Apakah yang sudah jadi kepada negara ini khususnya kepada Samyvelu? Nampaknya silat kungfu dan kuntau yang dimainkan oleh bosnya Abdullah Badawi dengan bekas bosnya Tun Mahathir sudah masuk senario kedua melibatkan Samyvelu.
Sejak kebelakangan ini Samyvelu mudah melenting dan mencabar sesiapa sahaja yang berani menggugat kredibilitinya. Yang terakhir, beliau telah mencabar Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Shahrir Samad yang juga merupakan bekas Ketua Backbenchers Club di Parlimen agar menyaman beliau dengan segala tuduhan keras yang dinyatakannya kepada pihak media.
''Apakah Shahrir Samad boleh menjadi Perdana Menteri? Dia ingat mampu menjadi Perdana Menteri satu hari nanti? Apakah dia ingat hanya dia yang berkhidmat kepada negara?'' Demikian antara lain kata-kata Samyvelu kepada pihak media kelmarin kerana mengungkit kisah Shahrir Samad yang cuba mempertikaikan ketokohannya.
Soalnya sekarang, Samyvelu sudah sampai ke garisan penamat kerjaya politiknya. Dia tahu di mana arah hala kerjaya politik itu pada saat dia menghampiri ambang pemilihan pucuk kepimpinan MIC tidak lama lagi. Samy cuba sedaya upaya mahu mengalahkan S. Subramaniam yang bertegas mahu mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MIC.
Kenapakah Samyvelu begitu ghairah mahu menguis keluar S. Subramaniam? Bukannya S. Subramaniam mahu bertanding jawatan Presiden MIC. Lagi pun, bukannya satu persoalan istimewa apakah S. Subramaniam akan menggugat kedudukannya nanti sebagai Presiden yang menang tanpa bertanding?
Samyvelu ternyata takutkan bayang-bayang sendiri dan tentu ada banyak isu kenapa bayang-bayang itu sedang menggugat tidur lenanya. Apakah isu itu semua? Kenapa S. Subramaniam menjadi budak belasahan untuk Samyvelu mencari jalan keluar menepis segala isu itu?
Sesungguhnya Samyvelu terpaksa membawa Palanivelu sebagai penggantinya sebab dia telah menjadi bebanan kepada masyarakat India dan bukannya orang yang membawa kebaikan kepada masyarakat India. Apabila Samyvelu tidak lagi menjadi Presiden MIC beliau perlukan seorang pemimpin yang akan turut dan mengaitkan semua kelemahan beliau yang telah wujud begitu lama selama 25 tahun beliau menerajui jawatan Presiden MIC dan wakil unggul masyarakat India di Kabinet.
Jelas terbukti hari ini bahawa masyarakat India yang dulunya menduduki satu tangga yang tinggi dalam pelbagai bidang kehidupan khususnya ekonomi dan politik, hari ini telah jatuh terperosok ke satu darjat yang begitu rendah sehinggakan Samyvelu terpaksa mengalihkan kelemahan beliau dan menuduh Dr. Mahathir sebagai orang yang telah mengakibatkan keruntuhan ekonomi dan status serta masa depan masyarakat India di negara ini selama 25 tahun.
Dalam perhimpunan agung MIC di Johor, Samyvelu telah menyatakan dengan lantang bahawa "Dr. Mahathir tidak menyumbang langsung kepada masyarakat India dalam rancangan Malaysia Kelapan dan seterusnya selama 22 tahun beliau mencengkam kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Beliau juga mengukuhkan tohmahan itu dengan perkataan "Nahi, ..." di hadapan perwakilan MIC seluruh Negeri Johor dan disaksikan oleh para wartawan dalam dan luar negara. Perkataan "nahi" membawa maksud "Tidak ada apa-apa.." Demikianlah lantangnya tohmahan Samyvelu terhadap Dr. Mahathir yang satu ketika dahulu dianggapnya sebagai abang sendiri dan pada setiap majlis rumah terbuka Deepavali dia akan menunggu hingga Dr. Mahathir dan keluarga sampai untuk memulakan sambutan serta menyuapkan kek selamat kepada 'abang'nya.
Keakraban antara Samyvelu dan Mahathir juga dikatakan bagaikan mereka berbesan. Jika demikian kenapakah sampai begitu sekali tohmahan Samyvelu terhadap besannya. Apakah ini satu pertanda jelas bahawa Samyvelu juga sudah menjadi begitu tertekan seperti Mahathir untuk menentukan 'survival' politiknya? Setiap saat Samyvelu kekal menerajui pucuk kepimpinan MIC beliau sedang menghancurkan segala harapan masyarakat India, saat demi saat.
|