Ini petikan artikel Sdra WM Jauhari dari Prowaris "Selepas Merdeka, isu itu juga masih belum selesai dan ditambah pula dengan isu ekonomi umat Melayu yang tenat. Isu pendidikan anak-anak Melayu dan isu kuasa politik dan isu kuasa ekonomi umat Melayu yang semakin menipis, seperti menipisnya 'ozone layer'. Setiap pemimpin yang mengaku pejuang untuk bangsa Melayu, boleh dikatakan gagal, ramai yang gagal walaupun ada polisi dan dasar beberapa pemimpin Melayu ini memberikan kesan positif, tetapi secara amnya, pemimpin kita gagal." Seterusnya beliau berkata "Memang senang untuk menunding jari dan meletakkan kesalahan ini terus kepada pemimpin kita, dalam hal ini kita boleh letakkan kesalahan itu terus kepada Dr Mahathir, kerana kegagalan polisi beliau itu. Tetapi adakah dengan menuding jari itu akan dapat merobah nasib dan minda orang Melayu itu, justeru mengeluarkan Melayu dari kemelut dilemmanya itu? Jawapannya sudah tentu tidak... Tidak ada kuasa sakti yang datang dari jari itu, tundinglah sebanyak mana sekalipun, tidak akan ada 'magik' yang akan berlaku, Melayu tetap tidak akan berubah. Itulah juga yang sering diperkatakan berkali-kali oleh para pemimpin Melayu, baik Dato' Onn, hingga ke Dr Mahathir dan kini Abdullah Badawi... dan saya percaya, ianya akan terus diulang-ulang lagi sehingga hari kiamat, Melayu itu akan tetap Melayu dan tidak akan berubah" dan saya menulis untuk memberi sedikit pandangan.
Kita masih gagal, dan kita masih ditakok yang lama dan bak kata saudara, ozone kita semakin terhakis. Namun dalam menyedari kegagalan, kita terus gagal kerana kita mungkin terlampau jahil melihat kebenaran yang ada. Kita perlu melihat kebelakang agar kita tidak berdepan dengan kesalahan yang sama. Kita perlu cari sebab - dimana punca dan apa sebenarnya yang perlu kita lakukan untuk menjayakan semula agenda bangsa. Kita sudah serik mendengar cerita retorik mereka ( kepimpinan) yang memperjuangkan bangsa dan akhirnya gagal melihat apa yang sebenarnya perlu untuk bangsa kita berjaya. Kita bercerita mengenai revolusi minda dan budaya tetapi kita tidak berani kehadapan mencorakkan perubahan. Kita tahu punca tetapi kita terus didendangkan dengan mengagungkan kepimpinan sehingga akhirnya kita tersedar bahawa tanah ini bukan milik kita.
Persoalan - kita mahu melangkah kehadapan, jawapannya semestinya "benar dan mahu" tetapi mungkin kita adalah antara mereka yang telah menerima imbasan pergolakan moden , angin pembaharuan dan mampu menukar arah diri tetapi itu kita dan Melayu bukan hanya kita. Melayu ada pada cerita -cerita sepi yang disajikan oleh rancangan - rancangan " Bersama Mu", Melayu ada ditengah -tengah laut yang hasilnya dikaut oleh peraih dan mereka yang membuat dasar untuk kepentingan beberapa kerat Melayu yang akan meningkatkan statistik pukul rata pendapatan per kapita. Melayu ada di ladang - ladang kelapa sawit yang hasilnya sampai ke pelusuk dunia tetapi mereka yang mengusahakan hanya mampu berteduh di tepi kebun dan hidup dalam keadaan daif sekali. Kita mahu berubah dan kita perlu berubah tetapi apakah keadaan sekeliling kita ini rata untuk kita memulakan perlawanan dengan adil. Malangnya kita ada pada kulit tetapi tidak pada terasnya. Kita sedar tetapi kita tidak mampu dan takut untuk mengubahnya.
Kusut di tengah leraikan di pangkal - membawa erti bahawa kita perlu tahu, kita perlu sedar dan kita tidak takut untuk mengatakan dengan lebih berani bahawa itu punca dan itu penyebab lalu punca itu harus diperbetulkan di leraikan agar jalan menuju kehadapan lebih terbuka dan lebih kondusif. Kita bukan anak baru lahir maka semuanya bisa kita corak. Kita sedang membesar dan duri - duri yang ada dihadapan harus dicampak agak generasi baru, Melayu yang ada dapat melalui jalan itu dengan lebih baik. "Abu Hurairah r.a mengatakan Nabi SAW pernah besabda " Ketika seseorang itu berjalan di suatu jalan , kemudian didapatinya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangkan , Allah berterima Kasih kepadanya dan mengampuni dosanya." Ini juga menunjukkan peranan kita sebagai umat Islam dan sekiranya di perhalusi maka kita harus meletakkan keperluan untuk kita membersihkan jalan - jalan ini dari duri - duri yang bakal menyakiti orang - orang Melayu. Adakah ini berani kita lakukan atau kita hanya berpandukan kepada sekecil - kecil iman adalah bersuara (membantah kemungkaran) dalam hati. Ini juga perlu diperbetulkan kerana sekiranya kita sedar bahawa kita mampu menentang kemungkaran tetapi kita mengambil sikap membantah dalam hati kerana takut akan kehilangan tempat , harta dan wang ( dalam konteks mengorbankan sedikit yang ada) maka label yang sebenarnya sesuai kepada orang - orang sedemikian adalah hipokrit.
Menunding kosong - menuding kosong hanya dilakukan oleh mereka yang mahu mencari ruang dari hasil tuduhan. Ini bukan menunding kosong tetapi menunding memberitahu agar yang lain sedar bahawa perubahan itu perlu. Benar kita perlu memperbaiki kesalahan dalam polisi dan dasar dan kemudiannya maju kehadapan, tetapi masakan kita boleh melakukan semua itu kerana yang masih berkuasa itu adalah mereka yang terhasil dari dasar yang salah dan polisi yang meleset. Mereka tidak menyalahkan diri mereka tetapi menyalahkan Melayu lain - bukan sahaja yang sudah lahir malah Melayu - Melayu dalam kandungan dan bakal lahir dipersalahkan dengan tohmahan budaya Melayu salah, sikap Melayu salah dan Melayu itu sendiri salah. Lebih buruk lagi bila mereka terus memimpin dan terus membuat dasar - dasar yang sudah kelihatan dan diketahui salah dan menyimpang. Adakah kita harus berdiam - jangan menunding jari kepada kesalahan pesalah dan tidak menyedarkan orang lain bahawa kepimpinan itu perlu dirobah agar duri - duri jalanan tadi mampu dibuang.
Sdra WM Jauhari , Timbalan Presiden Prowaris,
Saya percaya ada ilmu dalam tulisan yang akan disambungkan itu, tetapi pokok yang perlu kita lakukan adalah perjuangan - dalam erti kita " perjuangan itu sebagai perlaksanaan kata - kata". Ini terdapat dalam sajak tulisan Rendra :
Kesedaran adalah matahari.
Kesabaran adalah bumi. Keberanian menjadi cakerawala. Dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Sajak Rendra (Depok, 22 April 1984)
dan tiga perkara yang di gariskan oleh beliau : Kesedaran, Kesabaran dan Keberanian. Ini akan menjana perubahan tetapi sekiranya ini dikorupkan dengan nilai - nilai kehendak melampau dijadikan keperluan hidup sesetengah kepimpinan - kita maka - tudinglah jari kepada terhadap mereka dengan berani , sedarkan semua , sabar dalam menghadapi kongkongan dan berani dalam memperkatakan - lantas perlaksanaan kata - kata keramat adalah lafaz kepada perjuangan. Ajakan sdra Ketepikan isu-isu ekonomi, isu pendidikan, isu bahasa, isu politik, isu agama, isu gender... Hari ini dan saat ini kita orang Melayu cuma perlu bersetuju dengan satu perkara; iaitu untuk melangkah kehadapan. Adakah ianya begitu sukar untuk dilakukan? Melangkah kehadapan? Jangan peduli orang lain, kita tanya diri kita, bolehkah saya melangkah kehadapan? Mampukah saya? Kalau jawapannya Ya, maka marilah kita melangkah bersama-sama.
Setuju dan ayuh kita melangkah kehadapan. Kita ketepikan isu - isu ekonomi, isu bahasa , isu politik , isu agama dan isu gender lalu kita kemana ? Depan itu dimana ? Apa yang ada disana ? Benarkah depan itu kemajuan dan yang ada ini kejahilan. Mungkinkah apa yang ada di belakang itu kejayaan dan hari ini kemunduran? Kalau boleh kita fikirkan bersama, adakah keunggulan kesatuan Melayu dahulu satu kejayaan dan sekarang perpecahan adalah bencana dan kegagalan. Arah mana harus kita tuju - ke belakang menuntut keunggulan yang ada atau ke depan. Mungkinkah yang belakang itu depan dan depan itu belakang?
Itu semua soalan - soalan yang seperti kata sdra tidak akan habis - habis di persoalkan maka sehingga khiamat kita tidak dapat memperbaiki kedudukan orang - orang Melayu tetapi mungkin kesedaran akan kegagalan, bertindak atas memastikan agar ia tidak berulang lagi perlu untuk menunjukkan erti kemajuan - erti menuju ke depan.
Kita pastikan Melayu itu berpengetahauan dan berilmu. Kita bebaskan minda mereka khususnya mereka yang jauh dari suara - suara kemodenan dan kesedaran. Kita katakan kebenaran dan kita singkirkan mereka yang sebenarnya menghalang kejayaan orang - orang Melayu. Sekiranya Dasar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris itu adalah dasar karut yang di sanggah oleh ilmuan Melayu, kita tentang secara bersepadu. Kita pastikan Menteri yang bertanggung jawab dan hari ini kita namakan Menteri tersebut Datuk Hishammuddin bin Tun Hussein Onn sebagai orang yang bertanggung jawab, supaya tidak lagi kekal atau setidak - tidaknya mengakui kesalahannya. Panggil beliau untuk membincangkan isu ini dan hebahkan kepada rakyat untuk dijadikan ilmu agar rakyat boleh berfikir dengan membuat pertimbangan. Kita kuatkan jiwa kita dengan kebebasan - kita tegur dan menerima teguran secara terbuka - kita buka minda rakyat dengan forum - forum di desa - desa, di Universiti dengan melonggarkan atau terus menghapuskan AUKU dan membenarkan mereka bebas menerima kesemua saluran informasi. Kita pertahankan hak kebebasan bersuara. Kita benarkan mereka menerbitkan sebanyak mana penerbitan dan perundangan sekatan dari segi hasutan dan fitnah tidak diambil sebagai sekatan kepada kebenaran dan kepentingan politik melainkan kewajaran yang jelas wujud. Kita bangkit dengan memberitahu bahawa perlaksanaan penswataan seperti elektrik dan air itu salah dan kita mahu ketelusan dalam membicarakan isu ini - hidangkan semua perjanjian konsesi dan jangan diselimut perkara - perkara korup itu dengan Akta Rahsia Rasmi. Ini antara isu yangdapat memastikan kejayaan malah kalau dihalusi lagi maka ketirisan yang sering dibicara dapat bendung.
Banyak lagi isu - isu semasa yang diibaratkan sebagai duri - duri yang perlu dikemaskan untuk Melayu maju dan bukan klasifikasi ke depan atau ke belakang. Apa kata kalau kita berusaha membetulkan keadaan kerana hari ini Melayu itu terenjuk - enjuk berjalan kerana duri. Masakan mereka boleh berlari.
|