Tentang Bursa Saham Tehran, saya salah. Ramalan saya tidak tepat. Kerajaan Iran telah menangguhkan pembukaan bursa minyak ini ke suatu masa yang belum ditentukan. Semua persediaan di Pulau Kish - satu kawasan perdagangan bebas di Teluk Parsi - telah pun siap.
Mungkin kerana tidak mahu ketegangan dengan Amerika menjadi bertambah rumit, maka kerajaan Iran telah mengundur sedikit. Bursa saham minyak ini ditangguhkan sebagai langkah mengelak ketegangan.
Tentang Iran akan diserang - ramalan saya ini masih belum dapat dibuktikan salah. Malah besar kemungkinan ramalan saya ini akan menjadi tepat.
Pemenang hadiah Pulitzer
Bulan ini Seymour Hersh telah menulis di majalah New Yorker bahawa semua persediaan telah siap-siaga untuk bala tentera Amerika menyerang Iran. Tulisan Hersh ini wajib dibaca dengan teliti. Seymour Hersh ini bukan wartawan berjenis hingusan atau kaki gosip yang terlatih dari Universiti Sintok.
Hersh adalah wartawan yang telah bertanggungjawab memecahkan berita pembunuhan beramai-ramai rakyat Vietnam di My Lai pada 1969. Hasil laporan penyiasatan ini, Seymour Hersh mendapat hadiah Pulitzer untuk laporan berita antarabangsa.
Pada tahun 2004 yang lalu, sekali lagi tulisan siasatan Hersh menggemparkan dunia. Beliaulah yang bertanggungjawab membocorkan cerita kezaliman di penjara Abu Ghraib. Melalui selidikan dan siasatan yang amat rapi lagi teratur, Hersh telah menunjukkan kepada kita semua bagaimana tahanan di Iraq telah diseksa dalam penjara Abu Gharaib.
Rahsia jenayah soldadu Amerika yang menjaga tahanan di Iraq telah dibocorkan untuk pengetahuan warga dunia. Justeru, apabila bulan ini Hersh menulis tentang rancangan Amerika terhadap Iran - maka semua mata dan telinga dunia terbuka. Mata rakyat dunia kini sedang memandang tepat kepada muka Presiden Bush. White House telah cuba menafikan laporan Hersh.
Tetapi kewartawanan berjenis Hersh ini memiliki fakta-fakta yang terlalu susah untuk dilupuskan begitu sahaja. Dengan temubual yang dirakam, melalui sumber-sumber yang bertanggungjawab, laporan siasatan Hersh tidak pernah memiliki asas-asas dongeng atau gosip khabar angin ala Mahazalim atau akhbar-akhbar tempatan kita.
Tidak mungkin ada sumber/menteri/pegawai dari White House yang akan mengatakan akhbar salah lapor, atau wartawan salah dengar. Hakikatnya, laporan Seymour Hersh ini amat-amat menakutkan. Ini kerana persediaan kali ini agak berbeza. Untuk Iran, Presiden Bush telah bersedia untuk melakukan apa sahaja.
Mari kita melihat kembali untuk memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku di kawasan Timur Tengah ini. Pada tahun 1951, Dr Mohammed Mossadegh telah dipilih sebagai Perdana Menteri Iran. Melalui perbincangan di Majlis (parlimen), kerajaan Iran telah memiliknegarakan syarikat minyak Anglo-American Oil Company.
Konflik Iran-AS
Dua tahun kemudian ?CIA, Mossad, MI6 dengan bantuan para pembelot dalam negara ? satu rampasan kuasa telah berlaku. Perdana Menteri Mossadegh yang nasionalis, telah ditangkap dan di penjara. Ahmad Shah Reza Pahlevi dinaikkan ke takhta dengan bantuan CIA, Mossad dan MI6. Syarikat minyak Anglo-Amerian Oil Company dapat menguasai kembali semua telaga minyak yang lumayan di Iran.
Suasana ini berubah kembali apabila berlakunya Revolusi pada tahun 1979. Ahmad Reza Pahlevi melarikan diri. Iran menjadi sebuah republik. Sekali lagi syarikat minyak kepunyaan Anglo-Amerika ini dimiliknegarakan. Dalam masa yang sama, untuk mengelakkan tindakan subversif Amerika dan Israel, kerajaan baru Iran telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika dan Israel hingga ke hari ini.
Apabila saya menulis ini, harga bahan bakar minyak mentah ialah 74.17 dolar untuk satu tong. Harga yang paling termahal semenjak perang Iraq/Iran pada tahun 80-an dahulu. Kemungkinan harga mentah bahan bakar minyak ini untuk naik lagi, cukup cerah. Dalam masa yang sama, harga nilai Dolar Amerika semakin susut. Kesusutan ini hasil beberapa fakta. Kenyataan Bush yang jelas tidak mahu menafikan cita-cita Amerika untuk menyerang Iran, adalah faktor utama.
Dalam keadaan nilai Dolar yang semakin tidak menentu ini, harga emas dan perak semakin naik memuncak. Naiknya harga emas ini adalah tanda bahawa secara perlahan-lahan, keyakinan negara, keyakinan orang ramai untuk menyimpan wang dalam bentuk Dolar semakin merudum. Harga emas pada hari ini ialah 636 dolar satu auns - harga yang paling tinggi semenjak tahun 1980. Harga perak pula ialah 14.522 satu auns, paling tinggi semenjak tahun 1983.
Dari fakta-fakta ini, apa yang dapat kita fahami dan rumuskan ialah suasana ekonomi dan politik dunia hari ini semakin tidak menentu. Rakyat dunia sekali lagi sedang menghadapi ancaman perang. Perang kali ini amat jauh berbeza dari perang dunia pertama atau perang dunia kedua.
Teknologi dan keupayaan fikrah manusia yang paling unggul untuk melakukan perkara yang paling hodoh semakin terbukti. Dalam masa yang sama, tamadun yang kita sama-sama nikmati hari ini, semuanya berasaskan bahan bakar minyak. Pada hari ini telah tidak wujud lagi hubungan landai di antara permintaan minyak dengan pengeluaran minyak.
Permintaan semakin melonjak tinggi manakala pengeluaran semakin menguncup. Dua negara - India dan China - yang sedang membangun dengan pesat, kini menjadi peminum minyak yang paling rakus selepas Amerika.
Keperluan minyak untuk perkembangan ekonomi China dan India ini semakin mengusutkan suasana politik dunia. Ini kerana dari kajian ilmiah yang terbaru, semakin jelas menunjukkan simpanan bahan bakar minyak dalam perut bumi semakin susut. Kesusutan minyak untuk saya tidak perlu lagi kita bincangkan. Kita hanya wajib melihat dan memahami hukum alam.
Minyak sebagai bahan bakar tidak mungkin wujud terus menerus tanpa sempadan hingga hari kiamat. Apa yang wajib kita semua fikirkan secara rasional ialah bila agaknya bahan bakar minyak ini akan khalas atau khatam.
Justeru, mari kita kembali menganalisis laporan berita yang menunjukkan Iran akan diserang. Apabila saya membaca tulisan Seymour Hersh itu - perut saya terus mengecut. Ketakutan saya ini bukan hanya kerana Hersh seorang wartawan yang boleh dipertanggungjawabkan kerjanya.
Saya menjadi takut kerana saya sedar kumpulan neocon dan kabal Zionis yang mengelilingi Bush sedang berusaha keras untuk memulakan serangan terhadap Iran.
Serangan gelap
Saya bertambah takut lagi kerana Bush tidak menolak strategi penggunaan bom nuklear untuk meledakkan pusat-pusat kajian nuklear Iran yang tersuruk di dalam tanah. Sayugia diingati 'Serangan Gelap' terhadap Iran sebenarnya telah lama bermula. Kapal terbang pengintip Amerika tanpa pemandu, telah lama berkeliaran di ruang udara Iran. Malah sebuah darinya telah pernah ditembak jatuh.
Di Sebelah utara Iran, kumpulan Kurdish yang menjadi ayamternakan CIA dan Mossad, sedang menjalankan aktiviti sabotaj. Di kawasan sebelah selatan Iran, gerila anti Tehran telah mula melakukan beberapa letupan dan pembunuhan.
Di sempadan Iran dengan Pakistan, tentera Pembebasan Baluchistan - kumpulan sunni anti-Syiah - yang dididik dan dipersenjatai oleh Amerika, telah juga mula menyerang. Manakala, kumpulan gerila Mujahedin-e Khalq (MEK) yang dulu anti-Amerika, kini telah bersedia untuk menjadi barua Amerika.
Malah dua bulan dahulu, Kongres Amerika telah meluluskan 85 juta dolar dana untuk pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan rakyat Iran yang antikerajaan. Dana ini akan digunakan oleh kumpulan NGO dan tali barut Amerika di Iran untuk menerbitkan akhbar, TV dan radio. Semua langkah tindakan yang dilakukan oleh White House ini berasaskan cita-cita untuk ?mendemokrasikan? Iran dan wilayah Timur Tengah.
Pada 28 April, tamatlah tarikhnya buat Tehran untuk melakukan apa yang telah dipinta oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). PBB menuntut agar Iran menamatkan projek memperkasakan nuklearnya. Dari kenyataan Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran, kelihatan jelas bahawa bukan sahaja Iran tidak akan mengikut permintaan PBB, malah Iran sendiri telah berjaya melakukan beberapa kajian penting dalam hal tenaga nuklear.
Semua ini menunjukkkan suasana perang semakin jelas akan berlaku di Iran. Cita-cita kaum pemodal dan syarikat minyak Anglo-Amerika untuk menawan kembali telaga minyak di Iran, memang salah satu daripada cita-cita White House.
Iran kini mengeluarkan 15 peratus daripada keperluan harian minyak dunia. Iran adalah negara ketiga sesudah Arab Saudi dan Russia yang memiliki simpanan minyak terbanyak dalam perut buminya. Iran adalah negara yang paling banyak memiliki punca gas yang masih tersimpan.
Untuk kaum pemodal, Iran ialah panggang ayam kampung yang sedang sedia untuk dibaham musang.
Hujah senjata nuklear
Dari satu segi hujah 'senjata nuklear Iran', ini samalah seperti hujah 'Weapons of Mass Destruction' yang telah didongengkan sebagai senjata yang dimiliki oleh Saddam. Hari ini semuanya terbukti karut.
Tetapi kenapakah kuasa imperial Anglo-Amerika pada ketika ini sedang bersedia menggunakan senjata nuklear untuk menyerang Iran? Tanpa pengunaan bom nuklear, bangunan makmal dan pusat kajian nuklear Iran pasti boleh dimusnahkan.
Warga dunia wajib sedar dan memahami bahawa jika bom nuklear diletupkan di Iran, letupan ini bukan untuk menundukkan rakyat Iran. Untuk memahami makna letupan bom nuklear itu nanti, kita wajib melihat kembali kepada babak-babak akhir dalam pentas perang dunia kedua.
Di Asia Tenggara pada ketika bom atom diledakkan, soldadu fasis Jepun telah hampir tewas. Jeneral Tojo telah diberitakan sudah bersedia untuk mengaku kalah. Tetapi kenapa bom atom masih diletupkan di Nagasaki dan Hiroshima?
Letupan bom atom pada bulan Ogos 1945 ke atas Jepun yang telah nyawa-nyawa ikan, adalah untuk memberitahu Stalin dan Rusia bahawa Amerika kini adalah kuasa imperial yang unggul. Hanya Amerika yang memiliki senjata bom atom pada ketika itu.
Pada tahun 2006, teknologi senjata bom atom dan bom nuklear tidak lagi dimonopoli oleh Amerika. Justeru, jika kali ini bom nuklear diledakkan ke atas Iran, maka ini ialah SMS dari kuasa imperial Anglo-Amerika kepada Russia dan China.
SMS ini adalah untuk memberi ingatan bahawa kuasa imperial Anglo-Amerika akan menyerang dahulu sesiapa sahaja yang dianggap musuh tanpa memerlukan resolusi dari PBB atau sesiapa pun.
Serangan ?preemptive? ini adalah dasar luar negara Amerika yang terbaru. Dasar ini muncul dengan lebih jelas lagi pada penggal kedua Bush di White House. Ini adalah perubahan dasar pertahanan Amerika yang memang telah lama dirancang oleh gerombolan neocon dan kabal Zionis yang sedang mengelilingi Bush.
Letupan bom nuklear terhadap Iran nanti juga membawa serampang dua mata. Pertama untuk memberitahu China bahawa Amerika masih lagi kuasa dunia. China tidak akan dibenarkan muncul sebagai pesaing politik, ekonomi dan ketenteraan.
Kedua, apabila kerajaan Iran yang wujud pada hari ini tumpas, maka kuasa yang paling selamat dan dominan di Timur Tengah ialah entiti Zionis Israel. Kita warga dunia jangan tersilap baca. Memang tepat, Bush adalah seorang bekas penagih dadah dan penagih alkohol yang terbukti bebal. Bush juga sering menggunakan ayat dan bahasa yang salah. Tetapi dibelakang kebebalan Bush ini wujud kumpulan pemikir yang maha bijak pandai.
Kebijaksanaan inilah yang sedang digunakan untuk melakukan kehodohan dan kemusnahan yang maha sangat. Sama-sama kita nanti.