Pada 26 Aril, 2006, Leslie Lopez ada menulis satu artikel dalam The Singapore Straits Times dengan judulnya, ''Mahathir's attacks fuel talk of comeback'' (serangan Mahathir membayangkan kemungkinan dia mahu aktif berpolitik semula). Saya ada satu berita untuk Leslie. Sesungguhnya Dr. Mahathir tidak pernah undur daripada arena politik. Beliau mungkin telah bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi dia tidak pernah undur daripada arena politiknya. Bagaimana mungkin seseorang yang sudah begitu lama melakar landskap negara ini boleh menghilang begitu sahaja selepas berada di puncak kuasa itu 22 tahun lamanya? Ada satu perumpamaan British yang berkata ''Old soldier never die, they just fade away (harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama). Orang lama berpolitik tidak mudah menghilang ghaib kerana mereka berhenti dari berpolitik hanya apabila diundang kematiannya.
Mahathir masih bernyawa. Kalau dikaji prestasi usia keluarga beliau, adalah lebih baik anda terima hakikat bahawa dia akan bernafas selesa untuk satu dekad lagi ataupun sekitar itu juga.
Tetapi dia sudah pun melepasi usia 80 tahun, kata sesetengah orang. Di Negara China anda tidak akan capai kemuncak kerjaya politik selagi belum melepasi usia 80 tahun. Pada usia 50 anda masih dianggap anak muda dan dianggap tidak sesuai duduk sebaris dengan golongan yang lebih tua. Dr. Mahathir tidak merokok, ataupun peminum. Dia tidak mengunjungi karaoke hingga terbit fajar pagi dengan GRO yang manja duduk di pangkuannya. Dia jaga apa yang dimakan sambil mengawasi berat badan. Dia memang menjauhi segala maksiat yang mungkin anda ada mengongsi dengan saya. Kalau dikira semula apalah gunanya gaya hidup semacam dia? Sudah tidak ada seronoknya hidup semacam itu, bukan?
''Apakah mantan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, berura-ura giat semula berpolitik?'' tanya Leslie. ''Serangan Mahathir yang berbisa terhadap kerajaan Perdana Menteri Abdullah Badawi, minggu lalu terhadap tindakan kerajaan membatalkan pembikinan projek jambatan baru ke Singapura telah mencetuskan bualan bahawa beliau akan muncul berpolitik semula.
''Memang jelas beliau tidak senang hati melihatkan cara Abdullah mentadbir negara dan dia mahu berbuat sesuatu,'' kata Professor Shamsul Amri Bahruddin, yang mengajar sosiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia.
''Akan tetapi tidak ada yang mencadangkan bahawa Mahathir sedang merancang merampas kuasa,'' hujah Leslie lagi. ''Mantan Perdana Menteri yang pernah menjalani pembedahan jantung 15 tahun dahulu, sudah pun berusia 80 tahun dan orang yang rapat dengannya telah memberitahu bahawa dia pernah dinasihati doktor agar bertenang kerana mudah sangat di serang penyakit jantung..''
Namun, memang ada kepercayaan bahawa orang paling terkuat di Malaysia ini, yang pernah memenangi banyak cabaran terhadap pucuk kepimpinan beliau selama 22 tahun berkuasa, boleh menyebabkan pelbagai masalah politik kepada Datuk Seri Abdullah dalam beberapa bulan mendatang.
''Kemunculan semula Tun Mahathir akan menyuntik semangat golongan peniaga elitis yang selama ini menyangkut harapan kepada habuan negara tetapi terpaksa menelan air liur sahaja disebabkan pertukaran struktur kuasa. Kemunculan beliau akan menyuntik satu ralli di pasaran saham,'' kata para penganalis.
Rakan-rakan yang rapat dengan Tun Mahathir berkata beliau tidak senang hati melihatkan pentadbiran Abdullah yang dianggapnya sengaja berkempen mencemar dan merungkai legasi beliau. Selama dua tahun yang berlalu, Tun Mahathir telah mengejek pentadbiran Abdullah yang baru berusia 30 bulan itu, kerana membatalkan beberapa inisiatif ekonomi cetusan beliau dan tidak mahu menyuntik dana kepada beberapa projek kesayangannya seperti pembuat kereta nasional, PROTON.
''Ketidak-puasan yang membara itu semakin panas minggu lalu apabila Tun Mahathir menuduh pengganti beliau berlembut kepada penentangan kerajaan Singapura terhadap pembikinan satu jambatan untuk menggantikan Tambak Johor yang menyambung dua negara selama dua kurun. Tun Mahathir yang kerap bertikam lidah dengan Singapura selama 22 tahun berkata bahawa tindakan kerajaan Malaysia membatalkan projek jambatan yang diilhamkannya pada 1996 adalah sama dengan menyerahkan kedaulatan negara ini.
Sambil merujuk kisah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra yang terpaksa turun takhta sejurus rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, dan Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang terpaksa turun awal bulan ini untuk meredakan kemarahan rakyat terhadap dakwaan rasuah, Tun Mahathir turut memberi amaran kepada pengganti beliau akan bahaya memperlekehkan sentimen rakyat,'' hujah Leslie lagi.
Dalam satu amaran yang lantang kepada Abdullah, Mahathir berkata: ''tolonglah ingatkan semula apa yang terjadi kepada Tunku kerana tidak mendengar rintihan rakyat. Contoh yang paling baru ialah Thaksin. Mereka tidak mendengar rintihan rakyat dan mereka menerima padahnya.
Sekutu yang rapat kepada Mahathir berkata kenyataannya yang tajam itu menggambarkan betapa sayangnya kepada projek jambatan itu. ''Mahathir mahukan jambatan itu sebagai lambang nasionalisme yang menggambarkan hubungan semasa antara negara ini dengan Singapura,'' kata seorang peniaga yang memang sudah lama menikmati hubungan rapat dengan Mahathir.
Akan tetapi, ramai rakyat Malaysia menganggap sindiran tajam itu sebagai satu cabaran politik terhadap Abdullah. ''Untuk berkata yang dia (Mahathir) tidak senang hati adalah satu kepura-puraan. Memang satu kesilapan untuk memandang remeh terhadap beliau.'' kata Anwar Ibrahim dalam satu temubual oleh straits Times dua minggu lalu. Anwar percaya bekas mahagurunya akan membuat serangan bertubi-tubi terhadap Abdullah dalam masa beberapa bulan mendatang. ''Ini baru permulaannya,'' kata Anwar.
Leslie bersetuju dengan telahan Anwar. ''Ramai para penganalis yang percaya bahawa Tun Mahathir tidak mungkin meredakan serangan terhadap kerajaan Malaysia. Mereka percaya besar kemungkinan dia akan mengadakan beberapa pertemuan dengan anggota parti pemerintah, UMNO untuk menjelaskan kritikan beliau terhadap pentadbiran sekarang. Inilah yang telah dimulakannya pada Jumaat lalu dengan menyiarkan satu surat terbuka yang dibaca di laman web tajaan UMNO, dan memberikan segala butiran mengenai pandangan beliau terhadap projek jambatan yang digagalkan itu. Surat yang sama telah diagihkan kepada anggota Dewan Rakyat dan pegawai tinggi Umno.
''Apakah kesannya nanti?? Tanya Leslie ''Ramai penganalis percaya leteran bekas Perdana Menteri itu tidak akan menjejaskan apa-apa.''
Selain segelintir manusia yang memang mempunyai dendam kesumat terhadap Abdullah, saya tidak fikir serangan Mahathir, baik yang dulu-dulu, sekarang ini dan masa depan akan menjentik konflik yang mampu mencetuskan impak.''kata Prof. Shamsul yang menjelaskan bahawa adalah sukar menjatuhkan Abdullah sekarang ini dalam satu sistem politik yang dipacu oleh sistem naungan.
Sebelum beliau turun takhta pada November 2003 dahulu, Tun Mahathir sudah mencengkam kuasa dalam kerajaan dan Umno dengan memacu kemewahan melalui penyaluran modal mudah, penswastaan projek infrastruktur, kontrak kerajaan dan pelesenan,'' kata Leslie. ''Kini, Datuk Seri Abdullah baru sahaja melancarkan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan, dan tentunya mempunyai ruang mengagihkan projek untuk mengukuhkan naungannya.
Para penganalis berhujah bahawa pemimpin politik UMNO dan kumpulan perniagaan yang ada kaitannya dengan parti itu tidak mungkin menentang Paklah dalam percakaran beliau dengan Mahathir kerana takut nama mereka akan disenarai-hitamkan dalam persaingan mendapatkan kontrak dalam rancangan pembangunan yang baru. Kumpulan yang rapat dengan Perdana Menteri pula yakin Datuk Seri Abdullah tidak mungkin mengulas secara lanjut akan segala kenyataan Tun Mahathir kerana beliau menghormati bekas ketuanya. Memang tinggi penghormatan beliau dan tidak mungkin dia merungkainya,'' kata seorang pembantu kanan.
Leslie pula tidak menyatakan kepujian beliau terhadap Mahathir. ''Ini adalah satu sikap berpolitik yang pintar. Dengan menolak sebarang kemungkinan bertelagah dengan bekas ketuanya, dia berjaya membiarkan Mahathir menjadi pusat tumpuan dalam kempen beliau menyerang pentadbiran yang dipimpin oleh Abdullah. Kritikan Mahathir terhadap Abdullah hanya menyerlahkan segala kepincangan segala dasar ekonomi tajaannya dahulu, yang merupakan kendalian kerajaan dalam industri berat-berat dan pembinaan segala projek mega.
Hari ini, banyak industri berat cetusan Mahathir sedang terbengkalai. Kerajaannya dahulu telah mencurahkan berbilion ringgit dalam usahasama simen dan keluli yang akhirnya kecundang juga. Pembuat kereta nasional, Proton, yang merupakan satu-satunya legasi Mahathir yang masih bernafas (nyawa-nyawa ikan) dalam program industri berat, sedang mengelupur kerana saingan sengit syarikat asing dan pembubaran halangan perdagangan.
Leslie pun mula memuji-muja Abdullah. ''Rencana ekonomi Abdullah adalah lebih konservatif berbanding rencana ketua lamanya dan pada hari Isnin nanti Perdana Menteri memberikan penjelasan kenapa dia bersikap berhati-hati dalam pengurusan ekonomi.
''Jangan dihiraukan kenapa saya tidak membina monumen dan bandar yang berkerlipan. Saya diberitahu ini akan menjadikan saya popular dan melicinkan pedati ekonomi negara,'' kata Abdullah kepada pemimpin perniagaan di Kuala Lumpur.
Mereka dalam sektor perniagaan percaya bahawa usaha Abdullah untuk merenggangkan diri daripada dasar bikinan ketua lamanya dahulu dengan membendung perbelanjaan kerajaan dan mengkaji semula banyak usahasama infrastruktur yang penting adalah bertujuan mengembalikan fundamental ekonomi Malaysia.
Walaupun kedudukan Abdullah nampak kukuh sekarang ini, masih ada golongan yang membodek Mahathir dahulu yang mampu memasang lukah di pergentingan UMNO untuk melemahkan cengkaman kuasa Perdana Menteri. Salah satu isu yang menggoyahkan itu ialah soal penggantian tempatnya nanti.
Abdullah dan Mahathir adalah daripada generasi politik yang sama dan ramai dalam UMNO yang percaya pucuk kepimpinan yang akan datang harus dilakukan lebih awal daripada jadualnya. Ramai yang beranggapan bahawa sikap Mahathir tidak senang hati dengan Abdullah boleh dijadikan peluang yang baik untuk mereka yang mahu mempercepatkan jadual peralihan itu. Lantas ia akan memberi laluan kepada Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak untuk mengambil alih.
Memang ada pihak yang berpendapat bahawa Abdullah harus berkuasa untuk satu penggal sahaja dan ramai dalam parti yang mahu melihat kuasa politik beliau dilemahkan untuk memberi laluan kepada perubahan kuasa,” kata seorang pemimpin kanan Umno yang rapat kepada Perdana Menteri.
Mereka yang menduduki tempat yang rapat dengan Abdullah telah mendedahkan bahawa dia memang sedar adanya segelintir di pucuk kepimpinan UMNO yang begitu gelojoh mahukan beliau bersara. Tetapi Abdullah sudah tegas mahukan satu tempoh lagi, kata mereka. Perubahan yang diingininya untuk Malaysia akan memakan masa untuk mengeluarkan hasil dan dia mahu menentukan kejayaannya.
Memang jelas daripada laporan Leslie bahawa dia memang menulis memihak kepada Abdullah dan sekali gus mengkritik Mahathir. Saya tidak pula mahu berkata bahawa analisis beliau itu tidak tepat mengenai senario politik Malaysia. Sudah tentu Leslie banyak membaca dan telah membuat rumusan dengan tepat akan apa yang dapat kita jangkakan tidak lama lagi. Akan tetapi politik bukanlah satu sains. Ia adalah satu kesenian. Seseorang itu tidak boleh membaca politik dengan menggunakan congak sahaja. Sudah tentu kisah Anwar (Anwar Saga) telah mengajar kita setakat ini.
Siapa yang boleh menyangka Mahathir yang pernah dibuang oleh UMNO boleh muncul semula untuk naik menjadi Perdana Menteri? Siapa yang boleh terfikir bahawa Musa Hitam dan Ghafar Baba tidak dapat menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri? Siapa yang boleh sangka bahawa Anwar boleh dipecat dan disumbat dalam penjara oleh Mahathir selepas Mahathir sendiri secara terbuka mengisytiharkan beliau sebagai penggantinya? Siapa boleh sangka bahawa Abdullah yang pernah menentang Mahathir (dalam Tim B) boleh menjadi pilihan Mahathir sebagai Timbalan beliau dan akhirnya menggantikan tempatnya? Siapa boleh sangka bahawa Najib akan mengambil alih sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Abdullah mengambil alih jawatan Mahathir?
Sememangnya, kita boleh jangkakan apa yang tidak dapat kita sangka. Kalau kita menjangkakan Abdullah akan pergi kepada satu tempoh lagi dan Najib akan mengambil alih selepas itu, eloklah membuat jangkaan bahawa peristiwa semacam itu tidak akan berlaku. (Memanglah ramai orang yang masih percaya kepada teori RAHMAN di mana abjad terakhir itu melambangkan awal nama Najib, lantas beranggapan beliau akan terjamin menjadi Perdana Menteri yang akan datang) akan tetapi 24 jam adalah satu tempoh yang panjang dalam politik. (Anwar bertukar daripada bakal Perdana Menteri kepada pesara politik dalam masa 72 jam sahaja) Sudah tentu 24 bulan merupakan satu tempoh yang lebih panjang. 24 bulan hingga April 2008 ketika Anwar akan dibenarkan oleh undang-undang untuk aktif semula berpolitik, adalah satu tempoh yang amat panjang. (Mahathir dan Abdullah pernah dipecat daripada politik UMNO, dan naik menjadi Perdana Menteri. Jika demikian apakah tidak mungkin Anwar yang turut dipecat sebagai orang politik UMNO, menjadi Perdana Menteri juga?)
Leslie boleh bercakap mengenai politik PAS, kerana PAS mendahulukan Islam. Jadi, sesiapa yang cintakan Islam akan mengutamakan agama mengatasi segala-galanya. Kalaulah Leslie bercakap mengenai keADILan, itu pun tidak mengapa kerana orang Reformis berjuang untuk kesamaan, keadilan, ketelusan pemerintahan yang baik, pembanterasan rasuah, dan segala idealisme. Tetapi Leslie bercakap mengenai politik UMNO, yang merupakan haiwan yang sungguh berbeza.
Orang yang jadi Presiden Umno, sekali gus menjadi Perdana Menteri. Mudah sahaja perkara ini. Tidak kiralah anda seorang yang warak, berstatus ekonomis unggulan ataupun bijak bestari, anda juga yang akan menjadi orang yang memerintah negara ini. Tetapi kalau anda bukan seorang Presiden UMNO, maka anda tidak akan menjadi Perdana Menteri. Dalam UMNO wang yang bercakap dan temberang yang memerangkap. (Dan sesiapa yang menjadi pemimpin pembangkang akan menjadi pemimpin pembangkang di Parlimen dan tidak boleh menjadi Perdana Menteri)
Lagi pun masa depan Abdullah sebagai Perdana Menteri tidak boleh dilihat pada sudut itu sahaja. Ia mesti dilihat dari ruang lingkup yang merangkumi Abdullah, Mahathir, Najib, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar dan Khairy Jamaluddin. Inilah enam tokoh utama dalam politik Malaysia hari ini yang mesti diambil kira.
Anwar telah menggulingkan Ghafar sebagai Timbalan Perdana Menteri melalui penggunaan kuasa wang. Di Sabah dan Sarawak sahaja Anwar telah berbelanja RM50 juta untuk membeli setiap 25 bahagian UMNO di negeri itu. Ini bererti sekitar RM2 juta dibelanjakan bagi setiap bahagian. Berapa agaknya yang perlu beliau belanjakan di Semenanjung Malaysia? Tidak kurang dari RM250 juta. Jika tidak, masakan Anwar mampu membuatkan Ghafar pergi bersara.
Itu adalah kisah lebih satu dekad dahulu. Hari ini disebabkan inflasi (dan kita mesti ambil kira bagaimana ada segelintir pemimpin bahagian yang berbelanja sehingga RM5 juta untuk menang di peringkat bahagian sahaja) anda perlu sekurang-kurangnya menggandakan jumlah itu.
UMNO mempunyai 190 bahagian. Anda perlu menang sekurang-kurangnya dalam 120 bahagian untuk merasa selamat – walaupun anda boleh membeli hanya 100 bahagian, tapi itu boleh mencetuskan risikonya. Ini bererti anda memerlukan sekurang-kurangnya RM500 juta.
Wang sebanyak RM500 juta itu adalah hanya untuk menerima pencalonan anda mencabar Presiden UMNO. Anda belum menang jawatan itu lagi. Anda masih perlu menang undi 2,300 perwakilan yang datang ataupun sekurang-kurangnya 1,300 orang. Untuk tujuan itu anda perlukan kira-kira sebanyak RM50 juta lagi. Akhirnya nanti, kalau anda mahu menjadi Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Malaysia, sediakanlah RM500 juta.
Siapa yang ada wang sebanyak itu?
Dr. Mahathir, Najib, Tengku Razaleigh, Anwar, Abdullah dan Khairy ada wang sebanyak itu. Kalau itulah jumlah yang diperlukan untuk seseorang menjadi Perdana Menteri, semua tokoh yang disebutkan tadi mempunyai wang sebanyak itu. Abdullah dan Khairy mempunyai keistimewaan kerana mereka mempunyai keupayaan menguasai pengagihan RM200 billion untuk projek pembangunan dalam RMK-9. Inilah yang sedang dilapah dan diagih-agihkan kepada pihak yang berkenaan, seperti yang kita akan ceritakan.
Inilah yang dimaksudkan oleh Leslie bila menyebut naungan politik (political patronage). Kalau Mahathir, Najib, Tengku Razaleigh dan Anwar terpaksa menyeluk saku membiayai kempen mereka (ataupun membeli undi, ikutlah selera apa yang anda fikirkan) Abdullah dan Khairy cuma perlu memberi arahan kepada nomini mereka di Kementerian Kewangan agar memberikan kontrak kepada orang tertentu. Malahan, perkara ini sudah pun dilaksanakan sebelum Abdullah membentang RMK-9 di Parlimen. Kontrak kerajaan sudah pun dilapah dan diagih-agihkan kepada pelbagai manusia sebelum Parlimen mengizinkannya.
Anda mungkin fikir RM550 juta itu adalah wang yang banyak. Tidak...... sedikit sahaja untuk jawatan menjadi Perdana Menteri. Mereka mungkin memerlukan RM1 billion untuk mendapatkan 1005 undi daripada 191 bahagian UMNO dan 2,300 perwakilan kalau perlu. Pilihan raya umum memerlukan RM2.5 billion. Ini bererti RM1 billion adalah kecil sahaja. Wang sebanyak itu boleh dipungut balik dalam masa beberapa bulan dengan hanya satu tandatangan seorang Perdana Menteri.
Anda mungkin mahu bertanya dulu, bagaimana mungkin orang semacam ini dapat mengumpulkan begitu banyak harta sedangkan gaji mereka tidak pun sampai sebanyak itu walaupun mereka berkhidmat untuk 1,000 tahun? Saya tidak tahu bagaimana orang lain melakukannya, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah memang sudah kaya-raya sebelum dia menganggotai kerajaan. Bagi orang lain, saya fikir mereka banyak menyimpan gaji mereka selama ini dan hanya makan mi segera untuk tengah hari dan makan malam.
Akan tetapi ini bukanlah isunya. Seandainya Mahathir bergabung tenaga dengan Najib untuk melancarkan serangan terhadap Abdullah, bermakna Abdullah pun mahukan seorang rakan 'gu'nya. 'Gu'nya itu mungkin Anwar. Ini bermakna kita akan melihat Mahathir–Najib melawan Abdullah-Anwar. Mungkin akan ada satu perjanjian sulit di mana Anwar membenarkan Abdullah satu tempoh lagi dan selepas itu dia naik berkuasa untuk dua penggal sebelum menyerahkannya kepada Khairy. Bagaimana pula dengan Tengku Razaleigh?
Ya, mana pula kedudukan Tengku Razaleigh. Apakah beliau akan menjadi tukang dalang, wira penyelamat ataupun kuda hitam sahaja? Apakah kemungkinan anggota parti UMNO naik muak dengan kemelut Mahathir-Najib melawan Abdullah-Anwar, sehingga menghumban mereka untuk memilih Tengku Razaleigh bagi mengembalikan kewarasan dalam UMNO?
Seperti yang saya katakan, 24 jam adalah satu tempoh yang lama dalam politik. 24 bulan sehingga April 2008 adalah tempoh yang lebih lama. Dalam politik jangkaan harus dibuat di luar jangkaan. Jika demikian, di mana letaknya kedudukan Tengku Razaleigh? Apakah kemungkinannya kalau Mahathir mengetepikan Najib dan bergabung tenaga dengan Tengku Razaleigh untuk menyingkirkan Abdullah. Jangan diketepikan faktor itu juga.
|