Media-media Antarabangsa melaporkan - Kerajaan kini sedang berperang dengan Tun Dr Mahathir. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kini telah memukul paluan perang dan sedia untuk berhadapan memerangi Mahathir bagi pihak kerajaan dan UMNO. "Keluar dari UMNO supaya saya boleh hentam dia" adalah antara kata-kata beliau. Nazri tidak faham kenapa Mahathir yang dianggap oleh pembangkang sebagai "firaun" kini sanggup berada dipentas pembangkang menghentam Pak Lah dan Khairy dan mungkin yang lain tidak juga faham kenapa Nazri bangkit mempertahankan Khairy Jamaluddin walaupun mempertahankan Pak Lah mungkin termasuk dalam skop-skop kerja beliau.
Apa pun dari penukaran kata-kata, antara apa yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir dan menteri-menteri dalam UMNO satu yang jelas kelihatan - relevansi menteri-menteri yang ada. Mereka hadir untuk Perdana Menteri dan bukan untuk rakyat. Kritikan Mahathir mengenai menteri-menteri yang hanya tahu menyokong Pak Lah, terpecik ke muka sendiri sewaktu menteri-menteri ini sujud kepada Mahathir. Asas yang serupa - mereka adalah politikus yang hanya berjuang untuk politik masing-masing dan bukan hadir untuk menentukan agar hidup rakyat semakin mudah dan terbela di negara ini. Sistem pentadbiran yang ada kini menjadi jelas sumbang - mempertahankan orang-orang tertentu dan bukan isu-isu yang dibawa.
Sekiranya kita tidak melihat Mahathir sebagai Mantan Perdana Menteri Malaysia, kita juga mahukan jawapan yang sempurna dari Pak Lah mengenai isu-isu pedas mengenai keadaan negara ini yang semakin meruncing buat rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja , kita mahu jawapan telus dari Pak Lah dan pentadbiran negara ini mengenai kenaikan harga minyak, elektrik dan harga-harga barang keperluan. Kita mahu tahu kenapa perkembangan pesat negara ini dengan peningkatan indeks perniagaan tidak membawa kesan kepada kemakmuran rakyat sebagai mereka yang membentuk kehadiran negara ini.
Sebenarnya kita pernah melihat bagaimana rakyat hadir bersama-sama Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Bagaimana rakyat mendesak ketelusan pentadbiran dan penentangan rasuah yang lebih efektif. Rakyat bangkit dan setelah itu rakyat tahu apa erti kronisma dan nepostism. Rakyat didedahkan dengan perlakuan rasuah yang berleluasan, tindakan-tindakan kerajaan yang membelakangkan kepentingan rakyat, perjanjian-perjanjian konsesi yang disorokkan dari rakyat serta puluhan isu yang mendesak untuk mereka - kalangan elitis kuasa merobah dasar-dasar yang memihak kepada satu pihak tetapi menindas satu pihak lain yakni rakyat.
Rakyat bangkit dengan gagah dan beribu-ribu orang telah dipenjara kerana menghadiri demonstrasi membantah keputusan-keputusan kerajaan dan desakan agar suara rakyat dijadikan suara keramat. Ini semua berlaku di zaman Mahathir dan pada zaman itulah kegawatan politik Melayu meruncing. Krisis itu juga mendedahkan puluhan isu lain - rasuah Rafidah Aziz, skandal Rahim Thamby Chik, Daim Zainuddin dengan duit UMNO, kegagalan sistem perundangan, kejatuhan martabat polis dimata rakyat serta hak-hak kebebasan asas yang dicabuli. Semua ini hadir kerana krisis dalam UMNO dan adakah krisis kali ini akan mendedahkan juga kepincangan - UMNO sebagai pembela Melayu?
Bukan, ini bukan soal kemakmuran rakyat yang dicabul, bukan soal kuasa pembelian rakyat semakin kecil, bukan soal peningkatan harga barangan dan bukan soal rumah-rumah peneroka kota MELAYU diruntuhkan. Ini soal ketidakpuasan hati kerana jambatan tidak dibina, ini tidak puasan hati kenapa Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff digugurkan dari Proton dan persoalan-persoalan penjualan Agusta dengan nilai 1 euro. Ini bukan soal-soal mutlak tanpa pendedahan sepenuhnya oleh seorang rakyat Malaysia yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia. Apa kena mengena ini dengan persoalan kemiskinan rakyat, soal Melayu yang gagal dalam Dasar Ekonomi Baru dan hari ini peningkatan kos-kos kehidupan. Bagi rakyat marhean ini adalah hasil baik Mantan perdana menteri memerintah mahupun Pak Lah memerintah. Ini bukan salah sistem yang ada - ini salah budaya yang melekat teguh dalam kerajaan yang di pimpin secara dominan oleh UMNO. Mereka - kepimpinan sudah gagal memikul amanah rakyat. Politik adalah penting dan politik itu diukur sejauh mana kita akur kepada kepimpinan tertinggi baik Mahathir mahupun Pak Lah.
Pendedahan Mahathir dan pendedahan Nazri dalam kecaman-kecaman beliau menunjukkan kualiti kepimpinan. Saya akan akur kepada Perdana Menteri dahulu Mahathir dan kini Pak Lah dan ini tidak menunjukkan ciri-ciri tugas sebenar yang sepatutnya dipikul. Ini hanya membuka pekong yang selama ini berbau. Dan ini harus diberitahu kepada semua - rakyat - ahli UMNO dan mereka yang bertanggung jawab melantik pemimpin dan menteri. Apa yang hadir adalah tugas-tugas politkus menyokong semua kehendak kepimpinan atasan - satu kerja mudah yang lumayan sejak berzaman - membodek dan mengampu.
Maka kita akhirnya mengharap krisis ini terbuka. Deklarasi perang oleh Nazri bakal akan membongkar segala kepincangan menteri yang ada - baik sewaktu Dr Mahathir mahupun kini dibawah pemerintahan Pak Lah. Ini adalah hikmah - agar Melayu disedarkan bahawa pada tangan kita kedudukan mereka, tetapi kenapa pada kita mereka menunjuk kuasa. Pada rakyat harus di bodek kepada pada Perdana Menteri yang hasil diundi oleh rakyat mereka menyembah.
|