palestin sangat mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat membantu dari aspek teknologi dan lain-lain kepakaran dalam pelbagai bidang. Mereka menganggap Malaysia sebuah negara Islam yang maju dan terkehadapan.

"Mereka mengharapkan agar kita dapat memberikan mereka ‘joran’ bagi membolehkan mereka tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan dan menguatkan lagi kedudukan dan kehidupan mereka.

"Justeru, jika ada kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama ingin berkongsi kepakaran dan kemahiran menerusi Aman Palestin, mereka boleh menyumbangkan bakti kepada pelarian-pelarian ini,"katanya.

Utusan Malaysia juga sempat menemui salah seorang daripada lapan jurulatih Aman Palestin iaitu Dr.Zainur Rashid Zainuddin. Beliau merupakan sukarelawan yang begitu komited dalam mengendalikan pelbagai misi Aman Palestin.

Walaupun bertugas di Universiti Perubatan Antarabangsa(IMU) selain berkhidmat sebagai Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Seremban, Dr. Zainur sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengadakan road show dari satu negeri ke satu negeri yang lain, menulis buku dan melakukan pelbagai kajian mengenai isu Palestin.

"Walaupun saya belum berkesempatan untuk membantu rakyat Palestin itu di kem atau di tanah air mereka sendiri, namun tugas menyedarkan rakyat Malaysia mengenai isu Palestin ini merupakan satu tugas yang mencabar.

Menurut Dr. Zainur, respons orang ramai terhadap road show yang diadakan amat menggalakkan terutama dalam membangkitkan kesedaran tentang penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin.

"Mereka begitu terkejut dan tidak menyangka betapa isu Palestin sebenarnya soal maruah umat Islam di seluruh dunia. Perkara ini tidak dapat diceritakan oleh guru-guru di sekolah mahupun majikan-majikan, jadi Aman Palestin bertanggungjawab 'mengajar' isu Palestin supaya ia menjadi satu subjek pelajaran yang penting untuk rakyat negara ini," katanya.

Aman Palestin, kata Dr. Zainur, mengadakan penerangan mengenai Palestin tanpa sebarang batas sempadan dan politik.

"Kami pergi kepada sesiapa sahaja, baik di peringkat sekolah, universiti dan mana-mana sektor pekerjaan, masjid mahupun surau bagi memastikan semua orang memahami isu sebenar di sebalik isu Palestin ini,"tambahnya.

Sehubungan itu, Abdullah Zaik berkata, umat Islam negara ini tidak harus berlengah lagi untuk membuat sumbangan.

"Sedikit atau banyak bukan soalnya, tetapi derma yang berterusan bukan sahaja menolong rakyat Palestin namun yang lebih penting kita menolong agama Allah. Jangan sampai semuanya sudah terlambat. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak akan berguna lagi kecuali Yahudi akan terus bermaharajalela," katanya.

Senarai Misi Kebajikan dan Kemanusiaan Aman Palestin di Kem-kem Pelarian Palestin di sekitar Lubnan,Syria dan Jordan

1. Pembiayaan Anak-anak Yatim dan Projek Anak Angkat Yatim Palestin
2. Pembiayaan Ibu Tunggal
3. Bantuan Pelajaran
4. Projek Pusat Jahitan
5. Pembinaan Rumah Anak-anak Yatim Palestin
6. Projek Wakaf Palestin
7. Projek Hospital
8. Projek Bantuan Ubat-ubatan
9. Projek Korban Aidil Adha
10. Projek Bantuan Pakaian dan Beg Sekolah
11. Projek Berbuka Puasa Ramadan
12. Projek Pembinaan Pusat Al Quran
13. Projek Pembangunan Sekolah Untuk Anak-anak Pelarian dan Yatim Palestin
14. Wakaf Kenderaan Aman Palestin
15. Projek Pakaian Musim Sejuk
16. Wakaf Bangunan Aman Palestin
posted by jasindaily online @ 5:52 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com