Dalam kesibukan UMNO mengadakan Majlis Tahlil di Ibu Pejabat UMNO, mereka yang terdiri dari kepimpinan veteran UMNO telah berjumpa di Crown Princess pada 10hb Mei 2005 membincangkan kedudukan Melayu Dalam Bahaya dan UMNO yang menurut mereka PASTI akan MATI sekiranya tidak ada perubahan di lakukan dengan kadar segera dan secara serius.
Program yang di terajui oleh Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghaffar Baba dan yang turut hadir hampir 50 bekas kepimpinan UMNO yang terdiri dari bekas - bekas Menteri, Timbalan Menteri dan kepimpinan lain UMNO mengeluarkan satu memorandum yang akan di serahkan kepada YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi bagi menyatakan pandangan mereka khususnya demi survival UMNO dan bangsa Melayu di negara ini.
Program ini menyaksikan ucapan Tun Abdul Ghaffar secara panjang lebar menyentuh beberapa perkara sensitif mengenai UMNO dan arah tuju UMNO andai tidak ada perubahan drastik yang serius di laksanakan.
Antara yang paling drastik di sentuh adalah mengenai kedudukan Melayu yang dikatakan merempat di negara sendiri. Tun Ghaffar menyatakan kegusaran beliau melihat senario yang bagi beliau jelas - bahawa Melayu kini hanya bergantung kepada sedikit kuasa majoriti politik dan selebihnya, baik pegangan ekuiti dan ekonomi sudah hampir keseluruhan terlepas di tangan bangsa - bangsa lain. Tun Ghaffar dengan berani dan tegas menekan bahawa antara kesalahan yang dapat di kenal pasti adalah kepimpinan UMNO sendiri yang tidak lagi mementingkan perjuangan untuk orang - orang Melayu tetapi hadir untuk kepentingan politik dan kuasa berteraskan wang. Ini jelas dengan tersebarnya wabak politik wang yang pada mulanya beliau sendiri agak pesimistik mengenai kehadiran wabak itu.
Tun Ghaffar mengatakan bahawa UMNO sekarang ini goyah dan rapuh dan menyifatkan bahawa sistem demokrasi dalam UMNO sudah mati. Sekiranya tidak ada tindakan di ambil maka UMNO pasti mati dan di susuli dengan kematian Melayu dan seterusnya kematian Islam itu sendiri di bumi Malaysia. Atas dasar mahukan UMNO terus menerajui orang - orang Melayu, maka beliau hadir pada sisa - sisa usia ini untuk menyampai amanat ini, mengharapkan yang ada terus berjuang untuk mengembalikan kewibawaan UMNO dan keutuhan UMNO sebagai nadi untuk pembangunan bangsa Melayu keseluruhannya.
Beliau kesal dengan sikap yang wujud antara beberapa kepimpinan UMNO sekarang, yang hanya berpaksi wang untuk memperolehi kuasa dan kuasa untuk memastikan kewangan mereka kukuh. Ini bukan lagi perjuangan. Ini membelakangkan perjuangan dan ini PASTI bagi beliau akan memusnahkan UMNO itu sendiri. Tun Ghaffar dalam ucapan nya turut menyelar Menteri Besar UMNO yang mana beliau pernah cuba membuat temu janji tetapi setelah 6 bulan gagal mendapat peluang. Ini terbalik pula dengan Menteri Besar Kelantan yang di cuba untuk membuat temu janji oleh beliau. Sungguhpun Nik Aziz ketika itu di Beijing, beliau memaklumkan dari Beijing yang beliau akan balik keesokan hari dan telah meluluskan temu janji pada keesokannya juga.
50 petisyen veteran UMNO dan pejuang UMNO.
Antara yang hadir menyertai program tersebut adalah Tan Sri Sanusi Junid, Tan Sri Mohamed Rahmat, Datuk Dr Siti Zaharah, Bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Mohammad Yaakob, Datuk Mokhtar Hashim Datuk Suhaimi Kamaruddin dan beberapa nama besar lain.
Petisyen itu menggariskan 4 perkara mutlak yang akan di sampaikan kepada Perdana Menteri Malaysia yang juga selaku Presiden UMNO. 4 perkara tersebut adalah:
1. Politik wang hendaklah di hapuskan habis - habisan 2. Memulihkan demokrasi yang telah mati dalam UMNO 3. Menuntut 30% penyertaan Melayu dalam ekuiti dan ekonomi untuk bumiputera menjelang 2020 4. Memartabatkan Sekolah Kebangsaan
Antara yang paling menarik perhatian kami dalam ucapan Tun Ghaffar Baba ialah mengenai matinya demokrasi dalam UMNO. Peluang untuk bertanding jawatan penting parti harus terbuka dengan tanpa adanya sekatan.
Ini akan memastikan presiden juga perlu bekerja untuk memenangi sokongan kerana kemenangan mudah atau tanpa bertanding akan menurunkan nilai dan erti kemenangan sehinggakan ianya mampu menggugurkan amanah yang sepatut di julang.Tun Ghaffar Baba di jangka akan menyerahkan petisyen 50 tersebut sebaik sahaja beliau berpeluang untuk bertemu dengan Pak Lah |