"Tiada apa yang salah, meluahkan kemarahan atau tidak puas hati ke atas apa-apa isu jika ia dibuat dengan konstruktif." (NST 12 Februari 2006). Demikian jaminan Timbalan Perdana Menteri kepada mana-mana pihak yang mahu mengetengahkan kritikan.
Dalam semangat keterbukaan yang nampak agak sihat satu dua hari ini, izinkan saya menyentuh MRR2 yang disahkan retak dalam 7,000 rangka dan telah dipastikan tidak selamat. Dengan arahan Perdana Menteri supaya semua jambatan di seluruh negara disemak 'status kesihatannya' (Utusan Malaysia 11 Februari 2006), maka banyak lagilah kerja Menteri Kerja Raya.
Dalam ulasan MRR2 oleh Datuk Seri S. Samy Vellu, sekurang-kurangnya saya sempat mendengar tiga kenyataan yang tidak konsisten. Satu, Menteri itu mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kesilapan dalam reka bentuk. Kemudian, ia diakui ada, tapi sikit juga ada.
Kedua, pengguna diyakinkan dengan kekuatan jambatan tetapi kemudian cuaca pula telah tidak semena-mena kononnya menimbulkan gangguan. Ketiga, Menteri itu kata ia selamat untuk digunakan tetapi, ia diakui tidak selamat kemudiannya. (Berita Harian 8 Februari 2006).
Dolak dan dalih
Di antara 3 dolak dalik yang pelik ini, saya melihat faktor cuacalah alasan yang paling melucukan. Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungi Kota Bharu ke Pasir Pekan telah berendam dalam Sungai Kelantan sejak dari tahun 1960an lagi. Ia diuji oleh hujan dan panas serta dicerca dan direndam bah banjir saban tahun, tetapi jambatan yang dibina dizaman PAS sejak kira-kira 40 tahun yang lalu ini masih kukuh hingga sekarang. MRR2 yang berjenama Umno/BN ini pula cuma berada tergantung di atas darat.
Sepatutnya dalam usia tak sampai 4 tahun, kerajaan yang bersih, cekap dan amanah serta cemerlang, gemilang dan terbilang ini tidak menyusahkan rakyat. Rupanya 31 daripada 33 tiang dan rasuk jejambat sejauh 2 kilometer itu sedang meminta perbelanjaan tambahan sejumlah RM18 juta bagi tujuan pembaikan. Tak kiralah duit kontraktor atau konsortium; yang penting ia sebuah kemungkiran dan ketidak cekapan yang sedang membazir, menyusah dan menghabiskan masa semua pihak.
Belum pun reda isu keretakan Jejambat MRR2 yang kini ditutup, masalah serupa dipercayai berlaku di Lebuh Raya Bertingkat Ampang (Utusan Malaysia 9 September 2006). Terkini pula Lebuh Raya Utara Selatan yang retak di Terowong Menora, Banjaran Keledang, di atas dan tepi berhampiran Utara Ipoh mula heboh diperkatakan di dalam Buletin Utama TV3 siaran malam 12 Februari 2006 semakin meletakkan Samy Vellu dalam masalah.
Dalam serba salah, beliau terpaksa menurunkan nombor telefon tangan beliau 019-2165555 untuk menyakinkan orang ramai; sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh seorang bertaraf Menteri. Apa lagi jika tidak terdesak. Jika 3 minggu lepas, beliau menjadi watak utama dalam menyiapkan warkah memorandum kepada Perdana Menteri mengenai cadangan pindaan keatas Perkara 121(1A), kini giliran beliau pula seakan-akan dihantar memorandum demi memorandum dari pelbagai media cetak atau elektronik yang sangat menyesakkan nafas.
Sedikit masa dahulu, rakyat dikejutkan dengan kerja-kerja pengubahsuaian Bangunan Parlimen. Siap tidak sampai setahun, tiba-tiba ia didapati bocor. Insiden dinding hospital di beberapa Hospital Besar yang berkulat dan menyusahkan semua pihak turut juga ada kena mengena dengan Menteri Kerja Raya. Jika diikutkan alasan dan jawapan Datuk Seri Samy yang bersusun-susun, Malaysia sahaja yang silap. Presiden MIC itu tidak pernah silap.
Pendek kata begini sajalah. Malaysia kini terlalu berselerak dengan isu dan masalah. Isu bayi dibuang ke kolah tandas. Anak luar nikah. Zina. Bersekedudukan. Minum arak. Cetak rompak. Gejala murtad. Mengaku menjadi Nabi. Menghina Nabi. Skandal penyeludupan pil ecstasy, syabu dan dadah. Black Metal. Serbuan demi serbuan ke pusat-pusat night club. Pembuangan sisa toksid yang tidak terkawal. Kerugian MAS dan Proton. Polis mendera orang awam dan terkuburnya tulisan jawi dari persada akhbar mulai 29 Januari 2006. Semua ini cukup mewah didedahkan dalam Edisi Siasat TV7 setiap Isnin mulai jam 8.30 malam.
Jatuh ditimpa tangga
Sebenarnya dari sejak isu rasuah yang melibatkan Naib Presiden Umno tahun lepas, Umno bagaikan jatuh ditimpa tangga. Ada Menteri yang tetap pertahankan bahawa 3 kali kenaikan harga minyak tahun lalu tidak membebankan. Ada Menteri yang masih berdegil dengan jawapan pergurniaan AP yang tidak pernah memuaskan. Ada pula Menteri yang sampai berani minta Mata Pelajaran Agama dibuang dari Kurikulum Sekolah-Sekolah.
Ada juga Menteri yang mengeluarkan kenyataan yang boleh melumpuhkan industri pelancongan negara. Ada pula himpunan 9 Menteri Kabinet yang minta dibuang Peruntukan 121(1A) yang sangat membangkitkan kemarahan umat Islam. Sebelum itu, IFC juga pernah mengemukakan 14 tuntutan yang meliputi pelbagai perkara yang cukup boleh menggugat kesabaran umat dari hal kehidupan beragama masyarakat Islam. Ia cuma berakhir dengan sebuah penangguhan. Semuanya ini adalah manifestasi kegagalan kepimpinan Umno/BN yang cukup ketara.
Anehnya, bila ditanya wartawan akan keperluan rombakan Kebinet, Presiden Umno dan Pengerusi BN cuma memberitahu bahawa beliau belum menerima ilham.
Segala sesuatu ada sebab dan musababnya. Fatah telah patah jatuh dan diketepikan oleh Hamas di Palestin. Saddam telah digulingkan setelah sekian lama menindas. Tidak semena-mena, Iran menerima seorang pengganti, Presiden baru bernama Ahmadinejad yang cukup menggugat. Sebelum ini, dunia telah menyaksikan kemunculan Aroyo di Filipina dan kejatuhan Suharto, Habibie, Gus Dur dan Megawati di Indonesia
Di Thailand juga, kita dapat saksikan bagaimana bergoncangnya Kerusi Thaksin Sinawatra. Semuanya berpunca dari isu-isu penindasan, kezaliman, rasuah, kronisme dan penganiayaan yang lama terhadap Islam dan umat Islam.
Jawapan Dato' Seri Abdullah yang masih kelihatan tiada ilham cukup memberi isyarat kepada saya. Mungkin beliau memerlukan satu saja lagi isyarat iaitu dari seorang Dato' Seri yang bernama Anwar.
|