Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
GILIRAN MAHATHIR KETUAI PEMBANGKANG?
Wednesday, June 28, 2006
Ahad lalu, 24 Jun 2006 adalah hari bersejarah bagi Malaysia. Tun Dr Mahathir Mohamad pada hakikatnya jadi pembangkang, berucap di Taman Melawati di medan yang selalunya tempat berhimpun penyokong pembangkang.

Di situ berkumpullah orang PAS, KeADILan dan Umno bersama mendengar ceramah Mahathir. Begitulah ironinya hidup berpolitik.

Terkenang kembali ketika Mahathir dipecat oleh Umno semasa zaman Tunku. Beliau dicap ultra oleh Lee Kuan Yew. Dalam kumpulan Mahathir ialah Musa Hitam. Satu lagi seteru kuat Kuan Yew ialah Syed Jaafar Albar. Beliau kesal Tunku memisahkan Singapura daripada Malaysia.

Maka dalam keterpencilan Mahathir, PAS pimpinan Asri menyediakan pentas untuknya. Alangkah baiknya kalau dapat didokumentasikan peristiwa di mana Mahathir berucap di pentas PAS itu. Ahli sejarah PAS wajar menggalinya kembali.

Mereka yang hadir dalam peristiwa itu wajar menceritakan kembali detik-detik untuk renungan anak-anak muda kini.

Tidak ada media arus perdana melaporkan peristiwa itu. Tetapi dipercayai ada seorang pemberita Berita Harian yang atas inisiatif sendiri turut menghadiri ceramah itu. Mahathir dipercayai amat menghargai pemberita itu dan beliau diberi tempat dalam kewartawanan Umno apabila Mahathir menjadi Presiden parti.

Kedudukan Mahathir tidak kukuh

Tunku tumbang dan Mahathir diberi tempat oleh Tun Razak melalui sokongan Dato' Harun. Pengganti Tun Razak, Hussein Onn memberi laluan kepada Mahathir. Tetapi Hussein Onn bertembung dengan Harun dan beliau kalah.

Apabila Hussein Onn memilih Mahathir sebagai penggantinya, tentunya Tengku Razaleigh berasa tersinggung. Setelah menggantikan Hussein, Mahathir tidak memilih Ku Li sebagai timbalannya seperti yang diharapkan ramai, beliau memilih Musa.

Dalam Umno kedudukan Mahathir tidaklah kukuh padu, beliau berdepan kumpulan Ku Li. Beliau turut memulihkan kedudukan Harun dipercayai sebagai menghargai jasanya kepada beliau dahulu.

Sementara itu PAS berdepan krisis keyakinan terhadap kepimpinan Asri. Beliau mencari pengganti. Yusof Rawa dilihat tidak begitu kuat. Tetapi pemimpin ABIM, Anwar Ibrahim adalah calon menarik. Hampir pasti Anwar akan menggantikannya sebagai pemimpin PAS.

Mahathir pun nampak Anwar. Tun Razak pernah mengajak Anwar tetapi Anwar menolak. Maka Anwar menjadi pemimpin pembangkang generasi baru, menggabungkan tiga aliran, Islam, nasionalis dan sosialis semasa demonstrasi pelajar 1974. Sebagai bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), beliau menjadi pemimpin nasionalis. Sebagai turut memimpin demonstrasi pelajar yang banyak digerakkan oleh Kelab Sosialis Universiti Malaya pimpinan Hishamuddin Rais, beliau juga diterima oleh orang kiri. Sebagai pemimpin ABIM, beliau dianggap pemimpin gerakan Islam.

Maka Mahathir dan Asri melihat Anwar. Dalam PAS, golongan ABIM sudah mula masuk dengan Ustaz Fadzil Nor yang pernah menjadi timbalan Anwar mendapat tempat.

Senario bagi PAS di awal 80-an ialah Asri berundur dan Anwar memimpin PAS. Maka jika Anwar jadi Presiden PAS dan Ustaz Fadzil timbalannya, maka dapat dibayangkan betapa dinamiknya parti bulan purnama ini.

Bagi Mahathir, dia menghadapi dua peluang. Jika Anwar dibawa ke dalam Umno; satu dia boleh melemahkan PAS dan kedua, dia boleh menguatkan kedudukannya dalam Umno melalui kehadiran Anwar dan dokongan ABIM.

Anwar pula berdepan dua perkara. Pertama, jika dia memilih PAS, parti ini bukannya ada apa. Masa itu PAS dalam kedudukan paling lemah. Hanya beberapa kerusi di Kelantan. Tetapi dengan Mahathir, peluang luas terbuka, Umno dan kerajaan. Maka pilihannya adalah pada Umno.

Maka team Mahathir-Anwar mendominasi Umno sehinggalah Anwar tersinggir pada 1998. Dengan Anwar, Mahathir boleh mengetepikan Ku Li dan Musa. Dalam team Musa ialah Pak Lah. Tunku, Hussein Onn dan Harun juga memihak Ku Li untuk menentang Mahathir-Anwar.

Dalam keadaan begini, PAS pimpinan Yusof-Fadzil memberi ruang pada Ku Li. Menjelang ancaman besar Ku Li dalam pilihan raya 1990, timbul cakap-cakap Mahathir sanggup bersekutu dengan PAS bagi menghalang Ku Li menang. Sebelum itu Mahathir berjaya menghalang Musa daripada menyertai Ku Li melalui satu Kongres Perpaduan Johor. Orang Musa seperti Pak Lah kembali diterima bersama Mahathir.

Tetapi PAS sudah komited dengan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Ternyata Mahathir berjaya dan tidak timbul soal bekerjasama dengan PAS. Selepas 1995, Ku Li kembali bersama Mahathir, dan sebaliknya ia menimbulkan kebimbangan bagi Anwar.

Pada 1997, Anwar bergerak dan kelihatan cabaran dibuat ke atas Mahathir. Maka sejarah menyaksikan Anwar disingkirkan dan ia kembali mengetuai satu gerakan pembangkang dengan PAS ikut serta.

Maka tanpa Anwar, Mahathir berdepan dua pilihan untuk memilih penggantinya, Pak Lah atau Najib. Pilihannya jatuh pada Pak Lah. Begitu juga dengan kedudukan team Musa dan Tengku Razaleigh dahulu dipulihkan dalam Umno.

Kekuatan PAS menarik Mahathir

Selepas pilihan raya 1999, nampak PAS begitu kuat dan ini menarik erhatian Mahathir. Maka diajaknya PAS berada dalam satu platform perpaduan Melayu. Rundingan diadakan dan pertemuan Mahathir-Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka berhubung Palestin adalah peristiwa bersejarah. KeADILan menjadi curiga.

Tetapi selepas ketiadaan Ustaz Fadzil, kelemahan PAS dan kebimbangan terhadap terorisme membawa mengertian bahawa Mahathir tidak perlu lagi bimbang dengan pembangkang.

Maka Mahathir bersedia untuk mengundurkan diri. Pak Lah menggantikannya dan ia berdepan pemilihan penggantinya, sama ada Najib atau Muhyiddin. Tetapi melihat pengaruh Mahathir yang kuat, Pak Lah memilih Najib juga. Tanpa Mahathir, KeADILan semakin melemah dan bekas penyokong Anwar menyertai Umno, banyak yang mengikut Najib.

Selepas pilihan raya 2004 yang memberi kemenangan besar pada Pak Lah. Anwar dibebaskan. Isu Proton menimbulkan kerenggangan antara Mahathir dan Pak Lah. Tetapi masalah Singapura menjadi penanda besar. Anak Syed Jaafar Albar iaitu Syed Hamid menyebelahi Pak Lah.

Sementara itu, Anwar banyak berada di luar negara. Ia mengecewakan pembangkang, termasuk PAS. Bekas Parti Rakyat yang dalam KeADILan pula tidak puas hati tentang isu-isu mengenai hubungan Anwar dengan dunia Barat.

Sebaliknya Mahathir melalui Forum Perdamaian Global Perdana bereda di hadapan menentang Barat. Secara ideologis, PAS dan bekas Parti Rakyat lebih rapat dengan Mahathir berbanding dengan Anwar. Maka tidak hairanlah, apabila berlaku krisis Mahathir-Pak Lah, banyak pihak dalam PAS memilih Mahathir.

Tidak hairanlah di medan Taman Melawati yang sudah lama sunyi daripada aktiviti menjadi cergas semula, orang PAS datang mendengar Mahathir.

PAS tetap relevan bagi rakyat

Bendera bulan purnama sentiasa akan memainkan peranan untuk mempertahankan tanah air, baik bagi memastikan ciri Islaminya terjamin, dan kepentingan umat Islam untuk mengamalkan Islam turut terjamin, tetapi juga menjadi pembangkang untuk membangunkan negara.

PAS sudah berpeluang memerintah Kelantan dan Terengganu, ada perkara yang ia berjaya da tidak kurang wujud kelemahan. Ia terpulang kepada dinamika pemimpin PAS di Kuala Lumpur dan negeri-negeri. Tetapi PAS tetap relevan bukan saja bagi rakyat negara ini tetapi Umno juga.

Penambahan undi di Beting Maro, Sarawak merupakan petanda PAS mempunyai peranan tersendiri sebagai pembangkang yang relevan. Tanpa PAS, bagaimana Umno harus berpolitik?

Tanpa PAS, bagaimana Mahathir, Anwar dan Ku Li dapat berperanan untuk kebaikan negara?

PAS ditubuhkan ketika Umno sedang bergolak antara untuk menyokong Dato' Onn atau Tunku. Dato' Onn mahukan Umno bersifat inklusif iaitu dibuka untuk semua kaum dan dengan itu menjadi platfom bagi usaha menuntut kemerdekaan. Bagi Dato' Onn jika Umno menjadi parti yang benar-benar Malayan, sudah tentu kaum-kaum lain terpaksa tunduk kepada majoriti ahli iaitu orang Melayu dan Islam.

Dato' Onn tidak setuju parti yang bersifat perkauman atau keagamaan. Perjuangan untuk bangsa dan agama memerlukan platform lain. Biarlah satu persatuan Melayu yang independent daripada parti politik memperjuangkan kepentingan bangsa. Begitu juga dengan Islam. Suatu badan bebas daripada parti politik mampu memperjuangkan Islam.

Biro agama Umno faham dengan wawasan Dato' Onn dan menyokongnya. Tetapi apabila Dato' Onn gagal, biro ini keluar Umno dan menubuhkan PAS. Walaupun antara pemimpin ini menyertai kembali ke Umno, tetapi Pas berdiri sendiri. Ia dikuatkan oleh elemen kiri pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Dato' Onn gagal dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kembali ke akar umbi Melayu melalui Parti Negara. PAS tetap membantu tokoh penting Melayu ini dengan memberinya kerusi di Terengganu.

PAS berjiwa besar dan sering menampung tokoh-tokoh Umno yang tersingkir. Walaupun kuat selepas pilihan raya tahun 1969, PAS menerima undangan Tun Razak untuk menubuhkan kerajaan campuran dan menjadi teras kepada BN. Tidak keterlaluan untuk menyebut bahawa undi yang diterima PAS pada 1969 datangnya dari penyokong Mahathir yang menolak Tunku.
posted by jasindaily online @ 2:09 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com