Maksud saya, tidakkah sikap Perdana Menteri yang tidak sabar-sabar terpaksa mengulas cadangan Dato' Husam Musa walaupun sedang berada nun, jauh di Sham El Sheikh berbunyi ''dasar kewangan negara tidak membenarkan Kerajaan Negeri (Kelantan) mengeluarkan mata wang sendiri (Utusan Malaysia 22 Mei 2006) menandakan apa yang sedang disentuh oleh Kerajaan Negeri adalah teramat besar?
Bagaimana Dato' Noraini boleh anggap ianya remeh sedangkan Dato' Seri Abdullah melihat yang sebaliknya.
Tahukah Puteri Umno bahawa isu penggunaan dinar emas adalah isu global. Ia dibincang dengan mendalam dalam seminar kewangan dan perbankan Islam selama dua hari anjuran kerajaan negeri pada 21 dan 22 Mei 2006. Terdapat 10 kertas yang dibentang dan diulas, dibengkel dan diseminarkan berbunyi:
i) Sistem Perbankan Islam Semasa di Malaysia dan Keadilan Ekonomi Dan Sosial.
ii) Membangunkan Sosio Ekonomi Masyarakat Berdasarkan Perspektif Ekonomi Islam.
iii) Perkembangan dan Potensi Model Kredit Mikro Islam Semasa.
iv) Pelaksanaan Sistem Kredit Mikro Islam Untuk Membangunkan Sosio-Ekonomi Masyarakat.
v) Sistem Ekonomi Islam: Antara Teori Dan Praktis.
vi) Ke arah Sistem Kewangan Dan Perbankan Islam Yang Adil Dan Efisyen.
vii) Sistem Kredit Mikro: Pengalaman dan Cabaran Di Malaysia Dan Antarabangsa.
viii) Pandangan Syara' Terhadap Sistem Ekonomi Dan Perbankan Islam Semasa.
ix) Pelaksanaan Kewangan Islam Melalui Institusi Bukan Bank.
x) Kewangan Dan Perbankan Islam Yang Adil Dan Memenuhi Maqasid Ash Shariah: Cabaran Dan Penyelesaian.
Semua ini benda-benda besar yang tentu sekali lebih besar dari penyepit pin tudung-tudung longgar Puteri Umno. Kerajaan PAS bukan menggunakan wanita untuk mempromosikan program dinar tetapi sebaliknya mahu memberi ''added value'' kepada kegemaran wanita Kelantan secara khusus dan wanita secara umumnya yang menyimpan dan berhias dengan emas perak.
Nilai ditambah inilah yang dimaksudkan dengan menggunakan barang kemas sebagai satu bentuk simpanan nilai. Ini dilihat penting kerana telah berlaku apresiasi harga emas di pasaran dunia melebihi 30 peratus dalam jangka masa setahun.
Menggalakkan wanita memiliki bahkan menyimpan emas dalam nilai dinar dikira membantu untuk lebih menyuntik nilai ekonomi kepada satu tabiat sedia ada dengan lebih teratur dan terpimpin. Mana dia remeh temehnya.
Dato' Noraini perlu faham isu ini terlebih dahulu sebelum memilih untuk terjun ke dalamnya. Sebagai penjelasan, pertama, isu ini bertolak dari sebuah platform bernama Seminar Ekonomi, Kewangan Dan Perbankan yang waras.
Kedua, seminar ini disertai oleh para sarjana dan intelektual. Ketiga, apa yang cuma dilaksanakan oleh kerajaan negeri mengenai cadangan ini ialah cuba menjayakan hasrat kerajaan Pusat dengan mengambil langkah awal melalui Pajak Gadai Islam (Ar Rahnu) sebagai platform menjual beli mata wang dinar emas.
Keempat, mencadangkan bank-bank di negara ini supaya membuka akaun berasaskan nilai dinar emas. Kelima, kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengeluarkan mata wang sendiri seperti yang dikhuatiri oleh Perdana Menteri kerana kita pun sedar akan Dasar Kewangan Negara.
Umno sebenarnya cukup khuatir melihat betapa terkehadapannya pemikiran sebuah kerajaan yang dipimpin oleh PAS di Kelantan. Mereka cemburu dengan kecekapan dan ketangkasan pemimpin PAS dalam mengendalikan ekonomi.
Mereka cemas apabila cara kita berfikir begitu ''far fetched'', mesra Islam, mesra rakyat dan mampu mengubah paradigma. Jauh dari bersifat stereotaip, PAS sekali lagi membuktikan keupayaannya ''berfikir di luar kotak'' untuk membuka jalan kepada rakyat keluar dari perangkap dan kemelut pengurusan ekonomi Umno yang membebankan.
Minyak naik 30 sen seliter? Tarif elektrik naik 12 peratus? Semuanya disebut satu kenaikan yang wajar. Satu kenaikan yang tidak membebankan. Kerajaan Umno begitu asyik menambah ''jongkong ke belakang kura-kura'' manakala pemimpin PAS negeri Kelantan sedang tekun cuba mengeluarkan beban dari ''kura-kura'' satu demi satu.
Dari segi persiapan pelaksanaan kehadapan, Ar-Rahn yang terletak di bawah Permodalan Kelantan Berhad (PKB) telah mempunyai lapan outlet sedia ada untuk memulakan operasi di semua jajahan.
Dalam hal keuntungan kepada pelabur misalnya, ''kalau kita pergi ke kedai emas, kita serahkan satu keping dinar untuk ditukarkan kepada wang biasa, dia akan bayar kita RM350 untuk satu keping dinar. Sedangkan kalau empat tahun lalu satu keping dinar berharga RM180.
Maknanya di sini, dalam tempoh empat tahun, sekeping dinar mampu memberi keuntungan sebanyak RM170. Jika sepuluh ribu keping bagaimana? Apa yang cuma ditegur Tok guru ialah berhias dengan emas dalam keadaan yang berlebih-lebihan.
Kes-kes ragut yang meragut nyawa wanita yang sarat berassesori sangat menjelaskan rasional teguran Menteri Besar Kelantan. Tok Guru sebenarnya sedang cuba mengalih tumpuan rakyat dari kaedah simpanan dan berhias secara kampung kepada tabiat menyimpan emas perak dalam kepingan dinar di bank. Ini satu sistem tabungan yang lebih selamat dan menguntungkan.
Di sini, dapat kita lihat bagaimana wang dinar telah bertindak sebagai instrumen alternatif halal yang cukup menarik untuk disertai oleh umat Islam dan non-Islam. Ia langkah pintar berstrategik hadiah Kerajaan Negeri Kelantan kepada rakyat yang cukup lumayan. Inilah berkatnya ''Membangun Bersama Islam''.
Malah, jauh berpandangan ke hadapan, bagi pihak kerajaan negeri, Dato’ Husam Musa turut membayangkan kemungkinan keping-keping dinar dijadikan aset simpanan bakal-bakal haji dan boleh juga digunakan untuk deposit tender balak atau menggunakannya untuk membayar gaji kakitangan di masa-masa akan datang.
Sikap terbuka kerajaan negeri yang sedang mengatur temujanji dengan Menteri Kewangan II termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir adalah satu lagi sikap proaktif yang perlu dijejaki oleh Dato' Noraini.
Jangan-jangan sebelum Ketua Puteri Umno itu selesai mencari lipstik sesuai dan membetul-betulkan kasut tumit tingginya, kami sudah siap memandu sebuah kereta sport Jaguar hasil habuan halal dari pelaburan emas dinar.
Jangan terkejut jika kita boleh berselisih di lampu trafik sementara kami berkaca mata hitam sedang menuju ke Masjid Muhammadi untuk bersolat Asar!