Pesanan: Apa yang berlaku antara Pak Lah dan TM dan isu-isu yang terburai sekarang ini adalah ibarat tayangan filem yang berpuluh tahun yang dibikinkan oleh UMNO. Penulis skripnya kepimpinan yang berkuasa, pengarahnya juak-juak keliling yang menyokong yang berkuasa, krew-krew bawahannya ahli-ahli yang buta dan rakyat yang diperbodoh setiap kali pilihanraya. Hasilnya ialah apa yang kita dapati hari ini dan kemungkinannya kita akan hidangkan pada anak cucu kita, bangsa melayu. Orang lain akan jadi penonton sambil memakan bertih kekayaan negara. Bukan sahaja TM tersalah pilih orang, akar umbinya ialah rakyat tersalah pilih pemimpin. Mungkin TM sendiri sedar, sepertimana orang melayu lain sedar bahawa sebenarnya DSAI adalah pilihan utamanya. Oleh kerana silap percaturan, maka beliau tiada pilihan. Hakikatnya antara keduanya, mana satupun memang tak layak. Ketika era reformasi memuncak sekitar 98, aku didatangi oleh pengkaji selidik yang aku syaki dari UMNO di kampus bertanyakan soalan antara Pak Lah dan Najib siapakah yang layak jadi PM. Jawab aku ringkas Keduanya tak layak!. Sememangnya status kelayakan mereka semenjak awal lagi diragui UMNO yang pada ketika itu dikuasai TM. Dan kalau hari ini aku ditanyai lagi soalan yang sama tentang siapakah pemimpin UMNO yang layak jadi PM, jawapan aku tetap sama, siapa pun tak layak. Orang melayu tak mampu berpemimpinkan pelakon. Dan kalau orang melayu masih tidak belajar dan bertindak bijak, mereka mungkin akan ber PM kan seorang anak muda lulusan universiti agung tanpa susur galur perit getih perjuangan sedikitpun! Hari ini TM merasai apa yang dirasai oleh DSAI. Walaupun hanya sekelumit dari itu. Hari ini tiada siapa akan berdemonstrasi untuk menyokong TM. Tiada siapa yang sanggup dihumban ke trak FRU untuk menyokong TM. Hatta tiada siapa yang akan menyokongnya dari atas kerusi empuk masing-masing sekalipun. Tradisi UMNO yang dijulangnya memakan diri sendiri. Berpaut pada kuasa adalah tradisi UMNO dulu, kini dan mungkin selamanya. Kalau dulu rakyat dihidangkan dengan drama sokongan terhadapnya, kini rakyat dihidangkan pula drama sokongan terhadap Pak Lah melawannya. Hari ini beliau terasa bagaimana tajamnya pisau yang menikam belakang DSAI walau hanya jarum yang mencucuknya. Hari ini beliau bercakap persis seorang ahli Pembangkang yang ditekannya, persis DSAI yang dihumbannya, persis seorang tahanan ISA, persis seorang reformis yang ditahan, persis seorang isteri tahanan tanpa bicara, persis seorang wartawan media alternatif. Apa yang dicakapnya kini menyanggah apa yang dicakapnya dulu. Percakapannya kini menikam belakangnya sendiri. Hari ini beliau terasa bagaimana kawan sekabinetnya tidak membelanya. Hari ini beliau terasa bagaimana kenyataanya tidak disiarkan media. Lebih teruk dari itu diputar belitkan pula. Itu hanya belum menyokong, bukan lagi dituduh lebamkan mata sendiri, menompokkan tilam dengan berbelas tompokan dan meliwat 20 kali! Sekali lagi tradisi UMNO memainkan peranan. Seperti biasa kambing hitam akan dicari bagi mengalih perhatian. Tidak semena-mena timbul isu demonstrasi jalanan. Tidak semena-mena Hj Hadi dikatakan menyuruh rakyat baling batu pada anggota kselamatan. Entah bagaimana jadinya, pembangkang juga yang salah dalam pergolakan rumahtangga mereka. Ibarat iklan selingan drama yang memualkan. Sesungguhnya benarlah bahawa dunia ini sememangnya bayangan syurga. Tanda kasih Allah pada hambanya ialah diberinya kita petunjuk kearah pengampunan. Diberinya kita kesusahan supaya kita mengaku dan bertaubat atas segala kesalahan. Kita biasa diberitahu bahawa di saat seseorang bakal meninggal, dia akan ditayangkan apa-apa kesalahan yang telah dilakukannya di dunia dan dikala itu taubat sudah pun tertutup baginya. Di padang mahsyar, tidak berguna harta benda dan anak pinak, hanya amalan yang berguna. Hatta tulang belulang dan kulit dibadan tidak akan membela. Apatah lagi rakan sekabinet, segila kuasa, sekorup dan sekaut. Sementara masa masih ada, perbaikilah keadaan semoga kita pulang meninggalkan anak cucu bangsa dengan hati yang sejahtera. Pak Ali |