Sekurang-kurangnya terdapat dua tanggapan umum mengapa kerajaan yang ada sekarang mampu bertahan setengah abad hingga ke hari ini. Golongan pertama merasa yakin bahawa BN yang berkuasa itu sesungguhnya sangat kuat, dan setakat ini masih belum ada tandingannya, apa lagi untuk dikalahkan. Pihak yang satu lagi berlainan sedikit pula pandangannya. Mereka menganggap yang pertama itu dakwaan semata-mata dan bertujuan untuk menghayal serta menipu diri sendiri (termasuk orang lain). Bagi golongan kedua, penyebab utama yang menjadikan BN kelihatan "kuat" untuk terus berkuasa ialah faktor "kelemahan" dan "perpecahan" yang tampak wujud di kalangan parti-parti lawan sekarang. Seandainya faktor-faktor tersebut berjaya diatasi, maka logiknya, gabungan parti-parti pembangkang juga, satu hari nanti, boleh menjadi "kuat" untuk menggantikan tempat BN. Biar apa pun hakikatnya, kedua-dua pihak mempunyai alasan masing-masing. Mereka yang menganggap BN luarbiasa kuat itu berpegang semata-mata kepada keputusan pilihanraya yang sudah menjadi ritual empat atau lima tahun sekali. Mengikut pengertian golongan ini, proses pilihanraya yang diamalkan sekarang adalah sebaik-baik kaedah untuk mengukur sokongan rakyat terhadap mereka. Dan kononnya, itulah satu-satunya saja ciri atau komponen demokrasi dalam sesebuah negara. Jadi, apabila mereka "menang" dalam pilihanraya, tak kira sama ada jalannya lurus atau bengkang-bengkok, mereka rasa sudah mempunyai "mandat" dari langit untuk membolot atau menguasai segala-galanya - winner takes all! Ditakdirkan pula, entah macam mana faktor-faktor "kelemahan" dan "perpecahan" seperti yang disebutkan tadi berjaya diatasi, maka logiknya pula ialah Malaysia akan mengalami perubahan. Jika Parti Kongres di India dan Parti Liberal Demokrasi di Jepun boleh tumbang, mengapa tidak BN di Malaysia? Begitulah sangkaan dan harapan mereka. Di sini, timbul dua pertanyaan: Pertama, apakah dengan bergantinya pimpinan atau parti yang memerintah seperti di India dan Jepun itu, majoriti rakyat sudah pasti akan mengalami perubahan hakiki dalam hidup mereka? Kedua, seandainya dalam keadaan hari ini parti-parti pembangkang di Malaysia memenangi pilihanraya, apakah BN akan bersedia dan rela untuk turun takhta? Pada hemat saya, kedua-dua jenis soalan tersebut penting untuk difikirkan oleh semua pihak yang sesungguhnya ingin melihat perubahan besar berlaku ke atas rakyat. Oleh kerana itu, tidak perlu menunggu lama atau menjadi pakar sains politik atau ahli akademik untuk mendapatkan jawapannya. Dalam hal ini, tidak sedikit pengalaman dan pengajaran yang telah dan dapat kita himpunkan sepanjang sejarah perjuangan rakyat. Ambil saja yang paling mudah dan terdekat: Apa yang rakyat jelata dapat apabila Umno bertukar menjadi Umno Baru atau selepas Abdullah menggantikan Mahathir? Siapa yang dapat menafikan bahawa hingga hari ini dasar ekonomi baru masih lagi menguntungkan segelintir kroni atau suku-sakat pemimpin-pemimpin tertinggi dalam Umno sementara yang lain mendapat habuknya saja? Tidak dapat tidak akibat daripada dasar-dasar yang tidak rasional sedemikian ialah jurang antara si kaya dengan si miskin semakin meluas, antagonisme kaum kian meruncing, nepotisme berleluasa dan korupsi jangan cerita....... Hal-hal tersebut semakin ketara kebelakangan ini apabila Mahathir pula sudah merasa kecewa dengan Abdullah; segala-galanyapun mulai terburai dan terbongkar di khalayak ramai tanpa segan-silu lagi. Nasib baik jugalah bekas PM itu sudah goyah taringnya, kalau tidak, teruklah Abdullah dibuatnya - bukan sahaja mata, tapi hidung dan telinganya pun turut lebam kena karate chop. Dalam pada itu, saya tidak menafikan langsung adanya sedikit perubahan. Tetapi soal pokok di sini ialah yang betul-betul menikmati perubahan itu siapa dan golongan mana? Bagi kebanyakan rakyat, permainan sandiwara dan wayang kulit seperti itu rata-rata tidak membawa erti besar dalam hidup mereka. Kemudian, timbul pula masalah sama ada BN bersedia turun dari singgahsananya. (Nah, ini pertanyaan peringkat akhir untuk program Who Wants To Be A Millionaire. Siapa agaknya yang lebih layak menjawab serta memenangi hadiah sejuta ringgit ini kalau tidak daripada anggota jemaah menteri seperti Samy Vellu, Rafidah Aziz dan yang sebangsa dengannya? Orang lain jangan mimpi.....!) Dalam perkara ini, kita boleh belajar dari banyak pihak termasuk dari dalam dan luar negeri. Di Burma, umpamanya, Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi telah mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya tahun 1990. Tetapi apa telah jadi? Pihak tentera bukan sahaja enggan mengakui keputusan tersebut, sebaliknya ramai tokoh politik dan orang awam dibunuh atau dipenjarakan. Ini membuktikan bahawa bukannya senang bagi pihak yang sudah lama berkuasa untuk menyerahkan takhta pemerintahannya kepada pihak lain. Di sini, tentu ada orang akan bertanya: Mengapa ambil contoh Burma - negara yang di bawah kekuasaan kuku besi tentera itu? Saya tanya balik: Apa bedanya Malaysia? Bukankah negeri ini juga (hampir) dikuasai polis? Kalau tidak, tak akan berani pihak polis "melawan" kerajaan seperti dalam isu Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sudah menjadi rahsia terbuka itu. Selain daripada itu, bukankah dalam negara ini kerajaan juga dilengkapi bermacam-macam akta/undang-undang/peraturan serta dengan agensi penguatkuasanya sekali untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan mereka dan sekali gus menindas rakyat? Induk kepada segala kejahatan tadi, tidak lain ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan terkutuk itu. Dengan sejarah yang ada di mana beribu-ribu aktivis politik dan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanuddin Helmy, Abu Bakar Bakir, Abdullah C.D dan lain-lain dikurung dan dizalimi di bawah kuatkuasa undang-undang tersebut, siapa boleh percaya dalam pilihanraya akandatang BN dengan mudah sahaja bersedia untuk mengosongkan takhtanya? Gambaran yang saya berikan setakat ini mungkin agak gelap dan muram; tetapi itu bukan niat saya. Saya cuma hendak menegaskan bahawa jika kita terlalu gairah dan percaya kepada sistem pilihanraya yang ada sekarang serta menari pula mengikut paluan gendang mereka tanpa khusus mengambil berat pembangunan parti, sudah tentu kita akan kecundang lagi buat kesekian kalinya. |