Pecat Khairy dan Nazri - sebagai prasyarat utama yang dikemukakan oleh Dr Mahathir kepada pentadbiran Abdullah, sekiranya kerajaan berhasrat menjernihkan hubungan beliau dengan kepimpinan negara sekarang. Prasyarat tersebut dijangka menyulitkan usaha damai melalui 'orang tengah' yang sedang diatur oleh Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin.Menurut Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua, Dr Mahathir mahukan Abdullah memenuhi prasyarat itu sebagai bukti komitmen beliau sebelum memulakan proses damai. "Dr Mahathir mahukan menantu Abdullah (Khairy Jamaludin) dan rakan-rakannya di 'tingkat empat' di Jabatan Perdana Menteri (JPM) disingkirkan dan digantikan dengan orang lain bagi membantu pentadbiran Abdullah," jelasnya.Perlantikan kumpulan gantian itu kelak hendaklah dipersetujui oleh barisan kabinet.Tambah Tian, Dr Mahathir juga mahukan Nazri dipecat kerana bersikap biadap dengan bekas Perdana Menteri itu.Maklumat tersebut, dakwa Tian diperolehinya daripada 'orang Dr Mahathir'. Berita itu juga telah disebarkan secara meluas melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada para pelanggan 'Adilnewsnet', semalam.Pada majlis ceramah dan dialog , 24 Jun lalu di Taman Melawati, Mahathir mendedahkan golongan lulusan Cambridge dan Oxford di tingkat empat, JPM lebih berkuasa daripada tingkat lima yang menempatkan pejabat Perdana Menteri.Pendedahan itu, sekaligus mengesahkan peranan 'orang ketiga' yang menjadi punca perbalahan Abdullah-Mahathir dalam pelbagai isu yang membabitkan kepentingan rakyat dan keselamatan negara. Sementara itu, menurut sumber 'orang tengah' selaku pendamai Abdullah -Mahathir iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob telah memulakan misi damainya.Difahamkan Yang Dipertua Negeri Melaka itu telah menemui bekas Perdana Menteri tersebut di rumahnya, di Mines Resort, Sungai Besi, 1 Julai (Sabtu). Diberitakan pada pertemuan selama sejam setengah mulai jam 6 petangitu, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya yang mahukan Abdullah menjawab semua persoalan yang beliau bangkitkan. Sekiranya isu yang beliau bangkitkan tidak tepat, Abdullah berhak menjawab dan menyanggahnya.Selagi Perdana Menteri tidak menjawab, Dr Mahathir akan terus berpegang kepada pendiriannya. Mohd Khalil berjanji kepada Dr Mahathir akan membawa perkara itu ke pengetahuan Abdullah. |