Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu tidak mengharapkan kemenangan dengan kelemahan Umno sebaliknya perlu membina kekuatan sendiri. Bagaimanapun, katanya penyakit yang melanda Umno akibat pertarungan yang berlaku sekarang antara bekas dengan presiden parti itu, Tun Dr Mahathir dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi pemangkin untuk mencapai kemenangan. Sehubungan itu, beliau mengingatkan ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya mengambil langkah yang bijaksana dalam melaksanakan agenda parti. "Alhamdulillah, hari ini kita melihat hasil yang baik perjuangan kita bersambung dan kita lihat lawan kita dalam keadaan bergelepar sekarang walaupun dia gagah, pukul sana, pukul sini tetapi mengalami penyakit dalaman. "Walaupun kita tidak mengharapkan kemenangan melalui kelemahan mereka, kita perlu mengambil kemenangan dengan membina kekuatan kita sendiri tetapi penyakit yang ada pada mereka juga menjadi pemangkin, sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita, dengan syarat kita perlu bijaksana dalam melaksanakan sepak terajang politik," ujarnya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Pasti Negeri Terengganu 2006 di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai dekat sini, baru-baru ini. Turut berucap ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Pasti Negeri, Azmi Mohd Yasin. Beliau juga mengharapkan orang-orang Melayu yang berada di dalam Umno supaya menyedari dan insaf dengan apa yang berlaku di antara Mahathir dan Abdullah itu. Katanya, mereka perlu menyedari bahawa Umno bukannya mempunyai satu agenda untuk menyelamatkan umat dan negara. Tambahnya, Umno lebih bersifat agenda untuk memenuhi poket para pemimpin mereka yang menjadi input kepada perjuangan kebendaan yang menjadi teras kepada perjuangan Umno. "Itulah adat kepada perjuangan yang berteraskan kebendaan, wawasan dia 2020, wawasan kita dari dunia hingga akhirat," ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut menyeru warga pendidik di dalam PAS supaya melaksanakan agenda mendidik masyarakat melalui masjid, khutbah, pusat-pusat pengajian untuk orang-orang tua, pemuda termasuklah tunas-tunas generasi akan datang dalam mengharungi perjuangan Islam. Tambahnya, medan ilmu sangat penting kerana dapat melahirkan petugas-petugas parti yang bukan sembarangan pada masa akan datang. "Bukan sebarang pekerja, pekerja yang ada akidah, yang ada iman dan kekuatan roh, ciri dan sifat yang sangat penting untuk kita mencapai kejayaan dalam perjuangan Islam," katanya. Ini, katanya kerana kemenangan akhirat wajib dicapai oleh orang yang mengakhiri hayat bersama dengan perjuangan Islam manakala bagi kemenangan dunia, ada yang bersempatan dan sebaliknya. Tambahnya, kemenangan di dunia berlaku secara pusingan di mana Allah Taala menjadikan pasang surut perjuangan sebagaimana yang berlaku dalam sirah Rasulullah. Katanya, Rasulullah berjaya dalam peperangan Badar dan pembukaan Mekah tetapi mengalami kekalahan pada peperangan Uhud yang mengorbankan ramai syuhada. Bagaimanapun, jelasnya peperangan Uhud berjaya dari segi roh dan iman kerana semuanya berjaya dalam memperjuangkan Islam. |