Tindakan Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh yang kononnya mahu menunjukkan keprihatinan kepada rakyat dengan menjual gula di atas sebuah lori kecil baru-baru menimbulkan rasa ketidapuasan hati di kalangan peniaga. Selain mempersoalkan penjualan gula oleh Pemuda Umno yang tidak mempunyai lesen untuk tujuan itu, tindakan Idris itu juga tidak berusaha untuk mengatasi masalah kekurangan gula di negeri ini.
Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberitahu, ramai peniaga membantah tindakan Idris yang menjual gula yang dianjurkan oleh Pemuda Umno di hadapan Wisma Darul Iman dan Batu Burok, minggu lalu.
Melalui laporan akhbar yang menyiarkan tindakan Idris itu, peniaga melahirkan kemarahan kerana mereka sendiri tidak mendapat bekalan gula sedangkan Pemuda Umno begitu mudah memperolehinya untuk dijual kepada umum.
Berikutan itu, katanya pihak KPDNHEP negeri telah mengadakan operasi di premis perniagaan termasuk kedai-kedai kecil di kampung-kampung bagi mencegah kegiatan menyorok gula.
Bagaimanapun, ujarnya pihak peniaga termasuk pekedai di kampung-kampung memberitahu mereka tidak mendapat bekalan gula dan mempersoalkan tindakan Pemuda Umno menjual gula dengan harga RM1.50 sekilogram.
Menurutnya, para peniaga marah kepada Pemuda Umno yang begitu mudah mendapat bekalan gula dan menjualnya kepada umum sedangkan tidak mempunyai lesen tetapi masalah yang dihadapi oleh para peniaga tidak diatasi.
Tambahnya, secara sinis ada peniaga yang mensyorkan Idris meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan memohon lesen untuk memulakan perniagaan menjual atau menjadi pemborong gula.
|