Mungkin inilah satu-satunya negara di dunia yang dikuasai oleh suatu bangsa tapi itulah juga bangsa yang tidak habis berkemelut. Dari rakyat terkebawah hingga ke pemimpin di atas. Masing-masing dengan kemelut masing-masing.Dalam krisis PM vs TDM, aku melihat betapa PM banyak belajar dari insiden DSAI dahulu. Itulah sebabnya mengapa beliau tidak mahu bersemuka dengan TDM dalam hal pertelagahan mereka. PM tahu pengaruh beliau tidak sehebat pengaruh DSAI untuk berentap satu lawan satu. Sekiranya itu berlaku, kedudukan PM dalam partinya akan tergugat. Maka oleh itu, PM mengambil sikap memindahkan risiko tersebut kepada menteri kabinet berkenaan untuk menjawab segala kritikan TDM. Dan kita mengetahui bahawa mereka ini kebanyakannya adalah mereka yang sama ketika era TDM dahulu. Peluru yang dilepaskan adalah hasil bikinan mereka bersama dahulu. PM bijak dengan membolehkan DSAI dibebaskan (bukan membebaskan), sekaligus ibarat melepas harimau bagi mengimbangi kekuatan seekor lagi harimau.Hari ini kedua-dua harimau itu berada di luar, walau bukan sebebas yang disangka. Dan mereka kini dalam episod pertarungan yang dahpun bermula. PM pula ibarat singa jantan yang menunggu hasil perjuangan kawanan singa betinanya. Adalah sangat penting bagi DSAI untuk membersihkan namanya. Begitu juga bagi TDM untuk membenarkan tuduhan dan tindakannya 8 tahun dulu. Dan pemberat bagi dacing perhitungan mereka kini dipegang oleh PM. DSAI memerlukan PM untuk kekal takhta agar peluangnya lebih cerah, sebaliknya bagi TDM. Kes demi kes yang memihak kepada DSAI cukup menggerunkan beliau. Maka tidak hairan jika DSAI seolah dan semestinya memihak kepada PM dalam isu jambatan dan lain-lainnya walaupun dalam nada yang berhati-hati. Begitu juga dengan sentimen negatif Keadilan terhadap tindakan beberapa pemimpin PAS bersekedudukan dengan TDM di Hulu Kelang, yang dikatakan dangkal jika pun tidak melampau. Insiden pendedahan maklumat berkaitan pemecatan TDM dari UMNO juga berkemungkinan bertujuan mengelakkan TDM dari dipecat. Kerana jika tidak PM tak akan mampu menahan gelora penentangan yang mungkin akan dibawa oleh TDM ke atasnya. Jika PM jatuh, maka nasib DSAI mungkin akan berubah. Itulah apa yang dipelajarinya dari insiden DSAI. Apa yang perlu dilakukan oleh PM sekarang ialah mengwujudkan seberapa banyak hulubalang yang akan berjuang bagi pihaknya. Dalam parti, ketaatan kepada yang berkuasa dieksploitasi sepenuhnya. Di luar parti, hakim rasuah perlu dihapuskan. Keduanya bagi menyediakan hulubalang luar dan dalam.TDM dan sedikit sebanyak PM sememangnya bijak dalam percaturan politik mereka. Malangnya pemburu-pemburu harimau tidak sebijak mereka. Asyik masuk perangkap sendiri. Pembangkang seolah hilang fokus apabila sudah wujud banyak mangsa untuk dijerat. Antara PM dan TDM siapa harus dijerat dan ditumpaskan, atau perlu duduk semeja dan bergelak ketawa? PAS mungkin menfokuskan PM manakala keadilan menfokuskan TDM. Ini boleh dilihat dalam hal pendapat dan tindakbalas mereka dalam hal isu-isu yang dibawa TDM. PAS beiringan dengan TDM dalam hal jambatan manakala Keadilan beriringan dengan PM. Pembangkang sememangnya masih gagal membina kekuatan sendiri, lebih teruk lagi hari ini mereka terperangkap dalam pertarungan musuh-musuh mereka yang sedia lemah. Pembangkang seharusnya tidak melayan kerenah TDM. Biarkan si luncai itu. Biarkan si Ibrahim melayannya. Mereka berdua kini senasib. Ditolak kaum kerabat sendiri. Kenapa perlu memperbodohkan diri? Isu-isu yang dibangkitkan bukannya menyentuh secara langsung kebajikan rakyat umum. Lebih kepada sentimen kuasa, pengaruh dan ego. Kalau betul ianya berkepentingan rakyat secara langsung, kenapa tidak TDM berterus terang apa yang dimungkiri PM selepas dua minggu itu? Biar semua rakyat tahu. Kenapa hanya perlu mereka berdua yang tahu? Dan kita tidak semena-mena bersorak bersama. Akhirnya kita sendiri yang kehilangan arah. Fikir-fikirkan. |